Memaparkan catatan dengan label Persoalan Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persoalan Agama. Papar semua catatan

Sabtu, 3 Mac 2018

SOLAT SUNAT QABLIAH ATAU MENDENGAR CERAMAH?



SOALAN:  Ada masjid yang saya kunjungi sewaktu solat Zuhur sering mengadakan kuliah sebelum solat. Biasanya selepas tamat kuliah, iqamah terus dilaungkan dan solat fardu Zuhur terus didirikan secara berjemaah. Adakah lebih baik solat terus tanpa solat badiah Zuhur atau adakah saya patut beralih ke belakang dan solat badiah Zuhur dan meninggalkan ceramah?

JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

PERTAMANYA, kami beranggapan bahawa saudara/i yang bertanya mungkin terkeliru dengan istilah qabliah dan badiah. Maklum dalam Syarak bahawa disunatkan bagi seseorang itu untuk solat sunat qabliah (sebelum) Zuhur dan badiah (selepas) Zuhur. Paling afdal ialah empat rakaat qabliah dan empat rakaat badiah manakala paling kurang ialah dua rakaat bagi qabliah dan badiah. Hal ini berdasarkan hadith, Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa:

Maksudnya: “Nabi SAW tidak meninggalkan empat rakaat solat sunat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” Riwayat al-Bukhari (1127).

Hadith seterusnya: Maksudnya: “Baginda bersolat di rumahku empat rakaat sebelum Zuhur, kemudian Baginda keluar bersolat bersama-sama orang ramai. Selepas itu Baginda masuk semula bersolat pula dua rakaat.” Riwayat Muslim (730).

Baginda juga menambah solat dua rakaat lagi selepas itu. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Habibah R.Anha katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat empat rakaat sebelum solat Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah memeliharanya daripada neraka.”
Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad dan disahihkan oleh al-Tirmizi (427 & 428)

KEDUA, adalah lebih baik masjid tersebut tidak meninggalkan azan kerana azan adalah syiar Islam. Ia juga merupakan pemberitahu kepada masyarakat sekeliling bahawa waktu solat sudah masuk. Apatah lagi jika kejadian itu berlaku di masjid yang merupakan pusat kepada aktiviti keagamaan masyarakat setempat. Daripada sudut fiqh, azan itu sunat muakkad hukumnya bagi solat yang hendak dilakukan atau yang sudah luput. (Rujuk Fiqh al-Manhaji, 1/114).

Ertinya, tiada masalah sekiranya selepas habis kuliah, azan dilaungkan. Namun, kami cadangkan sebaiknya dihentikan seketika kuliah untuk azan Zuhur, kemudian disambung yang berbaki daripada kuliah. Dengan itu setiap hak penceramah dan hak solat dapat diraikan dengan harmoni.

KETIGA, tiada masalah untuk solat qabliah dan meninggalkan ceramah itu. Baik juga jika selesai solat dan ceramah masih berlangsung, untuk bersama dengan jemaah mendengar ceramah tersebut. Berkenaan dengan solat di belakang atau di sisi ruang solat, kami berpendapat perbuatan tersebut lebih utama jika dengan itu sebagai adab dan mengelakkan gangguan kepada penceramah sekiranya kita solat di hadapan mereka.  Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’.

Kami juga menasihatkan agar imam dan jemaah tidak meninggalkan solat sunat qabliah dengan terus didirikan solat selepas tamatnya kuliah untuk meraih fadilat solat sunat. Abdullah bin Mughaffal al-Muzani RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Di antara setiap dua azan (yakni azan dan iqamah) itu terdapat solat. Di antara setiap dua azan itu terdapat solat.” Kemudian baginda menyebut pada kali ketiga: “bagi siapa yang ingin melaksanakannya (menunjukkan hal itu sunat).” Hadis riwayat Imam Bukhari (627) dan Imam Muslim (838).

Wallahua’lam.

Rabu, 5 September 2012

HUKUM SOLAT JUMAAT BAGI MUSAFIR

Berjemaah di Masjid Sultan Mizan.
Soalan : Hukum solat Jumaat bagi orang yang bermusafir.


Jawapan :Di dalam kitab Majmuk Syarah Mazhab Imam Nawawi telah menjelaskan : “bahawa para sahabat Syafie berpendapat, seseorang yang mempunyai keuzuran yang membolehkan dia meninggalkan Jumaat,harus dia memulakan perjalanan musafirnya sama ada sebelum tergelincir matahari atau selepasnya. Keadaan musafir ini tertakluk seperti berikut:


Pertama: seseorang diharuskan meninggalkan Jumaat sekiranya dia bermusafir bermula sebelum subuh, pendapat ini adalah tanpa khilaf.(tanpa perselisihan pendapat mengenai hukum masalah ini.)

Kedua: seseorang yang memulakan perjalanan musafirnya selepas tergelincir matahari harus meninggalkan Jumaat. Sekiranya dia mengetahui yang dia sempat untuk mendirikan Jumaat di dalam perjalanannya hendaklah dia mendirikan solat Jumaat di tempat itu, keadaan musafir seperti ini diharuskan tanpa khilaf. Ataupun sekiranya dia bermusafir dan tidak ada tempat/masjid untuk dia mendirikan solat Jumaat,dalam perjalanannya maka tidak harus baginya meninggalkan solat Jumaat.

Akan tetapi sekiranya dia tidak boleh menangguhkan perjalanan musafirnya kerana dia terpaksa mengikuti rombongannya dan menyebabkan dia bermasalah jika tidak mengikut mereka. Maka keadaan musafir seperti ini adalah diharuskan meninggalkan Jumaat.

Sumber : Jabatan Mufti Pahang
Mencari Kebahagiaan Hidup


You are subscribed to email updates from Mencari Kebahagiaan Hidup 

Sabtu, 21 Julai 2012

PERSOALAN AGAMA - SOLAT


http://tanbihul_ghafilin.tripod.com
Solatlah di mana jua pun kita berada

1. SOLAT TERAWIKH 

Soalan : Saya ada satu soalan mengenai solat terawih, soalannya ialah setiap kali saya solat terawih, saya tidak sempat membaca Al-Fatihah disebabkan imam terlalu cepat. Adakah sah solat saya itu.

Jawapan: Solat  tersebut dikira sah di mana Al-Fatihah makmum ditanggung oleh imam. Ini hanya dipakai pada solat sunat sahaja, jika solat fardu, Al-Fatihah adalah menjadi wajib ke atas makmum kecuali yang masbu' (ketinggalan). Sila rujuk kitab solat untuk keterangan lanjut.


2. ISTERI DEGIL
Soalan : Seorang isteri enggan solat. Berbuih mulut suami beliau menyuruhnya solat. Kadangkala mereka bergaduh mengenai hal ini. Isteri beliau hanya kata, "Kubur aku, aku jaga Kubur engkau engkau jaga" !!!Apakah hukum perkahwinan mereka ?

Jawapan: Perkahwinan mereka adalah sah kerana pendapat ulamak tidak menghukum mereka yang meninggalkan solat sebagai murtad. Tetapi isteri tersebut dikira fasik di mana beliau tidak boleh menjadi wali atau saksi. Pihak suami perlu menangani hal ini dengan penuh hikmah dan kesabaran. Cuba elakkan dari membuat ugutan kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan. Berikut diberikan beberapa tektik dan teknik yang boleh dicuba :-
  • Ajak solat jemaah bersama keluarga - anak-anak, ayah, mertua dsb.
  • Bawa ke majlis ilmu yang ada mendirikan solat jemaah.
  • Bawa Tok Alim ke rumah untuk mengajar agama kepada keluarga.
  • Guna orang ketiga, (yang disegani oleh isteri) untuk memberi nasihat.
  • Guna khidmat kaunseling yang kini ada di mana-mana.
  • Tingkatkan ibadat sendiri supaya menjadi contoh kepada isteri.

3. SOLAT TAHIYYATUL MASJID


Soalan : Sebuah surau diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat - contoh surau Tabung Haji. Apakah boleh kita melakukan sunat Tahiyyatul masjid dan berniat iktikaf di sana sedangkan status surau itu masih bukan masjid?

Jawapan: Solat  sunat tahiyyatulmasjid ialah solat sunat untuk menghormati masjid. Jika dikaji istilah masjid di sini bermakna tempat solat berjamaah. Secara mudah, anggaplah surau yang diberikan taraf masjid sementara itu tergolong dalam istilah masjid dan sunat berniat ikhtikaf dan solat tahiyyatul masjid. Tidak menjadi dosa jika bersolat sunat tahiyyatul masjid di surau.


4. SOLAT JUMAAT DAN JAMAK

Untuk makluman Ustaz saya sedang menuntut di Jepun .


Soalannya: Di sini ada 4 orang muslim.Jadi mengikut mazhab Syafi`i Fardhu Jumaat adalah gugur. Tetapi pelajar dari Indonesia cenderung untuk melakukan fardhu Jumaat.

Jawapan: Menurut mazhab Shafii antara syarat sah solat Jumaat adalah mempunyai jumlah jemaah sebanyak 40 orang. Maka jika tidak cukup maka gugurlah kewajiban Jumaat itu dan wajiblah dikerjakan solat zuhur. Walaupun begitu ada mazhab lain yang berpendapat bahawa jumlah jemaah tidak perlu 40 orang. Jika sahabat anda bermazhab lain maka mungkin mereka masih boleh mengerjakan solat Jumaat tersebut.


Soalan : Adakah sah solat Jumaat sebelum masuk waktu Zohor?.. dan apakah hukumnya jika saya cuma bersolat Zohor kerana was-was akan sahnya solat Jumaat tersebut.

Jawapan: Solat Jumaat tidak sah dilakukan di luar waktu zuhur. Hukum mengerjakan solat zuhur pada hari Jumaat adalah sah sekiranya terdapat halangan untuk mengerjakan solat Jumaat.



5. SOLAT MUSAFIR


Soalan :  Saya telah berniat melakukan Jamak Takhir (menghimpunkan solat Zohor ke Asar) dalam perjalanan yang melebihi 2 marhalah. Bagaimanapun, saya telah sampai ke rumah dalam waktu Asar tanpa sempat menunaikan Jamak Takhir semasa dalam perjalanan. Apakah yang perlu dilakukan? Perlukah saya solat Asar and qadho solat Zohor?

Jawapan: Setelah sampai ke tempat bermastautin, maka musafir kita tamat. Dengan itu tidak boleh kita ber solat Jamak lagi. Maka perlulah kita ber solat Asar dan mengqadho solat zuhur yang tertinggal.

Soalan :  Semasa dalam perjalanan jauh, sewaktu masuk waktu Zohor saya telah berniat untuk menjamak solat Zohor dengan Asar di waktu Asar. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sewaktu waktu Zohor masih ada, sebahagian dari penumpang kenderaan ingin membuat jamak taqdim iaitu menjamak Zohor dengan Asar di waktu Zohor. Bolehkah saya bertukar niat dan bersolat bersama mereka?

Jawapan: Tidak menjadi masalah.


Pernah juga saya terpaksa memulakan suatu perjalanan jauh sebelum masuk waktu Subuh. Perjalanan saya mengambil masa yang lama dan adalah sukar bagi saya mengerjakan solat subuh kerana waktu Subuh yang agak pendek dan perjalanan juga agak baru dimulakan. Solat jamak tidak terdapat untuk solat Subuh, maka saya dalam keadaan sukar berhenti juga untuk solat. Adakah terdapat sebarang kemudahan di dalam Islam untuk musafir di dalam keaadan begini?

Jawapan : Solat Subuh tetap wajib dikerjakan dalam waktunya. Maka jika keadaan diluar kawalan kita, seperti dalam bas dan sebagainya, hendaklah kita ber solat dengan kekurangan tersebut, seperti solat duduk dan sebagainya.

Terdapat pelajar di sini (soalan dari Jepun) yang melakukan solat Jama` dan Qasar dengan alasan dia di sini datang untuk sementara sahaja (4 tahun )dan bukan untuk terus tinggal di sini (bermastautin).


Jawapan :Menurut mazhab Shafii, istilah musafir ialah menetap tidak lebih dari tiga hari tiga malam. Selebih dari itu tidak dikira musafir dan tidak boleh mengerjakan solat Qasar dan Jama'. Pengkecualian diberi juga kepada musafir yang tidak tentu tempoh menetapnya mereka disatu-satu tempat tersebut. Contohnya, jika seseorang musafir itu menjangka bahawa beliau akan menetap di suatu tempat itu tidak lebih dari tiga hari, akan tetapi kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa tinggal lebih lama tanpa tahu bila boleh beredar. Maka beliau dibolehkan menjamakkan solat nya sehingga 15 hari.

6. TERBUKA AURAT KETIKA SOLAT
Soalan : Apakah batal solat sekiranya kain telekung terselak hingga menampakkan jari kaki sedangkan ketika itu saya tinggal seorang diri dan tidak ada sesiapa pun yang melihatnya?


Jawapan: Batal. Kerana menutup aurat adalah antara syarat-syarat sah solat. Solat itu wajib dilakukan semula tanpa perlu membaharui wudhu'.

Isnin, 31 Oktober 2011

SOLAT SELEPAS HAID - KESILAPAN WANITA.

Gambar Hiasan


SOLAT SELEPAS HAID : PERKARA YANG DIPANDANG RINGAN.

Pengetahuan Islam kepada sesiapa yang bernama wanita ISLAM.

Kebanyakkan perempuan @ wanita @ muslimah (wanita Islam) tidak begitu perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tidak tahu menahu akan perkara ini. Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam. Kenapa hal ini boleh terjadi? Amat susah untuk mencari seorang guru atau ustazah atau yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa @mesti dirujuk kepada lelaki atau ustaz- ustaz yang bernama LELAKI jugak. (Saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya)


Contohnya yang paling mudah apabila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam; "Adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqadhakan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" Pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan: "Alaa... itu soalan mudah... Bila 'datang period' maka solat tu tidak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa. Itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu.


Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa. Sebenarnya TIDAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur.

Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu.

Dalam BAB TIGA :
" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'. " Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)

HURAIAN MASALAH:

1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?
~ Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?
~ Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.

~ Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.

3. Dalam perkara solat subuh pun sama : -perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isyak.

~ Solat Isyak juga boleh dijamak (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.

~ Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)

~ Maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.

Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.

Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu 'Fiqhul Nisa' ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri.

Sumber : Sahabat Fb
 — with Tari Lestari

Ahad, 9 Oktober 2011

PERSOALAN AGAMA : ORANG BUNIAN...WUJUD KE?


SJ007: Adakah orang bunian benar-benar wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia atau golongan makhluk halus?

Soalan
Saya adalah salah seorang peminat yang sentiasa mengikuti jawapan dan penjelasan Dato' dalam ruangan ini. Dalam jawapan terdahulu tentang makhluk halus, Dato' tidak menyentuh tentang orang bunian, soalan saya adakah orang bunian ini wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia kerana disebut orang atau ianya termasuk dalam golongan makhluk halus?

Jawapan
Memang pernah saya menyebut dan mengulas tentang mahkluk halus, tetapi saya tidak menyebut secara mendalam mengenai orang bunian. Oleh kerana saudara berminat, maka saya cuba menjelaskannya.

Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu.
Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian.

Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.

Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.

Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi s.a.w menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia.
Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi s.a.w menceritakan kehilangan Khurafah.

Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.

Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya."

Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.
Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi s.a.w, maka ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi s.a.w menyebut (maksudnya), "Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul."
Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah.

Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya yang berlaku ini, mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut.

Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunia dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.

Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.
Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini jika betul seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.

Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat Islam awal di zaman Rasulullah s.a.w di Madinah, dalam masyarakat ideal itupun wujud golongan munafik dari kalangan Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik dan Islam munafik dan sebagainya.

Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat bunian, berlaku sama seperti masyarakat manusia? Waalahu a'lam.

Sumber: http://www.darussyifa.org

PERSOALAN AGAMA: ORANG MATI BALIK KE RUMAH ?


SJ006: Ditempat saya berlaku orang yang telah mati kembali semula ke rumah dan ada yang mendakwa telah bercakap dengan simati, bolehkah perkara sebegini berlaku?
Soalan
Heboh di tempat saya baru-baru ini, bahawa seorang yang mati dan dikebumikan, beberapa hari kemudian, ada orang mendakwa menemui si mati dan bercakap dengannya. Malah ada anggota keluarga si mati yang mengakui sedemikian. Ustaz, adakah hal seperti ini boleh berlaku dan adakah si mati itu, benar-benar rohnya boleh menemui keluarga mereka.

Jawapan
Pada Harakah beberapa keluaran lepas, saya telah jelaskan bahawa orang yang telah mati, ruh mereka berada dalam alam barzakh sehinggalah dibangunkan semula pada Hari Kiamat besar. Ertinya,orang-orang telah meninggal dunia, tidak mungkin kembali sebagaimana orang hidup.

Pada saya, apa yang saudari sebutkan berlaku, hal seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada kerosakan, atau sekurang-kurangnya cacat akidah, tidak boleh mempercayai orang yang telah kembali ke alam kubur boleh kembali ke dunia, boleh menziarahi keluarga atau bercakap-cakap semula dengan orang yang mengenalinya.

Meskipun hal ini ada possibility, tetapi tidak mungkin berlaku dalam alam realiti. Yang mereka berjumpa itu bukan orang yang telah mati, besar kemungkinan itu adalah sejenis makhluk halus yang al-Quran mengistilahkannya sebagai Qareen.

Dalam Surah Fussilat, ayat 25 (mafhumnya),"Dan kami tetapkan bagi mereka teman-teman (Qareen) yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan (hukuman) asal, pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia bahawa sesungguhnya mereka adalah golongan yang rugi."
Ayat ini merujuk kepada adanya, makhluk halus yang dipanggil Qareen atau Quranah (jin yang menjadi sahabat baik kepada manusia).

Dalam Surah an-Nisa, ayat 38 (mafhumnya),"....Dan sesiapa yang menjadikan syaitan itu kawan setianya, maka dia mendapat kawan setia yang amat jahat."
Pada Hari Kiamat bila insan dibangkitkan, dan mendapati dirinya termasuk dalam golongan yang derhaka terhadap Allah S.W.T, mereka saling menyalahkan antara satu sama lain, terutamanya menyalahkan Qareennya (syaitan yang menjadi kawan mereka). Seperti yang disebut dalam Surah Qaaf, ayat 27 (mafhumnya),"Berkatalah (syaitan yang menjadi kawan baik manusia), 'Wahai Tuhan kami! aku tidak menzaliminya, akan tetapi dia sendirilah yang melakukan kesesatan yang amat jauh (terhadap-Mu)."
Banyak ayat-ayat yang berkenaan Qareen seperti Surah as-Saffaat (51), Surah Zukhruf (38), Surah Qaaf (23) dan ayat-ayat lain.

Qareen berbeza istilahnya daripada ifrit, jin, syaitan dan sebagainya, kerana Qareen ini dirujuk sebagai makhluk halus yang berdampingan dengan manusia sehingga menjadi kawan rapat yang boleh bantu membantu.
Malah Allah memberi penjelasan bahawa manusia berlindung dengan jin seperti disebut dalam Surah Jin ayat 6 (mafhumnya),"Dan bahawa sesungguhnya ada kalangan laki-laki manusia, berlindung dengan laki-laki daripada jin, maka bertambah-tambahlah kejahatan syaitan ke atas manusia."
Ayat ini merujuk kepada persahabatan yang begitu rapat antara manusia dengan jin, sehingga menganggap jin ada kuasa, ada kebolehan untuk melindungi manusia, mereka berlindung dengan jin, mereka tidak berlindung dengan Allah.

Ini adalah Qareen, sehingga sesudah mati manusia itu pun, jin ini boleh menyerupai seperti mereka untuk menyesatkan manusia dan mencederakan aqidah manusia, wallahu a'lam.


Sumber : http://www.darussyifa.org


Sabtu, 8 Oktober 2011

PERSOALAN AGAMA: BOLEH LIHAT MAKHLUK HALUS?


Gambar Hiasan


SJ005: Bolehkah manusia melihat makhluk halus?

Soalan

Kita percaya wujudnya makhluk seperti yang disebut dalam al-Quran, seperti Jibrail, Jin, Syaitan dan sebagainya. Saya musykil, mereka ini makhluk halus, mereka wujud dan boleh melihat manusia, tetapi manusia tidak boleh melihat mereka. Benarkah dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka (manusia) dapat melihat makhluk halus ini dengan mata kepala mereka sendiri. Makhluk itu berupa manusia yang menakutkan atau berupa binatang? Saya mohon penjelasan.


Jawapan

Ayat al-Quran yang saudara maksudkan memang wujud. Dalam Surah al-A'raf ayat 27, Allah mengisahkan (mafhumnya), ".....Bahawa mereka itu (makhluk halus) boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka....."
Kebiasaannya mereka (makhluk halus) dapat melihat kamu manusia, sedangkan manusia tidak boleh melihat mereka dalam keadaan rupa mereka yang asal.


Namun apabila makhluk ini telah menyerupai rupa-rupa yang Allah izinkan, maka mereka boleh menyerupai makhluk tertentu, dan ketika itu manusia boleh melihat mereka.

Bukti jelas dalam al-Quran yang mengisahkan bahawa mereka (makhluk halus) boleh menyerupai manusia. 

Disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 48 (mafhumnya), "Dan ketika syaitan menjadikan manusia memandang elok dan baik pekerjaan mereka, dan mengatakan tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini (perang Badar) dan sesungguhnya aku pelindung kamu sekelian.

 Tatkala kedua pasukan telah berhadap-hadapan untuk berperang, (syaitan) dia cabut lari seraya berkata 'sesungguhnya kami berlepas diri daripada kalian, sesungguhnya kami dapat melihat apa yang kalian tidak dapat lihat'. Sesungguhnya kami sangat takut kepada Allah dan Allah amat dahsyat seksaan-Nya."

Tafsir al-Qurtubi sebagai contoh, Musyirikin dalam perang Badar yang gentar untuk memerangi tentera Islam, tiba-tiba muncul di hadapan mereka, satu pasukan peperangan yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju'ashum. Suraqah memang dikenali, beliau dari suku Bani Bakr. Beliau dengan tenteranya amat ditakuti oleh Quraisy kerana latar belakang permusuhan mereka dengan Bani Bakr ini.

Bila Suraqah menjanjikan untuk membantu mereka mengalahkan tentera Islam, maka tentera kuffar menjadi lebih berani. Peperangan bermula, tetapi Suraqah dan kuncu-kuncunya cabut lari. Akhirnya kuffar ditewaskan oleh tentera Islam.

Sahih daripada ayat ini ditafsikan dengan muktabar bahawa, yang berkata-kata dengan tentera kuffar adalah syaitan yang menyerupai manusia secara khusus seperti Suraqah bin Malik.

Dalam Surah al-Anfaal ayat 30 (mafhumnya), "Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir mengaturkan satu tipu helah jahat untuk mencelakakan engkau (Muhammad), menangkap ,atau membunuh kamu atau mengusir kamu. Mereka membuat perencanaan dan Allah membuat rencana pula, tetapi Allah Perencana yang terbaik."

Tafsir Annasafi juzuk 9 halaman 199, mencatatkan peristiwa kuffar mengadakan satu pertemuan di Darun Nadwah untuk memutuskan perihal Muhammad, ketika pembesar Quraisy hendak bermesyuarat, mereka ditemui oleh seorang pemimpin daripada puak Najdi, atau Syaikhu Najdi datang khusus untuk menyertai mereka memberi pandangan, Quraisy Makkah membenarkan Syaikhu Najdi turut sama dalam mesyuarat mereka yang berakhir dengan keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad.

Syaikhu Najdi ini sebenarnya adalah Iblis laknatullah yang menyamar.
Rasulullah s.a.w sendiri pernah pergi berdakwah di kalangan makhluk jin. Sahabat seperi Abu Hurairah r.a pernah menangkap syaitan yang mengganggu dan mencuri barang makanan yang dijaga dalam simpanan Baitul Mal. Ammar bin Yasir pernah berhadapan dan bertarung dengan makhluk halus ini.

Semua ini membuktikan bahawa makhluk halus memang boleh menyerupai berbagai rupa. Tetapi mereka tidak mudah sesuka hati hendak berupa sedemikian disebabkan ia boleh menimbulkan ketidaktenteraman di kalangan manusia, kerana Allah mengawal manusia dengan rahmat-Nya. 

Wallahua'lam
sumber: http://www.darussyifa.org

PERSOALAN AGAMA: MAKHLUK HALUS MEMBERI MUDHARAT?

Gambar Hiasan
SJ004: Bolehkah makhluk halus mendatangkan kesengsaraan kepada manusia seperti penyakit dan sebagainya?

Soalan
Bolehkah makhluk-makhluk halus mendatangkan kesengsaraan kepada manusia seperti penyakit dan sebagainya?



Jawapan
Persoalan ini memerlukan kepada kesedaran asas bahawa alam ini tidak hanya didiami oleh manusia atau makhluk-makhluk zahir sahaja, malah Allah menjadikan alam ini sebagai tempat tinggal makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Yang nyata dalam Islam, kita disuruh melindungkan diri daripada syaitan sebagaimana doa yang selalu dibawa iaitu a'uzubillahi minnas syaitan nir rajim atau saya mohon perlindungan daripada Allah S.W.T daripada syaitan yang direjam.
Bagiamana mungkin Allah S.W.T meminta manusia memohon perlindungan dengan-Nya daripada sesuatu yang buruk berlaku. Hatta, sering berlaku dalam mana-mana masyarakat di dunia ini berlaku gangguan ke atas manusia yang tidak diketahui puncanya, atau diketahui puncanya.

Untuk menjawab soalan ini, al-Quran sebagai contohnya, Surah as-Saad, ayat 41 (mahfumnya) "Dan ingatlah ketika hamba kami Nabi Ayub menyeru tuhannya mengadu sesungguhnya Allah, saya sedang disakiti oleh syaitan dengan berbagai-bagai dan azab sengsara."

Kisah Nabi Ayub yang telah menghadapi penyakit fizikal agak dahsyat ketika itu, berpunca daripada sentuhan atau penangan syaitan.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 102, ayat ini mengkisahkan tentang ilmu sihir yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia. Di antara lain disebut, manusia mempelajari ilmu sihir daripada syaitan itu yang akan memudaratkan dan tidak memberi manfaat kepada mereka.

Dalam hadis sebagai contoh, Rasulullah s.a.w, dalam satu doanya, baginda menyebut suatu perkataan "memohon perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan yang boleh menyebabkan kesakitan."
Dalam al-Quranul Karim ada beberapa istilah dengan jelas disebut bahawa makhluk ini boleh menyakiti manusia dengan berbagai perlakuan sehingga menyebabkan manusia menderita dengan sakit teruk.

Antara lain dalam Surah al-Fussilat, ayat 36 (yang mafhumnya) "Dan jika syaitan menganggu kamu dengan satu gangguan maka pohonlah perlindungan dari Allah, maka sesungguhnya Dia lah yang Maha Pendengar lagi Maha Mengetahui."

Dalam ayat itu disebutkan "mengganggu atau menyakiti kamu dengan sebarang gangguan atau kesakitan."
Istilah 'nazghun' dalam ayat tersebut diterjemahkan oleh kamus dengan maknanya ditikam dengan tangan, ditumbuk atau ditendang. Tafsir al-Maraghi dan Tafsir al-Qurtubi, menjelaskan maknanya sebagai menendang, merasuk atau mencederakan seseorang.

Dalam Surah al Baqarah, ayat 275 (mafhumnya) "Mereka tidak berdaya bangun seperti bangunnya orang yang dicederakan oleh syaitan daripada penangannya."
Istilah dalam ayat ini disebut 'yatahabbatuhu', ditafsirkan dengan makna mencekik, menyakiti hingga meraung kesakitan.

Dalam hadis sahih yang menyebut fenomena 'assar'u' maknanya syaitan menjadi penyebab berlakunya kecederaan kepada manusia seperti kesakitan, hilang akal, kebisingan yang melampau dan sebagainya.

Hadis yang diriwayatkan oleh A'ta bin Abi Ribah menceritakan perihal seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dengan mengadu kesakitan dan kesengsaraan angkara syaitan.

Hadis Ya'li bin Murrah menceritakan tentang seorang budak lelaki mengalami penyakit 'lamam' (seperti gila) kerana gangguan syaitan.

Hadis Othman bin Abi al-Ass, mengadu kepada Rasulullah tentang kesakitan yang menimpanya menyebabkan dia tidak dapat bertugas. Rasulullah memberitahu bahawa itu adalah angkara syaitan.

Banyak lagi hadis-hadis sahih yang menunjukkan hal-hal sedemikian benar-benar berlaku.
Pada saya memang pada pandangan syariat bahawa makhluk halus ini dengan izin Allah juga boleh melakukan perkara-perkara yang mendatangkan penyakit kepada anak Adam.

Wallahua'lam
Sumber : http://www.darussyifa.org

PERSOALAN AGAMA: MAKHLUS HALUS WUJUD?

SJ003: Apakah makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya benar-benar wujud?

Soalan
Saya pernah mendengar pertengkaran yang hebat di antara seorang yang berpendidikan tinggi dari Barat dengan seorang yang berpendidikan agama, tentang kepercayaan kepada makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Apakah makhluk ini benar-benar wujud.
Masing-masing menegakkan hujah tanpa ada penyelesaian antara kedua-duanya. Apakah pandangan dan komen ustaz tentang perkara ini?

Jawapan
Persoalan seperti yang saudara kemukakan ini memang sering berlaku kepada masyarakat yang mempunyai latarbelakang kehidupan yang berasaskan kepada kebendaan (material) khasnya pengetahuan dalam sains moden yang segala-galanya merujuk kepada keterangan nyata bahawa sesuatu itu wujud jika dapat dilihat atau dirasa untuk meyakinkan mereka, jika tidak berlakulah penafian yang mutlak.

Persoalan ini merujuk kepada istilah, sama ada ia hantu, jembalang, toyol atau sebagainya. Saya cuba melihat perkara ini dengan lebih halus, dalam kamus Dewan yang menjadi rujukan kita sebagai contoh makhluk halus dirujuk sebagai hantu, bunian, jembalang, pontianak, langsuyar, pelesit dan sebagainya ruh jahat yang merasuk manusia dengan pelbagai kemudaratan yang menimpa manusia.

Semua ini adalah istilah-istilah yang terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Bagai masyarakat lain seperti Arab, mereka menggunakan istilah seperti al-jinn, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam kamus Arab yang terkenal seperti Al-Munjid ada Lisanul Arab, Mukhtar Assahah dan lain-lain menyatakan erti bagi istilah tadi adalah bermaksud, ruh-ruh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi dan menakutkan anak-anak Adam berbagai-bagai cara.

Kedua-dua kamus Dewan dan Arab ini merujuk kepada istilah yang sama. Nama-nama yang terkenal dalam masyarakat Melayu tersebut sama dengan masyarakat Arab. Iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, ataupun ia hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja.

Kalau kita lihat kepada al-Quran Karim dan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w, kita akan menemui istilah yang sama.
Al-Quran menyebut syaitan atau syayateen, jin atau jinnah, qareen, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam hadis yang sahih kita akan berjumpa dengan istilah Ummu Sibyan, Khinzab, Aamir, Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini sama ada dalam al-Quran dan hadis merujuk kepada wujudnya makhluk-makhluk halus ataupun ruh-ruh jahat yang menganggu manusia dengan berbagai-bagai cara.

Malah dalam satu ayat Quran, begitu jelas Allah menyebut, misalnya dalam Surah al-Ahqaf, ayat 29, Allah berfirman yang mafhum, "Ketika Kami (Allah) menghadapkan kepada kamu (wahai Muhammad) beberapa jin untuk mendengar al-Quran pada Surah al-Jin."

Disebutkan juga dalam hadis yang sahih bahawa Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran dan hadis Ibnu Abi Hatib, dari Mujahid bahawa Nabi s.a.w pergi bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah.

Oleh yang demikian memang wujud dan wajib dipercayai ia benar-benar wujud. Pada pandangan saya yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemahannya sahaja, walhal ianya adalah makhluk yang sama.
Sama ada ia hantu, jembalang, jin tanah, pelesit, bunian dan sebagainya adalah makhluk halus yang wajib dipercayai wujudnya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.

Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah. Wallahu a'lam

Sumber : http://www.darussyifa.org

Jumaat, 7 Oktober 2011

PERSOALAN AGAMA: PERIHAL NABI AYUB SAKIT TERUK

Soalan

Ada seorang penceramah di masjid tempat saya, dalam satu ceramahnya beliau menceritakan perihal Nabi Allah Ayub a.s. yang mendapat penyakit ganjil kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub a.s. berkudis dan bernanah, sehingga dagingnya reput, berbau busuk serta berulat. Kami jemaah masjid tertanya-tanya tentang peristiwa itu, bagaimana Nabi Ayub a.s. boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya, jika keadaan beliau seperti sedemikian. Mohon Dato' jelaskan?

Jawapan
Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41)

Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub a.s.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya.

Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai.
Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya.

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya.

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal.

Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti.

Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu.

Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah.

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka.

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya:

"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi.

"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84)

Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub a.s. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpamcar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya.
Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.

Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan.

Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya
Wallahua'lam.
- lanh
(Petikan dari Harakah Bil.1338)

PERSOALAN AGAMA: RUH ORANG MATI adakah BOLEH DATANG ZIARAH KELUARGA.

SJ001: Benarkah Ruh orang yang telah meninggal dunia boleh menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumahnya atau kampung halamannya?

Soalan

Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Jawapan
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin  bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),"Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."
Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.

Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."

Ayat al-Quran lain ada menyebut,"Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut
tanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu'alam.

Sumber: http://www.darussyifa.org

Isnin, 3 Oktober 2011

Persoalan Agama: Syaitan masuki tubuh menerusi 10 pintu


Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

SOALAN

USTAZ, mungkin kita boleh kata segala perbuatan jahat yang berlaku di muka bumi ini seperti tamak harta, sombong, memfitnah orang, suka menzalimi orang, ambil harta orang, riak dan sebagainya berpunca daripada syaitan. Untuk pengetahuan ustaz, Saya seorang tua yang baru hendak insaf. Cuma adakah cara untuk kita lari daripada terus dihasut oleh syaitan. Kalau ada bagaimanakah caranya. 
JAWAPAN
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. 

Untuk membantu manusia dalam menghadapi cabaran-cabaran syaitan dan fantasi Iblis, Islam sudah menunjukkan kepada manusia beberapa perkara supaya dapat menolongnya bertahan dalam bertarung dengan syaitan dan membolehkan ia berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Dalam sebuah kitab yang ditulis oleh seorang ulama Syeikh Fathi Yakan menulis kitabnya yang terkenal iaitu Maza yakni intima’I lil Islam. 

Dalam kitab itu menyatakan, perkara itu sudah pun disimpulkan oleh seorang yang salih dengan katanya: 
“Ku renung dan ku fikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba aku mendapati syaitan masuk dari sepuluh pintu iaitu: 
Pertama: Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada sesudah berusaha dan berikhtiar. 

Kedua: Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan rasa takut dengan kedatangan mati yang tiba-tiba. 

Ketiga: Cintakan kerehatan dan nikmat, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk. 

Keempat: Kagum pada diri sendiri (ujub), lalu aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan. 

Kelima: Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak dan kehormatan mereka. 

Keenam: Hasad dengki, lalu aku menghadapinya dengan sifat qanaah (iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya. 

Ketujuh: Riak dan sukakan pujian manusia, lalu aku menghadapinya dengan sifat ikhlas. 

Kelapan: Kedekut atau bakhil, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal. 

Kesembilan: Takbur atau sombong, lalu aku menghadapinya dengan sifat tawaduk. 

Kesepuluh: Tamak, lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia. 

Antara arahan yang dituntut oleh Islam sebagai suatu jalan untuk mengelak diri daripada panah dan tipu daya Iblis ialah mengingati Allah sewaktu mula melakukan semua kerja. Dalam hubungan ini Abu Hurairah sudah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang kafir. 

Didapati bahawa syaitan bagi orang kafir itu dalam keadaan gemuk sedangkan syaitan bagi orang mukmin kurus kering dan dalam keadaan duka cita. Lalu syaitan orang kafir bertanya kepada syaitan orang mukmin: “Kenapa kamu kurus kering dan duka cita. Syaitan orang mukmin menjawab: Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan, dia menyebut nama Allah. Jadi aku terus lapar. 

Apabila minum dia menyebut nama Allah. Jadi aku kehausan. Apabila dia memakai pakaian dia menyebut nama Allah dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila dia memakai minyak rambut, dia terus menyebut nama Allah. Dengan itu rambutku terus kusut kering.” 

Syaitan yang kafir pula berkata: “Tetapi aku mendampingi seorang yang sedikit pun tidak melakukan daripada apa yang engkau sebutkan tadi. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanan, minuman dan pakaiannya.” 

Demikianlah, wallahua’lam. 

AKHiRAT DIDAHULUKAN...

 قال الامام القدوة عون بن عبد الله رحمه الله: إن من كان قبلنا كانوا يجعلون لدنياهم ما فضل عن آخرتهم، وإنكم اليوم، تجعلون لآخرتكم ما فضل عن د...