Selasa, 9 Disember 2025

BERNIAGALAH DENGAN JUjUR

☆Tadabbur Kalamullah 15 Jamadil Akhir 1447H☆

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا 

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu" [Surah an-Nisāʾ 29]

Islam amat menggalakkan umatnya mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya. Dan pastikan perniagaan yang dijalankan mengikut ketetapan syariat dan jangan sesekali terlibat dengan suasana yang haram. Nabi saw bersabda:

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ

"Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid" (HR at-Tirmizi) 

Ramai di kalangan sahabat Nabi saw dan tokoh Quraisy adalah usahawan sejak dari zaman Jahiliyah lagi. 

Ibn Qutaibah menyebut: Dalam kalangan tokoh Quraisy sebelum kedatangan Islam, pekerjaan mereka adalah seperti berikut:

1. Abu Talib bekerja sebagai penjual minyak wangi, dan kadangkala menjual gandum (atau hasil bijirin).

2. Abu Bakar al-Siddiq bekerja sebagai penjual kain (bazzaz).

3. Uthman bin ‘Affan juga merupakan penjual kain.

4. Talhah bin ‘Ubaidillah adalah penjual kain.

5. Abd al-Rahman bin ‘Auf juga merupakan penjual kain dan bahan makanan seperti tamar.

6. Sa‘d bin Abi Waqqas membuat anak panah (tukang pemotong batang anak panah).

7. Al-‘Awwam, bapa kepada al-Zubair, adalah seorang tukang jahit.

8. Al-Zubair bin al-‘Awwam bekerja sebagai pelapah dan penjual daging.

9. Amr bin al-Aṣ juga merupakan pelapah dan penjual daging.

10. Al-‘Aṣ bin Hisham, saudara kepada Abu Jahl, adalah tukang besi.

11. ‘Amir bin Kuraiz juga bekerja sebagai pelapah dan penjual daging.

11. Al-Walid bin Al-Mughirah bekerja sebagai tukang besi.

12. Uqbah bin Abi Mu‘ait bekerja sebagai penjual arak.

13. Uthman bin Talhah, yang telah diserahkan oleh Rasulullah kepadanya kunci Kaabah, adalah tukang jahit.

14. Qais bin Makhramah juga bekerja sebagai tukang jahit.

15. Abu Sufyan bin Harb adalah penjual minyak zaitun dan barangan kulit (Lihat: al-Ma’arif)

Setelah sebahagian mereka memeluk Islam, mereka menjadi peniaga yang jujur dan mentaati hukum hakam yang ditetapkan Allah dalam hal ehwal perniagaan. 

Dr. Husam al-Din ‘Afanah menyebut dalam Fiqh al-Tajir al-Muslim: Para sahabat, semoga Allah meredhai mereka, telah mencontohi Nabi saw. Mereka kerap mengunjungi pasar dan menjalankan perniagaan dengan harta mereka, dan mereka tidak melihat sebarang kesalahan dalam hal tersebut.

Ahli hadis, sejarah dan sirah telah menyebut beberapa orang sahabat yang terlibat dalam bidang perdagangan, antaranya ialah Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar, Sayidina Uthman, Sayidina Talhah, Sayidina Abdul Rahman bin Auf, Sayidina Abdullah bin Umar, Sayidina Zaid bin Arqam, Sayidina al-Bara’ bin ‘Azib, dan Sayidina al-Zubair bin al-‘Awwam semoga Allah meredhai mereka semua. 

Ibn Sa‘d menyatakan dalam kitab al-Tabaqat dalam biografi Sayidina Abu Bakar r.a bahawa beliau seorang peniaga; beliau keluar ke pasar pada waktu pagi untuk menjual dan membeli. 

Ibn Sa‘d juga menyebut bahawa Sayidina Uthman r.a adalah seorang pedagang semasa zaman Jahiliyah dan selepas kedatangan Islam. (Lihat: al-Tabaqat) 

Ramai di kalangan sahabat Nabi saw adalah tokoh masyarakat yang berharta, berpengaruh, dan dihormati, serta sangat dipercayai dalam urusan perniagaan dan muamalat. Kejujuran, akhlak mulia, dan kebijaksanaan mereka menjadi antara faktor kejayaan mereka sebagai peniaga yang jujur dan bertaqwa dalam masyarakat Madinah. Contohilah mereka!!

🐊Ust Naim -*Telegram Channel*

MATI ADALAH PASTI

Tadabbur Kalamullah 14 Jamadil Akhir 1447H


☆ كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ 
 "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati" [Surah Āli-ʿImrān 185] 

 Ayat ini menekankan bahawa kematian adalah kepastian, sebahagian dari ujian hidup, dan semua manusia akan kembali kepada Allah swt. 

 Siapa tidak sedih apabila orang yang disayangi seperti ibu ayah, pasangan, anak-anak atau teman-teman baik tiba-tiba dijemput pulang ke alam abadi. Namun, itulah bezanya jiwa seorang Muslim dengan orang kafir dalam menerima kematian sebagai ujian di dunia ini. 

Orang Islam menerima ujian kematian dengan sabar, redha dan doa. Bahkan dilarang sama sekali meratapi, meraung dan berlebih-lebihan dalam menangisinya kerana itu amalan Jahiliyah. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik r.a beliau berkata ketika putera Rasulullah saw, Sayidina Ibrahim meninggal dunia baginda menangis kerana kesedihan lalu berkata Sayidina Abdul Rahman bin Auf r.a kepada baginda saw:

 "Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah?"    
Maka sabda Rasulullah saw: "Wahai anak Auf. Sungguhnya ia adalah rahmat". 
Kemudian Rasulullah bersabda: "Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhnya kami sedang bersedih dengan perpisahan ini wahai Ibrahim" (HR al-Bukhari) 

 Dalam ajaran Islam, apabila seseorang menerima berita kematian, kita dianjurkan untuk mengungkapkan doa sebagaimana hadis daripada Sayidina Ummi Salamah r.ha katanya Rasulullah saw bersabda: "Jika ada diantara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata :

 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ عِنْدَكَ أَحْتَسِبُ مُصِيبَتِي، فَآجِرْنِي فِيهَا، وَأَبْدِلْ لِي بِهَا خَيْرًا مِنْهَا 

 "Sesunggunya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali pada-Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu, dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik dari musibah ini" (HR Abu Daud) 

Mengenang orang sudah tiada tidaklah salah tetapi jika dilakukan dengan perasaan takjub dan taksub, ia boleh membawa mudarat. Tiada seorang manusia berhak dipuja dan disanjung berlebihan apatah lagi mereka yang sudah tiada di dunia ini. 

Ulamak terkenal, Muhammad ibn Isma’il as-Shan’ani rahimahullah berkata: "Meratapi mayat adalah menangis dengan mengeraskan suara sambil menyebutkan sifat dan keadaan mayat serta perbuatan dan jasa-jasa baiknya". Hadis tersebut sebagai dalil yang menunjukkan haramnya yang demikian, dan ini disepakati ulamak (Lihat: Subulus Salam)  

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata: "Meratap adalah perbuatan haram dan sangat buruk. Ia harus ditinggalkan dan dicegah kerana dapat menambah duka, menyingkirkan kesabaran, menyalahi kepasrahan terhadap ketetapan Allah, dan tidak tunduk pada perintahNya"

(Lihat: Syarh Shahih Muslim) #Apa yang lebih baik adalah dengan mendoakan kesejahteraan si mati. Doa sebaiknya dipanjatkan kepada Allah swt. Mengadulah segalanya kepada Dia yang satu bukan melalui media sosial atau individu yang tidak memberi manfaat kepada si mati. 

Semoga semua kita yang pernah dan sedang diuji dengan keperitan kehilangan orang tersayang terus diberi kekuatan dan keimanan yang mantap. Semua kita adalah pinjaman Allah swt♡ 

 🐊Ust Naim

BERNIAGALAH DENGAN JUjUR

☆Tadabbur Kalamullah 15 Jamadil Akhir 1447H☆ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّ...