Memaparkan catatan dengan label AkhLaK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AkhLaK. Papar semua catatan

Khamis, 11 Oktober 2012

GANJARAN JIHAD TAATI SUAMI

Gambar hiasan

Wasiat Baginda Rasulullah SAW kepada puterinya Saidatina Fatimah az-Zahra’ berkaitan peranan dan ganjaran bagi seorang isteri yang solehah. Wasiat Baginda bukan khusus kepada puterinya saja bahkan ditujukan kepada semua wanita yang bergelar isteri.

Kata Baginda: “Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Allah memberikan kepadanya pahala 100 kali beribadah haji dan umrah.”

Alangkah besarnya pahala yang disediakan oleh Allah SWT kepada isteri yang mengamalkan apa yang disarankan Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengurniakan pahala 100 kali menunaikan haji dan umrah.

Justeru, semua Muslimah sepatutnya berlumba-lumba mengejar tawaran pahala yang disediakan ini. Natijahnya akan terbentuklah sebuah rumah tangga yang aman sejahtera serta dilimpahi mawaddah dan rahmat daripada Allah SWT.

Seorang sahabat wanita bernama Zainab telah menemui Baginda Nabi SAW lalu berkata: “Aku telah diutuskan oleh kaum wanita kepada Engkau Ya Rasulullah. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka mati pula, mereka akan hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Bagi kami kaum perempuan yang sering membantu mereka, apakah pula balasan kepada kami? Sabda Rasulullah SAW: Sampaikan kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Kewajipan isteri melayani suaminya yang sah meliputi semua keperluan selagi tidak menyalahi hukum syarak. Baginda Rasulullah SAW mengajar isteri tindakan yang perlu dilakukan apabila si suami mahukan layanan termasuk dalam hubungan kelamin.

Panduan diberikan Baginda membuktikan Islam berusaha menutup pintu kejahatan dan mengutamakan naluri fitrah manusia, pada masa sama mengutamakan kebahagiaan rumah tangga. Apabila rumah tangga yang dibina bahagia, akan menangislah syaitan.

Sabda Baginda SAW: “Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk melakukan hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan melaknatnya hingga waktu pagi.” (Riwayat Bukhari)

Sabda baginda SAW lagi: “Jika seorang suami memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Riwayat ath-Thabrani)

Isteri perlu bersabar dengan kerenah suami, patuhilah dan taatilah segala permintaan suami selagi dia tidak menyuruh kepada kemungkaran. Suami perlu mempertimbangkan aspek kemanusiaan dalam mengeluarkan arahan kepada isteri.

Dikisahkan seorang sahabat wanita yang memiliki nilai kesabaran tinggi iaitu Ummu Sulaim. Menurut hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik, hasil perkahwinan Ummu Sulaim dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair.

Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita kematian anakku ini kepada suamiku.”

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, beliau bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab: Anak kita berada dalam keadaan aman. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim: Wahai suamiku, andai kata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian tuan empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya? Jawab suaminya: Tidak. Kemudian Ummu Sulaim berkata: Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali.”

Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia reda dengan takdir Allah. Subuh keesokannya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya di kalangan ulama yang terpilih.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu menghadapi detik kematian anaknya yang dicintai dan betapa bijaknya Ummu Sulaim menyampaikan berita duka itu kepada suami tercinta. Hebatnya nilai kesabaran isteri berdepan dengan situasi yang sedih dan getir.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mencontohi watak Abu Talhah dan meneladani watak Ummu Sulaim dalam melayari kehidupan rumah tangga pada zaman yang penuh pancaroba ini.

Firman Allah SWT: “…perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

SUMBER: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ganjaranjihadtaatsuami/Article

FATWA MEROKOK – Tokku Melaka & Tuan Minal

Merokok memudaratkan
Fatwa Merokok – Tokku Melaka & Tuan Minal

Tokku Melaka atau nama sebenarnya Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad @ Tokku Tuan Padang bin Sayyid Husain bin Sayyid Mustafa al-`Aidrus asy-Syafi`i rahimahumullah adalah seorang ulama yang terkenal di Trengganu. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Sayyid Embun Trengganu dan merupakan bapa mertua kepada seorang lagi ulama Trengganu yang terkenal iaitu Tuan Sayyid Abdur Rahman al-`Aidrus rahimahullah atau lebih dikenali dengan gelar Tokku Paloh. Tokku Melaka terkenal sebagai ulama yang rajin berdakwah dan menuntut ilmu sehingga beliau mengembara sehingga ke Melaka untuk tujuan tersebut. Dari situlah muncul gelaran Tokku Melaka kepada beliau. Dalam arena penulisan, beliau turut meninggalkan beberapa karya yang berbobot, antaranya:-

الفوائد في الصلاة و عوائد
هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان
تغريب الرجال في كسب الحلال
تعريف الخلان في تجويد القرآن
هداية الإخوان في اذكار الصلاة مع اركان
ترغيب العبادة في قرائة راتب الحداد

Kumpulan Wirid & Doa
Terjemahan Muqaddimah & Doa Dalailul Khairat.

Tokku Melaka adalah antara ulama yang mendokong pengharaman merokok. Bahkan beliau memiliki karangan bagi menjelaskan pegangan beliau tersebut yang diberi jodol “Hidayatul `Awaam fi bayani hukm syurbid dukhaan”.Dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa nama beberapa ulama yang mengharamkan merokok antaranya Syaikh Shalih al-Bulqini, Syaikh Ahmad al-Qalyubi, Syaikh Ibnu `Illan ash-Shiddiqi al-Makki, Habib Abu Bakar bin Salim, Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Atthas, Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan lain-lain rahimahumullahu jami`an. Beliau menulis, antara lain:-

“…. Telah menjazamkan dengan haram tembakau itu oleh beberapa ulama yang muhaqqiqun yang ikutan bagi sekalian kita, daripada ulama yang dalam negeri Makkah dan dalam negeri Yaman dan negeri Syam dan lain daripadanya. ………. Ada pun segala ulama daripada segala tuan – tuan Sayyid yang anak cucu Rasulullah SAW yang berkata mereka itu dengan haram minum (yakni menghisap) asap tembakau itu, maka mereka itu pun banyak juga. ………. Ketahui olehmu akan bahawa sesungguhnya adalah minum arak, dan afyun (opium/candu) dan asap tembakau (yakni merokok) itu setengah daripada segala jalan kafir dan segala mereka itu yang sesat dan yang fasiq dan yang tiada malu dan tiada maruah. Maka janganlah engkau menyerupai dengan mereka itu.”

Tdak semua ulama bersetuju dengan pegangan beliau yang dianggap terlalu keras terhadap perokok ketika itu. Syaikh Zainal `Abidin bin Muhammad al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani rahimahullah, ulama Fathani pengarang kitab “`Aqidatun Najin” yang hidup sezaman dengan Tokku Melaka, telah mengarang sebuah karya yang berjodol “Tabassumusy Syaaribin” sebagai reaksi terhadap karya Tokku Melaka tersebut. Namun ini tidak bererti yang Tuan Minal al-Fathani menolak apa yang dinyatakan oleh Tokku Melaka secara total. Beliau bukannya tidak menyetujui hukum keharaman merokok tetapi keharaman tersebut menurut beliau tidaklah bersifat mutlak kerana ianya bergantung kepada kemudaratannya. Menurut Tuan Minal, merokok adalah haram jika ianya memberi mudarat dan hanya makruh jika ianya tidak memudaratkan. Beliau dalam kitabnya tersebut menyatakan, antara lain:-

” …Aku tilikkan akan karangan Tuan Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husain al-`Aidrus dengan bangsa (yakni bahasa) Jawi, elok susunannya, yang tersebut di dalamnya itu beberapa yang haram atas manusia memakan akan dia dan setengah daripadanya tembakau muthlaqan yakni sama ada mabuk atau orang yang tiada mabuk ….. Bahawa memakan tembakau (yakni merokok) itu makruh bagi orang yang tiada mudarat atasnya memakan dia dan jika memberi mudarat maka iaitu haram.”

Jadi yang tidak dipersetujui oleh Tuan Minal adalah mengharamkan tembakau secara mutlak seolah-olah ianya adalah sesuatu yang haram pada zat, sedangkan haramnya merokok itu adalah bergantung kepada kemudaratannya yang merupakan sesuatu yang `aridh (mendatang) dan bukannya kerana zat tembakau atau rokok itu sendiri. Di sinilah letak perbezaan antara dua ulama besar ini. Oleh itu, janganlah ada antara kita hendak berhujjah dengan berpandukan kepada kitab “Tabassum asy-Syaaribin” tersebut dengan alasan Tuan Minal tidak mengharamkan merokok, sedangkan beliau juga mengharamkan merokok jika ianya memudaratkan. Jika sahaja Tuan Minal hidup pada zaman ini, setelah nyata segala bukti dan fakta mengenai kemudaratan yang terhasil daripada merokok yang bukan sahaja kena kepada si perokok tetapi juga kepada pihak lain, mungkin beliau akan menulis pula kitab lain dengan jodol seumpama “Buka-usy Syaaribin. Moga-moga Allah merahmati Tokku Melaka dan Tuan Minal al-Fathani, juga sekalian ulama Nusantara dan sekalian ulama dan umat Junjungan Nabi SAW.

Rabu, 20 Jun 2012

MEMOTONG KUKU MENGIKUT SUNNAH


Hukum Dan Hikmat Memotong Kuku

Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunat. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:

“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah):
memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotongkuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: “berkata Mus’ab:
“Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur.”
(Hadis riwayat Muslim)

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut boleh menghalang sampainya air ketika bersuci.

Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segalakotoran atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia boleh menjejaskan kesihatan.

Cara Dan Benda Untuk Memotong Kuku
 Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri,memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.

Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.

Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku. Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat
kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta.

Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

 Waktu Memotong Kuku
Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut. Bila-bila masa sahaja diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak pada memotongnya. Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya :

“Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam.”
(Hadis riwayat Muslim)

Adapun menurut Imam asy-Syafi’e dan ulama-ulama asy-Syafi’eyah, sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Juma’at, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Juma’at.

Diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhuma berkata yang maksudnya :

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesiapa yang mandi pada hari Juma’at, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa sahaja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Juma’at itu dan Juma’at sebelumnya.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Abu Hurairah
katanya yang maksudnya :
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam memotong kuku dan mengunting misai pada hari Juma’at sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang.”
(Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Juma’at atau pada hari Isnin.

Menanam Potongan Kuku
Islam sangat perihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawaIbnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menanam potongan kuku.

Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub
 Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

Info Tambahan:-Kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri. Ini tak termasuk korek taik hidung, telinga dan sewaktu dengannya..

Wallahua'lam
SUMBER : http://blogkomuniti

Sabtu, 12 Mei 2012

JIKA SAYANG BERILAH NASIHAT


Posted on April 15, 2011 by ustazzahar


Bismillahi walhamdulillah.

Dalam kitab Riyadhus Solihin, bab nasihat, Imam Nawawi menghimpunkan beberapa ayat dan hadis berkaitan nasihat.  Ayat yang dikemukakan pada awal bab ialah
ِإنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَة
Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang beriman itu bersaudara…” (Al-Hujurat:10)

الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ.قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya, untuk siapa? Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, para pemimpin kaum muslimin dan seluruh umat Islam.” (Muslim)

Pada penghujung bab, Imam Nawawi membawa hadis berikut;
لاَ یُؤْمِنُ أَحَدُكمْ حَتَّى یُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا یُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi untuk  saudaranya seperti mana dia kasihi untuk dirinya sendiri.” (Bukhari, Muslim)

Maksud nasihat ialah mahukan kebaikan untuk orang yang dinasihati dan memandu mereka ke jalan kebaikan. Saya tidak bermaksud untuk menjelaskan nasihat dari sudut hukum, kaedah dan adab-adabnya. Tetapi melihat nasihat dalam konteks gandingan ayat dan hadis yang dikemukakan oleh Imam Nawawi.

Berdasar ayat dan hadis-hadis di atas, boleh difahami bahawa antara ciri kesempurnaan iman seseorang adalah dengan menjalankan tanggung jawab nasihat kepada saudaranya yang lain.

Banyak kepincangan dalam kalangan masyarakat yang kita ketahui dan masalah yang membebani mereka. Seperti kemunduran dalam bidang pelajaran, masalah kemiskinan dan beban hutang, masalah keluarga dan rumahtangga, masalah kesihatan dan penyakit yang menimpa, masalah kejahilan dan jauh dari majlis ilmu, masalah persengketaan dan bermasam muka dan macam-macam lagi.

Jika kita suka agar masalah-masalah tadi tidak menimpa kita, maka kita juga sepatutnya suka agar sahabat dan jiran kita terselamat dan bebas daripadanya.
Teori, mana amalinya?

Berusahalah untuk membebaskan anak murid kita dari kejahilan, bebaskan rakan sekerja kita dari pasif dan tidak proaktif, bebaskan jiran kita dari menyendiri tidak berteman, bebaskan pemimpin kita dari kezaliman… kerana kita sayangkan mereka. Patutlah para pendakwah yang hakiki tidak ada masa untuk berehat, kerana mereka sibuk menyampaikan nasihat kepada sasaran dakwah mereka. Sebagai meneruskan risalah nabi. Kita pula di mana? Jika tidak dapat semuanya, buktikanlah sebahagian sayang kita kepada sebahagian saudara kita yang lain.
Wallahu a’lam.

Selasa, 27 Mac 2012

ADAB MENYIKAT RAMBUT



Rasulullah s.a.w.melarang menyikat rambut di dalam kamar mandi kerana perbuatan itu melemahkan umbi rambut.
Seseorang itu hendaklah duduk ketika bersikat kera ia akan menguatkan otot jantung dan elak daripada melakukannya secara berdiri sebab ia akan melemahkan jantung.
Seseorang yang bersikat ketika berdiri akan terjebak dalam masalah hutang.
Adalaha makruh menggunakan sikat yang diperbuat daripada perak atau bersadurkan perak.

Sumber: http://apodahjadi.blogspot.com

Ahad, 21 Ogos 2011

KESABARAN SEORANG NABI DAN RASUL


Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”
(Bukhari)

Huraian:

Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Kelebihan Sayidina Umar Dalam Ilmu Agama


Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a: “Rasulullah SAW pernah bersabda: “Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat Nabi SAW bertanya: “Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”

Huraian:

Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa
zaman jahiliah.

Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau.

Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil.

Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih 
digeruni oleh syaitan daripada seribu orang ‘Abid (orang yang banyak beribadat)”

(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Enggan Masuk SYURGA


Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.”
(al-Bukhari)

Huraian:

Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Kesimpulan daripada hadis di atas ialah bahawa orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
[ Riwayat Abu Daud ]

Huraian:
·         Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
·         Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti

Kelebihan Mukmin dan Kekurangan Kafir


Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”
(Muslim)

Huraian:
Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir.
Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.


Menjadikan Harta Jambatan IBADAH


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”
Riwayat at-Tirmidzi
Huraian:
  • Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.
  • Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.
  • Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Ucapan Yang Dibalas Dengan Yang Lebih Baik


Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.”
(Muslim)

Huraian:
Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.


Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada Sultan d...