Gambar hiasan |
Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad al-Idrus
Hanya keimanan, takwa boleh tangani
penyakit hati
.
SUATU hari di tepi sungai
Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan
seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan al-Basri
berbisik, alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti
aku.
Tiba-tiba Hassan al-Basri melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang
tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong
penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya
diselamatkannya.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang
dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari
kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepada-Nya. (Oleh itu, patuhilah
larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah Sesungguhnya Allah penerima taubat
lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
Kemudian dia berpaling ke
arah Hassan al-Basri dan berkata: “Jika tuan memang lebih mulia daripada saya,
maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya
tolong. Tuan diminta untuk menyelamatkan seorang saja sedangkan saya telah
menyelamatkan enam orang.”
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal
menyelamatkan yang seorang lagi itu. Maka lelaki itu berkata padanya: “Tuan,
sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan
botol itu hanya berisi air biasa bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan.”
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata: “Kalau begitu, sebagaimana engkau telah
menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka
selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan. Orang
itu menjawab: Mudah-mudahan Allah memperkenankan permohonan tuan.”
Sejak itu, Hassan al-Basri
selalu merendahkan diri bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak
lebih daripada orang lain. Mencari kesalahan orang lain hadir apabila wujudnya
sangkaan buruk dalam hati sehingga terbukalah kesalahan, keaiban atau kelemahan
seseorang yang menyebabkan si pelaku itu berasa puas. Ia adalah penyakit hati
yang akan menyerang sesiapa saja. Hanya keimanan dan ketakwaan yang kukuh mampu
mengatasi rasa buruk sangka dan mencari kesalahan orang.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Dan orang yang mengganggu serta
menyakiti lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau
perbuatan tidak tepat dengan sesuatu kesalahan dilakukannya maka sesungguhnya
mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat
nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 58)
Hubungan baik antara satu
dengan lain khususnya antara sesama Muslim harus dijalin dengan sebaik-baiknya
kerana Allah SWT telah menggariskan bahawa setiap Mukmin itu bersaudara seperti
dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya
orang Mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu
dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah
al-Hujuraat, ayat 10)
Hidup kita tidak lekang
daripada disangka buruk dan bersangka buruk. Kunci menanganinya adalah beristighfar
dan taubat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam itu ada kesilapan (dosa) dan orang
berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat.” (Hadis riwayat
at-Tarmizi).
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang
dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari
kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepada-Nya. (Oleh itu, patuhilah
larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah Sesungguhnya Allah penerima
taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Menuduh orang melakukan
perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti kukuh kini menjadi lumrah. Malah orang
yang bersangka buruk itulah yang diagungkan sebagai orang hebat dan bijak.
Inilah petanda akhir zaman apabila manusia tidak berbangga dengan kerja
amal sebaliknya gah dengan dosa dilakukan. Sangkaan buruk boleh terjadi dengan
beberapa sebab antaranya godaan dan tipu helah syaitan yang merangsang manusia
bergaduh, mengumpat, melempar tohmahan, membuat pakatan jahat dan berpecah
belah.
Jiwa yang lemah juga akan mendorong seseorang mudah
terikut dengan pemikiran negatif dan buruk terhadap orang lain. Perasaan
sombong dan bongkak turut mewujudkan sifat negatif ini yang menyebabkan
seseorang itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Jika perkara
ini tidak ditegah, ia akan merugikan semua pihak dan mengundang bala Allah SWT
yang datang tanpa mengira darjat, iman dan bangsa. Apabila kita memiliki sifat
buruk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita peroleh baik dalam kehidupan
di dunia mahupun akhirat. Ia adalah wadah kehancuran, mengundang segala macam
keruntuhan.
Islam mendidik umatnya
supaya mendahulukan bersangka baik berbanding cepat bersangka buruk. Hukuman
tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan. Ulama dan cendekiawan
Islam menyarankan beberapa cara dan penawar bagi menyembuh penyakit ini
antaranya bermuhasabah diri setiap hari serta jadikanlah diri kita
seorang yang dapat menguasai was-was, bukan yang dikuasai was-was. Saidina Umar
bin al-Khattab berkata: “Jangan kamu membuat
sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara Mukminmu
kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang
baik.”
Sumber: http://pondokhabib.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan