Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
SOALAN
USTAZ, mungkin kita boleh kata segala perbuatan jahat yang berlaku di muka bumi ini seperti tamak harta, sombong, memfitnah orang, suka menzalimi orang, ambil harta orang, riak dan sebagainya berpunca daripada syaitan. Untuk pengetahuan ustaz, Saya seorang tua yang baru hendak insaf. Cuma adakah cara untuk kita lari daripada terus dihasut oleh syaitan. Kalau ada bagaimanakah caranya.JAWAPAN
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.
Untuk membantu manusia dalam menghadapi cabaran-cabaran syaitan dan fantasi Iblis, Islam sudah menunjukkan kepada manusia beberapa perkara supaya dapat menolongnya bertahan dalam bertarung dengan syaitan dan membolehkan ia berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Dalam sebuah kitab yang ditulis oleh seorang ulama Syeikh Fathi Yakan menulis kitabnya yang terkenal iaitu Maza yakni intima’I lil Islam.
Dalam kitab itu menyatakan, perkara itu sudah pun disimpulkan oleh seorang yang salih dengan katanya:
“Ku renung dan ku fikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba aku mendapati syaitan masuk dari sepuluh pintu iaitu:
Pertama: Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada sesudah berusaha dan berikhtiar.
Kedua: Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan rasa takut dengan kedatangan mati yang tiba-tiba.
Ketiga: Cintakan kerehatan dan nikmat, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.
Keempat: Kagum pada diri sendiri (ujub), lalu aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.
Kelima: Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak dan kehormatan mereka.
Keenam: Hasad dengki, lalu aku menghadapinya dengan sifat qanaah (iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.
Ketujuh: Riak dan sukakan pujian manusia, lalu aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.
Kelapan: Kedekut atau bakhil, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.
Kesembilan: Takbur atau sombong, lalu aku menghadapinya dengan sifat tawaduk.
Kesepuluh: Tamak, lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.
Antara arahan yang dituntut oleh Islam sebagai suatu jalan untuk mengelak diri daripada panah dan tipu daya Iblis ialah mengingati Allah sewaktu mula melakukan semua kerja. Dalam hubungan ini Abu Hurairah sudah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang kafir.
Didapati bahawa syaitan bagi orang kafir itu dalam keadaan gemuk sedangkan syaitan bagi orang mukmin kurus kering dan dalam keadaan duka cita. Lalu syaitan orang kafir bertanya kepada syaitan orang mukmin: “Kenapa kamu kurus kering dan duka cita. Syaitan orang mukmin menjawab: Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan, dia menyebut nama Allah. Jadi aku terus lapar.
Apabila minum dia menyebut nama Allah. Jadi aku kehausan. Apabila dia memakai pakaian dia menyebut nama Allah dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila dia memakai minyak rambut, dia terus menyebut nama Allah. Dengan itu rambutku terus kusut kering.”
Syaitan yang kafir pula berkata: “Tetapi aku mendampingi seorang yang sedikit pun tidak melakukan daripada apa yang engkau sebutkan tadi. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanan, minuman dan pakaiannya.”
Demikianlah, wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan