Sabtu, 17 Ogos 2024

HUSAIN BIN ALI

 Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Husain Bin Ali, gugur syahid di  Karbala. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang cucu Rasulullah SAW yang dikenang kisahnya pada  Hari Asyura.

·       Siapakah Husain Bin Ali?

·       Husain Bin Ali merupakan cucu Rasulullah SAW. Beliau merupakan putera bongsu Sayyidatina Fatimah az-Zahra’ dengan suaminya, Sayyidina Ali bin Abu Talib, dan merupakan adik kepada Hasan bin Ali. Beliau dilahirkan pada bulan Syawal tahun ke-4 Hijrah, setahun selepas kelahiran abangnya, Hasan.

·       Rasulullah SAW menyambut kelahiran Husain sepertimana baginda menyambut kelahiran Hasan. Baginda mengalunkan azan ke telinganya, kemudian menyembelih akikah selepas tujuh hari kelahirannya dan memberikan nama Husain kepadanya.

·       Sifat-sifat Husain Bin Ali

·       Dalam menggambarkan paras rupa Husain, Anas bin Malik berkata, “Husain serupa dengan Rasulullah SAW daripada dada sampai ke kaki”. Manakala, wajahnya pula lebih mirip dengan ayahnya, Sayyidina Ali. Ahli-ahli sejarah Islam menggambarkan bahawa Husain memiliki badan yang sama dengan Rasulullah SAW, tidak tinggi dan tidak pendek, berbadan gagah, berbahu lebar, berdahi luas, berjanggut lebat, kulitnya putih kemerah-merahan dan bersuara merdu. Selain dari sifat fizikal, Husain turut mewarisi sifat berani dan pandai pemimpin dari Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “… Husain, ia mewarisi keberanian dan kepimpinanku”.

·       Keutamaan dan Kelebihan Husain Bin Ali

·       Kasih sayang Rasulullah SAW kepada Husain sama seperti kasih sayang baginda kepada Hasan. Hal ini dapat dilihat pada sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, “Yang paling aku cintai dari kalangan Ahli Baitku ialah (kedua-dua cucuku) Hasan dan Husain”.

·       Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW pernah mengucapkan kata-kata yang memperlihatkan kasih sayang baginda kepada Husain, “Husain daripadaku dan aku daripadanya. Allah akan mencintai sesiapa yang mencintai Husain”.

·       Kisah Pembunuhan Husain Bin Ali di Karbala

·       Peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Husain bermula dengan pelantikan Yazid bin Mu’awiyah sebagai khalifah umat Islam, menggantikan ayahnya Mu’awiyah Abu Sufyan. Husain menentang pelantikan tersebut kerana tidak didasari dengan sistem syura (perbincangan) seperti yang telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin sebelumnya, tetapi didasari dengan sistem pewarisan keluarga. Maka, Husain bersama Abdullah bin Zubair, serta pengikutnya yang lain melarikan diri ke Mekah kerana enggan memberi baiat kepada Yazid. 

·       Sepanjang Husain tinggal di Mekah, beliau telah menerima beratus-ratus surat dari penduduk Kufah yang menyatakan sokongan penuh untuk menentang kekhalifahan Yazid dan menjemputnya datang ke Kufah. Maka, Husain telah mengutus Muslim bin Aqil untuk berjumpa dengan penduduk Kufah. Penduduk Kufah yang berkobar-kobar memusuhi pemerintahan Khalifah Yazid datang memberikan baiah kepada Muslim yang mewakili Husain. Melihat semangat penduduk Kufah, Muslim mengutus surat kepada Husain untuk memintanya datang ke Kufah. Nu’man bin Bashir, gabenor Kufah pada ketika itu, tidak menentang kedatangan Muslim tetapi cuba memadamkan api kebencian penduduk Kufah terhadap Khalifah Yazid kerana bimbang akan berlaku pertumpahan darah.

·       Berita tersebut sampai kepada Khalifah Yazid di Syam. Kesannya, Nu’man bin Bashir telah dipecat dan kedudukannya sebagai gabenor Kufah telah diganti oleh Ubaidullah bin Ziyad. Ubaidullah memberi ugutan yang keras terhadap penduduk Kufah yang menyokong perjuangan Husain dan menawarkan ganjaran kepada mereka yang berpaling dari perjuangan tersebut. Kesannya, 18 000 penyokong Husain yang bersama Muslim berkurang menjadi 40-50 orang sahaja. Muslim pula telah ditangkap dan dibawa menghadap Ubaidillah. Sebelum dibunuh oleh Ubaidullah, Muslim menitipkan pesanan kepada Umar bin Saad untuk memberitahu Husain agar tidak datang ke Kufah, kerana penduduk Khufah telah mengkhianati beliau. Namun, surat tersebut tidak sempat sampai kepada Husain yang telah bertolak dari Mekah ke Kufah.

·       Walaupun keputusan Husain untuk pergi ke Kufah telah dihalang oleh ramai sahabatnya, beliau tetap meneruskan tekadnya untuk pergi ke Kufah. Semasa hampir tiba di Kufah, Husain menerima khabar mengenai kematian Muslim dan pengkhianatan penduduk Kufah. Ramai pengikutnya mencadangkan kepada Husain agar kembali ke Mekah. Namun, mendengar semangat saudara-saudara Muslim yang ingin membalas dendam, Husain memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Kufah. Maka, rombongan Husain berpecah kepada dua; sesetengah berpatah balik ke Mekah manakala 80 orang lagi mengikuti beliau menuju ke Kufah.

·       Sesampainya Husain di Kufah, beliau telah dihalang oleh 1000 tentera utusan Ubaidullah di bawah pimpinan al-Hur bin Yazid. Rombongan Husain meneruskan perjalanan ke satu tempat yang dinamakan  Karbala dengan diekori oleh tentera al-Hur bin Yazid. 4000 tentera utusan Ubaidullah yang dipimpin oleh Umar bin Saad juga tiba di Karbala. Pasukan Bani Umayyah yang kini dipimpin oleh Umar bin Saad berunding dengan Husain untuk mencipta jalan perdamaian. Husain menyatakan kesediaannya untuk pulang ke Mekah atau pergi menghadap Khalifah Yazid untuk berunding. Hasrat Husain tersebut kemudiannya diberitahu kepada Ubaidullah melalui utusan surat dari Umar bin Saad. 

·       Ubaidullah pada mulanya bersedia untuk menerima permintaan Husain tersebut dan berdamai dengannya. Namun, atas hasutan Syamir bin Zul Jausyan, dia mengubah fikirannya dan meminta Husain untuk menyerah jika tidak ingin dibunuh. Maka, Syamir pergi ke Karbala dan mengambil alih pimpinan Umar bin Saad terhadap tentera Bani Umayyah. Keengganan Husain untuk menyerah menyebabkan satu persatu rombongan dan kaum kerabatnya dibunuh, sehingga hanya tinggal beliau sahaja. Namun, tiada seorang pun dari tentera Bani Umayyah yang berani membunuh Husain kerana bimbang tangan mereka bergelumang dengan darah cucu Rasulullah SAW. Atas arahan Syamir, seorang pemuda bernama Sinan bin Anas an-Nakha’i telah memancung kepala Husain. Maka, gugurlah Husain sebagai seorang yang syahid.

·       Apabila berita pembunuhan Husain sampai kepada Khalifah Yazid, beliau menzahirkan rasa sedih dan mencela Ubaidullah. Diriwayatkan bahawa Khaifah Yazid tidak mengarahkan Ubaidullah untuk membunuh Husain, tetapi menghalang kekuasaannya di Kufah. Malah, Khalifah Yazid membebaskan keluarga Husain yang ditawan oleh tentera Bani Umayyah untuk dihantar pulang ke Madinah.  

·       Wafatnya Husain Bin Ali

·       Husain wafat pada bulan 10 Muharram tahun ke-61 Hijrah. Pada ketika itu, beliau berusia 50 tahun.  Hari Asyura mengingatkan kita tentang peristiwa pembunuhan Husain di  Karbala. Diriwayatkan bahawa kepala Husain dikebumikan di Karbala oleh anaknya, Ali Zainal Abidin.

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Husain Bin Ali

·       Riwayat yang paling sahih yang menceritakan peristiwa Karbala dilihat pada Hadith Bukhari yang berbunyi;

·       عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أُتِيَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الْحُسَيْنِ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا فَقَالَ أَنَسٌ كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالْوَسْمَةِ

·       MaksudnyaAnas bin Malik berkata, “Kepala Husain dibawa dan didatangkan kepada Ubaidullah Bin Ziyad. Kepala itu diletakkan di dalam bejana. Lalu Ubaidullah Bin Ziyad menusuk-nusuk (dengan pedangnya) dan mengulas sedikit tentang ketampanan Husain”. Anas mengatakan, “Diantara Ahlul bait, Husain adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW”. Saat itu, Husain digilap rambutnya dengan wasmah (sejenis inai).

·       Hadith tersebut menceritakan tentang Ubaidullah yang menusuk-nusuk kepala Husain dengan pedangnya setelah beliau dibunuh. Diriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada Zaid bin Arqam dan Anas Bin Malik meminta agar Ubaidullah menyingkirkan pedang tersebut kerana tidak rela melihat cucu Rasulullah SAW diperlakukan sedemikian rupa. Kesan daripada pembunuhan Husain, Ubaidullah telah wafat dalam keadaan yang dahsyat. Demikianlah balasan Allah SWT kepada orang yang zalim.

·       Terdapat pelbagai pandangan yang muncul rentetan peristiwa pembunuhan tragis Husain di  Karbala. Pandangan Ahli Sunnal Wa al-Jamaah menyatakan bahawa Husain tergolong sebagai orang yang terzalimi dan syahid, dan bukanlah juga seorang pemberontak. Hal ini kerana, beliau tidak mengerahkan penduduk Mekah yang sangat menyanjunginya untuk turut serta ke Kufah. Sebagai umat Islam, kita dibolehkan untuk mengenang tragedi Karbala ini dengan menunaikan puasa  Asyura.

·       Husain Bin Ali: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

KA’AB BIN MALIK

 Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Ka’ab bin Malik, sang penyair yang memperoleh keampunan. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang sabar dan tawakal dalam menanti keampunan Allah SWT.

·       Siapakah Ka’ab Bin Malik?

·       Ka’ab bin Malik al-Khazraji merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar dan berasal dari suku Khazraj. Beliau juga digelar dengan nama al-‘Aqabi kerana merupakan antara 70 orang yang hadir dalam Bai’ah al-‘Aqabah. Beliau turut digelar dengan nama al-Uhudi kerana telah menyertai Perang  Uhud. Pada zaman Jahiliyah pula, beliau dikenali dengan nama Abu Basyir.

·       Ka’ab Bin Malik Selepas Memeluk Islam

·       Ka’ab bin Malik merupakan salah seorang dari 40 orang sahabat yang telah memeluk Islam lebih awal, iaitu sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Selepas memeluk Islam, beliau digelar dengan nama Abu Abdullah. Disebabkan oleh rasa cinta kepada Allah SWT dan RasulNya, beliau mengerahkan seluruh kemampuannya untuk kepentingan dakwah.

·       Sang Penyair Rasulullah

·       Antara kelebihan Ka’ab bin Malik ialah kemampuannya untuk bersyair. Beliau merupakan salah seorang dari tiga sahabat yang digelar sebagai para penyair Rasulullah SAW, di samping Hasan bin Thabit dan Abdullah bin Rawahah. Kemampuan mereka untuk bersyair dimanfaatkan bagi penyebaran dakwah dan jihad di jalan Allah SWT. 

·       Ibnu Sirin menceritakan bahawa Hasan bin Thabit menggunakan syairnya untuk menghina keburukan dan aib kaum kafir di medan perang, manakala Abdullah bin Rawahah menggunakan syairnya untuk mengejek kekufuran mereka. Berbeza dengan para penyair yang lain, Ka’ab bin Malik menggunakan syairnya dengan tujuan mengancam dan menyerang mental kaum kafir sebagai senjata di medan perang.

·       Kehebatan Ka’ab bin Malik dalam bersyair dapat dilihat dalam peristiwa pengislaman kabilah Daus. Ketika berhadapan dengan kabilah Daus, Ka’ab membacakan syair kepada mereka. Syair tersebut berbunyi;

·       Kami menghabiskan daripada Tihamah dengan segenap keraguan

·       Dan juga daripada Khaibar, kemudian mengumpulkan pedang-pedang

·       Kami memberinya pilihan, andai dia berbicara pasti mengatakan

·       Dia memilih memerangi suku Daus dan Thaqif

·       Selepas mendengar bait syair yang berbaur ancaman tersebut, kabilah Daus berasa gentar, lantas segera memeluk Islam tanpa ada yang terkecuali. Begitu dahsyatnya syair Ka’ab, sehingga mampu menggetarkan jiwa kabilah Daus dan mendorong mereka untuk beriman kepada Allah SWT.

·       Kisah Taubat Ka’ab Bin Malik Kerana Tidak Menyertai Perang Tabuk

·       Kisah taubat Ka’ab bin Malik kerana tidak menyertai Perang Tabuk diceritakan dalam sebuah Hadith Bukhari. Kisah tersebut bermula apabila turun perintah Allah SWT kepada kaum muslimin untuk memerangi pasukan Rom yang merancang untuk melenyapkan Islam. Perang tersebut berlaku pada bulan Rejab tahun 9 Hijrah dan digelar sebagai Ghazwatul ‘Usrah, yang bermaksud perang dalam masa yang sukar. Hal ini kerana, Rasulullah SAW bertolak dari Kota Madinah dalam keadaan cuaca yang panas terik dan kering. Tambahan pula, banyak persiapan perang yang perlu dilakukan disebabkan oleh perjalanan perang yang panjang dan bilangan musuh yang ramai.

·       Maka, Rasulullah SAW bersama para sahabat dan kaum muslimin pergi memenuhi seruan jihad dalam Perang Tabuk tanpa disertai oleh Ka’ab bin Malik. Hal ini disebabkan oleh sikap Ka’ab yang lalai dan sering bertangguh dalam membuat persiapan perang sehingga ditinggalkan oleh pasukan perang Rasulullah SAW. Malah, Ka’ab pada ketika itu tidak mempunyai sebarang keuzuran, tidak tua dan tidak sakit. Beliau juga bukanlah dari kalangan munafik yang tidak menyertai perang kerana ingkar kepada Rasulullah SAW.

·       Setelah pasukan Rasulullah SAW pulang dari peperangan, Ka’ab mula memikirkan pebagai alasan bagi menyelamatkan dirinya di hadapan Rasulullah SAW. Ketika orang-orang yang tidak menyertai peperangan muncul dengan pebagai alasan dan sumpah di hadapan Rasulullah SAW, Ka’ab pula memutuskan untuk berkata jujur dan mengakui tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk, kerana bimbang akan kemurkaan Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Tindakan berlaku jujur itu turut dilakukan oleh dua sahabat yang juga tidak menyertai Perang Tabuk, iaitu Murarah bin al-Rabi’ al-‘Umri dan Hilal bin Umayyah al-Waqifi. 

·       Rentetan peristiwa itu, Rasulullah SAW memerintahkan agar Ka’ab bersama dua sahabat tersebut menunggu keampunan Allah SWT. Rasulullah SAW juga melarang para sahabat dan kaum muslimin untuk bercakap dengan mereka selama 50 hari. Maka dalam tempoh tersebut, Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah memilih untuk diam menangis di rumah mereka. Ka’ab pula tetap keluar dari rumah untuk menghadiri solat bersama kaum muslimin dan pergi ke pasar, namun tiada sesiapapun yang menegur atau bercakap dengannya. Malah, pada hari ke-40, Ka’ab diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menjauhi isterinya. Ka’ab redha dan taat akan perintah baginda. 

·       Setelah mengerjakan solat Subuh pada hari ke-50, Rasulullah SAW menyampaikan berita gembira bahawa Allah SWT telah menerima taubat Ka’ab bersama Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah. Rasulullah SAW dengan wajah yang senang bersabda,

·       Bergembiralah dengan sebaik-baik hari yang engkau lalui sejak ibumu melahirkanmu”.

·       Para sahabat yang lain turut berkumpul dan mengucapkan kesenangan mereka di atas penerimaan taubat Ka’ab. Sejak kejadian tersebut, Ka’ab menghabiskan hidupnya dengan berkata jujur, beribadah dan berjihad di jalan Allah SWT.

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Ka’ab Bin Malik

·       Berikutan peristiwa penerimaan taubat Ka’ab bin Malik bersama Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah, Allah SWT berfirman:

·       لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ مِنۢ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُۥ بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ (117). وَعَلَى ٱلثَّلَٰثَةِ ٱلَّذِينَ خُلِّفُوا۟ حَتَّىٰٓ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوٓا۟ أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ ٱللَّهِ إِلَّآ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ (118).

·       MaksudnyaSesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada merekaDan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka (kerana mereka dipulaukan), padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun terasa sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka kekal dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Taubah: 117-118)

·       Demikianlah ganjaran yang diperoleh oleh orang yang berkata jujur, sabar dan tawakal dalam memohon keampunan Allah SWT. Tiada nikmat yang lebih besar daripada taubat yang membuahkan keampunan Allah SWT di dunia dan rahmatNya di akhirat.

·       Ka'ab Bin Malik: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

ABU SAID AL KHUDRI

  Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Abu Said al-Khudri, sang perawi hadith. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling muda dan paling banyak meriwayatkan hadith.

·       Siapakah Abu Said Al-Khudri?

·       Abu Said al-Khudri merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling muda dari kaum Ansar dan merupakan mufti Madinah pada zamannya. Nama lengkap beliau ialah Saad bin Malik bin Sinan bin Tsa’labah bin Ubaid bin al-Abjar Abu Said al-Khudri. Ayahnya ialah Malik bin Sinan, yang juga merupakan sahabat Rasulullah SAW dan gugur syahid pada Perang  Uhud. Ibunya pula ialah Anisah binti Abu Haritsah, berasal dari Bani Adi bin al-Najar.

·       Tarikh kelahiran Abu Said al-Khudri tidak dinyatakan dengan jelas. Namun, terdapat riwayat yang mengatakan bahawa beliau lahir sekitar 10 tahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Beliau juga memeluk Islam pada umur yang muda, iaitu ketika berumur 10 tahun.

·       Kisah Kesabaran Abu Said Al-Khudri Pada Waktu Belianya

·       Ketika berumur 13 tahun, Abu Said al-Khudri diperkenalkan kepada Rasulullah SAW oleh ayahnya, Malik bin Sinan untuk menyertai Perang Uhud. Ayahnya berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, badannya baik dan tulang-tulangnya sangat kuat!” Rasulullah SAW melihat kepada Abu Said berkali-kali tetapi akhirnya menolak permintaan tersebut lantaran umurnya yang masih terlampau muda. 

·       Dalam Perang  Uhud tersebut, ayahnya telah gugur syahid. Ayahnya tidak meninggalkan apa-apa harta kepadanya untuk hidup. Maka, Abu Said pergi menemui Rasulullah SAW untuk mendapatkan sedikit bantuan kewangan. Belum sempat beliau membuka mulut, Rasulullah SAW bersabda, “Abu Said! Barangsiapa memohon kesabaran daripada Allah akan memperolehinya. Barangsiapa memohon kesucian daripadaNya akan mendapatnya dan barangsiapa memohon rasa puas hati akan pasti dikurniakan olehNya”. Setelah mendengar ucapan Rasulullah SAW, beliau pulang ke rumah tanpa meminta apa-apa pertolongan. 

·       Peristiwa tersebut berlaku ketika Abu Said berusia 13 tahun. Ucapan Rasulullah SAW kepada beliau bertujuan untuk mengajarkan sifat tawakal kepada Allah SWT dan bersabar apabila ditimpa kesusahan. Bagi belia yang baru berusia 13 tahun, mungkin agak sukar untuk memahami maksud ucapan tersebut, malah mungkin menimbulkan rasa marah dan keliru apabila permintaan tolong mereka dijawab dengan ucapan tersebut. Namun, Abu Said memahami makna ucapan Rasulullah SAW dan pulang ke rumah memperbaharui dirinya dengan sikap sabar dan tawakal kepada Allah SWT. Demikianlah sikap luar biasa yang ada pada Abu Said yang baru berusia 13 tahun pada ketika itu.

·       Keutamaan Dan Kelebihan Abu Said Al-Khudri

·       Abu Said tidak berjaya menyertai Perang  Uhud kerana umurnya yang masih 13 tahun pada ketika itu. Selepas itu, beliau menyertai banyak peperangan bersama Rasulullah SAW termasuklah perang Bani Mustaliq, Khandaq, Bani Quraizah, Hudaibiah, Mut’ah, Hunain, Tabuk dan turut serta dalam pembukaan Kota Mekah. Diriwayatkan bahawa beliau telah menyertai 12 peperangan kaum muslimin.

·       Abu Said bukan sahaja aktif menyertai peperangan, tetapi juga sangat berdedikasi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa mendampingi Rasulullah SAW untuk mendapatkan ilmu. Diriwayatkan juga bahawa beliau menuntut ilmu dari para sahabat yang lain termasuklah ayahnya sendiri, Malik bin Sinan, Khulafa’ al-Rasyidin, Qatadah bin Nu’man, Zaid bin Thabit, Abu Qatadah al-Ansari, Usaid bin Hudair, Jabir bin Abdullah, Muawiyah Abu Sufyan, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Salam.

·       Dedikasinya dalam menuntut ilmu menjadikan beliau dikenali sebagai seorang yang soleh dan mempunyai pengetahuan agama yang luas. Beliau sering dijadikan rujukan oleh para sahabat dan para tabi’in. Antara sahabat yang menuntut ilmu daripada beliau termasuklah Abdullah bin Umar, Jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, isterinya sendiri, Zainab binti Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Mahmud bin Labid. Murid-murid beliau dalam kalangan para tabi’in pula tidak terkira bilangannya. 

·       Abu Said juga dikenali sebagai seorang yang berilmu dan pakar dalam hadith. Beliau merupakan antara sahabat yang paling banyak menghafal dan meriwayatkan hadith. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 1170 hadith secara keseluruhannya. Dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh beliau, terdapat sebanyak 111 hadith sahih, 43 hadith diriwayatkan secara bersama oleh Bukhari dan Muslim, 16 hadith diriwayatkan oleh Bukhari dan 52 hadith diriwayatkan oleh Muslim. Semasa hayatnya, para sahabat dan tabi’in pernah meminta izin untuk menulis hadith yang dihafal oleh beliau. Maka beliau berkata, “Jangan hanya menulis dan membacanya, tetapi berusahalah untuk menghafalnya seperti yang saya lakukan”.

·       Abu Said merupakan seorang yang alim, imam, mujahid, fakih, mujtahid dan mufti Madinah. Hanzalah bin Abu Sufyan meriwayatkan dari beberapa gurunya bahawa tidak ada seorang pun yang lebih alim dan lebih fakih dari kalangan pemuda sahabat melebihi Abu Said al-Khudri. Peribadi beliau digambarkan sebagai seorang yang sabar, berani, berterus terang dan lantang dalam memberi nasihat ke arah kebenaran walaupun kepada pihak berkuasa dan para pemimpin. Beliau berpegang teguh pada hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jangan takut pada manusia jika kamu perlu bercakap benar dan haq pada bila-bila masa kamu melihat dan mengetahuinya”.

·       Wafatnya Abu Said Al-Khudri

·       Abu Said wafat di Madinah. Namun, terdapat perbezaan pendapat mengenai tahun kewafatannya. Al-Waqidi menyatakan beliau wafat pada tahun 74 Hijrah, pendapat Ali bin al-Madini pada tahun 63 Hijrah, pendapat Ibnu Huban pada tahun 64 Hijrah dan pendapat al-Askari pada tahun 65 Hijrah. Bagi memenuhi wasiat beliau, anaknya Abdurrahman bin Abu Said menguburkannya di perkuburan al-Baqi’ di Madinah.

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Abu Said al-Khudri

·       Kisah Abu Said yang ingin meminta pertolongan dari Rasulullah SAW selepas kematian ayahnya dalam Perang  Uhud telah diceritakan sebelum ini. Pada ketika itu, Rasulullah SAW bersabda,

·       وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ ، وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ ، وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ

·       Maksudnya: Barangsiapa yang merasa cukup (dengan rezeki Allah), maka Allah akan mencukupkan rezekinya. Barangsiapa yang menjaga kehormatan dirinya, maka Allah akan menjaga kehormatannya. Barangsiapa yang berusaha untuk bersabar, maka Allah akan menjadikannya bersabar. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

·       Hadith tersebut mengajarkan kepada kita tentang sifat-sifat mulia yang seharusnya diamalkan oleh seorang Muslim, iaitu menjaga kehormatan diri serta tidak mencari nikmat makhluk lain. Hadith tersebut juga mengajarkan sifat tawakal kepada Allah SWT serta bersabar dengan kesusahan yang menimpa. 

·       Kesabaran yang ditunjukkan oleh Abu Said pada umurnya yang masih belia, memuliakan kedudukannya sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling muda. Allah SWT juga mengurniakan pengetahuan dan ilmu kepadanya sehingga beliau menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan sebarang kemusykilan agama dan menduduki tempat ketujuh paling banyak meriwayatkan hadith dalam kalangan para sahabat. 

·       Abu Said Al Khudri: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

ADI BIN HATIM

  Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Adi bin Hatim, saksi kepada tiga kebenaran janji Rasulullah SAW. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang yakin akan janji dan perkataan Rasulullah SAW. 

·       Siapakah Adi Bin Hatim?

·       Adi bin Hatim al-Tha’i merupakan raja kepada suku kaum Tha’i, sebuah kabilah Arab yang tinggal di utara Semenanjung Arab. Ayahnya merupakan penguasa suku kaum Tha’i sebelumnya dan terkenal dengan sifat kedermawanannya. Beliau menggantikan kedudukan ayahnya sebagai raja selepas ayahnya meninggal dunia. Beliau menganut agama Nasrani.  

·       Bagi mengekalkan kekuasaan dan kekayaannya, Adi bin Hatim mewajibkan rakyatnya untuk membayar mirba’ (cukai) dan menerima seperempat hasil kekayaan mereka, yang merupakan hasil dari pampasan perang. Beliau juga sangat memusuhi Rasulullah SAW kerana beliau melihat baginda sebagai sosok yang dapat merebut kekayaan dan kekuasaannya, walaupun beliau tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW. 

·       Kisah Pengislaman Adi Bin Hatim

·       Sikap Adi bin Hatim yang memusuhi Rasulullah SAW berlanjutan selama hampir 20 tahun. Pada tahun ke 9 Hijrah, pasukan yang dikirim oleh Rasulullah SAW telah sampai ke perkampungan kabilah Tha’i untuk menghancurkan berhala dan mengajak mereka beriman kepada Allah SWT. Rentetan peristiwa itu, Adi membawa kaum kerabatnya untuk melarikan diri ke Syam, negeri di mana berkumpulnya penganut agama Nasrani. Namun, beliau tidak sempat membawa adik perempuannya, Safanah binti Hatim.

·       Safanah binti Hatim, bersama beberapa penduduk Tha’i yang tidak sempat melarikan diri ditangkap oleh kaum muslimin dan dibawa ke  Madinah. Ketika berada di Madinah, Safanah telah meminta keizinan Rasulullah SAW untuk pergi ke Syam menemui keluarganya. Setelah beberapa kali bertanya, baginda mengabulkan permintaannya. Baginda juga meminta agar Safanah menunggu sehingga muncul orang yang boleh dipercayai dalam kalangan kaumnya untuk menghantarnya ke Syam.

·       Maka, Safanah tetap tinggal di Madinah untuk beberapa tempoh. Sepanjang beliau menetap di Madinah, beliau menyaksikan kemuliaan dan kebaikan akhlak kaum muslimin dan memutuskan untuk memeluk Islam. Apabila tiba rombongan dari Baliyy di Madinah, terdapat kenalan Safanah yang boleh dipercayai untuk menghantarnya ke Syam. Maka, Rasulullah SAW memberi keizinan kepadanya dan membekalkannya dengan pakaian baru, seekor unta yang kuat dan bekal yang cukup.

·       Setibanya Safanah di Syam, beliau menemui abangnya, Adi bin Hatim dan menceritakan segala perkara yang berlaku kepadanya di Madinah. Mendengar saranan adiknya untuk bertemu sendiri dengan Rasulullah SAW, Adi menyiapkan bekalan perjalanan dan menuju ke Madinah tanpa jaminan perlindungan atau perjanjian. Setibanya di Madinah, Adi pergi bertemu Rasulullah SAW di dalam masjid. Setelah memperkenalkan diri sebagai Adi bin Hatim, Rasulullah SAW menarik tangannya untuk menuju ke rumah baginda.

·       Dalam perjalanan menuju ke rumah baginda, terdapat seorang wanita tua yang lemah dan membawa anak kecil, yang ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW. Maka, baginda berhenti dan melayan permintaan wanita tua tersebut sehingga selesai. Melihat keadaan tersebut, Adi berkata dalam hati, “Demi Allah, ini bukan kebiasaan seorang raja”. Selepas itu, mereka melanjutkan perjalanan menuju ke rumah Rasulullah SAW. Setibanya di rumah, baginda menawarkan bantal untuk Adi duduk di atasnya. Manakala Rasulullah SAW duduk di atas tanah kerana hanya terdapat satu bantal sahaja di rumah baginda. Maka, Adi berkata di dalam hati, “Demi Allah, ini bukan kebiasaan seorang raja”.

·       Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Adi, “Bukankah engkau seorang Rakusyi, yang menganut dua agama sekaligus iaitu Nasrani dan Saba’iy?” Adi menjawab, “Benar”. Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bukankah engkau mewajibkan rakyatmu mirba’ (cukai) sehingga engkau mengambil sesuatu yang tidak dibenarkan oleh agamamu sendiri?” Maka Adi menjawab, “Benar”. Pada ketika itu, Adi yakin bahawa Rasulullah SAW benar-benar seorang Nabi kerana baginda mengetahui perkara yang tidak diketahui oleh manusia biasa.

·       Kemudian baginda berkata, “Wahai Adi, barangkali alasan yang menghalangimu masuk Islam adalah kerana engkau melihat keadaan kaum muslimin yang lemah dan miskin. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan menyaksikan bagaimana mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah sehingga tiada sesiapa akan mengambil harta jika diberi.

·       Atau barangkali alasan yang menghalangimu memeluk Islam adalah kerana engkau melihat bilangan kaum muslimin yang sedikit, sedangkan bilangan musuh ramai. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan mendengar seorang wanita dari Qadisiyyah pergi menuju Ka’bah sendirian tanpa berasa takut kepada sesiapapun kecuali Allah.

·       Atau barangkali alasan yang menghalangimu memeluk Islam adalah kerana engkau melihat kekuasaan dan kekuatan dunia berada pada tangan musuh. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan mendengar istana-istana putih di negeri Babil jatuh ke tangan kaum muslimin dan harta-harta khazanah Kisra bin Hurmuz menjadi milik mereka”.

·       Mendengar ucapan Rasulullah SAW tersebut, Adi bin Hatim mengucapkan syahadah dan memeluk Islam.

·       Adi Bin Hatim Selepas Memeluk Islam

·       Selepas memeluk Islam, Adi mewarisi sifat kedermawanan ayahnya, tetapi dengan tujuan meraih keredhaan Allah SWT. Beliau juga dikenali dengan peribadi yang sangat mencintai solat dan sentiasa berada di masjid sebelum azan dilaungkan.

·       Setelah Rasulullah SAW wafat, ramai dari kalangan kaumnya murtad tetapi beliau kekal beriman. Malah, beliau juga menyeru kaumnya dan kaum Bani Jadilah untuk kembali beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Diriwayatkan bahawa seramai 1500 orang kembali ke pangkuan Islam dan bergabung dengan pasukan kaum muslimin yang dipimpin oleh Khalid al-Walid untuk memerangi golongan murtad.

·       Wafatnya Adi Bin Hatim

·       Adi Bin Hatim dikurniakan umur yang panjang. Beliau wafat ketika berusia 120 tahun pada tahun 67 Hijrah di Kufah. 

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Adi Bin Hatim

·       Dalam peristiwa pengislaman Adi Bin Hatim, Rasulullah SAW telah mengucapkan tiga janji berkenaan keadaan kaum muslimin. 

·       قَالَ عَدِيٌّ فَرَأَيْتُ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ، لاَ تَخَافُ إِلاَّ اللَّهَ، وَكُنْتُ فِيمَنِ افْتَتَحَ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ، وَلَئِنْ طَالَتْ بِكُمْ حَيَاةٌ لَتَرَوُنَّ مَا قَالَ النَّبِيُّ أَبُو الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم‏”‏ يُخْرِجُ مِلْءَ كَفِّهِ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ، يَطْلُبُ مَنْ يَقْبَلُهُ مِنْهُ، فَلاَ يَجِدُ أَحَدًا يَقْبَلُهُ مِنْهُ”‏‏.‏ 

·       Maksudnya: Berkata Adi, “Aku telah melihat seorang wanita menunggang untanya dari Al-Hira sehingga dia melakukan tawaf di Ka’bah tanpa merasa takut kepada sesiapa melainkan Allah. Dan aku termasuk orang yang membuka (menakluk) khazanah Kisra bin Hurmuz. Jika umurmu panjang, kamu akan melihat apa yang Nabi Abu al-Qasim (Rasulullah SAW) telah bersabda, (iaitu) seseorang akan keluar dengan segenggam daripada emas atau perak dan pergi mencari orang untuk menerimanya, tetapi tidak akan mendapati seorang pun yang menerima daripadanya”.(Hadith Riwayat Bukhari)

·       Hadith tersebut menunjukkan bahawa dua daripada tiga janji Rasulullah SAW telah terjadi dan disaksikan sendiri oleh Adi bin Hatim, berkat umurnya yang panjang. Adi juga menunjukkan keyakinannya yang kuat terhadap kebenaran janji yang ketiga. Diriwayatkan bahawa janji Rasulullah SAW yang ketiga berlaku pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Pada zaman tersebut, kekayaan kaum muslimin melimpah ruah sehingga umat Islam tidak dibenarkan membayar zakat, kerana sukarnya untuk mencari penerima zakat.

·       Kisah ini mengajarkan kepada kita agar sentiasa yakin dengan janji Allah SWT dan RasulNya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Rum ayat 47 yang bemaksud, “Dan merupakan hak kami untuk menolong orang-orang yang beriman”. Justeru, tidak kira betapa peritnya kehidupan kita di dunia, pasti akan ada pertolongan dariNya.

Adi Bin Hatim: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

KISAH KAROMAH SYEIKH NAWAWI

Kisah Syeikh Nawawi Diarak Keliling Ka`Bah Kemasyhuran dan nama besar Syeikh Nawawi al-Bantani kiranya sudah tidak perlu diragukan lagi. Mel...