Sabtu, 22 November 2014

AL-QURAN IBARAT MESIN MASA MINDA

Posted by epondok

MEMBACA dan menghayati al-Quran seumpama pulang ke masa lampau melihat keajaiban.

BERUNTUNGlah orang yang berdamping dengan al-Quran.  

 JUNJUNGAN Nabi Muhammad SAW adalah Rasul utusan Allah SWT. Walau tidak pernah menelaah atau talaqqi kitab umat terdahulu, baginda mengetahui sejarah lampau yang mencecah ribuan tahun usianya secara terperinci seolah-olah baginda hadir di situ.

Apabila ditanya kepada Ahli Kitab yang soleh, mereka mengakui kebenaran kisah yang dibawa baginda. Sesetengah mereka langsung bersaksi akan kebenaran baginda dan beriman kerana hanya seorang rasul yang mendapat wahyu mampu mengetahuinya.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul daripada Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah. (al-Ra’d [13:43]).

“Umpamanya anda baru bertemu seorang lelaki yang kelihatan berkarisma, lalu lelaki tersebut mampu menceritakan kisah lampau anda secara terperinci. Lelaki itu tersebut, pada tarikh sekian, anda terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan kereta sekian. Nombor kenderaan anda dan kenderaan yang melanggar anda juga dinyatakan secara terperinci.

“Bukan setakat itu, disebut juga semasa kemalangan berlaku, anda memakai baju, seluar dan kasut sekian. Disebut juga nama dan no IC orang yang melanggar juga pegawai polis yang bertugas di tempat kejadian.

“Dinyatakan juga semasa kejadian terdapat berapa ramai pemerhati dan perincian mengenai identiti setiap yang hadir bersama warna pakaiannya. Kemudian disebut juga kos rawatan yang anda lalui di hospital sekian oleh doktor sekian. Disebut juga berapa lama anda mendapat cuti sakit dan kesan kemalangan yang anda rasai sehingga sekarang.”

Setelah mendengar penjelasan terperinci lelaki tersebut, anda pasti terus beriman dengan Kewalainnya.
Begitulah juga perihalnya Rasulullah SAW yang mendapat bimbingan wahyu. Lihat beberapa contoh dalam ayat berikut yang membuktikan dengan nyata bahawa baginda bukan manusia biasa tetapi seorang Rasul yang dibimbing Allah SWT.

1-Firman Allah pada perincian kisah Musa a.s menerima wahyu dan lokasinya.
irman-Nya yang bermaksud: Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada di sebelah barat (tempat Nabi Musa menerima wahyu) ketika Kami sempurnakan penyerahan Kitab Taurat kepadanya, dan engkau juga tidak termasuk dalam golongan yang menyaksikan peristiwa itu. Akan tetapi (engkau hanya mengetahui kisah itu dengan jalan Kami memberi wahyu kenabian kepadamu disebabkan) Kami telah mengadakan beberapa umat (dari zaman Nabi Musa hingga ke zamanmu) sampai berlanjutanlah masa yang mereka lalui (serta kucar-kacirlah ugama yang mereka anuti). Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan membaca dan mempelajari dari mereka ayat-ayat keterangan Kami (tentang hal Nabi Musa di sana), tetapi Kamilah yang mengutusmu (menjadi Rasul dan memberi wahyu kepadamu mengenai hal itu). Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (al-Quran) daripada Tuhanmu (menerangkan kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya). (al-Qasas:44-46)

2-Perincian perancangan 10 adik-beradik Yusuf ketika mereka merancang menzalimi Yusuf, seakan baginda SAW ada bersama mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: (Kisah Nabi Yusuf) yang demikian ialah daripada berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya). (Yusuf: 102)

3-Perincian perselisihan para pendeta Bayt al-Maqdis dan Nabi Zakariyya a.s ketika mereka membuat undian tentang siapakah selayaknya mendapat hak jagaan Maryam, seakan baginda SAW juga ada bersama mereka.

Firman-Nya yang bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam). (Ali Imran:44)

4-Perincian kisah Nabi Nuh a.s dan kaumnya yang ditenggelami air.
Ertinya: (Kisah Nabi Nuh) itu adalah daripada perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Hud: 49)


Kesimpulannya, membaca dan menghayati al-Quran seumpama menaiki “mesin masa minda” yang pulang ke zaman lampau melihat keajaiban kisah manusia pilihan. “Mesin masa minda” ini pula dipandu oleh Rasulullah SAW. Beruntunglah orang yang berdamping dengan al-Quran.

http://epondok.wordpress.com/2014/11/12/al-quran-ibarat-mesin-masa-minda/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...