DOA -doa Ku... Ya Allah....

... اشهد ان لا إله إلا الله وأشهد ان محمد رسول الله .....YA ALLAH...AMPUNKAN AKU ....Bimbinglah Aku di jalan -MU.. TETAPKAN AKU DALAM KASIH SAYANGMU, ......AMPUNKAN SEGALA KESALAHAN dan DOSA-DOSAKU..DOSA DAN KESALAHAN KEDUA IBU BAPAKU..DAN SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT....KUMPULKAN AKU BERSAMA PARA NABI DAN RASUL...YA ALLAH ...KEKALKAN AKU DAN KETURUNANKU DALAM ISLAM DAN BERIMAN KEPADAMU....YA ALLAH.YA ALLAH, HIDUPKAN AKU DALAM KEADAAN MERENDAH DIRI, MATIKAN AKU DALAM KEADAAN MERENDAH DIRI DAN BANGKITKAN AKU (PADA HARI QIAMAT) DI DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG MERENDAH DIRI.. استغفر الله العظيم ASTAGFIRULLAHALAZZIM....سبحان الله...SUBHANALLAH ...الحمد لله..ALHAMDULILLAH...الله أكبر..ALLAHUAKHBAR.....ALLAHUMA SOLLIALA SAYIDINA MUHAMMAD....WAALA ALIMUHAMMAD..........

Ahad, 30 September 2012

Jadikan Harimu KeranaNYA



"Jadikan Harimu KeranaNya"- Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyah

Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyah r.h.l. berkata (dalam buku Al-Fawa'id):

Jika seseorang hamba menjalani hidupnya di waktu pagi dan petangnya, sedangkan tiada yang menjadi fokusnya melainkan Allah s.w.t. semata-mata, maka Allah s.w.t. akan menanggung untuknya akan hajat-hajatnya seluruhnya (Allah s.w.t. akan menunaikannya), Allah s.w.t. akan memalingkan kesusahan daripadanya, dan akan mengosongkan hatinya hanya semata-mata untuk disikannya dengan makrifatNya (mengenaliNya), da menjadikan lidahnya sentiasa memperingatiNya, dan Dia akan menjadikan anggota badannya seluruhnya dalam ketaatan kepadaNya.

Jika seseorang hamba menjalani kehidupannya sama ada di waktu pagi mahupun petang, sedangkan tiada yang lebih dipentingkannya selain daripada dunia, maka Allah s.w.t. akan membebankannya dengan bebanan-bebanan dunia dan isinya, sehingga dia akan berduka dan berasa tidak tenang kerana dunia tersebut. Allah s.w.t. akan menyerahkan dirinya kepada dirinya sendiri, tanpa membantunya. Lalu, hatinya sibuk daripada cintaNya, dengan kecintaan kepada dunia yang meletihkan, lidahnya sibuk daripada mengingati Allah s.w.t. dengan mengingati makhluk, dan anggotanya sibuk daripada ketaatan dengan mengejar keduniaan.

AQIDAH TAUHID : DALAM NERACA AGAMA-AGAMA SAMAWI DAN HINDU


FILE: Aqidah Tauhid: Dalam Neraca Agama-agama Samawi dan Hindu    
 

Islam merupakan agama yang terakhir. Di dalamnya mengandungi panduan yang paling sempurna dan menyeluruh, dalam membimbing umat manusia. Ia hadir dalam rangka untuk memansuhkan agama-agama samawi terdahulu, dan membetulkan kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam ajaran yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t., seperti Yahudi dan Kristianiti, yang pada hakikatnya merupakan suatu himpunan ajaran-ajaran rekaan para agamawan mereka sendiri.

Jesteru itu, Allah s.w.t. menyeru ahlul-kitab, baik dari kalangan Yahudi mahupun Kristian, agar bersama-sama di bawah satu payung samawi yang baru, yang dibawa oleh nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w., dalam rangka untuk membetulkan pengabdian dan aqidah mereka terhadap Tuhan Maha Pencipta.

Hadirnya Islam, menyeru ke arah kesatuan aqidah yang murni dan suci, iaitu aqidah Tauhid, di mana, setiap manusia mengakui, Allah s.w.t.-lah satu-satunya Tuhan yang layak disembah, dan Dialah satu-satunya tuhan yang menciptakan dan mentadbir alam ini.

Walaupun agama Kristianiti dengan konsep Triniti-nya (Satu Tuhan dalam Tiga Oknum), dan Yahudi dengan sikap anti-Isa (memusuhi Nabi Isa a.s.) dan sebagainya, maka Islam hadir di tengah-tengah pertembungan dua golongan ini, dalam mengetengahkan satu pelan damai dan satu perpaduan di bawah naugan agama terakhir yang mengandungi kebenaran mutlak dan ajaran-ajaran yang sempurna.

Islamlah satu-satunya agama yang benar lagi membenarkan segala kebenaran. Segala agama selain Islam merupakan kesesatan dan mengandungi pelbagai kesalahan dan penyelewengan, termasuklah dua agama samawi (iaitu Kristianiti dan Judaisme/Yahudi).

Segala ajaran yang diajarkan dalam Islam merupakan suatu ajaran yang benar dan paling baik dan sempurna. Aqidahnya jelas dan menepati hakikat, bahkan turut mendamaikan hati, fitrah nurani dan mententeramkan jiwa.

Pada hakikatnya, kesatuan antara Islam dengan ahlul-kitab (Yahudi dan Kristian) bukanlah suatu yang tidak releven, kerana Islam membawa ajaran Tauhid yang sesuai dengan ajaran agama-agama samawi terdahulu, sebelum diselewengkan oleh para agamawan mereka.

Allah s.w.t. berfirman dalam menyeru kepada konsep aqidah yang sebenar:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
(Surah Ali Imran: 64)

Jelaslah bahawasnya, Allah s.w.t. menyatakan bahawasanya, ajaran Tauhid sememangnya terkandung dalam intipati suci seluruh ajaran samawi sebelum Islam, termasuklah dalam ajaran Yahudi dan Kristian.

 Kesatuan Tauhid

 Dalam buku-buku yang menjadi rujukan agama Kristianiti dan Yahudi sendiri, menceritakan tentang konsep Tauhid, iaitu tiada Tuhan yang menciptkan sekalian alam dan layak disembah melainkan Allah s.w.t..
Hal ini seperti yang diriwayatkan dalam buku Torah (menurut Ahlul Kitab kini sebagai Taurat):

 "Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adna Ikhad" (dalam bahasa Ibrani), atau: "Hear, O Israel: The Lord our God is one Lord" (dalam bahasa Inggeris) [The Bible, Deuteronomy 6:4]
Maksudnya: "Dengarlah Wahai Bani Israel, Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa" (Deutreronomy 6:4)

Kitab Deuteronomy termasuk dalam lima buku terawal buku Bible, yang diterima oleh golongan Yahudi dan Kristian sebagai kitab Torah (Taurat). Jadi, orang-orang Yahudi dan Kristian sepatutnya beriman bahawa Allah s.w.t. yang menciptakan seluruh alam ini Maha Esa, bukan dua, bukan Trinity dan sebagainya.

Dalam Kitab Isaiah ada disebutkan lagi:
"I, even I, am the Lord; and beside me there is no saviour."
[The Bible, Isaiah 43:11] maksudnya, "Aku, hanya Akulah Tuhan, dan di sampingku tiada penyelamat lain (selain daripadaKu)".

Lagi disebutkan dalam kitab yang sama:
 I am Lord, and there is none else, there is no God besides me." Yang bermaksud: "Akulah Tuhan, dan di sana, tiada tuhan yang lain, tiada tuhan di sampingKu" [The Bible, Isaiah 45:5]

 "Thou shalt have no other gods before me. Thou shalt not make unto thee any graven image, or any likeness of anything that is in heaven above, or that is in the earth beneath, or that is in the water under the earth:Thou shalt not bow down thyself to them, nor serve them: for I the Lord thy God am a jealous God."
 Yang bermaksud:

 "Tidak ada tuhan-tuhan sebelumku. Janganlah kalian jadikan bagiKu akan sebarang gambaran, atau menyamakanKu dengan apa yang ada di langit, atau di dunia, atau di dalam laut di bawah bumi: Kamu tidak sepatutnya tundukkan diri kamu (menyembah) kepada makhluk-makhluk tersebut, dan tidak pula sepatutnya kamu menyembah mereka, kerana sesungguhnya, Aku satu-satunya Tuhan, Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang cemburu"
[The Bible, Exodus 20:3-5  dan kitab Deuteronomy 5:7-9]

 Nabi Isa a.s. secara khusus mengajarkan konsep Tauhid kepada para pengikutnya seperti yang diriwayatkan dalam buku Mark (Markus) yang berbunyi:
 "Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord."
 Yang bermaksud: "Dengarlah wahai Bani Israel: Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa"
 [The Bible, Mark 12:29]

Jadi, jelaslah di sini bahawasanya, pengikut agama-agama samawi perlu mengikuti Islam, kerana telah jelas bahasanya, agama Islam mengajarkan kepada mereka, ajaran Tauhid yang diajarkan oleh nabi-nabi mereka terdahulu, sebelum ajaran-ajaran mereka diselewengkan oleh para agamawan dan paderi mereka. Kebenaran jelas berpihak kepada agama Islam, yang merupakan agama terakhir dari Allah s.w.t., yang dibawa oleh nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w..

Ajaran Triniti yang diajarkan di dalam agama Kristianiti hari ini suatu ajaran yang menyeleweng, yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi Isa a.s. sendiri. Oleh yang demikian, orang-orang Kristian seharusnya kembali kepada Islam, kembali kepada ajaran Tauhid Nabi Isa a.s. yang diajarkan semula dengan syariat baru yang kekal sehingga hari Kiamat, oleh Nabi Muhammad s.a.w..

Bahkan, orang-orang Islam juga sebenarnya tiada alasan untuk memeluk agama Kristian, setelah jelas, Islamlah yang mengajarkan kebenaran, bukan agama Kristian.!  
                     
 Hinduisme dan Tauhid
Agama Hindu menurut ajaran para sami hindu mempunyai pelbagai fahaman dan kepercayaan yang berbeza-beza. Bahkan, kepercayaan-kepercayaan tersebut saling berlawanan antara satu sama lain. Secara asasnya, kebanyakan pengikut agama Hindu mempercayai tuhan itu ada tiga yang utama, iaitu Shiva, Brahma dan Wishu. Ketiga-tiga tuhan ini mempunyai pasangan isteri. Selain itu, tuhan melantik pelbagai tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan antara manusia dengan tuhan-tuhan utama tersebut. Fahaman tiga tuhan utama ini dikenali dengan Trimurti.

Kehadiran Islam menyeru seluruh umat manusia, termasuklah pengikut agama Hindu, untuk memeluk Islam dan beriman dengan aqidah Tauhid. Hal ini kerana, tauhid merupakan aqidah yang benar, dan selain daripada aqidah tauhid merupakan kepercayaan yang sesat.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan juga ialah, tauhid juga telahpun diajarkan di dalam kitab-kitab mereka yang terdahulu. Hal ini membuktikan bahawa, Islam merupakan agama kebenaran dan fahaman agama mereka (Hinduisme) ini merupakan fahaman yang sesat dan diseleweng.

Telah diriwayatkan akan firman Tuhan dalam kitab-kitab mereka berkenaan tauhid adalah seperti berikut:
 "Ekam evadvitiyam" Yang bermaksud: "Dia ialah satu-satunya Tuhan, tiada yang kedua" 
[Chandogya Upanishad 6:2:1]

 "Na casya kascij janita na cadhipah." Yang bermaksud: "BagiNya (Tuhan), tiada seteru mahupun tiada tuhan lain (selain daripadaNya).
 [Svetasvatara Upanishad 6:9].

Jelaslah bahawasanya, Islam merupakan satu-satunya agama yang benar, yang mengajarkan aqidah yang benar dan sempurna, kepada seluruh umat manusia, dalam rangka mengeluarkan mereka daripada kesesatan dan pengabdian yang sesat lagi terpesong.

Bukan Kristianiti, bukan Hiduisme, bukan Judaisme dan bukan agama-agama lain, melainkan Islam yang mengajarkan kebenaran. Hanya Islam satu-satunya agama yang mengandungi ajaran aqidah yang paling tepat dengan naluri insani dan aqidah yang benar tentang Tuhan yang selayaknya disembah.

Tiada alasan untuk para pengikut agama lain seperti Kristian, Yahudi dan Hindu khususnya, dan para pengikut agama-agama yang lain amnya, untuk terus berpegang dengan agama-agama mereka, atas alasan kebenaran, kerana hanya dengan mengikuti Islam dan ajaran-ajarannya, manusia dapat berpegang dengan kebenaran. Hal ini juga dibuktikan oleh buku-buku dan manuskrip kebanyakan agama-agama lain sendiri.

 Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:
 Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Ucapan Sheikhna Yusuf di Sahah Turki Sempena Maulid Nabi s.a.w. AMANAT UNTUK PELAJAR ILMU AGAMA dan ISLAH UMAT



Sheikhna Sidi Yusuf Al-Hasani
Ucapan Sheikhna Sidi Yusuf Al-Hasani Untuk Para Penuntut Ilmu Sempena Majlis Sambutan Maulidu Rasul di Sahah Turki, Kaherah, Mesir.

Bismillahi Rahmani Rahim Alhamdulillah...Selawat dan Salam buat Rasulillah s.a.w…

 Amma ba'du…

Sesungguhnya, kita berada dalam bulan yang mulia. Saya hampir-hampir tidak mampu untuk bangkit dari pembaringan, kerana diuji oleh Allah s.w.t. dengan kesakitan. Namun, dengan izin Allah s.w.t., saya dapat bangun dari tempat pembaringan, untuk menuju ke majlis ini. Saya gagahkan kaki untuk melangkah ke majlis ini, kerana saya yakin dan percaya, bahawasanya dalam majlis selawat kepada Nabi s.a.w. inilah, adanya penawar bagi segala penyakit.

Para ahbab yang dimuliakan…

 Sesungguhnya, kita berhimpun di sini, di bulan yang mubarak ini (bulan Rabi'ul Awal), yang mana, berserta dengan kita juga, para-para penasyid (yang mendendangkan qasidah memuji Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w.), dan para mursyid yang dimuliakan. Sesungguhnya, nasyid itu sendiri ialah irsyad (pembimbing). Nasyid-nasyid yang didendangkan sebentar tadi, jika hilang maknanya, maka tiada nilainya lagi. Ia akan menjadi satu kelalaian tanpa tujuan (pengabdian kepada Allah s.w.t.).

Sesungguhnya, para mursyid terdahulu, menyusun qasidah-qasidah dan nasyid ini, sebagai wasilah dalam pengabdian diri kepada Allah s.w.t., dengan ibadah zauqiyah (dalam bentuk perasaan), untuk mengeluarkan manusia daripada alam kelalaian kepada alam kehuduran (hadir Allah s.w.t. dalam hatinya). Mereka ingin mengeluarkan manusia dari alam ghaflah kepada alam musyahadah zauqiyah (melihat Allah s.w.t. dengan perasaan hati) di hadrah Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..

Dalam kesempatan ini, saya ingin berbicara tentang ittiba' (mengikut sunnah Nabi s.a.w.). Sesungguhnya, kecintaan kepada Nabi s.a.w. tanpa ittiba' (mengikut perintah dan sunnah Nabi s.a.w.) merupakan satu perkara yang bid'ah. Bid'ah yang dimaksudkan di sini, bukanlah bid'ah yang sering diperbincangkan dalam buku-buku ulama' dari sudut takrifnya yang zahir, dalam bidang fiqh dan sebagainya.

 Sesungguhnya, di sisi AhluLlah, bid'ah ada makna yang lain. Sesungguhnya, bid'ah itu ialah, kamu tidak mengikut Nabi s.a.w.. Ini kerana, ibtida' (bid'ah) itu sendiri atas wazan (timbangan) ibti'ad (menjauhi Allah s.w.t.). Jadi, bid'ah itu bermaksud, kamu menjauhi Allah s.w.t. dengan tidak mengikut Nabi s.a.w..

Kalaulah kita yang hadir ke majlis ini, mengaku mencintai Nabi s.a.w., mengaku merindui Nabi s.a.w., maka hendaklah kita mengikuti Nabi s.a.w., kerana jika tidak, kita akan termasuk dari golongan yang sekadar mendakwa (menipu dalam mendakwa). Jika demikian, terjerumuslah kita dalam perkataan syair yang berbunyi: "Mereka menyelami lautan kecintaan, tetapi tidak pernah diuji" dan perkataan syair yang berbunyi: "dakwa berjela-jela, tetapi amalnya sedikit sahaja".

Wahai Para Ahbab…

Sesungguhnya alam umat Islam pada hari ini, berdepan dengan pelbagai cabaran. Saya bercakap di sini, di hadapan tuan-tuan yang merupakan dari kalangan para ulama yang mulia dan para penuntut ilmu yang disayangi. Ini bukanlah satu perkataan memberi tazkirah dan irsyad, kerana kamu semualah pada hakikatnya ahli irsyad dan tazkirah itu dan saya tidak layak untuk bertazkirah di hadapan kamu semua. Apa yang akan saya katakan ialah tentang risalah dan amanah kita, yang bakal ditanya oleh Allah s.w.t. di hari Akhirat kelak.

Kamu semua adalah nadi masyarakat. Kamulah (para ulama' dan penuntut ilmu) merupakan garam bagi umat Islam ini. Jika kita semua (para ulama' dan penuntut ilmu agama) pun sesat, maka seluruh umat Islam akan turut sesat. Jika kita membawa risalah petunjuk yang benar ke masyarakat, maka mereka juga akan berjalan di atas landasan yang benar. Bahkan, kitalah yang akan dipertanyakan oleh Allah s.w.t. terlebih dahulu, sebelum orang lain.

Ingatlah, seperti dalam syair (matan) Zubad berbunyi: "Orang alim yang tidak mengamalkan ilmunya, akan terlebih dahulu disiksa sebelum penyembah berhala."

Jika ditanyakan kepadaku, tentang rahsia ketinggalan umat Islam ini, maka jawapanku: "Ini kerana, para ulama' mereka terlebih dahulu telah jauh ketinggalan". Kalaulah para ulama' maju dalam bidang dakwah mereka, menunaikan hak-hak Allah s.w.t. dalam dakwah mereka, keluar dari belenggu "kerja" kepada tugas "dakwah" (tidak hidup sekadar memikirkan soal kerja bergaji semata-mata, tetapi menumpukan perhatian kepada kerja dakwah terhadap umat Islam dengan ikhlas) dan jujur serta ikhlas dalam berdakwah, maka keadaan umat Islam kita tidak seperti yang kita saksikan pada hari ini.

Ingatlah dengan merasa kaya daripada dunia ini (tidak bergantung harap kepada dunia), pasti dunia ini sendiri yang akan mendatangimu. Tetapi, jika kamu sendiri yang sibuk mengejar dunia ini, ia pasti akan meletihkanmu (kerana dunia sentiasa lari darimu).

Kalaulah kita sebagai penuntut ilmu agama, hendaklah kita tanyakan kepada diri kita, apakah tujuan kita belajar ilmu agama ini? Setiap orang duduk sejenak bersama dirinya, lalu bertanya semula, tentang matlamat menuntut ilmu agama itu sendiri.

Adakah matlamat kita daripada belajar ini, tidak lebih dari sekadar, ingin keluar dari universiti, kemudian mendapatkan kerja untuk memenuhi perut dengan makan dan minum semata-mata? Kalau demikian, kalaulah penuntut ilmu agama belajar agama kerana inginkan keduniaan, samalah nilainya seperti penuntut ilmu duniawi.

Bahkan, penuntut ilmu duniawi kerana keduniaan, lebih baik daripada penuntut ilmu agama kerana keduniaan, kerana mereka jujur, sememangnya belajar ilmu dunia untuk mencari kepentingan dunia, sedangkan penuntut ilmu agama kerana dunia, merupakan golongan hipokrit, yang mencari agama untuk dunia. Sesungguhnya, penuntut ilmu duniawi tidak memakan dunia dengan agama mereka, tetapi penuntut ilmu agama, memakan dunia dengan agama mereka! Dari sinilah timbulnya musibah. Dari sinilah timbulnya bahaya. Oleh yang demikian, hendaklah kita kembali membetulkan niat dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t..

Para sahabat mempunyai kuantiti ilmu yang sedikit berbanding dengan kita yang hidup di zaman moden dan zaman ledakan maklumat dan IT ini. Bahkan, mereka juga mempunyai harta, dan teknologi yang sangat sedikit berbanding dengan apa yang umat Islam hari ini miliki, namun masih gigih dalam menyebarkan ilmu Islam sedangkan kita, yang hari ini mempunyai pelbagai alat-alat menuntut ilmu dan pembelajaran namun masih malas dalam menuntut ilmu. Kemudian, setelah begini keadaan kita, kita masih mengkhayalkan akan kegemilangan umat Islam?

Ini baru sedikit daripada senario yang berlaku dalam umat Islam. Masa terlalu sempit untuk membicarakan tentang masalah penuntut ilmu itu sendiri. Dari sudut perbahasan ilmiah itu sendiri, kita tahu punca ketinggalan umat Islam ini berpunca dari sifat malas mereka, sifat sambil lewa dan tidak bersungguh dalam melakukan sesuatu. Kenapa penuntut ilmu lebih bersifat sedemikian?

 Ingatlah pesan Imam Al-Ghazali yang pernah berkata: "Kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, maka ilmu itu tidak mahu melainkan ianya dituntut kerana Allah s.w.t.".

Di sinilah neraca bagi penuntut ilmu. Sesungguhnya, neraca ilmu itu sendiri ialah dakwah. Kalaulah kamu tidak melakukan usaha dakwah, maka ilmu yang kamu miliki merupakan satu simbol kegilaan dalam diri kamu. Imam Al-Ghazali r.a. sendiri pernah berkata bahawasanya: "Ilmu tanpa amal menunjukkan seseorang itu gila, sedangkan amal tanpa ilmu maka ia menjadi sia-sia".

Ada dua perkara yang berlaku dalam masyarakat umat Islam, yang merosakkan institusi dakwah Islam itu sendiri. Pertama: Orang-orang jahil yang berdakwah. Kedua: Orang-orang 'alim yang tidak berdakwah.
Ada dalam golongan umat Islam ini, ada beberapa jemaah-semoga Allah s.w.t. membalas jasa mereka-, mencintai umat Islam, lalu sibuk dengan usaha dan gerakan dakwah. Kalau bukan kerana kecintaan mereka kepada umat, nescaya mereka tidak akan keluar berdakwah. Akan tetapi, mereka tidak mementingkan soal menuntut ilmu. Oleh yang demikian, tiada timbangan yang jelas bagi mereka, sehingga mereka boleh membawa fitnah bagi pihak umat Islam itu sendiri.

Dari sudut yang lain pula, kita dapati ada orang-orang yang alim hanya sibuk duduk dalam pejabat, dan memberi ceramah sekadar mana yang diberi upah, lalu meninggalkan masyarakat dalam kegelapan, dan duduk dalam rumah berehat sambil menimbunkan harta. Ada yang jadi imam, lalu setelah selesai, dia meninggalkan masjid dan terus ke rumah, tanpa membuat pengisian dan dakwah kepada masyarakat. Ini menjatuhkan lagi nilai-nilai para ulama' itu sendiri. Dengan fenomena yang sedemikian, akibat kecuaian kita sendiri, akhirnya kita sendiri yang menangis melihat hal umat Islam hari ini cukup membimbangkan? Mana bukti kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.? Mana hakikat daripada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah dariku walau satu ayatpun (yang telah kamu pelajari dariku)"

Persoalan yang paling penting di sini wahai kekasihku yang mulia, di manakah posisi kita di sekitar peranan dakwah itu?

Apa yang lebih penting dari itu, ketaqwaan kita dalam berdakwah. Di sana ada golongan manusia, yang ditenggelamkan oleh amal-amal lalu mereka melupakan Tuhan amalan tersebut. Ada dari kalangan manusia yang tenggelam dalam dakwah, sehingga menjadi hamba dakwah, bukan hamba Allah! Mereka jesteru tidak mengajak manusia kepada Allah s.w.t., tetapi sebaliknya mengajak manusia kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak menunjukkan manusia jalan menuju Allah s.w.t., tetapi sebaliknya menunjukkan jalan menuju diri mereka sendiri (dan jemaah mereka).

Natijah daripada itu, timbullah sikap ujub seseorang terhadap pendapatnya sendiri lalu sering menyalahkan pendapat orang lain. Mereka menjadi hamba kepada diri mereka dan pendapat mereka. Ada hadis yang berbunyi: "Tiga perkara yang membinasakan: Sifat kedekut, hawa nafsu yang sentiasa diikuti, dan setiap orang ujub dan ta'asub dengan pendapat mereka sendiri"

Apa yang saya dapat fahami, punca utama kehancuran umat Islam adalah daripada masalah-masalah yang disebutkan sebelum ini.

Setiap orang tidak mahu menerima pendapat orang lain. Sehingga dikatakan: "Sama ada pendapat saya diterima, atau ribut taufan yang melanda!" "Akulah yang benar dan kebenaran ialah aku!"  Mereka mengingkari pendapat orang lain sedangkan pendapat mereka jauh lebih buruk dan salah dari sudut kebenaran itu sendiri. Mereka menutup ruang khilaf dan perbezaan pendapat yang positif, kerana ingin menjadikan agama mengikut selera nafsu mereka, bukan untuk memperhambakan diri kepada agama, tetapi untuk memperhambakan agama kepada dirinya sendiri.

Saya bercakap perkara ini di hadapan tuan-tuan, para ulama' dan penuntut ilmu yang bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t. sebelum manusia lain. Abaikan apa kata manusia terhadap kita, kerana yang penting apa yang Tuhan manusia memperkatakan tentang kita. "Lemparkanlah mereka ke dalam neraka, kerana merekalah yang dipertanggungjawabkan!"

Amalan itu disuruh mengerjakannya bukan kerana amalan itu sendiri memberi manfaat atau tidak, tetapi sebaliknya, ia merupakan satu simbol ketaatan kepada Tuhan amalan tersebut. Solat misalnya, tidak pernah disuruh mengerjakannya kerana solat itu sendiri, kerana itu satu syirik (jika kita menyangka solat ada memberi manfaat dan mudarat). Kalau kita yakini amalan itu yang menyebabkan kita masuk syurga, maka ia merupakan satu pegangan yang syirik (seperti dalam hadis yang berbunyi: "Tiada seseorangpun yang masuk syurga kerana amalannya"…).  Namun, kita mematuhinya, kita mengerjakannya kerana menunaikan "perintahNya", bukan kerana amal itu sendiri yang memberi sesuatu kepada kita. Allahlah satu-satunya yang memberi manfaat dan menolak kemudaratan, sedangkan amalan tidak ada berperanan sedemikian. Kenapa kita tenggelam di dalam amalan (sibuk melihat amalan diri dan menisbahkannya kepada diri kita) lalu melupakan Tuhan kita?

Dari satu sudut yang lain, ada golongan yang meninggalkan umat yang penuh musibah, lalu lari ke kawasan terpencil, dan meninggalkan usaha dakwah, untuk terus beribadah, tanpa memikirkan masalah umat, sedangkan dia bertanggungjawab melakukan pemulihan umat Islam dengan dakwah. Mereka inilah yang dikenali dengan golongan sufi pada dewasa ini, padahal hakikat sufi bukan sebegitu. Mereka merosakkan imej para sufi yang sebenar. Ini saya perlu katakan secara jelas, walaupun saya termasuk dari kalangan mereka (golongan pendokong kesufian) secara nisbah. Hal ini perlu dijelaskan supaya kita tidak menipu manusia lain.

Ada golongan ini yang meminggirkan diri kerana lari dari masyarakat, dan berputus-asa dari rahmat Allah s.w.t. ke atas umat Islam itu, lalu meninggalkan usaha dakwah sedangkan mereka mampu. Makin jauh mereka bersembunyi, makin tinggi ganjaran yang mereka terima dari pengunjung yang menziarahinya! Ini satu pendustaan terhadap golongan sufi itu sendiri dan merosakkan nama baik sufi. Mereka meninggalkan majlis ilmu kerana sibuk menanti kasyaf dan sebagainya, lalu membiarkan umat Islam semakin dalam kecelaruan.
Maafkan saya kerana terpaksa menjelaskan perkara ini, kalau-kalau ada yang terasa. Bak kata sya'ir, "Pukulan dari sang kekasih itu seperti memakan buah kismis" (atau dalam pepatah Melayu: "Sayang anak, tangan-tangankan…").

Bahkan, mereka (sesetengah golongan awam dari kalangan sufi) mendakwa, guru mursyid merekalah yang pernah menyuruh mereka menjauhi umat Islam dan kemelutnya, sedangkan para mursyid yang kamil tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal yang sedemikian, jesteru sebaliknya, para mursyid merekalah yang menyuruh mereka melakukan usaha dakwah dan islah. Lalu, mereka meninggalkan amanat yang disuruh oleh guru mursyid mereka sebelum ini.

Sehinggakan, tasawwuf dan sufi dikenali umum pada hari ini, sebagai satu kelompok manusia yang boleh dipakai buang. Ia sekadar mewakili satu golongan yang berhimpun untuk meraikan hari-hari tertentu dengan pelbagai fasyen pakaian tertentu semata-mata. “Kita merosakkan nama tasawwuf itu sendiri, namun masih menyangka bahawa kita telah melakukan kebaikan.”

Semua berhimpun di sekeliling Sheikh, kemudian balik ke rumah dan duduk berehat tanpa mengajak manusia kepada mengamalkan agama. Lebih malang lagi, ada yang pergi beruzlah untuk menanti ilmu-ilmu hikmat, kerana merasakan sekarang sudah zaman fitnah dan tidak perlu bercampur dengan masyarakat lagi. Golongan ini telah mengabaikan konsep tanggungjawab dalam Islam dan rasa persaudaraan sesama umat Islam, bahkan, jika penuntut ilmu dan ulama' yang melakukan sedemikian, mereka telahpun mengabaikan amanah ilmu mereka.

Dari sudut yang lain, terutamanya dalam masalah menolak pendapat orang lain, saya sendiri merasa hairan, dengan sikap sebahagian umat Islam. Saya tinggal di Kanada selama 26 tahun untuk menjaga kebajikan orang-orang Islam di sana (sebagai pengarah Yayasan Islam di Kanada). Saya dapati, warga Kanada yang majoritinya bukan Islam, namun sifat toleransi dan keterbukaan mereka cukup tinggi. Mereka mampu berlapang dada dalam menerima pendapat orang lain, sedangkan kita yang hidup dalam negara Islam, yang mana Islam mnganjurkan sifat keterbukaan, namun kebanyakkannya bersikap jumud dan menolak pendapat orang lain dan menyalahkannya. Ini satu perkara yang bertentangan dalam memahami nas-nas Islam itu sendiri. Ini satu fenomena yang amat pelik dan bercanggah dengan kefahaman Islam itu sendiri.
            
Sehinggakan, pengalaman saya sendiri, bersama dengan seorang ahli ilmu di tempat saya. Beliau tidak mampu menerima kehadiran saya sendiri. Lalu, saya katakan kepadanya: "Lupakanlah saya ini dari jemaah mana dan kamu dari kelompok mana. Itu tidak boleh melahirkan perpecahan, jurang dan permusuhan. Cukuplah kamu menerima saya paling tidakpun selaku saudara seislamu" Beliau katakan: "Tidak boleh! Kamu dari kelompok fulan…"  Lalu saya menjawab: "Cukuplah dari perpecahan. Itu perkara khilaf. Bukankah zaman para sahabat juga ada khilaf, namun mereka masih menerima sesama mereka atas dasar ukhuwah Islamiah. Adakah kamu lebih baik dari para sahabat untuk menjadikan khilaf itu punca perpecahan?" Lalu beliau pun senyap.

Inilah yang perlu dijauhi khususnya oleh para penuntut ilmu, apatah lagi para ulama' yang mulia. Pertanyaan saya ialah, adakah kemusnahan umat Islam dan keterbelakangannya adalah natijah daripada kejahilan atau daripada natijah ilmu tanpa taqwa?

Fenomena hari ini memaparkan bahawasnya, golongan yang memadamkan kesucian Islam bukanlah dari kalangan orang yang jahil, tetapi dari kelompok golongan ilmuan.

Kejatuhan ekonomi umat Islam berpunca dari golongan ilmuan. Kejatuhan moral umat Islam berpunca dari golongan ilmuan Kejatuhan sektor politik umat Islam juga berpunca dari golongan ilmuan.

Musibah kita hari ini adalah, lambakan ilmu tetapi kecetekan taqwa dan takut kepada Allah s.w.t.. Masalah kita bukanlah pada ilmu pengetahuan itu sendiri, kerana sudah wujud pelbagai institusi pendidikan di negara-negara Islam, malah Al-Azhar merupakan institusi pendidikan yang tertua di dunia. Orang-orang Islam yang hidup di negara barat juga antara yang berjaya dalam masyarakat barat itu sendiri.

Oleh yang demikian, kita perlulah menyerapkan nilai-nilai taqwa dalam ahli ilmu terlebih dahulu, seterusnya dapat menjadi pemangkin bagi menerap nilai ketaqwaan dalam masyarakat awam Islam secara umumnya. Inilah manhaj yang diperlukan.

Kita memerlukan satu revolusi baru dalam manhaj tarbiah umat Islam di abad ke-21 ini. Manhaj tarbiah abad ke-21 sudah tentu tidak sama secara mutlak dengan manhaj tarbiah pada kurun ke -9 dan kurun ke-10. Beban dan cabaran di abad ini berbeza dengan bebanan dan cabaran di abad-abad terdahulu. Kalau tiada anjakan dalam metodologi tarbiah dan dakwah, maka kita (umat Islam) akan menjadi pemimpin dunia ke arah kemunduran dalam aspek ketamadunan.

Kerosakan umat berpunca daripada ilmu yang tidak diseiringkan dengan pembentukan akhlak, tarbiah dan ketaqwaan dalam ahli lmu sendiri. Hal ini berpunca dari pengaruh Sekularisme ilmu kebendaan yang menghalalkan segala yang membawa kepada keuntungan (falsafah Pragmatisme). Maka, dari sinilah punca musibah umat dan ahli ilmu itu sendiri.

Hatta, zaman ini, ada orang sanggup membeli sijil untuk mendapat sesuatu kepentingan duniawi. Bahkan, ada yang sanggup membeli sijil kelayakan dalam bidang ilmu agama untuk mendapat keduniaan dengan cara mudah, tanpa mahu belajar. Kalau inilah inilah penuntut ilmu, maka di mana nilai ilmu itu sendiri?

Sempena bulan yang mulia ini, hendaklah kita memperbaiki diri agar dapat bersesuaian dengan Nabi s.a.w. dari sudut perkataan, perbuatan mahupun hal hati. Suka saya akhiri ucapan ini dengan beberapa fokus penting iaitu:

Pertama: Cintailah kemuliaan dan maruah kehormatan diri sebagai penuntut ilmu, sebelum mencari ilmu. Janganlah kamu cemari maruah kamu sebagai ahli ilmu dengan menjual agama untuk kepentingan dunia. Ia akan meruntuhkan kehormatan diri kamu sebagai ahli ilmu dan menjatuhkan maruah ilmu itu sendiri.

Kedua: Percayalah bahawasanya, Allah s.w.t. tidak pernah menciptakan kamu untuk mensia-siakanmu. Ingatlah kata-kata Sidi Ibn 'Ato'illah: "Dia yang bakal memberikanmu nikmat imdad (bantuan untuk terus hidup), ialah Dia yang pernah memberikan kepadamu nikmat ijad (mewujudkan kamu dari tiada kepada ada). Yakinlah kepada Allah s.w.t. kerana padanya ada kerehatan.

Saya dapati selama ini, semalas-malas golongan yang menuntut ilmu, adalah golongan yang menuntut ilmu agama secara umumnya, walaupun tidak semua, tetapi kebanyakkannya.

Suka saya selitkan sebuah kisah dari pengalaman saya sendiri, sebagai iktibar untuk kita semua, sebelum saya menutup ucapan saya ini.
             
Saya pernah menziarahi satu institusi pengajian di sebuah tempat. Saya ada dua sesi ucapan dan ta'lim dalam dua fakulti yang berbeza, pada waktu yang berasingan.
             
Pada mulanya, saya memberi ta'lim di fakulti kejuruteraan dan fakulti perubatan. Saya dapati, yang hadir dalam dewan tersebut, melimpah ruah, terlalu ramai, yang mana rata-ratanya adalah dari kalangan penuntut ilmu kejuruteraan dan perubatan.
         
Namun, apabila saya menghadiri sesi ucapan dan ta'lim di dewan fakulti syariah, pada waktu yang berbeza, saya dapati tidak sampai satu perempat daripada kawasan dewan itu yang penuh, sedangkan penunut ilmu dalam fakulti tersebut sepatutnya lebih ramai dari fakulti sebelum ini.
             
Hakikatnya, golongan yang mempelajari ilmu kejuruteraan dan sebagainya, sanggup datang menghadiri majlis ilmu agama kerana merasa kekosongan dan jahil mengenai agama, dan berusaha untuk memahaminya dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Oleh yang demikian, maka kehadiran mereka di luar jangkaan. Akhirnya, mereka berjaya menghimpunkan kedua-dua bidang ilmu, iaitu ilmu duniawi dan ilmu agama sekaligus, dalam usaha untuk mengamalkan agama itu sendiri.
             
Adapun golongan yang mengaji ilmu syariah, maka kebanyakanya sudah merasakan diri mereka mengetahui segala-galanya berkaitan dengan agama, untuk tidak ingin menghadiri majlis-majlis ilmu tidak rasmi, kerana merasa cukup apa yang dipelajarinya dalam bilik kuliah semata-mata. Matlamat mereka hanyalah, ingin lulus periksa lalu mendapatkan sijil, kemudian setelah konvokesyen, pulang ke kampung dan mencari kerja, dengan ilmu agama tersebut.
             
Neraca dan pertimbangan sudah tidak seimbang, bagaimana kita boleh mengharapkan natijah umat yang gemilang?
             
Nasihat terakhirku buat penuntut ilmu, janganlah sesekali kamu semua terjebak kepada budaya berbual dalam perkara yang sia-sia sering berdebat dalam masalah-masalah khilafiyah yang membuang waktu kamu sebagai penuntut ilmu.
             
Isilah masa kamu sebaiknya dengan menuntut ilmu dan janganlah dibazirkan dengan perdebatan yang tidak pernah berkesudahan. Ini kerana, amanah kamu untuk menyebarkan agama Islam ini, dan ilmu-ilmunya. Oleh yang demikian, kumpulkanlah sebanyak mungkin agar kamu dapat memberi manfaat kepada umat Islam.         

Semoga Allah s.w.t. mengembalikan kita kepada petunjukNya, membantu kita dalam usaha dakwah menujuNya, membaiki kelemahan kita, mengampunkan dosa keterlanjuran kita, memberi keberkatan kepada kita dan kepada umat Islam, dengan berkat hari yang mulia ini, dengan bertawassul kepada Nabi Muhammad s.a.w. agar Allah s.w.t. menghimpunkan kita pada apa-apa yang membawa kepada keredhaanNya.

Wallahu a'lam…Wassalamu 'alaikum warahmatuLlah…

Disusun dan Diterjemah dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: 
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Qadir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

KeFAQIRAN Manusia di Sisi ALLAH : SEJAUH MANA PENGHAYATANNYA

Gambar hiasan
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua fuqoro' (faqir dan memerlukan) kepada Allah dan sesunggguhnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu) lagi Maha Terpuji" (Fatir: 15).

Seluruh makhluk pada hakikanya memerlukan Allah s.w.t. sebagai sumber kehidupan dan sumber kesinambungan kehidupan mereka. Allah s.w.t.-lah yang menjadikan manusia khususnya, dan seluruh makhluk amnya, dan Dialah yang memberikan sebab-sebab untuk mengekalkan kehidupan makhluk tersebut sehingga tiba tempoh masa yang tertentu, untuk kesudahan hidup mereka.

Adapun nikmat diciptakan oleh Allah s.w.t. dipanggil sebagai nikmat ijaad (penciptaan). Allah s.w.t.-lah yang menciptakan seluruh makhluk daripada tiada kepada ada, tanpa sebarang contoh sebelumnya, tanpa berhajat kepadanya, hanya semata-mata untuk menzahirkan keEsaan dan keagunganNya.
            
Seterusnya, Allah s.w.t. menjaga kesinambungan kehidupan dan kewujudan makhluk tersebut dengan pelbagai asbab-asbab untuk menjamin kelangsungan kewujudan mereka. Allah s.w.t. menjadikan nikmat-nikmat seperti makanan, minuman, tempat tinggal, perlindungan, pakaian dan sebagainya, untuk meneruskan kelangsungan hidup manusia khususnya, dan memelihara manusia daripada kebinasaan. Nikmat Allah s.w.t. dalam menjaga kesinambungan kehidupan dan kewujudan makhluk ini dikenali dengan nikmat imdad (bantuan).

Jadi, manusia yang merupakan antara makhluk-makhluk Allah s.w.t., pasti memerlukan Allah s.w.t. sebagai sumber asal kewujudan mereka dan sumber kelansungan kewujudan mereka.

Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyah r.h.l. berkata: " Sesungguhnya, kafaqiran itu ada DUA:

"Pertama: Kefaqiran Tanpa Pilihan: Iaitu, kefaqiran yang am, yang merangkumi orang-orang mulia dan fasiq. Ia tidak membawa kepada sebarang pujian atau celaan, tidak membawa kepada ganjaran mahupun siksaan, kerana ia merupakan suatu kefaqiran kepada Allah s.w.t. yang lazim bagi makhluk yang bersifat lemah.

Setiap makhluk pada hakikatnya lemah dan memerlukan Allah s.w.t. untuk terus hidup di dunia ini.

"Kedua: Kefaqiran Pilihan: Ia merupakan natijah bagi dua faktor iaitu: faktor MakrfatuLlah (mengenal Allah) dan makrifatun Nafs (mengenal diri)."

Setiap kali seseorang manusia mencapai makrifatun Nafs dan makrifatuLlah ini, akan terbit di  hatinya rasa kefaqiran dan memerlukan kepada Allah s.w.t., dan hanya kepadaNyalah, kembalinya kefaqiran dirinya.

Sesiapa yang mengenal dirinya sebagai makhluk yang lemah, pasti mengenali Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa. Ketika itu, timbul nisbah antara dirinya dengan Tuhannya, dengan nisbah kefaqiran (Al-Iftiqor). Pada ketika itu, dia mula mengakui akan keperluan dirinya hanya kepada Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam kekuasaanNya.

Inilah hakikat kekayaan dalam diri seseorang, seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya, kaya ialah, kaya jiwa". Seseorang yang sudah merasai dirinya memerlukan Allah s.w.t., dan bergantung kepada Allah s.w.t. semata-mata, maka, dia telahpun keluar dari kepompong asbab (sebab-musabbab) dan keluar dari hijab makhluk di sekelilingnya.

Sesungguhnya, manusia pada asalnya merupakan makhluk yang lemah, dan menyaksikan serta mengakui kelemahan dirinya serta betapa dirinya kepada Allah s.w.t..

Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi para hambaNya, menganugerahkan kepada manusia, pelbagai nikmat imdadNya, untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Maka, Allah s.w.t. memberikan nikmat-nikmat seperti makanan, minuman, perhiasan, pakaian, tempat tinggal dan segala nikmat maknawi kepada mereka (seperti nikmat usaha, kekuatan, kepandaian, kecerdasan, kesihatan, syahwat dan sebagainya), dalam rangkan untuk menjadikan ianya sebagai asbab untuk mereka meneruskan kehidupan mereka. Itu semua merupakan anugerah dari Allah s.w.t..

Namun, setelah pelbagai nikmat yang dikurniakan kepada manusia, kilauan nikmat-nikmat tersebut mengaburi pandangan manusia, sehingga akhirnya merasakan, segala kenikmatan yang dimilikinya daripada hasil usaha dirinya. Bahkan, dia merasakan, dirinya sememangnya mempunyai kuasa mutlak, yang memang lahir dari dirinya semata-mata. Dialah yang bekerja lalu mendapatkan duit dan harta. Dialah yang berusaha sehingga berjaya mendapatkan kekayaan dan perhiasan dunia. Dialah yang merancang dan mentadbir kehidupannya sehingga mampu membentuk sebuah kehidupan yang bahagia. Segala nikmat tersebut dirasakan milik mutlaknya dan hasil dirinya, tanpa menyedari, bahawasnya, Allah s.w.t.-lah yang selama ini menyampaikan nikmat-nikmat tersebut kepadanya, demi menjamin kehidupannya.

Dia seperti makhluk yang lain, yang merasakan dirinya terasing dan berperanan, bebas dari sebarang ketergantungan kepada selain daripada dirinya, sehingga timbul rasa, dirinyalah yang berhak untuk terus hidup, dan dirinyalah yang berkuasa mutlak kepada kehidupannya. Pada ketika itu, manusia mula mengkufuri nikmat Allah s.w.t. dan melupakan Allah s.w.t., yang merupakan sumber di sebalik kenikmatan yang diperolehinya.

Si miskin (manusia) ini menyangka, dirinya mempunyai kuasa di samping kuasa Allah s.w.t. dalam alam ini, kerana sekurang-kurangnya merasakan, dirinya mempunyai peranan dalam menguruskan kehidupannya, bebas dari campur tangan sesiapa. Ini merupakan hakikat pendakwaan, bahawa dirinya sudah menjadi tuhan, di samping Allah s.w.t. yang mentadbir seluruh alam.

Dia lupa, bahawa dia wujud juga hasil dari ciptaan Allah s.w.t., dan dia juga lupa, betapa dia sebenarnya memerlukan Allah s.w.t. dan lemah seperti suatu ketika dahulu. Hanya, kilauan kenikmatan memukau pandangan hatinya, daripada melihat semua yang dimilikinya daripada Tuhannya, sehingga akhirnya menisbahkannya kepada dirinya.

Inilah sifat Iblis dan Qorun, serta mereka yang mengikuti jejak langkah kedua-duanya, dari kalangan manusia. Merekalah golongan yang mengkufuri nikmat Allah s.w.t. takkala tidak mensyukuriNya dan tidak menjadikan kehidupannya sebagai wadah ketaatan dan kehambaan kepadaNya.

Allah s.w.t. merakamkan sifat lupa diri ini di dalam Al-Qur'an takkala menceritakan tentang Qorun sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"(Telah berkata Qorun):  Sesungguhnya, aku mendapat kekayaan ini, kerana ilmuku semata-mata" (Al-Qashash: 78)

Setelah mendakwa rububiyah (ketuhanan diri) dengan menisbahkan kekayaan daripada hasil usaha diri sendiri tanpa mengaitkannya dengan pemberian daripada Allah s.w.t., lalu Allah s.w.t. memperkenalkan hakikat rububiyah (ketuhanan) yang sebenar, yang hanya merupakan milikNya semata-mata, kepada Qorun yang lupa daratan, dengan menenggelamkan Qorun ke dalam muka bumi.

Pada peristiwa itu, Allah s.w.t. seoalah-olah mencabar Qorun, supaya menunjukkan hakikat sebenar ilmunya kepadaNya, takkala mendakwa dirinyalah yang meneruskan kelangsungan hidupnya dengan ilmunya.

Pada ketika Qorun ditenggelamkan ke dalam muka bumi, Allah s.w.t. seakan-akan mengherdik Qorun dengan berfirman dalam lisan hal (keadaan yang berlaku): "Wahai Qorun yang merasakan dirinyalah yang meneruskan kelangsungan hidupnya dengan keupayaan dirinya sendiri, tanpa merasakan ianya dari nikmat Tuhannya. Pada saat ini, silalah buktikan, keupayaan dirimu untuk menyelamatkan diri daripada ketentuanKu, dalam menenggelamkanmu, jika sememangnya kamu benar-benar berkuasa dengan kuasa yang tersendiri!"

Pada ketika itu, tiada lagi guna penyesalan, setelah Allah s.w.t. mencabar "ketuhanan" diri manusia yang leka, dengan ketuhananNya yang mutlak dan Esa, dan itulah akibat bagi mereka yang mendakwa ketuhanan diri di samping ketuhanan Allah s.w.t. yang mutlak, takkala menisbahkan segala nikmat kepada dirnya tanpa mengembalikan rasa syukur kepadaNya yang merupakan sumber nikmat imdad tersebut.

Mereka yang tidak merasakan dirinya memerlukan Allah  s.w.t. semata-mata, dalam segala hal, dan merasakan cukuplah bergantung kepada diri sendiri, maka merekalah orang yang mencabar Allah s.w.t.. Tiada yang pernah mencabar Allah s.w.t. melainkan pasti akan dikalahkan oleh Allah s.w.t., dalam membuktikan KetuhananNyalah yang hakiki.

Apabila seseorang mengenali hakikat diri, yang merupakan makhluk ciptaan Allah s.w.t., pasti pada ketika itu merasai bahawasnya, dia datang daripadaNya, dan hanya kepadaNyalah dia akan kembali. Dari situlah, terdetik rasa diri hanya memerlukan Allah s.w.t., kerana Dia yang memberikan nikmat ijaad (penciptaan), Dialah juga yang sebenarnya memberikan nikmat imdad (meneruskan kelangsungan hidup), bak kata Imam An-Nablusi r.a.: "Sesungguhnya, yang menyirammu untuk terus subur ialah, Dia yang menanam dan menyemaimu suatu ketika dahulu."

Maka, dengan demikianlah, timbul rasa diri memerlukan Allah s.w.t., dan hanya kepadaNyalah, rasa ketergantungan dan pengharapan. Dari rasa memerlukan kepadaNya semata-mata inilah, akhirnya melahirkan rasa kehambaan kepadaNya seterusnya menyebabkan seseorang hamba bersifat rendah diri kepadaNya dan mensyukuriNya di atas segala nikmat yang dimilikinya.

Sheikh Ibn Qayyim berkata dalam buku Toriq Al-Hijratain (m/s 30) berkata: " Makhluk yang paling sempurna ialah makhluk yang paling merasakan kehambaan dirinya, dan paling menyaksikan dan mengakui kefaqiran dirinya di hadapan Allah s.w.t."

Lihatlah bagaimana, Saiyyidul Khalq (penghulu bagi sekalian makhluk) Saidina Rasulullah s.a.w. sentiasa menzahirkan rasa memerlukannya di hadapan Allah s.w.t. dalam setiap keadaannya, seperti yang digambarkan dalam doa Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Wahai Tuhanku. Baikkanlah segala urusanku. Janganlah serahkan ketergantungan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata, ataupun kepada sesuatu dari kalangan makhlukMu" (hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Abu Daud dan Imam Ibn Hibban).

Dalam doa ini, ada rahsia ketergantungan agung Nabi Muhammad s.a.w. kepada Allah s.w.t. dan penyaksian kepada keesaan Allah s.w.t. dalam menjadi sumber kebahagiaan dan tempat pergantungan mutlak dan hakiki.

Rasulullah s.a.w. juga pernah mengakui kehambaan diri Baginda s.a.w. yang mulia dengan bersabda kepada para sahabat r.a.: "…Sesungguhnya, aku adalah hamba. Maka, katakanlah (tentangku bahawasanya aku): hamba Allah dan Rasul Allah  (hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Ahmad).

Maka, kadar kehambaan diri dan penyaksian akan kefaqiran diri kepadaNya, sesuai dengan kadar makrifatuLlah dan makrifatun Nafs seseorang kepada Allah s.w.t..

Oleh yang demikian, hendaklah seseorang muhasabah diri dengan merasakan diri sebagai insan yang Maha Lemah, sehingga akhirnya mengakui diri memerlukan tempat pergantungan. Pada ketika itu, diri yang lemah pasti akan menghalakan fokus kepada Tuhan yang pernah menciptakannya daripada tiada, kepada ada, sebagai tempat pergantungan abadi, kerana Dia yang menanam, Dialah yang akan membajai dan menyiramnya. Dari sinilah, timbulnya kefahaman bahawasanya, Dialah AAllah, yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana, yang merupakan satu-satunya tempat pergantungan.

Pada ketika itu, timbul sebuah jambatan yang menghubungkan antara dia dengan Tuhannya, iaitu jambatan kehambaan, takkala rasa diri memerlukanNya, hanya Dia semata-mata.

Jangan tertipu dengan kenikmatan, jangan tertipu dengan sebab dan musabbab, kerana ia diciptakan untuk kamu, sedangkan kamu diciptakan untuk Allah s.w.t.. Bergantunglah hanya kepada Allah  s.w.t., penyebab hakiki, bukan kepada makhluk yang merupakan sebab-musababbab, yang merupakan alat-alat Allah s.w.t. dalam menyampaikan nikmatNya kepada kita, kerana sesiapa yang bergantung kepada asbab, asbab itu "patah tumbuh, hilang berganti". Ia tidak kekal. Sesiapa yang bergantung kepada asbab, maka, takkala lenyap asbab, dia akan kebingungan, kebimbangan dan kekalutan.

Namun, sesiapa yang bergantung kepada Allah s.w.t., nescaya dia akan kekal bersama keabadian Allah s.w.t., dalam penyaksian kebersamaan abadi. Jika terputus asbab darinya sekalipun, dia tetap tenang, kerana ketergantungannya bukan kepada asbab, tetapi kepada Allah s.w.t.. Dengan demikian, dia melihat, ada atau tiadanya asbab dalam kehidupannya, hanya sekadar sebagai suatu interaksi Allah s.w.t. kepadanya semata-mata. Ada asbab itu suatu interaksi dan penjelmaan sifat-sifat Jamal (kecantikan) Allah s.w.t. kepadanya dan tiada asbab itu suatu interaksi dan penjelmaan sifat-sifat Jalal (keagungan) Allah s.w.t. kepadanya. Dia antara dua hal, juga, iaitu, menyambut penjelmaan Jamal Allah s.w.t. dengan kesyukran dan menyambut Jalal Allah s.w.t. dengan kesabaran, yang meurpakan buah daripada keredhaannya kepadaNya, yang pada hakikatnya (keredhaannya kepadaNya) merupakan buah keredhaanNya kepadanya.

Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: 
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Kabir Al-Qadir 
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Sumber:
Prev: Artikel "Tafwidh...Apa Itu Tafwidh": Perbahasan dan Penolakan

Sabtu, 29 September 2012

BERTEMU CINTA DALAM CINTA

Padang Arafah
Arafah. Padang yang menyaksikan sejarah cinta sulung Adam dan Hawa bertemu.

Mewarisi ujian cinta di padang pasir, Ibrahim meninggalkan teman setianya Hajar dan buah hatinya, Ismail semata kerana Yang Esa. Sekilas wajah Yusuf, bertaut tulus cintanya Zulaikha beralih kepada Cinta Yang Maha Sempurna.

Tatkala Kerajaan Cinta antara Sulaiman dan Balqis bersemi dek Cinta Yang Memiliki Kerajaan langit dan bumi turut bersatu. Terpateri Cinta Agung Muhammad  cintanya untuk isteri dan ummat yang dikasihi, meresap ke dalam hati-hati sehingga tiba belabuh ke hati. Demikianlah sekeping hati setiap insan sehingga ke hari ini tidak pernah kering menerima warisan cinta itu.

Subhanallah... Madah cinta itu sungguh seni dan puitis.. Kehadiran cinta yang semenjaknya di syurga mana mungkin boleh ditolak oleh hati sedangkan ia adalah kurniaan Ilahi, anugerahnya kepada hambaNya untuk menyempurnakan fitrah kejadian insani.

Fitrah ingin dicintai dan mencintai. Andai hati ini tidak meminta untuk melintasinya, atau sekalipun membungkam seribu doa, malah mengalihkan pandangan, dan mengunci bicara, ia tetap ada, wujudnya sedia di batas hati setiap jiwa. Kadangkala tanpa sedar, tanpa paksaan ia hadir.

Adakah ini cinta? Tunggu sekejap! Wahai hati yang hidup dengan suluhan iman...Berhati-hati, jangan tertipu oleh penipu profesional iaitu nafsu dan bisikan syaitan! Keluarkan senjatamu.. DOA. Ya itulah senjata mukmin. Maka berdoalah!

"Ya Allah, aku berlindung kepada kalimatMu yang sempurna, dari apapun kejahatan yang Engkau ciptakan." -Amin Ya Rabb-

Seutama-utama cinta itu adalah Allah. Dia Yang menciptakan Cinta, maka cintanya adalah yang pertama dan utama.  Dialah yang selayaknya dicintai. Allah pasti membalas cinta itu dengan sifatnya Yang Maha Mengasihi.

Hingga hujung nyawa,
Aku tetap ingin menjadi pencintaMU,
Inginku isi rongga-rongga rindu ini,
Dengan madu cinta Pencipta Cinta,
Setiap hela nafas mengalir suci namaMU,
Tersemat utuh di hati tanpa noda,
Sucinya bersih menghiasi qalbu,
Penyuluh hidup, pengukir bahagia,
Tanpanya tiadalah segalanya,
Hingga hujung nyawa,
Ku ingin tetap bersama cintaMU.

Cinta itu hakikatnya suci, kadangkala menguji hati seperti Saidina Ali dan Az-Zahra. Adanya sabar dan tabah menyulami iman menterjemahkan kesetiaan di batas waktu yang menjadi rahsia Allah. Dalam memilih cinta, ajaran nabi jadi garis panduannya. Perlu bijaksana meletak prioriti cinta antara terutama dan utama.

Cita-cita jadi mahar cinta. Harapan disampaikan melalui doa, memohon pilihanNya dalam sejadah istikharah, musyawarah menetapkan kematangan dari yang berpengalaman, restu penjaga diri tulus dipinta. Jangan dinoda oleh serakah jiwa yang lemah. Jujur pada pendirian yang tidah tergugah.

Bijak mengurus, mengawal dan menterjemah dalam bimbingan PEMILIK HATI juga perlu di ambil peduli. Meng'upgrade' diri menjadi soleh atau solehah bukan kerana si dia, tetapi berusaha menjadi soleh dan solehah semata kerana DIA. Ikhlas dan tawakal pada pilihanNYA bukti pergantungan diri mensyukuri ketetapanNya. Bila dan siapa jodoh itu, pasti bertemu cinta di Arafah RahsiaNya, kerana empunya diri yakin pada janjiNya.

"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula).... "
(Surah an-Nur ayat 26)

Taqwallah dan tulus iktikad demi REDHANYA pasti melestari ikatan ke Taj mahal Abadi.

Duhai manusia yang menyakini,
Teruslah mengemudi pelayaran dalam mengabdi dan membangun diri serta agamamu,
Usah dirimu sibuk menoleh dunia mencari raja atau permaisuri hatimu,
Masih banyak amanah dan tanggungjawab yang dikau galas,
Dunia ini hanyalah sementara,
Di sisi Tuhanmu ada yang lebih baik.
Duhai Manusia Yang Paling Bahagia,
Bukankah pergantunganmu sudah dikau letakkan kepada yang tidak akan buat dirimu kecewa,
Jika ya, usah bazirkan masamu tanpa berkhidmat kepada TuhanMu,
Bertemanlah dengan kesabaran kerana Tuhan Yang Satu,
Dia mengawasi dan menunjukimu setiap waktu,
Kerana janjiNya, bahawa Dia bersama orang yang sabar.
Duhai Manusia Yang Memiliki Ketenangan,
Hadapilah kenyataan dengan penuh keredhaan,
Dia Yang Maha Mengetahui ketetapan terbaik buatmu,
Dikau kan bahagia dengan mengingatiNya,
Kerana Dia memberikan cintaNya padamu
Bertemu cinta manusia
Dalam CINTA Agung di sisiNya.
InsyaAllah...
Bertemu cinta dalam CINTA akan kekal bahagia!


Sumber : Artikel iluvislam.com

Tujuh Kalimat Yang Mulia di Sisi Allah Perlu Di Ucapkan Setiap Hari

Kalimah Tauhid
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

            بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kehidupan seorang mukmin sentiasa dihiasi dengan akhlak Islam, lidahnya sentiasa basah berzikir dan memuji kebesaran Allah SWT. Hati dan jiwanya sentiasa reda dengan takdir Allah SWT dan bersangka baik dengan-Nya. Dalam keadaan apa sekali pun seorang mukmin perlu berdoa dan lidahnya menyebut dan memuji-muji Allah SWT tanda bersyukur dan cinta kepada-Nya. Terdapat tujuh kalimat mulia disisi Allah dan malaikat, bila diucapkan maka Allah SWT  akan mengampunkan segala dosa-dosanya.

Sabda Rasulullah SWT yang maksudnya : " Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan malaikat serta diampun dosa-dosanya walau sebanyak buih laut :

1. Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2. Mengucap 'Alhamdulillah' pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
3. Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok.
4. Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
5. Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
6. Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah.
7. Mengucap 'La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah' sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya "

Jika kita amalkan dan faham fadilat dan hikmah yang terdapat di dalam kalimah-kalimah yang mulia ini sehingga Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa kita walaupun sebanyak buih-buih dilaut.

Kalimah-kalimah tersebut adalah seperti berikut :

Pertama :Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

Sebelum hendak memulakan sesuatu pekerjaan membacalah Bismallah. Bismallah adalah sebutan atau nama singkat dari lafaz "Bismillahir rohmanirrohim" yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya :
1. "Tiada daripada seorang hamba yang membaca "Bismillahir rohmanirrohim" melainkan hancurnya syaitan seperti hancurnya timah diatas api".

2. " Barangsiapa yang membaca "Bismillahir rohmanir rohim" nescaya Allah akan ampunkan dosanya yang terdahulu".

3. "Barangsiapa membaca "Bismillahir rohmanir rohim" ditulis namanya daripada kalangan orang-orang yang benar pada taatnya dan dilepaskan daripada sifat kufur dan nifaq (kafir dan munafiq)".

4. "Sesungguhnya syaitan menganggap halal makanan yang tidak disebutkan nama Allah padanya."
(Hadis Riwayat Muslim)

5. " Barangsiapa ingin diselamatkan Allah dari malaikat Zabaniahyang berjumlah sembilan belas, hendaklah ia membaca"Bismillahirrohmanir rohim" Allah akan jadikan setiap hurufnya perisai untuk setiap malaikat Zabaniah."

6."Barangsiapa yang membaca "Bismillahir rohmanir rohim" sebanyak 21kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan,kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala."(Semuanya dengan izin Allah SWT)

Kedua : Mengucap 'Alhamdulillah' (segala pujian bagi Allah) pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

Tanda kita bersyukur kepada segala nikmat yang telah Allah kurniakan hendaklah sentiasa memuji Allah SWT dengan mengucapkan "Alhamdulillah"

Firman Allah SWT  maksudnya : "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)" (Surah Al-Baqarah: Ayat 152)

Ingatlah! Semua yang Allah berikan pada kita atas dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Allah boleh tarik semuanya dalam sekelip mata, jika kita tidak pandai nak bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita selama kita hidup di dunia, lagi pun kehidupan di dunia ini juga adalah sementara. Kehidupan yang kekal adalah di hari akhirat.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Pertahankanlah dirimu dengan keempat-empat kalimah ini (subhanallah,walhamdulillah, walailahaillallah, wallahuakbar : Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, dan tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar), semoga kamu dilindungi daripada Jahannam.Kerana kalimah-kalimah ini akan melindungi pembacanya daripada kanan, kiri, belakang dan bahagian hadapan. Dan kalimah-kalimah ini adalah kebajikan-kebajikan yang kekal selama-lamanya."

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah dan setiap tahlil ialah sedekah dan setiap lafaz takbir adalah merupakan sedekah. "

Ketiga : Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok.

Istighfar bermaksud memohon kemaafan. Dan kita digalakkan untuk beristighfar sekurang-kurangnya dengan menyebut 'Astagfirullahaladzim' bersama rasa menyesal di hati.Amalan harian Rasulullah dulunya beristighfar 100kali untuk mengelakkan lidahnya daripada menuturkan kata-kata buruk.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Keempat : Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari beberapa orang penduduk Mekah datang berjumpa dengan Nabi SAW. untuk bertanyakan mengenai hal roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Dzulkharnain. Nabi SAW. lalu menjawab, "Datanglah pada esok pagi agar aku dapat menjawabnya, " .

Keesokan harinya wahyu tidak turun kepada Nabi SAW. hatta baginda gagal menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan itu. Dan tentu sahaja kegagalan ini menjadi bahan cemuhan orang-orang kafir.

Ketika itu turunlah ayat 23 dan 24 dari Surah Al-Kahfi yang menegur perbuatan baginda itu.

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' Insya Allah ' . Dan ingatlah kepadaTuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini '. " (Surah Al-Kahfi ayat 23-24)

Perkataan 'InsyaAllah ' membawa erti jika Allah mengkehendaki. Ini menunjukkan bahawa kita sebagai manusia terbatas daripada mengetahui apa yang bakal  berlaku pada masa ke depan. Jika kita sebagai makhluk punya rencana atau perancangan, Allah pula sebagai Khalik punya segala kuasa. Dengan demikian ucapan ' Insya Allah ' menunjukkan kepada kerendahan hati kita sebagai seorang hamba dan sedar dengan segala kekuasaan Allah terhadap makhlukNya. Atas dasar itulah Nabi SAW. sendiri pun ditegur oleh Allah SWT. bila alpa daripada mengucapkan yang demikian.

Kelima : Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

Lahawla wala quwwata illa billah merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah Syurga, ia merupakan penyembuh untuk 99 jenis penyakit, sekurang-kurangnya penyakit dukacita, kesedihan dan kerisauan.

Berkata Abdullah bin Masud r.a, pernah seketika beliau bersama Rasulullah SAW. dan dia mengucapkan 'La hawla wala quwwata illabillah'."Baginda SAW. bertanya:"Apakah kamu mengetahui maksudnya?","Aku menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui"

Baginda SAW. menerangkan maksudnya :"Ia bermakna tidak ada sesiapa yang mempunyai daya keupayaan untuk memelihara dirinya daripada menderhakai Allah melainkan dengan pertolongan dan perlindungan dari Allah, dan tidak ada sesiapa pun mempunyai daya keupayaan untuk mentaati dan beribadat kepada Allah tanpa bantuan dan petunjuk daripada Allah.

Tidak ada daya keupayaan untuk mengelak daripada menderhakai Allah melainkan dengan perlindungan dan pertolongan Allah dan tidak ada daya keupayaan untuk mentaati dan menyembah Allah melainkan dengan pertolongan dan petunjuk daipada-Nya, dan tidak ada tempat perteduhan yang selamat daripada kemurkaan Allah melainkan Allah"

Dalam riwayat yang lain, "Kami bersama Nabi SAW. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka baginda mengatakan: 'Wahai manusia kasihilah diri kalian, kerana kalian tidaklah menyeru Dzat yang tuli atau jauh, akan tetapi Ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. 'Lalu baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: 'La hawla wala quwwata illa billah.'Lalu baginda mengatakan: 'Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkan La hawlawala quwwata illa billah. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaanyang tersimpan di syurga.' Atau beliau mengatakan:'Tidakkah kamu mau aku tunjuki salah satu harta kekayaan di syurga? Lahawla wala quwwatailla billah'." (Hadis Riwayat Bukhari )

Keenam : Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah.

Allah SWT. berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah SAW  pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Mengucap 'La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah' sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya "

"Dari Ubadah bin ash Shaamiti Rasulullah pernah bersabda yangbermaksud.."Barangsiapa bersaksi mengatakan LailahaillahMuhammadarrasulullah (Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah) maka Allah akan mengharamkan Neraka baginya.."

Rasulullah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang berkata kalimah LAILAHAILLAH MUHAMMADARRASULULLAH  sebanyak 100 kali maka tatkala ia datang di hari kiamat dengan wajahnya seperti bulan purnama."

"Rasulullah pernah bersabda maksudnya : "Pernah pada suatu hari, sedang Nabi duduk dalam keadaan susah, maka datang Jibrail kepadanya lalu berkata. 'Wahai Muhammad, apa erti kesusahan, sedangkan Allah s,w,t telah memberikan kepada umatmu lima perkara dan ia belum pernah memberikan kepada seorang sebelum engkau iaitu :

1. Allah berfirman yang bermaksud " Aku disisi hambaKu ialah Aku mengikut sangkaannya terhadapKu dan Allah tidak menyalahi sangkaan hamba terhadap-Nya."

2. "Barangsiapa yang menutup keaiban orang lain di dunia. Maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

3. "Tidak ditutup pintu taubat ke atas umat engkau, selagi mana nyawanya belum sampai ke kerongkong"

4. "Barangsiapa datang kepada Allah dengan membawa dosa sepenuh bumi maka jika ia menyebut LAILAHAILLAH MUHAMMADARASULULLAH , maka nescaya Allah akan mengampuninya."

5. "Allah s.w.t menghapuskan dosa-dosa mereka yang sudah mati dengan sebab do'a orang-orang yang masih hidup."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah amalkan tujuh kalimat yang mengandungi fadilat dan hikmah yang sungguh besar dan bermanfaat untuk kita di dunia dan akhirat. Setiap kali kita menyebutnya yakinilah kita akan mendapat rahmat dan keampunan dan ada ganjaran yang besar di sediakan oleh Allah SWT tanda kita bersyukur dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT

Sumber: http://abubasyer.blogspot.com

MAKANAN PENGARUHI AKHLAK


Norkumala Awang

Gambar hiasan aje...
Sumber rezeki haram boleh sebabkan hati ‘kotor’, hidup tidak tenteram

Imam Ghazali berkata, “Jika kita ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.”

Betapa ramai umat Islam terperangkap dalam dilema pemilihan makanan. Bukan sekadar makanan daripada unsur haram tetapi cara untuk mendapatkan makanan juga haram tanpa disedari secara sengaja atau tidak.
Tidak ada orang Islam yang sanggup memakan babi, justeru ia dielakkan tetapi masih ramai yang makan makanan dibeli dengan wang hasil daripada menipu, memeras ugut, curi tulang, rasuah dan menzalimi hak orang lain.

Kadang-kadang, perkara seumpama ini masih tidak memberi apa-apa kesan buat si pencari nafkah dalam sesebuah keluarga. Mereka merasakan sumber sebegitu langsung tidak akan menjejaskan kesihatan yang nampak secara zahirnya.

Walhal aspek itu yang patut didahulukan kerana ia bakal membentuk peribadi dan akhlak seseorang. Keberkatan itu tidak akan nampak secara zahir, tidak dapat dirasakan oleh hati yang telah dikotori sifat mazmumah dan dosa pahala tidak dapat dimengertikan kerana tiada sebarang kesan kelihatan.

Hati yang lalai akan berterusan dikotori dengan sumber rezeki haram tanpa sedikit pun penyesalan.
Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baik hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad namun, jika hati jahat maka jahatlah seluruh diri manusia.

Justeru, berhati-hatilah dengan apa yang kita makan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana kita mendapatkan makanan. Apa yang kita makan dan cara kita mendapatkannya akan menentukan secara dasarnya persoalan hidup serta nasib di akhirat kelak.

Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar.

Akhirnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan yang menjadi darah daging.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

Kesedaran yang timbul mampu membantu kita memperbaiki usaha mencari nafkah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap tidak peka kita membezakan halal dan haram sumber rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berusaha mencari rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang halal dan menjaga diri daripada sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.”

Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep halal dan toyyib, perlu juga dihiasi dengan adab makan yang digalakkan dalam Islam.

Dengan itu, keberkatan dapat diraih, ia melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia serta beradab tinggi.

Follow by Email