DOA -doa Ku... Ya Allah....

... اشهد ان لا إله إلا الله وأشهد ان محمد رسول الله .....YA ALLAH...AMPUNKAN AKU ....Bimbinglah Aku di jalan -MU.. TETAPKAN AKU DALAM KASIH SAYANGMU, ......AMPUNKAN SEGALA KESALAHAN dan DOSA-DOSAKU..DOSA DAN KESALAHAN KEDUA IBU BAPAKU..DAN SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT....KUMPULKAN AKU BERSAMA PARA NABI DAN RASUL...YA ALLAH ...KEKALKAN AKU DAN KETURUNANKU DALAM ISLAM DAN BERIMAN KEPADAMU....YA ALLAH.YA ALLAH, HIDUPKAN AKU DALAM KEADAAN MERENDAH DIRI, MATIKAN AKU DALAM KEADAAN MERENDAH DIRI DAN BANGKITKAN AKU (PADA HARI QIAMAT) DI DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG MERENDAH DIRI.. استغفر الله العظيم ASTAGFIRULLAHALAZZIM....سبحان الله...SUBHANALLAH ...الحمد لله..ALHAMDULILLAH...الله أكبر..ALLAHUAKHBAR.....ALLAHUMA SOLLIALA SAYIDINA MUHAMMAD....WAALA ALIMUHAMMAD..........

Sabtu, 25 April 2015

Renungkan Sejenak


…..Demikianlah ALLAH s.w.t menghendaki, baik bermanfaat ataupun mendatangkan mudarat bagimu. Apabila malam kemiskinan telah datang, maka serahkanlah dan tinggalkanlah siang kekayaan.
Apabila malam kesakitan telah datang, maka tinggalkanlah siang kesihatan.
Apabila malam yang engkau benci telah datang, maka serahkanlah dan tinggalkanlah siang yang engkau senangi. Malam-malam penyakit, kemiskinan dan hancurnya sebuah harga diri telah datang, maka serahkanlah ia dengan hati yang tenang.

JANGANLAH engkau menolak sesuatu takdir ALLAH s.w.t, kerana ia akan membuat engkau menjadi binasa, imanmu menjadi hilang, hatimu menjadi keruh dan batinmu menjadi mati. ALLAH s.w.t berfirman di dalam sebahagian Kitab-Nya yang bermaksud:

                “Aku adalah ALLAH yang tiada Tuhan selain Aku. Barangsiapa yang tunduk (berserah diri) terhadap ketentuan-Ku, bersabar terhadap cubaan-Ku dan mensyukuri nikmat-Ku, maka Aku menulisnya di sisi-Ku sebagai orang-orang yang benar (al-siddiqin). Dan barang siapa tidak tunduk terhadap keputusan-Ku, tidak sabra terhadap ujian-ujian-Ku dan tidak mensyukuri nikmat_ku, maka dia mencari Tuhan selain daripada Aku.”

Apabila engkau tidak redha terhadap takdir, tidak bersabar terhadap cubaan dan tidak mahu mensyukuri nikmat, maka engkau tidak mempunyai Tuhan. Carilah Tuhan yang selain Dia, sedangkan tiada Tuhan melainkan Dia. Apabila engkan menginginkan, maka redhalah engkau terhadap takdir dan percayalah engkau terhadap qadar, baik qadar yang bagus, buruk, manis mahupun pahit.  Apapun yang akan meimpa engkau, maka pasti akan terjadi terhadapmu, meskipun engkau menghindar (cuba menggelak) daripadanya. Dan apa yang tidak akan menimpa dirimu, tidak akan terjadi kepadamu, walaupun engkau berusaha untuk memperolehinya.  529


(Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani)

TazKiRaH - Mencari Ketenangan Hati

by. Rosli Ibrahim

Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia, kerana itu ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasai. Dari sanalah ia menentukan sikap manusia sama ada positif atau negatif.

Memang hakikat penciptaan hati oleh Allah SWT adalah suatu yang maha ajaib. Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruang gerakannya tiada had. Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir (fizikal) manusia mati. Hati berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke akhirat. 

Bagi orang mukmin yang suci hatinya dia dapat melihat di syurga kelak. Itulah dia hati manusia. 
Ia juga disebut roh. Tempatnya ialah di dalam hati jasmani. Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati jasmaniah.

Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh menerima perintah dan larangan; ia disebut rohul amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian, ia disebut rohul hayah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati boleh menjadi baik atau jahat apabila:
* Rasa senang apabila ia dipuji.
* Rasa menderita apabila di keji.
* Rasa riak dan megah apabila mendapat kelebihan dan kejayaan.
* Rasa ujub (hairankan diri) apabila mempunyai kemampuan.
* Rasa rendah diri (inferiority complex) apabila ia mempunyai kekurangan.
* Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan atau ada kekayaan.
* Rasa tidak senang (hasad) apabila tengok orang lain lebih.
* Rasa dendam apabila orang menganiayainya.
* Simpati dengan orang susah.
* Rasa keluh kesah apabila dapat susah.
* Rasa terhutang budi dan terima kasih pada orang yang menolong.
* Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan.
* Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda kotor.

Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai riak rasa dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan itu akan kemudian akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa hati itu baik, baiklah tindakan manusia. Dan kalau rasa hati itu jahat maka jahatlah tindakan lahir manusia.

Hati itu Raja, Perlu dibajai dengan Taqwa
Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta didalam diri manusia. Dialah yang menentukan baik buruk manusia.

Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota lahir adalah rakyat jelatanya yang taat kepada arahannya. Nafsu dan syaitan adalah musuhnya. Demikian struktur kerja yang berlaku dalam diri manusia.

Kita mesti memahami dan beri perhatian penting pada persoalan ini, kerana baik jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hati.

Siapa mengabaikan urusan hati, ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam gelap. Nasibnya belum tentu selamat dunia dan akhirat. Hati boleh dididik.

Apa Kata Allah tentang hati
Firman Allah: “Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya.” (As –Syams: 9) .

Firman-Nya lagi,“Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ). Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang.” (Al–Ala: 14–15)

Firman Allah seteruanya, “Pada hari itu, tidak berguna lagi harta.. anak-anak dan isteri atau suami. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang selamat.” (Asy–Syuara: 88-89)

Di antara Sebab Jiwa Tidak Tenang
1. Banyak menzalimi orang
2. Banyak membuat dosa
3. Menghina dan menzalimi ibu atau bapa
4. Menzalimi dan menghina guru terutama guru yang menunjukkan kita ke jalan Akhirat
5. Tidak percaya wujudnya Allah Taala
6. Tidak mengharap lagi pertolongan Allah
7. Orang yang kena uji bila imannya lemah atau tidak beriman

Ketenangan itu berpusat atau berpaksi di dalam hati nurani. Ia perlu dijaga, kerana bila hilang ketenangan, hilanglah kebahagiaan. Bila hilang kebahagiaan, tidak ada lagi keindahan di dalam kehidupan sekalipun mempunyai kekayaan, duduk di dalam istana yang indah, memiliki isteri yang cantik, ada kuasa.

Bila ketenangan hati tidak ada, sentiasa keluh-kesah, apa sahaja dibuat serba tidak kena, makan rasa tidak sedap, tidur tidak lena, membuat sesuatu perkara tidak ada penumpuan lagi, selalu sahaja termenung, orang bercakap kurang diambil perhatian, sumbang di dalam pergaulan, membaca mengganggu untuk memahami, kawan-kawan ikut risau, mudah marah-marah, suka bersendiri, mudah merajuk, mudah tersinggung, tidak tahan sabar, tidak tahan tercabar, mudah jemu membuat kerja, makan minum, pakaian dan badan tidak terurus, kurang bertanggungjawab, tidak suka bercakap.

Orang yang berada di dalam tidak ketenangan, jika ketidaktenangan itu kuat dan kurang pula pelajaran selalunya tidak boleh dikontrol rasa tidak tenang itu, sama ada di waktu ramai mahupun di waktu keseorangan, sentiasa nampak muram, susah hatinya amat ketara, orang ramai perasan.

Jika dia seorang cerdik dan pandai atau ada status di dalam masyarakat mungkin setengah orang dia boleh kontrol. Di tengah ramai dia boleh sembunyikan ketidaktenangannya itu untuk menjaga wibawa atau status diri, tapi bila waktu keseorangan dia mulalah termenung. Kesusahan hatinya nampak dilihat pada atau melalui air mukanya.

Ada setengah orang mukanya cantik, orangnya periang, happy go lucky, ada kalanya susah juga dikesan. Tapi kalau dia tidak boleh kontrol, lihat muka dapat dikesan.

Maka seorang yang periang tiba-tiba jadi pendiam, hilang riang, suka bersendiri, gurauan sudah tidak ada, anak isteri mula risau, kawan-kawan susah hati.

Untuk menghilangkan rasa tidak tenang itu, keluarlah daripada menzalimi dan memohon maaf kepada orang yang kita zalimi itu. Tinggalkan membuat dosa kemudian kembali berpegang dan bersandar kepada Allah SWT. In shaa Allah ketenangan akan muncul.

Dlm konteks ini jangan keliru dengan orang yang berdiam kerana mengingati Allah.  Orang yang hatinya hanya Allah..in shaa Allah ada nur...dan segala tingkah perbuatanya akan sentiasa dilindungi-Nya.

Wallahualam. .

Rabu, 22 April 2015

Iktibar hari ini: Kisah 'SIAK' Masjid ‎

Azmi Mohamad
Gambar hiasan saja
Ada DUA (2) orang sahabat yang terpisah cukup lama; Ahmad dan Zaenal. Ahmad ini pintar dan cerdik orangnya, tetapi kurang beruntung di bidang ekonominya. Sedangkan Zaenal adalah seorang yang biasa2 saja, namun keadaan orang tuanya yang kaya raya mendukung karier dan masa depan Zaenal.

Setelah terpisah sekian lamanya, satu hari, keduanya ditakdirkan bertemu di tempat yang istimewa; di koridor wudhu, koridor toilet di sebuah masjid megah dengan infrastruktur yang cantik, yang memiliki pemandangan pegunungan yang indah dengan kebun teh yang terhampar hijau di bawahnya... sungguh indah dan mempesonakan.‎

Zaenal, kini sudah menjelma menjadi seorang manager sebuah perusahaannya... tapi masih tetap menjaga kesolehannya.

Dia punyai kebiasaan; setiap keluar kota, dia luangkan masa untuk singgah di setiap masjid di kota-kota yang dia singgahi... untuk memperbaharui wudhu, dan sujud syukur. Jika masih terdapat waktu yang diperbolehkan solat sunat, maka ia solat sunat juga sebagai tambahan.

Seperti biasa, dia tiba di Puncak Pas, Bogor; dia  mencari masjid dan dia masuk ke masjid yang dia temui.

Di sanalah dia bertemu Ahmad. Cukup terperanjat Zaenal melihat Ahmad kerana dia tahu sahabatnya ini berasal dari keluarga tak punya harta, tapi pintarnya dan cerdiknya amat luar biasa.

Tetapi Zaenal tidak menyangka bila berpuluh tahun mereka tidak bertemu, dan bila kemudian dia bertemu Ahmad, Ahmad bekerja sebagai jaga atau siak di masjid.

“Maaf”, “Adakah kamu Ahmad? Ahmad kawan SMP saya dulu kah?”.
"Iya". Lalu mereka berpelukan mesra. 
“Hebat sekali kamu ya Zaenal… mashaAllah”, 
puji Ahmad saat melihat Zaenal masih dalam keadaan memakai suit koperat. Lengan yang digulungnya untuk persiapan wudhu, menyebabkan jam mewahnya terserlah.
“Ah, biasa saja”, balas Zaenal.

Zaenal merasa hiba bila melihat keadaan Ahmad sedang memegang kain lap, kaki seluarnya dilipatkan, dan kopiahnya ditarik ke belakang sehingga dahinya yang lebar terlihat jelas.

“Mad… ini kad nama saya”.

Ahmad melihat... “Manager Area…”, wah, kau benar-benar hebat"‎.

“Mad, nanti bila saya habis solat, kita sembang ya. Maaf, kalau kamu berminat, di pejabat saya ada pekerjaan yang lebih baik dari sekadar kerja sebagai siak di masjid ini. Maaf”.

Ahmad tersenyum. Dia mengangguk, “Terima kasih ya… selesaikan saja dulu solatmu. Saya pun ingin selesaikan pekerjaan membersih dulu… silakan ya”.

Sambil berwudhu, Zaenal tidak habis-habis berfikir. Mengapa Ahmad yang pintar dan cerdik, tapi cuma bekerja sebagai siak di masjid ini. Ya, meskipun tidak ada yang salah dengan pekerjaan sebagai siak, tapi siak… Ah, fikirannya tidak mampu lagi berfikir.
Air wudhu membasahi wajahnya.

Sekali lagi Zaenal memerhati Ahmad yang sedang melakukan kerja-kerja membersih masjid. Andainya Ahmad mengerjakan pekerjaannya ini di pejabat, maka sebutannya bukan siak... tetapi “office boy”.
Tanpa sadar, Zeanal terperasan ada orang solat di belakangnya. Sama2 solat sunat agaknya. 

Ya, Zaenal sudah solat fardhu di masjid sebelumnya. 

Zaenal sempat melirik. “Barangkali ini kawan Ahmad”, bisik Zaenal dalam hatinya.
Zaenal menyelesaikan doanya secara singkat kerana dia ingin segera bertanya khabar Ahmad.

“Encik,” tiba2 anak muda yang solat di belakangnya menegur.

“Iya dik?”.

“Encik, sememangnya kenal dengan Haji Ahmad?”.

“Haji Ahmad yang mana?”.

“Itu, yang Encik bersembang dengannya tadi”.

“Oh… Ahmad… Iya, kenal. Dia kawan saya dulu di SMP. Sudah hajikah dia?”.

 “Dari dulu lagi Dia sudah haji encik. Dari sebelum beliau bangunkan  masjid ini lagi”.

Kalimat itu dilontarkan begitu mendatar, tapi ianya cukup menampar hati Zaenal. Dari dulu sudah haji… dari sebelum beliau bangunkan masjid ini.

Anak muda ini kemudian menambahkan, “Beliau orang hebat encik, seorang yang tawadhu’. Sayalah siak di masjid ini yang sebenar. Saya pekerja beliau. Beliau yang bangunkan masjid ini di atas tanah wakafnya sendiri. Beliau bangunkan sendiri masjid indah ini, sebagai masjid transit bagi mereka yang mahu bersolat. Encik nampak tak mall megah di bawah sana tu? Juga hotel indah di seberangnya? Itu semua adalah milik beliau. Tapi beliau lebih suka menghabiskan waktunya di sini. Bahkan salah satu kesukaannya yang aneh... iaitu Dia suka gantikan posisi saya. Kerana hanya suara saya bagus, saya hanya disuruh mengaji dan laungkan azan saja”.
Terdiam Zaenal, entahlah apa yang ada di hati dan di fikirannya.

*****‎
‎Bagaimana pula fikiran kita?

Jika Ahmad itu adalah kita, mungkin saat kita bertemu kawan lama yang sedang melihat kita membersihkan toilet, segera kita beritahu posisi kita siapa yang sebenarnya. 

Dan jika kemudian kawan lama kita ini menyangka kita ini siak masjid,  maka kita akan menyangkalnya dan kemudian kita akan menjelaskan secara detail begini dan begitu. Sehinggalah kawan kita itu tahu bahwa kita inilah pewakaf dan yang bangunkan masjid ini.

Tapi kita bukan Haji Ahmad. Dan Haji Ahmad bukannya kita. Dia selamat dari rosaknya nilai amal, Dia tenang saja. Haji Ahmad merasa Dia tidak perlu menjelaskan apa-apa pun. Dan kemudian Allah SWT yang akan memberitahu siapa dia sebenarnya.

MashaAllah   (Sesungguhnya orang yang ikhlas itu adalah orang yang menyembunyikan kebaikan-kebaikannya, seperti dia menyembunyikan keburukan-keburukannya).

Ahad, 19 April 2015

BULAN REJAB: KEMULIAAN DICEMARI KEPALSUAN

Oleh:Dr.Arieff Salleh bin Rosman, Felo Fatwa 
Gamabar hiasan
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)...." Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.

Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).

Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.

'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain,tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).

Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab': "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."

ANTARA KELEBIHAN BULAN REJAB DAN AMALAN KHUSUS PADANYA YANG BERSUMBERKAN LAPORAN/HADIS PALSU ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

ii.Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.

vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.


HARAM MENYEBAR HADIS PALSU

Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).

Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka". Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).

Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.

Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.

Wallahu a'lam.
Submitted by FatwaMalaysia on 4 May 2014 - 10:10pm



Ahad, 12 April 2015

MEMERANGI NAFSU –Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani


JANGANLAH kamu …….....berhenti daripada memerangi nafsu kamu.
JANGANLAH kamu ……….tertipu oleh kecerdikannya.
JANGANLAH  kamu ………tertipu oleh sikapnya yang berpura-pura tidur.
JANGANLAH kamu ……… tertipu oleh haiwan buas yang berpura-pura tidur.
HAIWAN ITU (NAFSU) kelihatannya tidur, padahal ia menunggu kesempatan yang baik untuk menerkammu.

NAFSU ini memperlihatkan ketenangannya, hina, rendah diri dan setuju untuk kebaikan, padahal ia bersifat sebaliknya.

Jumaat, 3 April 2015

ALLAH CiNTA atau BENCI ...

Gambar hiasan
Antara tanda-tanda Allah CINTA atau BENCI kepada hambaNya

Tanda-tanda Allah cinta pada hambaNya

Allah Ta’ala berfirman mafhumnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, tentu engkau semua dicintai oleh Allah, serta Allah mengampuni dosamu semua dan Allah itu adalah Maha Pengampun lagi Penyayang,” [Surah Aali-lmran : 31]

Apa lagi yang lebih berharga dan lebih penting dari mendapat CINTA dari Allah S.w.t Pencipta sekalian makhluk.  Jika sudah mendapat cinta Allah, maka in shaaAllah akan berbahagialah hidup di dunia dan juga di akhirat.

Di antara Tanda-Tanda Allah Cinta Pada Hamba-Nya
1 - Faham agama: Rasulullah S.a.w bersabda, maksudnya : “Apabila Allah mencintai seseorang maka Dia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

"....... Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat, dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan."  [Surah Al-Mujadilah : ayat 11]

2 - Sabar dan redha dengan ujian-ujian dari Allah: "Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun" Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." [Surah Al-Baqarah : 155-157]

"Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum pasti Dia menguji mereka. Maka siapa yang redha (terhadapnya) maka baginya keredhaan Allah, dan siapa yang marah (terhadapnya) maka baginya kemurkaan Allah." [Hadits Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

"Tidaklah seorang mukmin dan mukminah tertimpa musibah pada dirinya, anaknya dan hartanya sehingga dia berjumpa Allah Ta'ala tidak membawa satu kesalahan pun." [Hadits Riwayat Al-Tirmidzi. Beliau berkata: hadits hasan shahih] [1]

"Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat."  [Hadits Riwayat Tirmizi, 2396]

Oleh itu antara tanda Allah mencintai seorang hamba juga ialah Dia uji hamba itu dengan pelbagai ujian. Maka jika hamba itu bersabar dan redha, itulah tandanya Allah cintakan hamba tersebut. 

Dan ketahuilah, para rasul dan nabi lah yang paling berat menerima ujian dan musibah dari Allah S.w.t. Kerana itulah darjat mereka tinggi, dan menjadi teladan kepada seluruh manusia dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar ini.

3 - Cinta mencintai kerana Allah: “Allah s.w.t berfirman, “pasti akan mendapat cinta-Ku orang-orang yang cinta-mencintai kerana Aku, saling kunjung mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku.” [Hadits Qudsi]

Semoga kita tidak menjadi orang yang cintakan manusia lain kerana nafsu syahwat, harta-benda dan keduniaan semata-mata. Cinta yang paling utama ialah cinta kepada Allah S.w.t, kemudian kepada Rasulullah S.a.w, ibu bapa dan barulah manusia-manusia lain.

4 - Berakhir hidup dengan husnul khatimah: Rasulullah S.a.w bersabda: "Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya."

Sahabat bertanya: "Apa itu memaniskannya ya Rasulullah?"

Baginda berkata: "Dia akan memberinya petunjuk untuk melakukan kebaikan ketika menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredhainya (atau ia berkata) orang sekelilingnya." [Hadits Riwayat Al-Hakim]

5 - Sentiasa berzikir pada Allah: Diriwayatkan bahawa Nabi Musa 'Alaihi salam pernah berkata, " Wahai Rabb Ku Yang Maha Mulia, Bagaimana aku dapat membezakan antara orang yang ENGKAU CINTAI dengan orang yang ENGKAU BENCI?"

Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman:  "Wahai Musa, Sesungguhnya jika Aku mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya"

Nabi Musa bertanya, "Wahai Rabb, apa kedua tanda itu?"

Allah S.w.t berfirman:  "Aku akan mengilhamkannya agar dia berdzikir kepada Ku, agar aku dapat menyebutnya di kerajaan langit dan Aku akan menahannya dari lautan murka Ku, agar dia tidak terjerumus dalam azab dan siksaKu."

Tanda-Tanda Allah benci pada hambaNya
1 - Lupa dan malas berzikir pada Allah: "Wahai Musa, jika Aku membenci seorang hamba, Aku jadikan juga dua tanda kepadanya"

Nabi Musa Alaihisalam : "Wahai RabbKu, apa kedua tanda itu?"

Allah S.w.t berfirman : "Aku akan melupakannya berdzikir kepada Ku, Aku akan melepaskan ikatan antara dirinya dan jiwanya,  agar dia terjerumus dalam lautan Murka Ku dan merasakan azab pedihKu." [2]

2 - Syirik kepada Allah S.w.t: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar." [Surah An Nisa’ : 48]

3 - Hidup senang-lenang tanpa mendapat ujian berat yang membolehkannya menginsafi diri dan takut pada Allah.

"Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat."  [Hadits Riwayat Tirmizi, 2396]

4 - Banyak melakukan maksiat dan kerosakan, terutamanya maksiat dan perkara-perkara mungkar yang terang-terang tanpa malu dan segan. Firman-Nya:
"Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat." [Surah Al Baqarah : ayat 205]

"Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa." [Surah An Nisaa’ : ayat 107]

"....... dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya, sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya." [Surah al-Hajj : ayat 18]

5 - Cinta kepada dunia dan hawa nafsu lebih daripada cinta kepada Allah dan RasulNya.

"Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq." [Suraah At Taubah : Ayat 24]

"Tidak (sempurna) iman seorang daripada kamu sehingga aku (Muhammad) lebih disayangi daripada hartanya, anaknya dan orang lain." [Hadits Riwayat Bukhari]

"Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkan dirinya padahal dia berilmu…" [Surah Al Jatsiyah : ayat 23]

6 - Orang yang sombong (takabbur).  "....... Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri." [Surah An-Nisaa' : ayat 36]

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." [Surah Luqman : ayat 18]

"Mahukah kamu aku beritahu tentang penduduk neraka? Mereka semua adalah orang-orang keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur (sombong)." [HR Bukhari no. 4918 dan Muslim no. 2853]

"Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi." Ada seseorang yang bertanya, "Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan selipar yang bagus?" Beliau S.a.w menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain." [HR Muslim no. 91]

Imam Adz-Dzahabi rahimahullahu berkata, "Kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi orang tersebut tidak bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Barangsiapa yang menuntut ilmu demi akhirat maka ilmunya itu akan menimbulkan hati yang khusyu' serta jiwa yang tenang. Dia akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk terus memerhatikannya, bahkan setiap saat dia selalu introspeksi dan meluruskannya. Apabila dia lalai dari hal itu, dia akan menyimpang dari jalan yang lurus dan akan binasa. Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk membanggakan diri dan meraih kedudukan, memandang remeh kaum muslimin yang lainnya serta membodoh-bodoh dan merendahkan mereka, maka hal ini merupakan kesombongan yang paling besar. Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar dzarrah (biji sawi).  Laa haula wa laa quwwata illaa billah." [3]

7 - Orang yang tidak tenang dan sentiasa resah-gelisah kerana dunia. "....... dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." [Surah al-An'aam : ayat 125]

8 - Orang yang menentang ajaran Islam.   Umar ibnu al-Khattab r.a berkata, "Kita dimuliakan Allah dengan Islam dan barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam, maka dia akan dihinakan." [Ibnu Abdil Birr dalam kitab Al-Mujalasah wa Jawahiril Ilmi, juz II, hlm 273]

"Dan tidaklah layak bagi orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah S.w.t dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa dia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata." [Surah al-Ahzab : ayat 36]

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq." [Surah Al-Ma’idah : ayat 49]

Baca selanjutnya lagi dalam tajuk Cinta kerana Allah S.w.t dan tanda-tanda bahawa Allah cinta kepada seseorang hamba

Sila baca juga Betulkah Cinta anda Cinta Sejati?
Sila baca juga Mahu rahmat Allah? Buatlah apa yang Allah suka setiap hari
Sila baca juga Tanda Cinta Allah Terhadap Hamba-Nya - Dr Wahbah az-Zuhaili

Rujukan:
1 - Badrul Tamam - Sakit; Tanda Cinta Allah Kepada Hamba 
2 - Syaikh 'Abd al-Hamid  ibn Abd Al-Rahman Al-Anquri - Buku 40 Nasihat Langit
3 - Al-Kabaa’ir ma’a Syarh li  Ibni al ‘Utsaimin hal. 75-76.  Dari tulisan Abu ‘Athifah Adika Mianoki. 

http://unikversiti.blogspot.com/2014/06/antara-tanda-tanda-allah-cinta-atau.html

Kulluhu Kheir. Semuanya Baik

Kulluhu Kheir. Semuanya Baik.... kerana semua itu termasuk di dalam Aturan Allah سبحانه وتعالى.
"Sepertimana ada di satu zaman. Seorang Raja yang mempunyai seorang sahabat setia yakni Menteri yang selalu bersama sama dengannya. Ada satu hari, jari Raja itu terpotong atau terputus dari anggotanya, lalu dia mengadu kepada sahabat baiknya bahawa jarinya sudah terpotong. Kemudian Sahabat baiknya itu hanya sebut Kalimah Kulluhu Kheir.

Jari saya sudah terpotong juga Kulluhu Kheir? Ya, Kulluhu Kheir, semuanya baik, mungkin ada Hikmah sebaliknya. Raja itu tidak senang dengan jawapan yang diberikan oleh sahabat baiknya itu,lalu dia panggil tenteranya untuk masukkan menteri itu ke dalam penjara. Menteri itu tetap menyebut Kulluhu Kheir walaupun sudah berada di dalam penjara.

Sebagaimana biasa iaitu pada setiap Jumaat, Raja itu mesti keluar berjalan-jalan bersama-sama Menterinya. Tetapi pada hari itu Raja hanya keluar seorang diri sahaja kerana Menterinya sudah berada di dalam penjara. Raja itu keluar dengan kudanya ke luar negeri sehingga baginda tidak sedar bahawa dirinya sudah masuk ke dalam hutan. Kemudian Raja itu ditangkap oleh beberapa puak penyembah matahari. mereka tidak tahu yang dia seorang Raja dan mereka hendak korbankan Raja itu untuk Tuhan mereka.

Syarat korban mereka itu mestilah yang tidak cacat dan mesti sempurna. Mereka dapati Raja itu tidak sempurna kerana jarinya cacat. lalu mereka melepaskan raja. Terus Raja itu teringat kepada sahabat baiknya yang selalu sebut Kulluhu kheir. Raja itu pulang dan berjumpa dengan Menterinya dan membebaskan menterinya itu, dia ceritakan semua perkara yang terjadi ke atasnya kepada menterinya.

Kemudian menteri itu kata, Syukurlah saya tidak ikut kamu. Jika saya tidak berada di dalam penjara ini sudah tentu saya yang menjadi korban mereka. kenapa? kerana sifat saya masih sempurna.

MasyaAllahh. Kulluhu Kheir. semuanya baik atas Kehendak Allah. Allah tidak sia sia kan setiap Keadaan dan Aturan Nya kepada hamba hamba Nya. "

Pengajaran: Bersangka baiklah sentiasa terhadap Allah. Sesuatu yang terjadi, semuanya dalam ketentuan-Nya. Dia yang Maha Mengetahui.

-Murobbi Syeikh Abdullah Salim Al Jahaf-

Ibadah Berterusan

by-Rosli Ibrahim
Gambar hiasan saja
Assalamualaikum wbt...tazkirah Khamis..

Ibadah berterusan biarpun sedikit beri lebih ganjaran..

SETIAP amalan baik akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sebaiknya amalan itu mesti dilakukan berterusan. Amalan dilakukan umat Islam adalah ibadah ke arah membentuk keperibadian Muslim sejati.

Daripada Aisyah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Menurut ‘Aun al-Ma’bud, Allah tidak jemu memberikan ganjaran sesuatu amalan selagi seseorang tidak jemu beramal.

Seterusnya, sahih Muslim menyatakan amalan sedikit tetapi berterusan lebih baik daripada amalan banyak tetapi terputus kerana seorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan.

Amalan dalam Islam meliputi ibadat solat, zakat, puasa, haji dan umrah serta amalan lain seperti sedekah, amal kebajikan, kebersihan dan berkorban kerana agama mesti dilakukan berterusan.

Konsep ibadat dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohani dan jasmani. Setiap orang Muslim dapat mencampurkan kehidupan antara dunia dan akhirat. Ia adalah kombinasi indah dalam Islam yang tidak terdapat dalam agama lain.

Orang yang sembahyang kerana mengikut perintah Allah semata-mata akan mendapat keredaan-Nya begitu juga ibadat lain. Bukhari dan Muslim menceritakan, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya segala amal itu hendaklah dengan niat.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak diperintahkan selain menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5) Umat Islam tidak digalak melengahkan amalan baik. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang melambatkan amalan, keturunannya tidak akan bersegera untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu ‘Aun al- Ma’bud menyatakan, seseorang yang amalan buruknya menyebabkan penangguhan dan pengabaian amalan baik, maka keturunannya tidak dapat memberikan manfaat di akhirat. Ada beberapa amalan baik seperti menjaga kesihatan dan kebersihan, menghentikan tabiat berlebihan, merokok, selalu beribadah serta tidak minum minuman keras.

Amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah ialah solat berjemaah, membaca al-Quran sementara bermuhasabah serta memperjuangkan Islam juga boleh meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang benda yang tidak disukai adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, melakukan amalan secara berterusan memerlukan proses pendidikan sejak kecil. Imam Al-Ghazali berkata: “Kesempurnaan yang hakiki ialah ilmu dan amal. Selain dua hal ini adalah kesempurnaan bayangan, sebab pasti akan lenyap selepas yang memilikinya itu meninggal dunia.”

Melakukan sesuatu ibadah mesti ikhlas hanya kerana Allah supaya amalan itu diterima.

Wallahuaklam. ..

Follow by Email