Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui.”
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
Pertama - Perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.
Kedua - Banyakkan memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan doa yang ma’thur iaitu doa daripada al-Quran atau Hadis.Antaranya doa terbaik yang dipetik daripada al-Quran iaitu ayat 38 surah ali-Imran : “Rabbi Hab li Min Ladunka Zurriyatan Toiyibatan, innaka sami’ud du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”Begitu juga surah Ibrahim ayat 40: “Rabbij’alni muqiimas solati wamin zurriyati rabbana wa taqabbal du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doa permohonan ku.”
Ketiga - Suami isteri perlu hindarkan diri daripada sering bertengkar. Ini disebabkan, pertengkaran itu boleh menyebabkan wujud suasana tidak harmoni dalam hubungan suami isteri dan dibimbangi mempengaruhi anak.
Keempat - Jauhi daripada melakukan perkara fasik atau maksiat. Apabila ibu atau ayah sukakan perkara maksiat boleh membawa kerosakan besar dalam hubungan suami isteri, begitu juga anak. Berusahalah mewujudkan suasana baik sebagai mana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (Sakinah) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah)…”
Kelima - Banyakkan membaca al-Quran ketika mengandung. Tidak semestinya membaca ayat pilihan seperti surah Yusuf dan surah Maryam. Sebaik-baiknya, baca sehingga khatam kemudian diulang. Begitu juga apabila anda ingin membesarkan anak, dengarkan anak dengan bacaan al-Quran kerana ia boleh mempengaruhi jiwanya.
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan