Gambar hiasan |
Kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menyebabkan bangkitnya kemarahan
orang-orang Badwi di sekitar Madinah untuk mencemuh dan mengungkit-ngungkit dendam
lama yang sebelumnya sudah terpendam. Namun tanpa curiga sedikit pun Nabi
Muhammad s.a.w. memberikan sambutan baik atas kedatangan sekelompok
pedagang Arab yang menyatakan keinginan sukunya hendak mendengar dan memeluk
Islam. Untuk itu mereka meminta para jurudakwah dikirimkan ke kampung suku
itu. Rasulullah s.a.w meluluskan. Enam orang sahabat yang alim diutus
untuk melaksanakan tugas tersebut. Mereka berangkat bersama para pedagang Arab
itu.
Di kampung Ar-Raji, dalam wilayah kekuasaan suku Huzail, para pedagang itu
tiba-tiba melakukan pengurangan atas keenam sahabat Rasulullah s.a.w,
sambil berseru meminta bantuan kaum Huzail. Keenam pendakwah itu dengan pantas
menghunus senjata masing-masing dan siap mengadakan perlawanan, setelah insaf
bahawa mereka tengah dijebak. Para pedagang yang licik tadi berteriak,
"Sabar saudara-saudara. Kami tidak bermaksud membunuh atau menganiayai
kalian. Kami cuma mahu menangkap kalian untuk kami jual ke Makkah sebagai budak
belian. Keenam sahabat Rasulullah s.a.w itu tahu nasib mereka bahkan
lebih buruk daripada terbunuh dalam pertarungan tidak berimbang itu. Kerana
mereka segera bertakbir seraya menyerang dengan tangkas.
Terjadilah pertempuran seru antara enam pendakwah berhati tulus dengan
orang-orang yang beringas yang jumlahnya jauh lebih besar. Pedang mereka
ternyata cukup tajam. Beberapa orang lawan telah menjadi korban. Akhirnya tiga
sahabat tertusuk musuh dan langsung gugur. Seorang lagi dibaling batu
beramai-ramai hingga tewas. Bakinya tinggal dua orang; Zaid bin Addutsunah dan
Khusaib bin Adi. Apalah daya dua orang pejuang, betapa pun lincahnya
perlawanan mereka, menghadapi begitu banyak musuh yang tangguh? Selang beberapa
saat sesudah jatuhnya empat sahabat tadi, kedua orang itu dapat dilumpuhkan dan
belenggu. Lalu mereka diangkut menuju pasar budak di Makkah. Zaid dibeli oleh
Shafwan bin Umayyah. Ayah Shafwan, Umayyah bin Khalaf, adalah majikan Bilal dan
Amir bin Fuhairah. Umayyah terkenal sangat kejam kepada budak-budaknya. Bilal
pernah disalib di atas pasir dan dijemur di tengah terik matahari dengan badan
ditindihi batu. Untung Bilal ditebus oleh Saiyidina Abu Bakar Assidiq dan
dimerdekakan. Orang Habsyi ini kemudian terkenal sebagai sahabat
dekat Rasulullah s.a.w. dan diangkat sebagai Muazin, tukang
azan.
Dalam perang Badar, Umayyah bin Khalaf berhadap-hadapan dengan bekas budaknya
itu. Dan Bilal berhasil membunuhnya dalam pertempuran yang sengit satu lawan
satu. Adapun Khubaib bin Adi diambil oleh Uqbah bin Al-Harits dengan tujuan
yang sama seperti maksud Shafwan membeli Zaid bin Abdutsunah. Iaitu untuk
membalas dendam kebencian mereka kepada umat Islam. Maka oleh orang-orang
Quraisy, Zaid diseret menuju Tan'im, salah satu tempat untuk miqat umrah. DI
sanalah Zaid akan dijalani hukuman pancung, buatkan sesuatu yang ia tidak
pernah melakukannya, iaitu terbunuhnya Umayyah bin Khalaf, ayahanda Shafwan.
Menjelang algojo menetak parangnya, pemimpin kaum Musyrikin Abu Sufyan bertanya
garang, "Zaid bedebah, apakah engkau senang seandainya di tempatmu
ini Muhammad, sedangkan engkau hidup tenteram bersama keluargamu di rumah
?"
"Janganlah begitu," bantah Zaid dengan keras. "Dalam keadaan
begini pun aku tidak rela Rasulullah s.a.w. tertusuk duri kecil di
rumahnya." Abu Sufyan menjadi marah. "Bereskan," teriaknya
kepada algojo. Dalam sekelip mata, sebilah parang berkilat di tengah terik
matahari dan darah segar menyembur keluar. Zaid bin Abdutsunah gugur setelah
kepalanya dipotong, menambah jumlah penghuni syurga dengan seorang syuhada'
lagi. Di hati Abu Sufyan dan orang-orang Quraisy lainnya timbul kehairanan akan
kesetiaan para sahabat kepada Muhammad. Sampai tergamam di bibir Abu Sufyan
ucapan kagum, "Aku tidak pernah menemukan seorang yang begitu dicintai
para sahabat seperti Muhammad."
Sesudah selesai pemancungan Zaid, datang pula rombongan lain yang menyeret
Khubaib bin Adi. Sesuai dengan hukum yang berlaku di seluruh Tanah Arab, kepada
pesalah yang dijatuhi qisas mati diberikan hak untuk menyampaikan permintaan
terakhir. Demikian juga Khubaib. Juru dakwah yang bestari ini meminta izin
untuk solat sunnah dua rakaat. Permohonan tersebut dikabulkan. Dengan khusyuk
dan tenang, seolah-olah dalam suasana aman tenteram tanpa ancaman kematian,
Khubaib melaksanakan ibadahnya sampai selesai. Setelah salam dan mengangkat dua
tangan, ia berkata, "Demi Allah. Andaikata bukan kerana takut
disangka aku gentar menghadapi maut, maka solatku akan kulakukan lebih
panjang."
Khubaib disalib dahulu lalu dihabisi sepertimana dilaksanakan ke atas Zaid bin
Abdutsunah. Jasadnya telah lebur sebagaimana jenazah lima sahabatnya yang lain.
Namun semangat dakwah mereka yang dilandasi keikhlasan untuk menyebarkan ajaran
kebenaran takkan pernah padam dari permukaan bumi. Semangat itu terus bergema
sehingga makin banyak jumlah pendakwah yang dengan kekuatan sendiri, atas biaya
peribadi, menyelusup keluar-masuk pedalaman berbatu-batu karang atau
berhutan-hutan belantara buat menyampaikan firman Tuhan menuju keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan