Isnin, 22 Ogos 2011

Kenapa Harus Berzikir?



Berikut beberapa manfaat  berzikir :
1. Membuat hati menjadi tenang. Allah berfirman, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Ar Ra’d : 28)
Kebanyakan orang pada ketika mengalami pelbagai masalah atau berhadapan dengan kesulitan baharulah mencari cara - cara yang salah untuk dapat mencapai ketenangan hidup. Di antaranya dengan mendengarkan muzik yang diharamkan Allah, meminum minuman keras [arak],mengambil dadah atau pil hayal yang ternyata menyalahi tuntutan agama dan sudah semestinya haram.  Dengan harapan untuk mendapatkan ketenangan ! . Namun, apa yang perolehi  bukanlah ketenangan yang hakiki, tetapi ketenangan yang palsu [ sementara]. Ini kerana cara - cara yang tersebut itu nyata sekali dilarang oleh Allah dan Rasul - Nya.
Ingatlah firman Allah ‘Azza wa Jalla di atas, sehingga bila kita mendapat musibah atau kesulitan yang membuat hati menjadi gundah, maka ingatlah Allah, insya Allah hati menjadi tenang.

2. Mendapatkan pengampunan dan pahala yang besar.
“Laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Al Ahzab : 35)

3. Dengan mengingat Allah, maka Allah akan ingat kepada kita.
Allah berfirman, “Kerana itu, ingatlah kamu kepada Ku, niscaya Aku ingat (pula) kepadamu (dengan memberikan rahmat dan pengampunan)”.
(Al Baqarah : 152)

4. Allah memerintahkaan agar kita  berzikir sebanyak - banyaknya. Firman Allah ‘Azza wa Jalla “Hai orang - orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak - banyaknya. Dan bertasbihlah kepada - Nya di waktu pagi dan petang.” (Al Ahzab : 41 - 42)

5. Banyak menyebut nama Allah akan menjadikan kita beruntung.
Allah SWT berfirman “Dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (Al Anfal : 45)

6. Zikir kepada Allah merupakan pembeza antara orang mukmin dan munafik. Ini kerana sifat orang munafik adalah tidak mahu berzikir kepada Allah kecuali hanya sedikit saja. Allah berfirman, “Sesungguhnya orang - orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.” (An Nisaa’ : 142)

7. Zikir merupakan amal ibadah yang paling mudah dilakukan.
Banyak amal ibadah yang  mudah untuk kita lakukan. Contohnya : Membaca bismillah ketika akan makan / minum· Membaca doa keluar / masuk bilik mandi.  Membaca zikir - zikir sewaktu pagi dan petang · Membaca doa keluar / masuk rumah · Membaca doa ketika turun hujan · Membaca zikir setelah hujan turun· Membaca doa ketika berjalan menuju masjid · Membaca zikir ketika masuk / keluar masjid · Membaca hamdalah ketika bersin · Membaca zikir - zikir ketika akan tidur · Membaca doa ketika bangun tidur , dan lain - lain. Apabila  kita tinggalkan, maka rugilah kita daripada memperoleh ganjaran yang harusnya kita dapat,  walaupun ia mudah untuk diperolehi. Cuba hitung berapa banyak kita keluar masuk kamar mandi dalam sehari?

, “Mereka menjawab, ‘Maha suci Engkau ,
tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang
telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya
Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana
(Al-Baqarah: 32)

Solat Tahhajud, Solat Taubat SELEPAS Selepas Solat Witir?


SOALAN:
ADAKAH saya boleh mengerjakan solat tahhajud, Taubat dll apabila saya bangun untuk bersahur mengambilkira Solat Witir yang merupakan penutup semua solat yang telah saya laksanakan semasa mengerjakan Solat Tarawih.

JAWAPAN:
Boleh mengerjakan solat tahajud,hajat atau apa saja solat walaupun solat witir telah dikerjakan selepas solat tarawikh. 
Dengan kata lain, apabila seseorang yang telah melakukan solat witir sebelum tidur, maka apabila dia terjaga malam, lalu melakukan solat tahajjud, tidak perlu lagi dia ‘membuka solat witir’ ataupun melakukan solat witir lagi,teruskan sahaja solat sunat yang lain. Soalan ini pernah ditanya kepada bekas Mufti Arab Saudi, syiekh Abdul Aziz bin Baaz :-

وسئل الشيخ ابن باز :
إذا أوترت أول الليل ثم قمت في آخره فكيف أصلي ؟
فأجاب : إذا أوترت من أول الليل ثم يسر الله لك القيام في آخره فصل ما يسر الله لك شفعاً – يعني ركعتين ركعتين – بدون وتر ، لقول النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (لا وتران في ليلة) .
ولما ثبت عن عائشة رَضِيَ اللَّهُ عَنْها أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كان يصلي ركعتين بعد الوتر وهو جالس ، والحكمة في ذلك -والله أعلم- أن يبين للناس جواز الصلاة بعد الوتر

“Soalan : Jika saya telah bersolat Witir pada awal malam, kemudian saya bangun solat pada akhir malam, bagaimana harus saya solat?

Jawapan : Jika anda telah solat witir pada awal malam kemudian Allah memudahkan kamu berqiam pada akhir malam, maka solatlah mana yang anda mampu, yakni dua rakaat, dua rakaat – tanpa witir. Kerana Nabi  bersabda : Tidak ada dua witir dalam satu malam.

Dan telah diriwayatkan dari A’isyah ra. bahawa Nabi  pernah bersolat 2 rakaat selepas witir dalam keadaan baginda duduk, hikmah melakukan begitu cuma Allah yang tahu – adalah ingin memberitahu kepada manusia bahawa dibenarkan solat selepas witir”
 [Majmu' fataawa al-Syiekh ibn Baaz, 11/311].

Sumber :http://halaqah.net



BERDOA

Soalan: Biasanya apabila selesai solat dan sebelum solat kita disuruh berdoa kerana doa itu sendiri adalah intisari kepada ibadah, tetapi saya hairan kerana ada orang yang berani mengatakan ianya bidaah dan sesat. Bagaimana pendapat tuan dalam perkara ini?

– Ismail Mukhtar, Gopeng, Perak.

JAWAPAN: Kepada mereka yang sudah biasa dengan sikap suka menyalahkan orang lain dan selalu membuat tuduhan kepada orang lain dengan perkataan tersebut dinasihatkan supaya berhati-hati dalam melemparkan sebarang tuduhan kerana dibimbangi suatu perkara itu ada dalil dan hujahnya sekalipun secara umum atau isyarat atau mafhum sama ada dari hadis atau al-Quran sendiri. Nanti apa pula jadinya dengan apa yang diarah oleh Allah dan Rasul-nya kita katakan perkara itu juga bidaah dan sesat. Tentu cakap mereka seperti itu lebih sesat dan karut lagi.

 Ini kerana sesuatu itu sekalipun ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi tidak semestinya ia bidaah kerana ia satu perkara yang pernah disuruh dan diarahnya. Sebagai contoh seperti amalan membaca al-Quran di hari kematian untuk keluarga si mati yang berada dalam kesedihan. Kita hari ini senang-senang mengatakan ianya bidaah dan sesat tetapi bagaimana jika al-Quran atau hadis yang mengarahkan kita melakukannya sama juga dengan doa tadi?

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: Tuhan kamu telah berfirman berdoalah memohon kepada-Ku akan-Ku perkenankan (sebarang pintamu), sesungguhnya mereka yang menyombong diri dari beribadat kepada-Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina dina (Surah Ghafir ayat 60). Arahan tersebut adalah berbentuk  itlak tanpa sebarang qaid bila dan di mana lebih-lebih lagi selesai amalan solat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Doa itu sendiri adalah otak (intisari) kepada ibadah.

Manakala dalam suatu hadis lain Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sungguhnya orang yang paling bakhil itu, mereka yang bakhil untuk memberi salam (keselamatan dan kesejahteraan) dan selemah-lemah manusia ialah mereka yang lemah dari memanjatkan doanya kepada Allah s.w.t., ( Ahmad dan lain-lain). Kata Baihaqi perawinya adalah sahih.

Kita harapkan kalaupun sesuatu itu kurang tepat, cara dan teknikalnya janganlah cepat mengatakan ianya bidaah. Ini kerana ianya boleh diperbaiki dari semasa ke semasa tetapi kenalah memisahkan antara cara dan alat (teknik) dan maqasid (matalamat dan ghayahnya) sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah sendiri apabila ingin membuat teguran kepada sahabatnya Abu Bakar semasa kesilapannya melakukan rukuk di luar saf di belakang barisan jemaah lain. Apa kata baginda terhadap Abu Bakar, Allah menambah kamu semangat (ingin mendapakan fadilat jemaah) sehingga melakukan rukuk di luar saf dan jangan ulangi lagi (amalan salah itu) ( Bukhari).

Demikianlah sepatutnya bagi mereka yang ingin membuat sebarang teguran terhadap mana-mana kumpulan masyarakat dalam amalan agama kita, seperti amalan doa amar makruf mengadakan jamuan dan sebagainya. Sikap berhati-hati itu amat disanjung dalam lslam dan jangan mudah hilang pertimbangan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: hendaklah kamu bercermat dan berhati-hati kerana dengannya, semua perkara akan menjadi baik dan tanpanya segala perkara akan menjadi rosak dan cacat ( Bukhari Muslim).

Wallahualam

Hukum Berdoa Dengan Mengangkat Tangan


Imam Bukhari telah mewujudkan satu bab khusus mengenai mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa. Kemudian beliau telah menyebut tiga hadith menyokong pendapatnya bahawa berdoa mengangkat kedua belah tangan memang suatu amalan yang disyariatkan. Ketiga-tiga hadith tersebut ialah :

1. Hadith pertama ini adalah daripada Abu Musa al 'Asy'ari radiyaLlahu anhu katanya yang bermaksud : "Berkata Abu Musa al 'Asy'ari : "Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah berdoa sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya. Di saat itu aku terlihat warna putih kulit di bawah kedua-dua ketiaknya."

2. Hadith kedua ialah daripada AbduLlah Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu, katanya yang bermaksud : "RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat kedua-dua tangannya sambil berdoa: "Wahai Tuhanku! Aku berlindung denganMu daripada segala kejahatan Khalid".

3. Hadith ketiga daripada Abu AbdiLLah, katanya yang bererti :

"Kata Uwaisi: "Muhammad bin Ja'afar telah memberitakan kepadaku daripada Yahya bin Sa'id dan Syarik, bahawa kedua-duanya telah mendengar daripada Anas, daripada Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam, bahawa Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat kedua-dua tangannya (ketika berdoa) sehingga aku nampak kulit berwarna putih di bawah kedua-dua ketiak RasuluLlah sallaLlahu 'alaii wasallam


(sumber : Fathul Bari li Ibni Hajar jilid 18/ m.s 113)

Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani telah mengulas hadith di atas dengan katanya :

Maksudnya : "Hadith pertama menjadi hujah untuk menolak pendapat orang yang mengatakan bahawa berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangan sehingga menampakkan kulit berwarna putih di bawah ketiak tidak boleh dilakukan melainkan berdoa meminta hujan. Bahkan hadith pertama juga dan hadith berikutnya menjadi dalil bagi menolak pendapat orang yang mengatakan bahawa kedua-dua tangan langsung tidak boleh diangkat semasa berdoa melainkan berdoa meminta hujan. Mereka berpegang dengan kepada hadith Anas yang bermaksud : "Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam langsung tidak pernah mengangkat kedua-dua tangannya ketika berdoa melainkan berdoa meminta hujan sahaja."

Hadith ini memang sahih, tetapi para ulama' telah menyatukan maksud Hadith Anas bin Malik ini dengan ketiga-tiga Hadith di atas tadi dan semua Hadith yang mempunyai makna sepertinya, dengan pentafsiran bahawa penafian mengangkat tangan oleh RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang dinyatakan oleh Anas ialah dari segi cara mengangkat tangan sahaja dan bukannya menafikan langsung tidak mengangkat tangan,"


Kesimpulannya, cara mengangkat tangan ketika berdoa untuk meminta hujan berbeza dengan cara mengangkat tangan ketika berdoa untuk tujuan lainnya.

Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa untuk meminta hujan adalah lebih tinggi iaitu sehingga kedudukan kedua-dua tangan sampai menyamai paras muka dan mengangkat tangan ketika berdoa untuk lainnya ialah hanya setakat menyamai paras kedua-dua bahu sahaja. (Dalam masa yang sama) jangan terkeliru dengan hadith-hadith yang menyebutkan :

"Sehingga dapat dilihat kulit putih kedua-dua ketiaknya" ketika berdoa untuk meminta hujan dan untuk lainnya. Bahkan hendaklah disatukan kedua-dua riwayat ini dengan maksud, kulit putih di bawah kedua-dua ketiak lebih banyak dapat dilihat ketika berdoa meminta hujan berbanding berdoa untuk tujuan lainnya. Boleh jadi juga kerana kedua-dua telapak tangan semasa berdoa meminta hujan ditelungkupkan ke bawah iaitu menghadap ke permukaan bumi, sedangkan berdoa untuk tujuan lainnya, kedua-dua telapak tangan dihalakan ke langit."


Berkata Imam al Munziri :"Kalau diandaikan hadith-hadith tersebut tidak dapat disatukan maksudnya, maka mensabitkan wujudnya perbuatan mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa untuk meminta hujan dan untuk tujuan lainnya oleh Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam mestilah diberikan keutamaan berbanding sebaliknya (berdoa dengan langsung tidak mengangkat kedua-dua tangan untuk tujuan lainnya).

Kata Ibnu Hajar al Asqolani : "Saya ingin tegaskan: "Lebih-lebih lagi kerana banyak hadith-hadith yang diriwayatkan telah memberikan penjelasan mengenainya.


Imam an Nawawi telah mengulas Hadith Anas yang menafikan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa dengan katanya : "Hadith Anas ini dari segi zahirnya telah menimbulkan kekeliruan bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengangkat tangan ketika berdoa melainkan berdoa untuk meminta hujan. Hakikat sebenar dalam permasalahan ini bukannya begitu. Bahkan telah wujud hadith-hadith sahih yang menyatakan bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat tangan ketika berdoa di banyak tempat selain daripada berdoa meminta hujan. Ianya terlalu banyak untuk dihitung! Aku telah menghimpunkan lebih kurang 30 hadith yang berkaitan dengan RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa, yang dipetik daripada kitab Sahih Bukhari dan Muslim atau salah satu daripada keduanya dan aku telah memuatkannya di dalam kitab Syarhu al Muhazzab pada akhir Bab Sifat Solat.

Hadith Anas tadi hendaklah ditafsirkan bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak mengangkat tangannya ketika berdoa sehingga menampakkan kulit putih dibawah kedua-dua ketiaknya melainkan berdoa untuk meminta hujan atau ianya bermaksud Anas RadiyaLLahu anhu tidak pernah melihat Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa, tetapi para sahabat lainnya melihatnya mengangkat tangan. Justeru itu, kita perlu memberi keutamaan kepada para Sahabat yang memperakui bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangannya ketika berdoa yang berlaku dalam banyak peristiwa kerana bilangan mereka ramai berbanding dengan Anas seorang sahaja yang menafikankanya disebabkan
ketiadaannya.

Kata-kata Anas radiyaLlahu anhu mestilah ditafsirkan semula seperti yang telah kami sebutkan tadi. WaLlahua'lam.

(Sumber : Syarh an Nawawi 'ala Muslim Jilid 3/ m.s 299)

Sumber ambilan : Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al Hafiz, Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadith Dan Ulama'Muktabar, Cetakan Pertama 2008, D'nonce Sdn Bhd, Kelantan

Sumber
Http://jomfaham.blogspot.com

Ahad, 21 Ogos 2011

SIAPA LAYAK DAPAT AL QADR

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).


Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).
Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.
Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”


Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.
Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.


Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.
Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.


Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.
Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.
Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.


Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”


Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.
Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.


Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.


Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”
Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.


Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

KESABARAN SEORANG NABI DAN RASUL


Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”
(Bukhari)

Huraian:

Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Kelebihan Sayidina Umar Dalam Ilmu Agama


Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a: “Rasulullah SAW pernah bersabda: “Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat Nabi SAW bertanya: “Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”

Huraian:

Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa
zaman jahiliah.

Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau.

Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil.

Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih 
digeruni oleh syaitan daripada seribu orang ‘Abid (orang yang banyak beribadat)”

(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Enggan Masuk SYURGA


Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.”
(al-Bukhari)

Huraian:

Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Kesimpulan daripada hadis di atas ialah bahawa orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
[ Riwayat Abu Daud ]

Huraian:
·         Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
·         Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti

Kelebihan Mukmin dan Kekurangan Kafir


Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”
(Muslim)

Huraian:
Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir.
Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.


Menjadikan Harta Jambatan IBADAH


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”
Riwayat at-Tirmidzi
Huraian:
  • Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.
  • Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.
  • Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Ucapan Yang Dibalas Dengan Yang Lebih Baik


Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.”
(Muslim)

Huraian:
Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.


SEJARAH NUZUL al-QURAN


Bulan Ramadhan bulan penuh berkat dan pengampunan dosa bagi umat manusia yang menunaikan segala kewajipan serta diperlengkapkan pula dengan amalan sunat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Tiada pernah rasa cukup dengan amalan soleh yang telah dilakukan dan tidak pernah senang dengan kesilapan yang dibuat. Sentiasa mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah dalam mencari kebahagiaan hakiki. Tidak pernah tamak pada dunia tetapi tidak pula lupa melaksanakan tanggungjawab sebagai bekalan untuk ke akhirat. Setiap pekerjaan dunianya ditunaikan kerana Allah serta ia dilakukan dibawah garisan yang telah ditetapkan oleh Islam.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai golongan yang hanya solat tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan keletihan, golongan yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga, golongan yang banyak membaca al-Quran tetapi al-Quran melaknatnya.

Dalam meneruskan sisa-sisa Ramadhan yang masih ada ini marilah kita menyoroti suatu peristiwa penting yang telah menjadi pemangkin kepada dakwah Rasulullah s.a.w iaitu Nuzul al-Quran iaitu bermulanya penurunan al-Quran sebagai wahyu kepada kita umat akhir zaman di mana mukjizatnya terus kekal sehingga hari qiamat.Al-Quran merupakan sumber rujukan pertama kepada seluruh umat nabi Muhammad s.a.w dalam menerusi liku-liku kehidupan di dunia fana ini di mana isinya mengandungi pelbagai aspek kehidupan.


KEBANGKITAN SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN

Kehidupan Rasulullah s.a.w dalam masyarakat sekeliling yang dibelenggu kegelapan jahiliyah, penyembahan berhala dan adat-adat yang sesat. Masyarakat Arab sudah lama terpisah dengan zaman kenabian menyebabkan mereka terus hanyut dalam gelora lautan kesesatan yang mengganas. Namun begitu keadaan nabi tetap dijaga dan dikawal oleh Allah agar tidak turut sama terheret dengan amalan hidup yang sesat ini. Keadaan yang semakin hari semakin terhimpit dengan tekanan jahiliyah dan kesesatan ini telah menyebabkan nabi mengambil tindakan untuk bermunajat kepada Allah dengan berkhalwat di Gua Hira’. Baginda bersendirian dengan bekalan makanan selama beberapa malam berturut-turut.

Pada 17 Ramadhan dalam usia nabi mencapai 40 tahun bersamaan 6 Ogos 610M maka pada saat inilah turunnya wahyu pertama yang juga sebagai pengiktirafan sebagai nabi akhir zaman.Nabi didatangi oleh malaikat Jibril lalu malaikat berkata : “Bacalah”, baginda menjawab : ” Saya tidak tahu baca”.

Maksud kisah yang diberitahu sendiri oleh Rasullah s.a.w ketika turunnya wahyu ini dalam suatu hadis yang mafhumnya :”…. lalu malaikat itu memeluk saya dengan kuat sehingga saya tidak mampu bergerak. Kemudian dilepaskannya saya sambil katanya :” Bacalah” lalu saya menjawab :”Saya tidak tahu membaca”. Sekali lagi saya dipeluk sehingga mencemaskan saya, kemudian dilepaskan dan katanya lagi :” Bacalah”, saya tetap menjawab :” Saya tidak tahu membaca”. Kali ketiga dia memeluk saya tetapi dilepaskan lalu membaca ayat 1-5 surah al-’Alaq yang bermaksud:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah Mencipta. Dia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah kerana Tuhanmu itu Amat Mulia yang mengajar dengan perantaraan qalam. Dia telah mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu”.

Keadaan nabi yang ummi atau buta huruf bukanlah menunjukkan kelemahan nabi tetapi sebaliknya untuk menangkis tuduhan liar yang mengatakan bahawa nabi sendiri yang menulis wahyu dengan ilmunya yang ada hasil daripada pengajiannya dengan cendikiawan dan pendeta yahudi atau Kristian. Wahyu yang pertama ini memberi peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya ilmu pengetahuan yang akan menunjukkan secara jelas antara yang benar dan salah. Cara penerimaan wahyu ini menunjukkan bagaimana jalan terbaik dalam menuntut dan menerima ilmu iaitu mesti melalui guru dan juga berhadap serta berjumpa antara murid dan gurunya.

PERANAN SITI KHADIJAH
Setelah melalui peristiwa yang tidak pernah terfikir dan diketahui olehnya memandangkan umat Arab telah begitu lama terpisah dengan kenabian maka nabi terus pulang dalam keadaan terketar-ketar kerana ketakutan. Setelah tiba di rumah lalu baginda meminta agar diselimutkannya. Siti Khadijah sebagai seorang isteri yang cinta dan taat kepada suaminya terus menyelimutkan baginda tanpa banyak bertanya.

Setelah keadaan nabi tenang barulah disoal mengenai peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan nabi ketakutan.Siti Khadijah sememangnya seorang wanita yang cerdik dan pernah mendengar tentang kenabian, para nabi dan malaikat melalui sepupunya Waraqah bin Naufal yang menganut agama Nasrani. Disamping itu dia juga mengenali nabi sebagai seorang yang baik dan elok akhlaknya serta disayangi oleh orang ramai. Oleh itu dia terlalu yakin bahawa nabi bukan terkena godaan syaitan atau jin sebaliknya merupakan makhluk pilihan Allah.

 Dengan suara yang lembut dan penuh hikmat lalu dia memberi semangat kepada nabi dengan katanya : “Demi Allah! Dia tidak akan mengecewakanmu, engkau adalah orang yang sentiasa menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang susah, memenuhi keperluan orang lain, melayan tetamu dan menyampaikan amanah kepada yang berhak”.

Kata-kata ini memberi semangat baru kepada nabi di mana kita dapat lihat betapa pentingnya peranan isteri dalam menjayakan dakwah suaminya. Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah ketika baginda berusia 25 tahun sedangkan Siti Khadihah merupakan seorang yang telah menjangkau usia 40 tahun namun keadaannya dengan izin Allah bagaikan anak dara berusia 17 tahun. Usia bukan matlamat perkahwinan ini tetapi sifat keibuan dan kematangan yang ada pada Siti Khadijah merupakan aset penting kepada diri Rasulullah s.a.w. Ketenangan Siti Khadijah dalam menghadapi situasi yang mencemaskan ini banyak membantu nabi s.a.w. untuk mengawal situasi yang dihadapi.


BERTEMU WARAQAH BIN NAUFAL

Siti Khadijah membawa nabi untuk bertemu dengan sepupunya Waraqah bin Naufal bagi mengetahui secara lebih lanjut berkenaan dengan apa yang telah berlaku ke atas nabi itu.

Setelah mendengar penjelasan daripada nabi tentang apa yang telah berlaku kepada Waraqah lalu beliau mengatakan : ” Demi Allah yang jiwaku ini ditanganNya! Sesungguhnya engkau ini adalah nabi untuk umat ini, engkau telah didatangi Namus agung(malaikat Jibril) yang pernah mendatangi Musa dan engkau kelak akan dikatakan berbohong, engkau akan mereka sakiti, akan mereka usir dan mereka perangi”.

Ucapan Waraqah yang mengatakan :” Engkau kelak akan mereka usir” itu sungguh memeranjatkan Rasulullah s.a.w, kerana pada pengetahuan baginda bahawa dirinya mendapat penghargaan di sisi kaum Quraisy sehingga mendapat gelaran ” As-Siddiq” dan “Al-Amin”, lalu kata baginda dengan kehairanan : “Apakah mungkin mereka akan mengusir saya?”.

Waraqah dengan tegas menjawab :” Ya! Semua yang membawa tugas seperti yang engkau bawa ini tetap dimusuhi dan diperangi oleh manusia, andainya aku masih hidup pada waktu itu, akan aku bantu engkau seboleh-bolehnya”. Namun begitu setelah bermulanya dakwah Rasulullah s.a.w, Waraqah terlebih dahulu pergi menemui Allah di alam baqa.

Rujukan
1. Sirah an-Nabawiyah 1,Syeikh Hassan Ali Nadawi al-Husaini,Pustaka Reka,1997

Sumber :Metro-online

Sabtu, 20 Ogos 2011

22 ADAB DAN PETUA MEMBACA AL-QURAN


KETIKA membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya. Membaca Qur’an seharusnya sudah menjadi agenda harian kita. Dengan rutin membaca , maka kita akan dimudahkan melangkah ke tahap selanjutnya yaitu , berusaha mengerti dan memahami makna dari yang rutin kita baca tersebut.
Kita usahakan program rutin membaca Alquran menjadi bagian dari kebutuhan hidup kita, sebagaimana makan dan minum. Agar Al-Qur’an memberi bekas ke dalam hati, ada adab-adab yang perlu Anda perhatikan saat membacanya.

Berikut adalah ADAB MEMBACA al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:
1.       Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
2.       Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
3.       Membaca dalam keadaan berwuduk.
4.       Mengadap ke arah kiblat.
5.       Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
6.       Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
7.       Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.
8.       Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
9.       Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
10.   Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
11.   Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
12.   Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
13.   Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
14.   Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
15.   Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
16.   Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
17.   Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
18.   Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
19.   Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
20.   Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
21.   Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
22.   Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Sumber : Metro

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...