Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari
Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di
kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s
berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu
mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah
cintaku kepada-Nya." Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku,
kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."
Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk
satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah." Oleh
kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah
s.w.t., maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah
berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau
pun berlalu dari situ. Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke
tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa
dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang
di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa
pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.
Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun
berdoa kepada Allah s.w.t., "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku
tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun
dapat
melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang
dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke
langit. Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam,
tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata,
"Aku ini Isa a.s." Kemudian Allah s.w.t. menurunkan wahyu
yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan
manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya
kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya
dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak
menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang
tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir
kepada Allah s.w.t., tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam
beramal, tetapi dia inginmendapat sanjungan dari
manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang
menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Nabi Muhammad s.a.w. telah
bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada
yang lima :
1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka
lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa
kepada al-Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa
untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi
mereka lupa kepada kubur."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan