DOA -doa Ku... Ya Allah....

... اشهد ان لا إله إلا الله وأشهد ان محمد رسول الله .....YA ALLAH...AMPUNKAN AKU ....Bimbinglah Aku di jalan -MU.. TETAPKAN AKU DALAM KASIH SAYANGMU, ......AMPUNKAN SEGALA KESALAHAN dan DOSA-DOSAKU..DOSA DAN KESALAHAN KEDUA IBU BAPAKU..DAN SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT....KUMPULKAN AKU BERSAMA PARA NABI DAN RASUL...YA ALLAH ...KEKALKAN AKU DAN KETURUNANKU DALAM ISLAM DAN BERIMAN KEPADAMU....YA ALLAH.YA ALLAH, HIDUPKAN AKU DALAM KEADAAN MERENDAH DIRI, MATIKAN AKU DALAM KEADAAN MERENDAH DIRI DAN BANGKITKAN AKU (PADA HARI QIAMAT) DI DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG MERENDAH DIRI.. استغفر الله العظيم ASTAGFIRULLAHALAZZIM....سبحان الله...SUBHANALLAH ...الحمد لله..ALHAMDULILLAH...الله أكبر..ALLAHUAKHBAR.....ALLAHUMA SOLLIALA SAYIDINA MUHAMMAD....WAALA ALIMUHAMMAD..........

Jumaat, 30 Ogos 2013

Amal Soleh mesti melalui 8 tapisan

Gambar hiasan
Amal Soleh mesti melalui 8 tapisan
http://www.almerzem.com/photos/albums/userpics/10001/normal_Pleiades_final_noiseweb.jpg

Ringkasan dari Hadis Muaz dengan Rasulullah SAW tentang Isra’ dan Mikraj:

1-Apabila amal soleh melalui langit pertama, Malaikat akan menilai agar amal soleh tersebut suci dari nilai-nilai Ghibah, atau mengumpat.

2-Apabila amal soleh tersebut berjaya melalui langit pertama, maka  Malaikat dilangit kedua telah ditugaskan agar amalan tersebut suci dari nilai-nilai Matlamat dunia, jika amalan terebut suci dan selamat dari sifat-sifat matlamat dunia , maka dibenarkan  meneruskan perjalanan dan akan naik ke langit ke tiga.

3-Semasa amal soleh tersebut melalui langit ketiga, Malaikat akan menilai dan menapis amalan tersebut agar suci dari sifat bangga diri.

4-Apabila amalan tersebut tidak memilki unsur-unsur bangga diri, maka amalan tersebut akan dibenarkan melangkah ke langit kelima, semasa amalan soleh melalui langit kelima, Allah SWT mengarahkan agar amalan tersebut dinilai agar  suci daripada nilai-nilai hasad.

5-Apabila amalan tersebut berjaya melepasi langit keempat, amalan soleh akan melalui langit kelima, semasa dilangit ke lima , amal soleh akan dinilai agar suci daripada sifat Ujub atau berbangga dengan kelebihan diri sendiri.

6-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit ke  lima, amal tersebut akan melalui langit keenam, semasa amal soleh melalui langit keenam, Malaikat yang bertugas dilangit keenam akan menilai agar amal soleh tersebut  mengandungi sifat kasihan belas kepada orang lain, tidak menzalimi orang lain dalam semua perkara.

7-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit keenam, maka amal soleh tersebut akan diarak oleh ribuan para malaikat sehingga mengeluarkan bunyi seperti lebah dan apabila sampai dilangit ketujuh, Malaikat yang menjaga langit ketujuh akan menilai agar amal soleh tersebut suci daripada sifat Riya’, iaitu amal soleh yang tidak disertakan dengan harapan agar amalannya diiktiraf oleh manusia serta disanjung dan diagung-agungkan.

8-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit ketujuh, amal soleh tersebut akan diiringi oleh ribuan para Malikat. Apabila amal soleh tersebut telah berada dihadapan Allah SWT. Malaikat berkata kepada Allah SWT dengan kata mereka : Ya Allah inilah amal yang terbaik yang telah melepasi segala tapisan, tetapi Allah SWT berfirman : Sesungguhnya masih ada lagi tapisan yang perlu dilakukan kerana Aku lebih mengetahui sesuatu amalan yang terbaik ” Maka Allah SWT akan  menilai agar amal soleh tersebut dilakukan adalah benar-benar Ikhlas demi Allah SWT”, setelah amal soleh tersebut benar-benar dilakukan kerana Ikhlas kepada Allah SWT, Maka Allah SWT bersetuju memberi pahala dan dimasukkan kedalam Syurga.

Nota: Setiap amal soleh yang tidak melepasi tapisan-tapisan para Malaikat, amal soleh tersebut akan dihumban ke muka pemilik amal soleh tersebut.

Sumber Rujukan:

Imam Abdullah bin Al Mubarak lah.a telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal: “Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w.”

Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.

Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan 7 orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama.

Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu bekata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah: “Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas.”

Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takkabur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takkabur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu: “Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub (bangga dengan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima: “Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasi aku.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut: “Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku.”

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu ialah solat, puasa, nafkhah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namaya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya: “Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu aku. Aku adalah Maha Mengetahui”.

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi”.

“PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu aku dengan amalnya ini?”
“Ia sebenarnya tidak menghendaki akan aku dengan amalan tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekelian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dan apa yang diceritakan ini?”

Sabda Rasulullah saw., “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”.

Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”

Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain”.
“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing api neraka jahanam”.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.

Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah SAW., “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar”.

Wallahu’alam….

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)

Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az-Zumar: 53)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin (hati) yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus: ayat 57).


Kata-kata hikmah, Motivasi & Nasihat


Sesuatu yang baik, belum tentu benar. Sesuatu yang benar, belum tentu baik.

Sesuatu yang bagus, belum tentu berharga. Sesuatu yang berharga/berguna, belum tentu bagus.

Fikiran yang terbuka dan mulut yang tertutup merupakan suatu kombinasi kebahagiaan.

Semakin banyak Anda berbicara tentang diri sendiri, semakin banyak pula kemungkinan untuk Anda berbohong.

Jika Anda tidak boleh menjadi orang pandai, jadilah orang yang baik.

Perbezaan antara mereka yang berjaya dengan yang lain bukanlah kerana kekurangan kekuatan atau ilmu, tetapi lebih kepada kekurangan kesungguhan dan kemahuan.

Seorang teman sejati akan membuat Anda hangat dengan kehadirannya, mempercayai akan rahsianya dan mengingati Anda dalam doa-doanya.

Doa memberikan kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian pada orang yang ketakutan.

Jika kita berbuat baik, kebaikan pula yang akan kita terima kelak.

Senyum tidak hanya akan menampilkan wajah yang cerah, namun juga menghangatkan jiwa.

carilah kesempatan dalam apa jua perkara demi keharmonian dan kesejahteraan hidup kita, yang entah bila berakhirnya. Tiada siapa tahu..

Cinta itu angkuh dan lembut. Lebih baik memiliki cinta daripada memiliki semua bintang di langit.

Yang penting bukan berapa lama kita hidup, tetapi bagaimana kita hidup.

Nasihat yang baik tidak pernah datang terlambat.

Iri hati yang ditunjukan kepada seseorang akan melukai diri sendiri.

Anda cuma boleh hidup sekali saja di dunia ini, tetapi jika anda hidup dengan benar, sekali saja sudah cukup.

Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.

Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bilapun dia tidak akan menjadi orang yang berani.

Kenangan indah masa lalu hanya untuk dikenang, bukan untuk diingat-ingat.

Rasa takut bukanlah untuk dinikmati, tetapi untuk dihadapi.

Orang bijaksana selalu melengkapi kehidupannya dengan banyak persahabatan.

Lidah anda yang menentukan siapa anda.

Diantara isi rumah tangga, anak-anaklah yang terbaik.

Cinta seringkali akan lari bila kita mencari, tetapi cinta jua seringkali dibiarkan pergi, bila ia menghampiri.

Kasihanilah musuhmu, berbuat baiklah pada orang yang membenci kamu, mintaklah berkat bagi orang yang mengutuk kamu. Berdoalah untuk orang yang mencaci kamu - confusius

Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.

Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.

Jika Anda tidak memulai hari ini dengan senyuman, belum terlambat untuk mencubanya pada hari esok.

Buka mata kita lebar-lebar sebelum menikah, dan biarkan mata kita setengah terpejam sesudahnya

Persahabatan sejati layaknya kesihatan, nilainya baru kita sedari setelah kita kehilangannya.

Seorang sahabat adalah yang dapat mendengarkan lagu di dalam hatimu dan akan menyanyikan kembali tatkala kau lupa akan bait-baitnya.

Bertemanlah dengan orang yang suka membela kebenaran. Dialah hiasan dikala kita senang dan perisai diwaktu kita susah.

Berkenalanlah dengan Allah pada waktu senang, nescaya Allah akan kenal kepada engkau pada waktu susah.

Bemuafakatlah dengan diri anda sendiri sebagaimana anda bermuafakat dengan kawan tatkala hendak menentukan arah tujuan.

Manusia yang pintar ialah manusia yang mengambil ikhtibar daripada sesuatu dilihatnya dan menerima nasihat yang didengarnya

Orang yang berakal tetapi tidak mempunyai adab, seumpama pahlawan yang tiada senjata.

kecantikkan yang abadi ialah pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan pada wajah dan pakaiannya.

Namun kita tidak akan pernah memiliki seorang teman, jika kita mengharapkan seseorang tanpa kesalahan. Kerana semua manusia itu baik kalau kita boleh melihat kebaikannya dan menyenangkan kalau kita boleh melihat keunikannya tapi semua manusia itu akan buruk dan membosankan kalau kita tidak boleh melihat keduanya.

Tak seorang pun sempurna. Mereka yang mahu belajar dari kesalahan adalah bijak. Menyedihkan melihat orang berkeras bahawa mereka benar meskipun terbukti salah.

Bila Kita mengisi hati kita dengan penyesalan untuk masa lalu dan kekhuwatiran untuk masa depan, kita tak memiliki hari ini untuk kita syukuri.

Perlukah merasa kecil dan malu dihina? Orang yang dihina itu sebenarnya memungut pahala percuma tanpa perlu bersusah payah.

Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.
(Khalifah Abdul MAlik bin Marwan)

Barang siapa yang selalu kekenyangan maka banyaklah dagingnya, dan siapa yang banyak dagingnya maka kuatlah nafsunya. Siapa yang kuat nafsunya maka banyaklah dosanya, siapa yang banyak dosanya maka keraslah hatinya dan siapa yang keras hatinya maka tenggelamlah dia dalam bencana dunia serta keindahannya

Sesungguhnya sebahagian perkataan itu ada yang lebih keras dari batu, lebih tajam dari tusukan jarum, lebih pahit daripada jadam dan lebih panas daripada bara.

Sesungguhnya hati adalah ladang, maka tanamlah ia dengan perkataan yang baik, kerana jika tidak tumbuh semuanya (perkataan yang tidak baik) niscaya tumbuh sebahagiannya

Tidak ada simpanan yang lebih berguna daripada ilmu. Tidak ada sesuatu yang lebih beruntung daripada adab. Tidak ada kawan yang lebih bagus daripada akal. Tidak ada benda ghaib yang lebih dekat daripada maut.

Jangan terlalu memikirkan pandangan orang terhadap anda, fikrikan apa pandangan anda terhadap diri anda sendiri.

Tidak ada lautan yang luas, lurah yang dalam, bulan yang tinggi dan jalan yang susah bagi orang yang mahu.

Sekali tidak berhasil bukan berarti gagal selamanya

Kebahagiaan tak kan pernah boleh dibeli dengan wang ringgit.

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina. Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya. Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain,pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah,laksana berada di atas mimbar yang terbuat dari cahaya. Mereka itu orang-orang yang berlaku adil dalam menetapkan hukum, baik kepada rakyat maupun kepada keluarga

Tiga sifat yang menyebabkan penyandangnya tidak tenteram dalam hidupnya : iri, dengki, dan akhlak buruk

Hiduplah Sesuka hatimu, Sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai siapa saja yang kamu senangi, Sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, Sesungguhnya kamu akan memperolehi balasannya.

Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan. Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan. Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan. Tidak ada kebaikan bagi shadaqah kecuali niat yang ikhlas.Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesehatan dan keamanan.

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan, Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa, Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk, Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda, Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup, Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita, Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya, Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan, Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain, Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan, Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan,menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Ilmu Dorong Beribadat Hindari Sifat Malas

Ilmu dorong beribadat hindari sifat malas -by epondok -Oleh Nurul Afiah Ab Shukor

Gambar hiasan
Malas sikap negatif yang wajib dihindari bagi mengelakkan daripada kemunduran diri. Namun, ada antara kita mungkin tidak dapat melepaskan diri daripada sikap malas yang keterlaluan. Hakikatnya, malas bukan ajaran islam sebaliknya ia adalah sikap orang munafik.

Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan yang berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batinnya dan Allah tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan diri mereka dalam munafik.
Mereka ini apabila menunaikan solat, berdiri dengan malas, hanya berniat riak untuk menunjukkan perbuatan mereka kepada manusia lain sedangkan tidak mengingati Allah sewaktu mengerjakan solat.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat paling berat orang munafik ialah solat Subuh dan Isyak. Jika mereka mengetahui apakan ganjaran pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak.”

Menurut Ibn Kathir, amalan paling baik dan paling mulia orang munafik ialah solat. Apabila mereka solat, mereka solat dengan malas kerana tiada niat, tidak beriman dengannya, tidak khusyuk dan tidak memahami maksud solat.

Doa hindari sifat malas

Oleh itu, untuk menghindari sikap malas umat Islam hendaklah menggunakan senjata orang Mukmin iaitu doa. Doa ialah ubat yang paling mujarab dan bermanfaat untuk mengubati semua bentuk ujian serta penyakit.

Nabi ada mengajarkan doa yang berbunyi: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit tua dan kesedihan, dari lemah dan malas, dari bakhil dan penakut, dan kalah dengan hutang dan kekuatan lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, lawanlah syaitan dan nafsu yang juga musuh manusia. Syaitan melatih nafsu manusia supaya menjadi malas sama ada malas beribadat atau melakukan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

Sabda Nabi SAW: “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan sambil syaitan berkata pada setiap ikatan: Malam masih panjang maka tidurlah. Apabila seseorang terjaga dari tidur, menyebut nama Allah, nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan jika ia solat nescaya terlerai semua ikatan. Maka ia bangun pada waktu pagi dalam keadaan rajin dan cergas serta baik keadaannya. Dan sebaliknya jika tidak dilakukan sedemikian untuk melerai ikatan syaitan itu. Sememangnya syaitan sentiasa mencuba untuk menipu daya dan menyebabkan manusia lalai dari perintah Allah.”

Ilmu dorong semangat beribadat

Selain itu, timbalah ilmu sebanyak mungkin kerana ilmu mendorong seseorang rajin dan bersemangat dalam hidupnya. Contohnya, ilmu mengenai fadilat dan kelebihan ibadat menjadikan seseorang itu rajin menunaikan ibadat.

Begitu juga bagi yang mengetahui ilmu fadilat serta kelebihan solat sunat yang juga sunnah Nabi Muhammad akan bersungguh melaksanakannya dengan mengharapkan keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat paling berat orang munafik ialah solat Subuh dan Isyak. Jika mereka mengetahui apakan ganjaran pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak.”

Melihat pada ganjaran yang dimaksudkan dalam sabda Baginda menunjukkan pentingnya ilmu pengetahuan sebagai pendorong untuk melakukan kebaikan dengan keyakinan bakal mendapat ganjaran baik.

Islam itu indah apabila umat Islam menjadikan iman untuk memandu diri serta mencari ilmu pengetahuan untuk memajukan diri.

Renungan...

Tanda lemahnya iman adalah merasa hina dengan kemiskinan dan merasa mulia dengan kekayaan.

Tidak gembira dengan datangnya dunia, dan tidak bersedih dengan hilangnya dunia adalah tanda orang yang beriman.

Letakkan DUNIA itu di tangan, AKHIRAT itu di hati. Supaya senang DUNIA itu dibagi-bagi dan AKHIRAT itu di bawa mati.

Khamis, 29 Ogos 2013

Gopoh itu kerja syaitan

Gopoh itu kerja syaitan -Oleh MAHAINI MUHAMMAD
Gambar hiasan
BERGOPOH-GAPAH atau dalam bahasa Arab disebut sebagai isti’jal dikira sebagai satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang, berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.

Sikap gopoh-gapah boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi segala kebajikan yang dikerjakan.

Imam al-Ghazali mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan mengikut apa yang diperibahasakan sebagai ‘terburu nafsu.’

Dalam Islam, hanya lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh, manakala yang lain, anda dikira melakukan ‘tindakan syaitan’ jika melakukannya tanpa perancangan dan berhati-hati.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa.” (riwayat Muslim)

Di manakah bahayanya tindakan gopoh-gapah? Contoh pertama mengenai gopoh-gapah ialah melakukan amal ibadat dalam keadaan tergesa-gesa, kononnya untuk mencapai makam atau martabat tertinggi dalam tempoh cepat.

Individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah seperti itu biasanya akan melakukan banyak kesilapan dalam ibadatnya. Malah mungkin menyeleweng daripada syariat.

Individu berkenaan juga mungkin terkena penyakit hati yang lain, iaitu riak dan takbur. Lidahnya juga mungkin akan menuturkan perkataan dan pengucapan keji serta sia-sia, malah menggelincirkan akidahnya.

Dalam hal ini, akhlak lisan yang ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW patut dijadikan teladan.

Allah SWT berfirman bermaksud: Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut nafsunya. Tiada yang dicakapnya melainkan apa yang diwahyukan Allah kepadanya. (an-Najm: 3)

Individu yang mengerjakan amal kebajikan secara tergopoh-gapah kerana mahu mencapai martabat tertinggi dalam tempoh segera juga mungkin akan terjerumus ke dalam kesilapan beribadat.

Orang yang bersungguh-sungguh beribadat seperti itu biasanya hanya akan mengerjakan ibadatnya pada peringkat awal secara bersungguh-sungguh, kemudian ia mula menurun, malah terhenti langsung beberapa ketika selepas itu.

Selain itu, individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah semata-mata kerana mahu hajatnya dipenuhi Allah SWT, sama ada dari segi kerjaya dan perniagaan, biasanya akan mudah ‘luntur’ dan berhenti mengerjakan ibadat setelah hajatnya tercapai atau dia mula kecewa kerana hajat yang dihasratkannya tidak tercapai dalam masa yang dijangka atau diharapkan.

Akhirnya, individu berkenaan ‘terkulai layu’ meninggalkan matlamat ibadatnya dan tidak kekal istiqamah dalam amal kebajikannya. Ini berbahaya. Syaitan gembira melihat kerenah gopoh-gapah individu seperti ini.

Tindakan tergopoh-gapah juga bahaya kerana ia akan memungkinkan seseorang individu Muslim terjebak memakan dan meminum barangan haram atau daripada sumber haram seperti rasuah. Perkara lain yang turut tergolong dalam tindakan tergopoh-gapah ialah mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau orang lain.

Ini bertepatan firman Allah SWT bermaksud: Dan manusia mendoakan kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah. (al-Isra’: 11).


Bersikap adil terhadap kawan dan lawan

Bersikap adil terhadap kawan dan lawan - Ahmad Shukri Yusoff
Gambar hiasan
Seseorang perlu seimbangkan hak diri dan tunduk terhadap tuntutan al-Quran

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.” (Surah Al-Hadiid, ayat 25)

Syeikh Mustafa Al-Maraghi ketika membuat huraian di atas menyebut manusia terbahagi kepada dua golongan, satu golongan dapat diatur dengan ilmu dan hikmat. Satu golongan lagi hanya boleh diatur dengan pedang dan tongkat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

Mereka yang tunduk kepada kekuasaan adalah lebih ramai berbanding yang tunduk kepada al-Quran. Sementara itu keadilan dan undang-undang harus ada pelindungnya. Kenyataan Al-Maraghi membayangkan kepentingan keadilan yang mesti ditegakkan sama ada melalui al-Quran atau undang-undang.

Antara nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menegakkan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka Rasul-rasul kerana faktor menegak keadilan dibangunkan langit dan bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.” (Surah al-Rahman, ayat 7-9)

Maksud keadilan
Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak sama ada individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.

Begitu juga Islam telah memerintahkan supaya berlaku adil pada keluarga, suami, isteri dan anak-anak.

Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian itu kepada sebahagian anak-anaknya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini? Basyir menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: “Carilah penyaksian ke atas pemberian itu selain dariku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan.” (Riwayat Nasaie)

Ini menggambarkan keadilan harus diberikan kepada yang disayanginya atau tidak supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan. Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta berlaku adil walaupun terhadap orang dimusuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

Bentuk keadilan
Antara bentuk keadilan paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang luas antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya dan mengangkat taraf hidup orang miskin.

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahim; selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.” (Surah al-Haaqqah, ayat 30-34)

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong untuk berkata suatu yang tidak benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” (Surah al-An’aam, ayat 152)

Begitu juga Islam memerintahkan kita berlaku adil dalam penyaksian. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan dalam perkara yang kita tahu, tidak boleh berlebih, tidak boleh berkurang, tidak boleh mengubah dan tidak boleh menggantikan dengan yang palsu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata).” (Surah at-Talaaq, ayat 2)

Tegak keadilan
Menegakkan keadilan antara seruan utama al-Quran kepada manusia, justeru menjadi kewajipan kepada kita memastikan diri termasuk dalam kalangan mencintai keadilan dan menegakkannya dalam seluruh sistem kehidupan.

Pengabaian terhadap nilai keadilan sebenarnya adalah pengabaian terhadap nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan juga Rasul sebelum Baginda.

http://pondokhabib.wordpress.com/2013/08/25/bersikap-adil-terhadap-kawan-dan-lawan/

Beribadah tanpa mengira musim

Beribadah tanpa mengira musim -Oleh Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
Gambar hiasan
Teruskan puasa sunat, solat witir secara konsisten walaupun di luar Ramadan

Ramadan baru saja berlalu. Semoga proses didikan yang dilalui pada Ramadan mampu menjadikan kita manusia yang lebih tinggi iman dan takwanya di sisi Allah SWT berbanding sebelumnya.

Amat rugi jika proses didikan hati dan juga roh yang dilalui itu tidak mampu memberi kesan ke dalam jiwa dan sanubari manusia. Lebih merugikan amalan puasa dan qiyam Ramadan yang ditunaikan hanya memperoleh rasa penat dan dahaga semata-mata tanpa mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam Ramadan, tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam Ramadan. Malah, solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada Ramadan, tetapi turut sama dilakukan di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barangkali orang yang berpuasa itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Barangkali juga orang yang bangun solat malam itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada qiamnya kecuali rasa mengantuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Tanda amalan Ramadan diberkati
Antara tanda sesuatu amalan semasa Ramadan itu diterima oleh Allah SWT dan mendapat keberkatan-Nya ialah apabila amalan kebaikan tersebut masih berterusan dan dilaksanakan di luar daripada Ramadan. Alangkah sedihnya apabila seseorang hamba Allah yang melalui didikan dalam bulan Ramadan yang lalu tidak lagi meneruskan kerancakan amal ibadahnya pada bulan lain.

Sesungguhnya konsep perhambaan kepada Allah SWT perlulah dilakukan secara konsisten dan juga berterusan tanpa terikat mengikut musim tertentu saja. Janganlah seseorang manusia dianggap hamba Allah hanya pada Ramadan saja, tetapi jadilah hamba Allah pada setiap masa dan ketika.

Semasa Ramadan kita diwajibkan untuk berpuasa. Di luar Ramadan sewajarnya ibadah puasa itu diteruskan iaitu dengan melakukan puasa sunat. Bagi mereka yang mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah maka ibadah puasa sunat tidak boleh dipandang remeh. Antara puasa sunat yang besar nilainya bagi seseorang Muslim ialah amalan puasa sunat enam hari dalam Syawal.

Rasulullah SAW menerangkan ganjarannya dengan sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa selama setahun.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sepanjang Ramadan yang lalu umat Islam menghidupkan malamnya dengan ibadah solat sunat Terawih dan solat sunat yang lain. Selepas keluar daripada Ramadan, seseorang Muslim itu perlu meneruskan serta memperbanyakkan ibadah solat sunat tanpa mengabaikan ibadah solat fardu. Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajud iaitu solat pada tengah malam.

Qiamullail latih jiwa kental, sabar
Sesungguhnya qiamullail yang dilaksanakan secara berterusan mampu melatih jiwa seseorang Muslim itu supaya lebih kental dan sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Malah Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan ibadah solat malam secara sengaja. Nabi SAW akan menghidupkan malam dengan ibadat solat tanpa mengira musim mahupun bulan yang tertentu.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah kamu pada waktu malam kecuali sedikit daripadanya. (Atau) separuh malam mahupun kurang sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 3).

Kesabaran Nabi Muhammad SAW dalam melakukan ibadah solat sunat pada waktu malam ini jelas terserlah walaupun Baginda SAW adalah manusia yang maksum iaitu yang terlindung daripada dosa dan cela.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering kali menunaikan solat pada tengah malam sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Maka Aisyah ra bertanya kepada Baginda mengapakah Baginda bersusah payah menunaikan solat sehingga sedemikian rupa sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosa oleh Allah SWT? Maka jawab Rasulullah SAW: “Apakah tidak boleh untuk aku gemar menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya).

Daripada hadis ini jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam Ramadan, tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam Ramadan. Malah, solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada Ramadan, tetapi turut sama dilakukan di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Umat Islam dianjurkan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran bukan hanya dalam Ramadan, tetapi juga bulan lain. Amat menyedihkan apabila ada sesetengah individu yang mengenali dan membaca al-Quran hanya pada Ramadan. Perlulah disedari bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi seluruh umat Islam. Malah membaca al-Quran hanya pada Ramadan memperlihatkan kelemahan iman apabila tiada penerusan dalam bulan lain.

Kesimpulannya perjalanan ibadah dan amalan soleh tidak hanya berlaku hanya pada bulan Ramadan yang kita lalui, tetapi perlulah turut sama berterusan dan istiqamah di luar daripada Ramadan. Jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Nya tanpa mengira musim mahupun waktu yang tertentu.

http://epondok.wordpress.com/2013/08/23/beribadah-tanpa-mengira-musim/

Rabu, 28 Ogos 2013

DI ANTARA KATA MUTIARA USTADZ JEFRY AL-BUCHORY (ALMARHUM)

KEMARAHAN bisa membuat seseorang menjadi HINA.... 
Hina dalam PERBUATAN
KEMARAHAN bisa membuat seseorang menjadi BURUK.....
Buruk dalam SANGKAAN
KEMARAHAN bisa membuat seseorang menjadi LUPA.....
Lupa dalam KEBAIKAN
KEMARAHAN bisa membuat seseorang menjadi TERLENA...
Terlena dalam AMARAH
KEMARAHAN bisa membuat seseorang menjadi BUTA......
Buta dalam MEMANDANG
KEMARAHAN bisa membuat seseorang menjadi KACAU...
                                                      Kacau dalam BERFIKIR

Kisah & Pengajaran Daripada Seorang Budak Melaungkan AZAN

Gambar hiasan
Kadang-kadang Allah membiarkan mata dan hati bersatu, supaya kita mengambil suatu iktibar dan ibrah tentang sesuatu. Minggu lepas aku singgah kat sebuah masjid solat Zohor di sebuah daerah yang tidak jauh daripada tempat aku. Lebih kurang 5 minit lagi sebelum masuk waktu…aku sempat luang masa kejap baca info2 pada papan kenyataan masjid…padat & interaktif! Tak berapa lama, jam berdetik2 berbunyi…tanda waktu solat sudah masuk. Aku bergegas ke tempat wudhuk tak jauh dari ruang solat utama.

Allahuakbar….Allahuakbar…..! Azan kuat dilaungkan…jelas…nyaring. “Ya Allah…suara anak sapa tu…sedapnya…”Aku sedikit teruja sebenarnya…tak sabar nak tengok tok bilal yang azan ni…selesai wudhuk aku terus melangkah masuk ke ruang solat utama…dari jauh aku memandang seorang budak berjubah, berkopiah coklat sedang melaungkan azan…dahsyat! aku jangkakan umurnya baru 4 tahun, kecik saja…selesai azan datang seorang budak yang lebih berumur, mungkin abangnya…lingkungan 8 tahun membimbingnya ke tempat solat di hujung saf.

Selesai solat, aku menunggu mak dan ayahku di luar masjid…sempat aku tengok kelibat dua orang budak tadi yang juga sedang melangkah untuk pulang…disamping mereka ditemani seorang ayah. Aku terus hulurkan tangan…rasa kagum dengan lelaki tersebut, bukti didikan agama yang baik pada anak2…tapi aku terasa hiba…tersentak!! Rupanya budak comel yang azan tadi mempunyai masalah penglihatan…buta kedua matanya!! Patutlah selepas azan abangnya datang menjemput ke hujung saf….Ya Allah!!! Terkedu…terus memandang sehingga mereka bergerak pulang dengan motorsikal…

Seorang budak yang buta punya nilai disisi agama…aku yang sihat ini entah apa sumbangan aku pada agamaku…umur pula sudah jauh berbeza…aku pula terasa malu melihat semua ni…kadang2 Allah sengaja membiarkan kanak-kanak menjadi penasihat. Dewasa umur belum pasti selamat…Tidak Allah ciptakan sesuatu itu sia-sia…moga Allah merahmati kehidupan budak tersebut.

Petikan blogger

Selasa, 27 Ogos 2013

Konsep mudah, sederhana tegakkan syiar Islam

Konsep mudah, sederhana tegakkan syiar Islam -Oleh Lokman Ismail

Sesungguhnya Allah SWT tidak bertujuan memberi kesusahan kepada hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah. Setiap perintah berkaitan ibadah berdasarkan apa yang termampu dilakukan. Ini kerana konsep ibadah bukan satu hukuman atau satu bentuk penyeksaan.

Dalam Islam menekankan perkara yang mudah dan mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik.” (Surah al-Araf, ayat 199).
Kemudahan, kelonggaran dalam beribadah

“Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya perintah Allah SWT dalam semua suruhan memperlihatkan kemudahan dan kelonggaran. Tidak ada satu pun ibadah yang boleh dikategorikan sebagai sukar untuk dilakukan. Jauh sama sekali perintah melakukan ibadat yang boleh mendatangkan bahaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Ibadah puasa pada Ramadan umpamanya mempunyai kelonggaran yang diberikan kepada mereka menghadapi kesukaran atau keperluan yang diharuskan, meninggalkan ibadah yang diwajibkan itu.

Ini membuktikan Islam tidak mahu mendatangkan kemudaratan dalam melaksanakan ibadah. Sebab itu, dalam keadaan yang boleh menimbulkan mudarat, maka wajib seseorang tidak berpuasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (boleh berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Kelonggaran itu jelas memberi kemudahan dalam pelaksanaan ibadah puasa. Islam mementingkan keselesaan kepada umatnya untuk melakukan ibadah dengan tenang, selesa, ikhlas dan selamat.

Justeru, sesiapa melihat pelaksanaan ibadah dalam Islam dari sudut yang sukar sebenarnya tidak memahami Islam secara menyeluruh. Amalan wasatiyyah dan istiqamah adalah lebih penting berbanding sikap ekstrem dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Rasulullah SAW sentiasa menekankan kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuklah dalam seruan dakwah.

Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asyari ke Yamam, Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: “Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Beri alternatif mudahkan ibadah

Konsep mudah dan memudahkan memberi alternatif untuk membolehkan sesuatu maksud dilaksanakan biarpun dalam keadaan ketiadaan sumber asal.

Sebagai contohnya, dalam soal menyucikan diri, ketika ketiadaan air atau air yang ada lebih penting untuk kegunaan lain, penyucian boleh dilakukan dengan tanah atau debu secara tayamum.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu jika tiada air, hendaklah kamu tayamum dengan tanah yang bersih, iaitu sapu mukamu dan tanganmu dengan (tanah itu). Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6).

Jelaslah tidak ada perkara sukar untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam dalam apa hal sekalipun. Sebab itu Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan melakukan perkara mudah yang mampu dilakukan tanpa berlebih-lebih.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad bermaksud: “Sebaik-baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah.”

Mengambil perkara mudah bukan pula bermakna tidak mempedulikan atau mempermainkan hukum agama. Sesuatu ketetapan hukum perlu dilaksanakan dengan sempurna dan ikut keperluan.

Perkara ini diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Aisyah: “Apabila Rasulullah SAW diberi pilihan, maka Baginda akan memilih perkara lebih mudah selama mana bukan perkara dosa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentunya kita dapat perhatikan amalan dalam Islam tidak ada yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap ibadah yang diperintahkan mempunyai banyak kebaikan yang memberi kebaikan kepada manusia sendiri.

Maka, tidak ada alasan untuk manusia ingkar daripada melaksanakan setiap ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui mengenai keupayaan manusia dan tentunya tidak akan menyusahkan hamba-Nya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan.

Firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 28 bermaksud: “Allah sentiasa hendak meringankan bebanan hukum-Nya daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Bahkan Allah SWT menegaskan bahawa Dia ingin memberi kemudahan dan bukannya kesukaran kepada manusia. Maksud firman Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, ayat 185).

http://epondok.wordpress.com/2013/08/26/konsep-mudah-sederhana-tegakkan-syiar-islam/

Kemanusiaan Hilang Tanpa Belas Kasihan

Kemanusiaan hilang tanpa belas kasihan -Nik Salida Suhaila
Gambar hiasan 
Penganiayaan, pembunuhan tidak selari dengan misi keamanan Islam

Jenayah dan pembunuhan yang semakin meruncing mutakhir ini cukup membimbangkan serta menggambarkan segelintir masyarakat kini semakin hilang kemanusiaan disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.

Bagi umat Islam, perbuatan penganiayaan dan pembunuhan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, Insya-Allah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)

Bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara yang sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat. Ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah Al-Anbia’, ayat 107)

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah, sebab itulah Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan yang baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu serta disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)

Islam membawa misi keamanan
Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam merupakan satu-satunya agama yang membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam.

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana Islam memerintahkan umatnya supaya menghiaskan diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan kepada sahabat terdekat saja tetapi kepada alam seluruhnya, lebih-lebih tetangga dan tetangga dalam Islam termasuklah orang yang hampir dengan kita kerana rumahnya berdekatan atau hampir kerana hubungan nasab mahupun agama.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan yang menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Riwayat Bukhari)

Walaupun masyarakat di negara Barat lebih berbudi bahasa dan bersopan dalam muamalah sesama insan, penulis tidak menafikan di negara kita masih ramai yang utuh dengan budaya hidup serta pekerti lemah lembut.

Keadaan ini menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Malangnya adab dan santun yang sudah bersisa semakin terhakis dengan pelbagai masalah sosial yang mengaibkan.

Di alam maya, ramai yang diberi kunci kebebasan untuk meneroka dunia dan melakukan apa yang mereka suka. Laman sosial juga menjadi bukti ada segolongan yang sering kali tersasar daripada pedoman agama.

Pembulian mental sesama rakan sebaya atau daripada golongan lebih dewasa boleh mengakibatkan risiko kepada mereka yang masih belum cukup matang mengurus tekanan.

Sudahnya berlakulah perubahan sikap secara tiba-tiba, berkasar dengan ibu bapa atau orang yang lebih tua hatta membunuh diri. Mereka yang mengalami tekanan juga akan menjadi risiko kepada orang lain kerana ketidakstabilan mental boleh mengakibatkan kejadian jenayah tidak dirancang.

Masyarakat tak boleh terima kezaliman

Dalam masyarakat kita yang masih mempunyai kasih sayang sesama insan yang tinggi, perbuatan membunuh, menikam, menyembelih dan mencincang manusia adalah satu kezaliman yang tidak dapat diterima sama sekali.

Mujurlah budaya dan cara hidup yang masih menghormati hak manusia lain masih menebal, bukan saja kerana dilindungi undang-undang, tetapi juga kerana nilai murni yang ada. Walau bagaimanapun, setiap ibu bapa tidak boleh berlepas tangan dalam memastikan anak terbiasa dengan keharmonian.

Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan atau sehingga mencederakan.

Tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh penuh kasih sayang dan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Kekerasan juga menjadikan mereka mudah menzalimi orang lain disebabkan ‘kebiasaan’.

Perlu diingat juga hilangnya kemanusiaan yang semakin membarah dalam dunia ini berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Bukannya bermula daripada masalah sosial yang mereka lalui setelah besar panjang. Hakikat ini penting kerana kita tidak mahu generasi baru berasa lali dengan kekerasan dan penganiayaan.

http://epondok.wordpress.com/2013/08/27/kemanusiaan-hilang-tanpa-belas-kasihan/

Isnin, 26 Ogos 2013

Terdapat Tiga Tanda-tanda Hamba Kesayangan Allah SWT.

Terdapat Tiga Tanda-tanda Hamba Kesayangan Allah SWT.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Jika seorang isteri mengharapkan kasih sayang suami kepada dirinya dan seorang anak akan mengharapkan kasih sayang ibu bapa maka lebih-lebih lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih sayang yang cukup mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah SWT kepada para hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Setiap sesuatu kebaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT ada tanda-tandanya . Terdapat TIGA tanda seorang hamba itu dikasihi dan disayangi oleh Allah SWT di dunia ini.  

Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Kedua : Allah SWT  membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Huraiannya :
Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap seseorang hambaNya,Ia terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi,dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan terhadap seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan perbuatannya yang berdosa di dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Tabrani )

Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada hambaNya ialah Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar manusia itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan yang benar. Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat dan mereka terus lalai dan lupa di dunia ini.

Setiap mukmin sepatutnya menerima segala kesusahan yang berlaku di dunia ini dengan redha yang mungkin ianya sebagai hukuman yang diturunkan Allah kerana kesalahan dirinya, atau mungkin sebagai satu dari tanda kesayangan Allah. Adalah lebih baik jika kita menerima hukuman atas kesalahan kita di dunia ini lagi agar kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat kerana balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk bertaubat.

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.

Oleh itu banyakkan bersabar dan elakkanlah dari mengeluh dan berdukacita bila Allah SWT timpakan kesusahan dan kepayahan di dunia ini.

Kedua : Allah SWT  membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang,nescaya ia bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh,Ia jadikan hatinya waspada terhadap liku-liku hidup yang dijalaninya, ia jadikan hatinya sihat sejahtera dan lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus,dan Ia jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr)

Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad,takabbur,riak, ujub, membalas dendam, marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.

Adakah ciri-ciri ini kita miliki? Jika ada maka itu adalah tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadis : 71.)

Apabila Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seorang hamba-Nya dan menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami agama Islam dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam kehidupannya. Agama Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah agama untuk diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.

Orang mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan di hari akhirat. Dia akan sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat 3)

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri. Jika tiga tanda-tanda di atas ada kita miliki ini bermakna Allah SWT sedang menyayangi kita, tetapi jika tidak ada dikhuatiri kita sedang dimurkai-Nya. Oleh itu bertaubatlah dan terus berdoa semoga kita dipelihara oleh-Nya dan di sayangi-Nya dan kita terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia sentiasa bersedia menerima taubat hamba-hamba-Nya.

 Abu Basyer -RakanFB

Pengkritik Bush Peluk Islam

Pengkritik Bush peluk Islam - susunan SITI AINIZA KAMSARI
Schwartz menghadiahkan surah Al Fatihah dan doa ketika menziarahi kubur
bekas Presiden Bosnia, Alija IIzetbegovic di Sarajevo.
“MAKA perlahan-lahan aku melihat dan mendapati Islam sahajalah yang mampu menawarkan jalan ‘terdekat’ untuk mendapatkan kasih sayang dari tuhan, iaitu ALLAH,” katanya.

Kata-kata itu merupakan sebahagian daripada pengakuan wartawan dan penulis terkenal Amerika Syarikat (AS), Stephen Schwartz, 63, sebaik sahaja beliau memeluk Islam pada tahun 1997, iaitu ketika dalam usia 49 tahun.

Seorang yang sangat dikenali dan pernah mencetuskan kontroversi apabila beliau dengan lantangnya mengkritik pentadbiran bekas Presiden AS, George W. Bush sebagai yang pertama di dunia melabelkan Islam itu sebagai agama yang ganas (terrorisme).

Lebih separuh hidupnya bergelandangan sebagai wartawan yang sering melontarkan tulisan-tulisan yang panas dan kontroversi di akhbar-akhbar ternama seperti The New York Times, The Wall Street Journal, The Los Angeles Times dan The Toronto Globe and Mail.

Beliau juga adalah penulis tetap yang mempunyai ruang bicaranya sendiri di The Weekly Standard, The New York Post dan Reforma di Mexico City.

Yang pada akhirnya dek kerana tugas-tugas liputan sebagai wartawan itulah membawakannya kepada Islam iaitu ketika bertugas di Bosnia Herzegovina pada tahun 1997.

Sepanjang berada di wilayah Islam yang kemudiannya binasa akibat kekejaman perang pembersihan etnik oleh bangsa Serbia (Serb-Croatia,1992-1995) itu telah menghasilkan satu hidayah atau petunjuk dari ALLAH untuk beliau mengakui kebesaranNYA.

Begitu pun sebelum ini, bertahun-tahun lamanya juga beliau mempelajari agama-agama Samawi, iaitu Yahudi dan Kristian dan tidak cukup itu, sedikit sebanyak pengaruh daripada orang tuanya sendiri, yang begitu taat terhadap agama masing-masing.

“Bapa saya seorang Yahudi sementara ibu pula adalah anak seorang tokoh dari kelompok atau Mazhab Protestan yang fundamentalis, yang sangat memahami Injil sama ada yang dalam bentuk Perjanjian Lama mahupun Perjanjian Baru,” katanya.

Namun semua itu hanya memberikan pengetahuan sahaja kepada wartawan ini kerana yang uniknya, Schwartz akhirnya hanya ‘tertarik’ kepada Kristian aliran Katholik tanpa perlu memeluk agama itu secara rasminya.

“Walaupun tidak memeluk agama itu, namun saya tertarik kepada dalam soal-soal kebatinan yang terkandung dalam ajaran Katholik,” katanya.

Ini membuatkan Schwartz memilih untuk ke Sepanyol untuk lebih mengenali dan mendalami ajaran Khatolik, agama yang kononnya kuat melatari Sepanyol.

Namun apa yang ditemui adalah lebih menarik.
“Saya dapati di sebalik kejayaan Katholik di Sepanyol itu sebenarnya terdapat pengaruh sejarah Islam yang sangat kuat iaitu di era agama itu berkuasa di Sepanyol.

“Saya sangat takjub dan mendapat inspirasi yang sangat kuat dari agama Islam yang didapati masih bertahan dalam banyak amalan budaya tradisi di sana,” katanya.

Sebagai penulis kata Schwartz, beliau meneliti dan menghayati fenomena ini selama bertahun-tahun lamanya. Terutamanya apabila beliau mempelajari atau mengkaji sejarah kekuasaan Islam melalui sastera masa lampau yang menunjukkan pengaruh Islam di Semenanjung Iberia itu (terdiri dari negara-negara seperti Sepanyol, Portugal, Andorra, Gibraltar dan sebahagian kecil Perancis).

http://inijalanku.wordpress.com/parti2/pengkritik-bush-peluk-islam/

Follow by Email