Memaparkan catatan dengan label Kategori Akhlaq dan Nasihat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kategori Akhlaq dan Nasihat. Papar semua catatan

Isnin, 12 November 2012

Wasiat Nasihat Habib Umar

Wasiat Nasihat Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz Ibni Syekh Abu Bakar bin Salim


قَلْبَكَ بِمَحَبَّةِ إخْوَانِكَ يَنْجَبِرْ نُقْصَانُكَ وَ يَرْتَفِعْ عِنْدَ اللهِ شَأنَكَ
  • Penuhilah hatimu dengan kecintaan terhadap saudaramu niscaya akan menyempurnakan kekuranganmu dan mengangkat derajatmu di sisi Allah.
مَنْ كَانَ أعْرَفُ كَانَ أخْوَفُ
  • Barang siapa Semakin mengenal kepada Allah niscaya akan semakin takut.

مَنْ لَمْ يُجَالِسْ مُفْلِحُ كَيْفَ يُفْلِحُ وَ مَنْ جَالَسَ مُفْلِحَ كَيْفَ لاَ يُفْلِحُ
  • Barang siapa yang tidak mahu duduk dengan orang beruntung, bagaimana mungkin dia akan beruntung dan barang siapa yang duduk dengan orang beruntung bagaimana mungkin dia tidak akan beruntung.
مَنْ كَانَ سَيَلْقَي فِي الْمَوْتِ الْحَبِيْبَ فَالْمَوْتُ عِيْدًا لَهُ
  • Barang siapa menjadikan kematiannya sebagai pertemuan dengan kekasih (Allah), maka kematian adalah hari raya baginya.

مَنْ صَدَّقَ بِالرِّسَالَةِ خَدَمَهَا
وَ مَنْ صَدَّقَ بِالرِّسَالَةِ تَحَمَّلَ مِنْ أجْلِهَا
وَ مَنْ صَدَّقَ بِالرِّسَالَةِ بَذَّلَ مَالَهُ وَ نَفْسَهُ مِنْ شَأنِهَا
  • Barang siapa percaya pada Risalah (terutusnya Rasulullah), maka dia akan mengabdi padanya. Dan barang siapa percaya pada risalah, maka dia akan menanggung (sabar) kerananya. Dan barang siapa yang membenarkan risalah, maka dia akan mengorbankan jiwa dan hartanya untuknya.

كُلّ وَاحِدٍ قُرْبُهُ فِى الْقِيَامَةِ مِنَ اْلأنْبِيَاءِ عَلَى قَدْرِ إهْتِمَامِهِ بِهَذِهِ الدَّعْوَةِ
  • Kedekatan ( hampirnya) seseorang dengan para nabi di hari kiamat menurut kadar perhatiannya terhadap dakwah ini.


مَا أعْجَبَ اْلأرْضُ كُلُّهَا عِبْرَةٌ أظُنُّ لاَ يُوْجَدُ عَلَى ظَهْرِ اْلأرْضِ شِبْرًا اِلاَّ وَ لِلْعَاقِلِ فِيْهِ عِبْرَةٌ اِذَا اعْتُبَرَ
  • Betapa anehnya bumi, semuanya adalah pelajaran. Kukira tidak ada sejengkal tanah di muka bumi kecuali di situ ada ibrah (pelajaran) bagi orang yang berakal apabila mahu mempelajarinya.
خَيْرُ النَّفْسِ مُخَالَفَتُهَا وَ شَرُّ النَّفْسِ طَاعَتُهَا
  • Sebaik-baik nafsu adalah yang dilawan dan seburuk-buruk nafsu adalah yang diikuti.

مِنْ دُوْنِ قَهْرِ النُّفُوْسِ مَا يَصِلُ الإنْسَانُ اِلَى رَبِّهِ قَطٌّ قَطٌّ قَطٌّ وَ اْلقُرْبُ مِنَ اللهِ عَلَى قَدْرِ تَصْفِيَةِ النُّفُوْسِ
  • Tanpa menahan hawa nafsu maka manusia tidak akan sampai pada Tuhannya sama sekali dan kedekatan ( hampirnya ) manusia terhadap Allah menurut kadar pembersihan jiwanya.

إذَا انْفَتَحَتِ الْقُلُوْبُ حَصَلَ الْمَطْلُوْبَ
  • Jikalau sebuah hati telah terbuka, maka akan mendapatkan apa yang diinginkan.

مَنْ كَانَ لَهُ بِحَارٌ مِنَ الْعِلْمِ ثُمَّ وَقَعَتْ قِطْرَةٌ مِنَ الْهَوَى لَفَسَدَتْ
  • Barang siapa yang mempunyai samudera ilmu kemudian kejatuhan setitis hawa nafsu, maka hawa nafsu itu akan merosak samudra tersebut.


لَحْظَةٌ مِنْ لَحَظَاتِ الْخِدْمَةِ خَيْرٌ مِنَ رُؤْيَةِ الْعَرْشِ وَ مَا فِيْهِ اَلْفَ مَرَّةٍ
  • Sesaat dari saat-saat khidmat (pengabdian), lebih baik daripada melihat arsy dan seisinya seribu kali.
الإنْطِوَاءُ فِى الشَّيْخِ مُقَدِّمَةٌ لِلْلإنْطِوَاءِ فِى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ
وَ اْلإنْطِوَاءُ فِى الرَّسُوْلِ مُقَدِّمَةٌ لِلْفَنَاءِ فِى اللهِ
  • Menyatunya seorang murid dengan gurunya merupakan permulaan di dalam menyatunya dengan Rasulullah SAW. Sedangkan menyatunya dengan Rasulullah SAW merupakan permulaan untuk fana pada Allah (lupa selain Allah)
لَمْ يَزَلِ النَّاسُ فِى كُلِّ وَقْتٍ مَا بَيْنَ صِنْفَيْنِ : صِنْفُ سِيْمَاهُمْ فِي وُجُوْهِهِمْ مِنْ أثَرِ السُّجُوْدِ وَ صِنْفُ سِيْمَاهُمْ فِى وُجُوْهِهِمْ مِنْ أثَرِ الْجُحُوْدِ
  • Manusia di setiap waktu senantiasa terdiri dari dua golongan, golongan yang di wajahnya terdapat tanda-tanda dari bekas sujud dan golongan yang di wajahnya terdapat tanda-tanda dari bekas keingkaran.
مَنْ طَلَبَ غَالِي بِالْبَذْلِ لاَ يُبَالِي
  • Barang siapa yang menuntut keluhuran, maka tidak akan peduli terhadap pengorbanan.

إنَّ لِلسُّجُوْدِ حَقِيْقَةً إذَا نَازَلَتْ اَنْوَارُهَا قَلْبَ الْعَبْدِ ظَلَّ الْقَلْبِ سَاجِدًا أبَدًا فَلاَ يَرْفَعُ عَنِ السُّجُوْدِ
  • Sesungguhnya di dalam sujud terdapat hakikat yang apabila cahayaNya turun pada hati seorang hamba, maka hati tersebut akan sujud selama-lamanya dan tidak akan mengangkat dari sujudnya.

  • قَالَ فِى شَأنِ دَعْوَةٍ : اَلْوَاجِبُ أنْ نَكُوْنَ كُلُّنَا دَعَاةً وَ لَيْسَ بِوَاجِبٍ اَنْ نَكُوْنَ قُضَاةً اَوْ مُفْتِيَيْنِ (قُلْ هَذِهِ سَبِيْلِيْ أدْعُوْ اِلَى اللهِ عَلَى بَصِيْرَةٍ أنَا وَ مَنِ اتَّبَعَنِيْ) فَهَلْ نَحْنُ تَبِعْنَاهُ أوْ مَا تَبِعْنَاهُ ؟ فَالدَّعْوَةُ مَعْنَاهَا : نَقْلُ النَّاسَ مِنَ الشَّرِّ اِلَى اْلخَيْرِ وَ مِنَ الْغَفْلَةِ اِلَى الذِّكْرِ وَ مِنَ اْلأدْبَارِ اِلَى اْلإقْبَالِ وَ مِنَ الصِّفَاتِ الذَّمِيْمَةِ اِلَى الصِّفَاتِ الصَّالِحَةِ
  • Beliau RA berkata tentang dakwah, “Yang wajib bagi kita iaitu harus menjadi da’i dan tidak harus menjadi qodli atau mufti (katakanlah wahai Muhammad SAW inilah jalanku, aku mengajak kepada Allah dengan hujjah yang jelas aku dan pengikutku) apakah kita ikut padanya (Rasulullah) atau tidak ikut padanya? Erti dakwah adalah memindahkan manusia dari keburukan menuju kebaikan, dari kelalaian menuju ingat kepada Allah, dan dari berpalingan kembali menuju kepada Allah, dan dari sifat yang buruk menuju sifat yang baik.

اَلشَّيْطَانُ يَتَفَقَّدُ أصْحَابَهُ وَ ارَّحْمَنُ يَرْعَى أحْبَابَهُ
  • Syaitan itu mencari sahabat-sahabatnya dan Allah menjaga kekasih-kekasih-Nya.
كُلُّمَا عَظُمَتِ الْعِبَادَاتِ خَفَّتِ الْعَادَاتُ وَ كُلُّمَا عَظَمَتِ الْعِبَادَةُ فِى الْقَلْبِ خَرَجَتْ عَظَمَةُ الْعَادَةِ
  • Apabila ibadah agung bagi seseorang maka ringanlah adap (kebiasaan) baginya dan apabila semakin agung nilai ibadah dalam hati seseorang maka akan keluarlah keagungan adat darinya.
إذَا صَحَّ الْخُرُوْج حَصَلَ بِهِ الْعُرُوْج
  • Bila benar keluarnya seseorang (di dalam berdakwah), maka ia akan naik ke darjat yang tinggi.
أخْرِجْ خَوْفَ الْخَلْقِ مِنْ قَلْبِكَ تَسْتَرِحْ بِخَوْفِ الْخَلْقِ
وَ أخْرِجْ رَجَاءَ الْخَلْقِ مِنْ قَلْبِكَ تَسْتَلِذَّ بِرَجَاءِ الْخَلْقِ
  • Keluarkanlah rasa takut pada makhluk dari hatimu maka engkau akan tenang dengan rasa takut pada kholiq (pencipta) dan keluarkanlah berharap pada makhluk dari hatimu maka engkau akan merasakan kenikmatan dengan berharap pada Sang Kholiq.

  • كَثْرَةُ الصَّفَاطِ وَ كَثْرَةُ الْمِزَاحِ عَلاَمَةٌ خُلُوِّ الْقَلْبِ عَنْ تَعْظِيْمِ اللهِ تَعَالَى وَ عَلاَمَةٌ عَنْ ضَعْفِ اْلإيْمَانِ
  • Banyak bergurau dan bercanda merupakan pertanda sepinya hati dari mengagungkan Allah dan tanda dari lemahnya iman.
حَقِيْقَةُ التَّوْحِيْدِ قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ بِالتَّدَبُّرِ وَ قِيَامُ اللَّيْلِ
  • Hakikat tauhid adalah membaca Al Qur’an dengan merenungi ertinya dan bangun malam.
مَا ارْتَقَى اِلَى اْلقِمَّةِ اِلاَّ بْالْهِمَّةِ
  • Tidak akan naik pada derjat yang tinggi kecuali dengan himmah (cita-cita yang kuat).
مَنِ اهْتَمَّ بِالْوَقْتِ يَسْلَمْ مِنَ الْمَقْتِ
  • Barang siapa memperhatikan waktu, maka ia akan selamat dari murka Allah.
سَبَبٌ مِنْ أسْبَابِ نُزُوْلِ الْبَلاَءِ وَ الْمَصَائِبِ قِلَّةُ الْبُكَائِيْنَ فِى جَوْفِ اللَّيِلِ
  • Salah satu dari penyebab turunnya bencana dan musibah adalah sedikitnya orang yang menangis di tengah malam.
أهْلُ اْلإتِّصَالِ مَعَ اللهِ اَمَْلَئَ اللهُ قُلُوْبَهُمْ بِالرَّحْمَةِ فِى كُلِّ لَحْظَةٍ
  • Orang yang selalu mempunyai hubungan dengan Allah, Allah akan memenuhi hatinya dengan rahmat di setiap waktu.

Sabtu, 29 September 2012

MAKANAN PENGARUHI AKHLAK


Norkumala Awang

Gambar hiasan aje...
Sumber rezeki haram boleh sebabkan hati ‘kotor’, hidup tidak tenteram

Imam Ghazali berkata, “Jika kita ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.”

Betapa ramai umat Islam terperangkap dalam dilema pemilihan makanan. Bukan sekadar makanan daripada unsur haram tetapi cara untuk mendapatkan makanan juga haram tanpa disedari secara sengaja atau tidak.
Tidak ada orang Islam yang sanggup memakan babi, justeru ia dielakkan tetapi masih ramai yang makan makanan dibeli dengan wang hasil daripada menipu, memeras ugut, curi tulang, rasuah dan menzalimi hak orang lain.

Kadang-kadang, perkara seumpama ini masih tidak memberi apa-apa kesan buat si pencari nafkah dalam sesebuah keluarga. Mereka merasakan sumber sebegitu langsung tidak akan menjejaskan kesihatan yang nampak secara zahirnya.

Walhal aspek itu yang patut didahulukan kerana ia bakal membentuk peribadi dan akhlak seseorang. Keberkatan itu tidak akan nampak secara zahir, tidak dapat dirasakan oleh hati yang telah dikotori sifat mazmumah dan dosa pahala tidak dapat dimengertikan kerana tiada sebarang kesan kelihatan.

Hati yang lalai akan berterusan dikotori dengan sumber rezeki haram tanpa sedikit pun penyesalan.
Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baik hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad namun, jika hati jahat maka jahatlah seluruh diri manusia.

Justeru, berhati-hatilah dengan apa yang kita makan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana kita mendapatkan makanan. Apa yang kita makan dan cara kita mendapatkannya akan menentukan secara dasarnya persoalan hidup serta nasib di akhirat kelak.

Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar.

Akhirnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan yang menjadi darah daging.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

Kesedaran yang timbul mampu membantu kita memperbaiki usaha mencari nafkah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap tidak peka kita membezakan halal dan haram sumber rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berusaha mencari rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang halal dan menjaga diri daripada sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.”

Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep halal dan toyyib, perlu juga dihiasi dengan adab makan yang digalakkan dalam Islam.

Dengan itu, keberkatan dapat diraih, ia melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia serta beradab tinggi.

TeKnIk berTENGKAR SeCaRa PoSiTiF

Gambar hiasan

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah.

Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan "orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?"

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee "Sedang lidah lagi tergigit". Anda tidak akan sentiasa boleh berkata "ok" kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor." (Riwayat Ibnu Mas'ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap 
� Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan 
� Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya 
� Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan 
� Anda dibesarkan dalam keluarga "begini", isteri anda dibesarkan dalam keluarga "begitu". Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah 
� Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara 
� Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja 
"Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan "sayang" atau "manja" tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah "aku" dan "kau".

8. Elakkan terlalu emosional 
� Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik 
� Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur 
� Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri 
� Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak 
� Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar 
� Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party 
� Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah 
� Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai 
� Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebabkan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan 
� Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan 
� Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

 Disalin dari iluvislam.com

Isnin, 3 September 2012

HUKUM MEMBERI SALAM KEPADA WANITA


Salam merupakan lambang kedamaian dan kesejahteraan dalam Islam. Ianya sangatlah digalakkan. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w yang mengajurkan supaya salam disebarkan, antara lain sabda baginda yang bermaksud : “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang sesama kamu. Tidakkah Aku tunjukkan sesuatu yang mana bila kamu melakukannya pasti kamu akan berkasih sayang, iaitu sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Riwayat Muslim)

Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud: “Bila kamu diucapkan salam maka hendaklah kamu jawab dengan lebih baik atau sama sepertinya.” Apa yang dapat difahamkan bahawa arahan ini adalah umum untuk seluruh umat Islam sama ada lelaki atau wanita selama tidak ada dalil lain yang mengkhususkan maksud tadi. Malah terdapat banyak hadith membuktikan bahawa harus dan digalakkan lelaki memberi kepada wanita dan sebaliknya.

Sebagaimana Ummu Hani binti Abi Talib, katanya: “Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w pada tahun pembukaan Mekah dan aku lihat Baginda sedang mandi dan aku memberi salam kepadanya , katanya siapa itu, jawabku:  Saya Ummu Hani binti Abu Talib.  Katanya, selamat datang wahai Ummu Hani.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah keadaan dan amalan yang berlaku semasa Rasulullah dan para sahabata mengenai salam antara lelaki terhadap wanita atau sebaliknya. Masing- masing memberi salam antara satu sama lain. Walau bagaimana ia perlu diikuti adab dan peraturannya.Salam itu harus apabila tidak terdapat sebarang fitnah.

Sekiranya ia boleh menimbulkan fitnah maka ianya tidak lagi dibenarkan seperti seorang lelaki yang menemui seorang wanita yang bukan mahramnya di tepi jalan sedang wanita itu gadis remaja pula maka ianya patutlah ditinggalkan melainkan antara kedua sudah ada hubungan yang erat melalui keturunan keluarga dan sebagainya. Lainlah kalau gadis tadi  berada dalam kumpulan wanita yang ramai maka adalah tidak dilarang.

Demikian juga salam guru kepada muridnya dalam bilik darjah / kuliah tidaklah dilarang malah digalakkan sekiranya ianya dapat melahirkan suasana kemesraan antara guru dengan muridnya. Perbuatan itu tidak langsung mendatangkan sebarang fitnah, apalagi  kalau di kalangan murid itu terdapat wanita yang sudah berumur.

Sekiranya ada ditimbulkan persoalan, suara wanita itu sendiri adalah aurat bukan untuk didengari oleh kaum lelaki; ini juga pendapat kumpulan ekstrim yang menganggap suara wanita itu aurat. Pada hal jelas suara tidak ada yang dikira aurat melainkan jika dilunakan untuk menimbulkan keberahian kaum lelaki yang mendengarkan sepertimana firman-Nya bermaksud: “Janganlah mengiurkan (memanjakan) percakapan kamu,nanti akan tertarik hati mereka yang hatinya ada penyakit dan ucaplah perkataan makruf (baik) yang tidak mempesonakan yang mendengarkannya.” (al-Ahzab: 32)
Pada akhir ayat tersebut, membenarkan wanita untuk bercakap dengan baik kepada sesiapa sahaja dan untuk sesiapa sahaja.

Daripada penjelasan di atas dapatlah difahami  bahawa salam adalah harus dan digalakkan selagi tidak mendatangkan fitnah, sedangkan fitnah itu sendiri adalah berdasar dhamir dan suasana setempat.

Susunan ABDUL HADI YAHYA
ummatanwasatan.net

Sabtu, 8 Oktober 2011

MENCARI KETENANGAN HATI…


Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”


Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
  • Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al Baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!  
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
  • Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah.

Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al Baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
  • Rasa berTuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para Nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
  • Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!
  • Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang dicari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!
Wallahua'lam

Selasa, 4 Oktober 2011

Angkuh Duniawi, Muflis di Akhirat


Oleh Hizbur Rahman
bhnews@bharian.com.my

Manusia semakin zalim, lupakan tanggungjawab kepada agama 

SEBAGAI orang Islam kita seharusnya bijak mengatur kehidupan mengikut petunjuk yang digariskan oleh al-Quran dan hadis supaya sentiasa berada dalam keampunan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah al-Hadid, ayat 21)
Banyak ayat al-Quran menggambarkan mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana apabila dibentangkan buku catatan amalan mereka di padang Mahsyar. 

Insaflah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan diadili di akhirat walaupun sekecil zarah. Ketahuilah setiap amalan dan tingkah laku kita semua dicatat oleh Malaikat yang ditugaskan Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Padal hal sesungguhnya, ada Malaikat yang menjaga dan mengawasi segala bawaan kamu, (mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal kamu).” (Surah al-Infitaar, ayat 10-11) 

Namun, hari ini ada dalam kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur, mengabaikan tanggungjawab dan mengkhianati amanah sesama manusia. 
Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak sesama manusia, golongan fakir, miskin dan anak yatim. Malah ada yang menzalimi sesama manusia. 

Ketahuilah gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. Nabi Muhammad SAW dalam hadis diriwayatkan Imam Muslim memberi amaran kepada kita mengenai gejala muflis dalam kalangan umatnya. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta benda. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) 
sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim) 

Golongan yang muflis di akhirat berasal daripada mereka yang memiliki pahala tetapi semua pahala ibadah itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi. Di samping mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. 

Oleh itu, kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa terutama dosa sesama manusia. Bagaimanapun, masih ada segelintir yang melakukan kesalahan secara terbuka seperti mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah, mengumpat dan mencaci. 

Begitu juga jenayah yang berlaku hari ini, merosakkan harta benda, merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya. Malah, isu rumah tangga semakin runcing dengan kisah perceraian serta keganasan dilakukan pasangan. 

Jika miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu tetapi bagaimana jika muflis di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati dan dapat menyelamatkan kita daripada azab seksaan neraka Allah SWT. 

Justeru, kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia adalah kehidupan yang kekal abadi. 
Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan, usaha lebih terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. 

Persiapan dan bekalan yang mencukupi dapat membantu menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan menuju ke alam akhirat, bermula di alam kubur seterusnya di padang Mahsyar dan di negeri akhirat. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam syurga ini dengan kekal.” (Surah Az-Zumar, ayat 73) 

Marilah bersama menghitung adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredai atau dimurkai Allah. Andainya kita berada dalam keredaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi supaya mendapat rahmat dan keredaan-Nya. 

Andainya kita derhaka kepada Allah, maka bersegeralah bertaubat dan kembali ke jalan-Nya, mudah mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133) 

Isnin, 12 September 2011

BENTUK PERIBADI ISLAM MELALUI TADARUS AL-QURAN



Datuk Harun Taib   
Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan 
umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan
 kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan 
 Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang
 yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam 
bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada 
setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran 
dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari 
rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan 
bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada 
 mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat,
 dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala
 dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya."
 (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud
maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca 
al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang 
diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar 
inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. 
Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah 
yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur 
dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan 
bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak
 akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan 
amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan 
 kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan 
limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus 
ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang 
istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang 
tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan
al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan 
 jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. 
Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. 
Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga 
digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya 
menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai 
generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi 
kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang 
wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian
 muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan
 dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul:
 "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan
 Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai".
(Al-Furqan: 30).

Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran 
sebagaimana firman Allah s.w.t  di dalam surah al-Jumuah 
ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang
 rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka
 sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,
menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka 
Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka
benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan 
ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila
 alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada
 sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu
 lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar
 al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdur
 Rahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman 
jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu
 amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh 
 umat Islam khususnya para pendokong pejuang
 Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui 
al-Quran itu sendiri.
Wallahua’lam

KISAH KAROMAH SYEIKH NAWAWI

Kisah Syeikh Nawawi Diarak Keliling Ka`Bah Kemasyhuran dan nama besar Syeikh Nawawi al-Bantani kiranya sudah tidak perlu diragukan lagi. Mel...