Isnin, 28 September 2020

Bersifat Tawaduk

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu". (HR Tirmidzi No: 2437) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Memiliki sifat redha dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki adalah suatu yang dituntut.

2.  Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada, tidak akan kecewa, sedih mahupun dengki pada orang lain.

3.  Elakkan dari  membuat perbandingan dengan orang yang lebih kaya dan berada kerana akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.

4.  Dalam hal yang berkaitan dengan akhirat, kita hendaklah sentiasa melihat orang yang lebih baik daripada diri kita untuk bersaing dan berlumba mencontohinya.

5.  Kita perlu merasa cemburu melihat kealiman dan kesolehan orang lain untuk diikuti dan dicontohi.

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٧٧ 

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77).


Jumaat, 4 September 2020

Penyelamat Dari Neraka dan Memasukkan Ke Syurga

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

قُلْتُ ثِنْتَانِ أَسْأَلُكَ عَنْهُمَا مَا يُنَجِّينِي مِنْ النَّارِ وَمَا يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ نَكَسَ رَأْسَهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيَّ بِوَجْهِهِ قَالَ لَئِنْ كُنْتَ أَوْجَزْتَ فِي الْمَسْأَلَةِ لَقَدْ أَعْظَمْتَ وَأَطْوَلْتَ فَاعْقِلْ عَنِّي إِذًا اعْبُدْ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا وَأَقِمْ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَأَدِّ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَصُمْ رَمَضَانَ وَمَا تُحِبُّ أَنْ يَفْعَلَهُ بِكَ النَّاسُ فَافْعَلْهُ بِهِمْ وَمَا تَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ إِلَيْكَ النَّاسُ فَذَرْ النَّاسَ مِنْهُ 

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Al-Muntafiq: Aku telah bertemu Rasulullah SAW di Arafah.  Aku lalu berkata, "Aku ingin bertanya kepadamu dua perkara: Apakah yang dapat menyelamatkan aku daripada neraka, dan apa yang menyebabkan aku masuk syurga? ' Lalu Rasulullah SAW menengadahkan kepalanya ke langit dan menurunkannya lagi, kemudian menatapku dengan wajahnya, baginda bersabda: telah meringkaskan soalan kamu tetapi kamu telah bertanya sesuatu yang amat besar dan perjalanannya adalah jauh. Oleh itu berilah perhatian kepada jawapanku:  sembahlah Allah dan jangan kamu sekutukan dengan sesuatupun, dirikan solat yang difardhukan, keluarkan zakat yang diwajibkan, dan berpuasalah pada bulan Ramadan. Jika kamu ingin supaya manusia melakukan sesuatu (kebaikan) kepadamu, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka. Sebaliknya jika kamu benci orang lain melakukan keburukan itu kepadamu, maka kamu hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada mereka." (HR Ahmad No: 25901) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberikan peringatan perkara yang boleh menyelamatkan seseorang daripada neraka dan memasukkan seseorang ke syurga:

1.  Menyembah  Allah dan jangan melakukan perbuatan syirik.

2.  Menunaikan solat yang difardhukan.

3.  Mengeluarkan zakat yang diwajibkan.

4.  Berpuasalah pada bulan Ramadan.

Jika kita ingin supaya orang lain melakukan sesuatu (kebaikan) kepada kita,  maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka. 

Jika kita benci orang lain melakukan keburukan itu kepada kita, maka hendaklah terlebih dahulu kita tidak melakukan keburukan itu kepada orang lain. Ayuh lakukan amalan ahli Syurga.

DUNiA ADaLaH JaMBATan AKHiRAT

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata;  Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang,  janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah  waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu. (HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

2.  Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan, memperbanyak ketaatan dan amal soleh.

3.  Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

4.  Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

GAMbaRaN ORaNG SomBoNG Di AKHiRAT

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal." (HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain. Firman Allah:

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤ 

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (al-Baqarah: 34).

2.  Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

3.  Orang sombong akan  diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

4.  Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.

PerKARA Yang DiMAAFkan

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

 عَنِ ابْنِ عَبَّاس رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ

 : إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ 

 Daripada lbnu ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengampunkan dari umatku perbuatan yang dilakukan secara tersilap, terlupa dan secara paksaan. (HR Ibnu Majah No: 2045) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmat. Luasnya rahmat dan belas kasihan Allah SWT terhadap hambaNya, Dia hanya mempertanggungjawabkan dosa yang dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri tanpa paksaan.

2.  Islam memiliki dasar perundangan dan kehakiman yang mengutamakan keadilan, di mana perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja tanpa disedari, atau kerana dipaksa dia tidak akan diberikan dosa. 

3.  Allah SWT mengutamakan umat ini dengan menghilangkan berbagai kesulitan dan memaafkan dosa kesalahan seseorang yang berpunca dari tidak sengaja, sifat lupa dan dipaksa. 

4.  Sesungguhnya Allah SWT tidak menghukum seseorang kecuali jika dia sengaja berbuat maksiat dan hatinya telah berniat untuk melakukan penyimpangan dan meninggalkan kewajiban dengan sukarela. 

5.  Manfaat adanya kewajiban adalah untuk mengetahui siapa yang taat dan siapa yang engkar. 

6.  Ada beberapa perkara yang tidak dimaafkan. Misalnya seseorang melihat najis di bajunya akan tetapi dia mengabaikan untuk menghilangkannya segera, kemudian dia solat dengannya kerana lupa, maka wajib baginya mengqada solat tersebut. 


Bersyukur Dengan Apa Yang Ada

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

 إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (Sahih Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.  Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.  Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan fizikal akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. 

4.  Memandang kepada seseorang yang lebih rendah atau kurang daripada kita, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT. 

5.  Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki.


Wasiat Sepertiga Harta

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ مَرِضْتُ عَامَ الْفَتْحِ مَرَضًا أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى الْمَوْتِ فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا كَثِيرًا وَلَيْسَ يَرِثُنِي إِلَّا ابْنَتِي أَفَأُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَثُلُثَيْ مَالِي قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ فَالثُّلُثُ قَالَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ إِنْ تَدَعْ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَإِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً إِلَّا أُجِرْتَ فِيهَا حَتَّى اللُّقْمَةَ تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ 

Daripada 'Amir bin Sa'd bin Abu Waqqash dari bapaknya dia berkata; Pada tahun Fathu Makkah (pembukaan Kota Mekah), aku ditimpa sakit dan aku merasa akan mengalami kematian. Kemudian Rasulullah SAW telah datang menziarahiku, lalu aku pun bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak, sedangkan tidak ada orang yang akan mewarisiku kecuali anak perempuanku seorang diri. Bolehkah aku membuat wasiat terhadap semua hartaku?" Baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi: "Jika duapertiga daripada hartaku?" Baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi:, "Atau separuh darinya?" baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi:, "Kalau begitu, sepertiga darinya?" Akhirnya baginda bersabda: "Sepertiga. Namun, sepertiga adalah jumlah yang banyak. Sesungguhnya, bila kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan fakir dan meminta-minta kepada manusia. Dan sesungguhnya setiap yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya engkau  akan diberi ganjaran pahala, walaupun sesuap makanan yang engkau berikan kepada isterimu."  (HR Tirmidzi No: 2042) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang berharta adalah lebih baik daripada mukmin yang  miskin dan meminta-minta.

2.  Setiap mukmin hendaklah membelanjakan harta kepada jalan yang membawa kepada kebajikan, bersederhana dan tidak pula sampai mengabaikan hak dan kewajipan.

3.  Harus berwasiat sepertiga harta yang ditinggalkan untuk tujuan kebajikan seperti wakaf, sedekah dan sebagainya.

4.  Meninggalkan ahli waris dalam keadaan berharta dengan harta pusaka yang ditinggalkan adalah lebih baik daripada membiarkan mereka miskin serta meminta-meminta kepada orang lain.

5.  Seorang mukmin yang kuat dan kukuh ekonominya, mempunyai kekayaan dengan jalan yang terhormat seperti hasil pewarisan harta faraid dari ibu bapa bukan dengan jalan tipu daya adalah suatu kebaikan.

6.  Membelanjakan harta dengan ikhlas kepada anak isteri serta menyimpan harta untuk keperluan ahli waris adalah mendapat pahala kerana menjaga silaturahim. Berbuat kebajikan kepada kaum kerabat adalah lebih utama daripada pemberian kepada orang lain.


Mendamaikan Perselisihan Lebih Utama

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2.  Mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah.

3.  Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan menzalimi, saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad akan memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257)

Marilah kita bersikap RAHMAH dengan berusaha mendamaikan perselisihan yang ada kerana ia adalah amal soleh yang utama. Jangan biarkan perbuatan yang menjadi pencukur amal pahala kita.


Jangan Memusuhi Sesama Muslim

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئً إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… (HR. Imam Malik dalam Al-Muwatha’ 5/1334, Sahih Muslim No:2565). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pintu syurga sentiasa terbuka untuk orang yang mendapat keampunan Allah. Terdapat pintu syurga yang dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Dalam hadis yang lain menyebutkan kelebihan hari Isnin dan Khamis:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Pelbagai amalan diangkat (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku diangkat  sedangkan aku sedang berpuasa.” (HR. Tirmidzi No: 747) Status: Hadis Hasan

2.  Allah sentiasa mengampuni dosa selagi seseorang itu tidak melakukan perbuatan syirik.

3.  Allah juga akan menangguhkan penerimaan amal dan keampunan daripada dua orang yang bermusuhan sehingga mereka berdamai.

4.  Rasulullah SAW mengulang 3 kali peringatan tidak diterima amal, mereka yang kekal  bermusuh sesama Muslim dan tidak segera berdamai.

5.  Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa orang yang memboikot saudaranya tanpa alasan yang benar selama setahun, dosanya seperti menumpahkan darahnya. Dari Abu Khirasy As-Sulami RA, Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ

“Siapa yang memboikot saudaranya setahun, dia seperti menumpahkan darahnya.” (HR Abu Daud 4915, dan dishahihkan oleh Syuaib Al-Arnauth).

Jadikanlah diri kita orang yang segera menamatkan permusuhan sesama Muslim jika ada, agar amal kita diterima dan mendapat pengampunan serta rahmat Allah.

Keji dan Kasar Ke Neraka

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ وَالْإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَذَاءُ مِنْ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Malu itu dari iman dan iman ada di syurga, sedangkan perkataan keji itu dari perangai yang kasar dan perangai yang kasar ada di neraka." (HR Ahmad No: 10108) Status: Perawi Tsiqah

Pengajaran:

1.  Malu adalah hasil dari iman.

2.  Kata Ibnu Umar: Sesungguhnya sifat malu dan iman itu bersamaan, apabila salah satu tercabut, yang satu lagi turut tercabut.

3.  Iman itu tempatnya di syurga.

4.  Perkataan keji kerana ketiadaan iman dan hilangnya sifat malu berpunca dari perangai kasar dan huduh antaranya mengumpat, memfitnah, dan mencaci maki antaranya melalui media sosial  seperti FB, WhatsApp, Telegram, Instagram.

5.  Perangai kasar dan buruk tempatnya di neraka.

Ayuh kita miliki sifat malu dan menjauhi sifat buruk ahli neraka.


12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...