Posted on April 15, 2011 by
ustazzahar
Bismillahi walhamdulillah.
Dalam kitab Riyadhus Solihin, bab
nasihat, Imam Nawawi menghimpunkan beberapa ayat dan hadis berkaitan
nasihat. Ayat yang dikemukakan pada awal
bab ialah
ِإنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَة
Maksudnya: “Sebenarnya
orang-orang beriman itu bersaudara…” (Al-Hujurat:10)
الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ.قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ،
وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu adalah
nasihat. Kami bertanya, untuk siapa? Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, para
pemimpin kaum muslimin dan seluruh umat Islam.” (Muslim)
Pada penghujung bab, Imam Nawawi
membawa hadis berikut;
لاَ یُؤْمِنُ أَحَدُكمْ حَتَّى یُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا یُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: Tidak sempurna iman
seseorang kamu sehingga dia mengasihi untuk
saudaranya seperti mana dia kasihi untuk dirinya sendiri.” (Bukhari,
Muslim)
Maksud nasihat ialah mahukan
kebaikan untuk orang yang dinasihati dan memandu mereka ke jalan kebaikan. Saya
tidak bermaksud untuk menjelaskan nasihat dari sudut hukum, kaedah dan
adab-adabnya. Tetapi melihat nasihat dalam konteks gandingan ayat dan hadis
yang dikemukakan oleh Imam Nawawi.
Berdasar ayat dan hadis-hadis di
atas, boleh difahami bahawa antara ciri kesempurnaan iman seseorang adalah
dengan menjalankan tanggung jawab nasihat kepada saudaranya yang lain.
Banyak kepincangan dalam kalangan
masyarakat yang kita ketahui dan masalah yang membebani mereka. Seperti
kemunduran dalam bidang pelajaran, masalah kemiskinan dan beban hutang, masalah
keluarga dan rumahtangga, masalah kesihatan dan penyakit yang menimpa, masalah
kejahilan dan jauh dari majlis ilmu, masalah persengketaan dan bermasam muka dan
macam-macam lagi.
Jika kita suka agar
masalah-masalah tadi tidak menimpa kita, maka kita juga sepatutnya suka agar
sahabat dan jiran kita terselamat dan bebas daripadanya.
Teori, mana amalinya?
Berusahalah untuk membebaskan
anak murid kita dari kejahilan, bebaskan rakan sekerja kita dari pasif dan
tidak proaktif, bebaskan jiran kita dari menyendiri tidak berteman, bebaskan
pemimpin kita dari kezaliman… kerana kita sayangkan mereka. Patutlah para
pendakwah yang hakiki tidak ada masa untuk berehat, kerana mereka sibuk
menyampaikan nasihat kepada sasaran dakwah mereka. Sebagai meneruskan risalah
nabi. Kita pula di mana? Jika tidak dapat semuanya, buktikanlah sebahagian
sayang kita kepada sebahagian saudara kita yang lain.
Wallahu a’lam.
Sumber: http://cahayamukmin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan