Memaparkan catatan dengan label Kisah SaHaBaT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah SaHaBaT. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Ogos 2024

KA’AB BIN MALIK

 Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Ka’ab bin Malik, sang penyair yang memperoleh keampunan. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang sabar dan tawakal dalam menanti keampunan Allah SWT.

·       Siapakah Ka’ab Bin Malik?

·       Ka’ab bin Malik al-Khazraji merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar dan berasal dari suku Khazraj. Beliau juga digelar dengan nama al-‘Aqabi kerana merupakan antara 70 orang yang hadir dalam Bai’ah al-‘Aqabah. Beliau turut digelar dengan nama al-Uhudi kerana telah menyertai Perang  Uhud. Pada zaman Jahiliyah pula, beliau dikenali dengan nama Abu Basyir.

·       Ka’ab Bin Malik Selepas Memeluk Islam

·       Ka’ab bin Malik merupakan salah seorang dari 40 orang sahabat yang telah memeluk Islam lebih awal, iaitu sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Selepas memeluk Islam, beliau digelar dengan nama Abu Abdullah. Disebabkan oleh rasa cinta kepada Allah SWT dan RasulNya, beliau mengerahkan seluruh kemampuannya untuk kepentingan dakwah.

·       Sang Penyair Rasulullah

·       Antara kelebihan Ka’ab bin Malik ialah kemampuannya untuk bersyair. Beliau merupakan salah seorang dari tiga sahabat yang digelar sebagai para penyair Rasulullah SAW, di samping Hasan bin Thabit dan Abdullah bin Rawahah. Kemampuan mereka untuk bersyair dimanfaatkan bagi penyebaran dakwah dan jihad di jalan Allah SWT. 

·       Ibnu Sirin menceritakan bahawa Hasan bin Thabit menggunakan syairnya untuk menghina keburukan dan aib kaum kafir di medan perang, manakala Abdullah bin Rawahah menggunakan syairnya untuk mengejek kekufuran mereka. Berbeza dengan para penyair yang lain, Ka’ab bin Malik menggunakan syairnya dengan tujuan mengancam dan menyerang mental kaum kafir sebagai senjata di medan perang.

·       Kehebatan Ka’ab bin Malik dalam bersyair dapat dilihat dalam peristiwa pengislaman kabilah Daus. Ketika berhadapan dengan kabilah Daus, Ka’ab membacakan syair kepada mereka. Syair tersebut berbunyi;

·       Kami menghabiskan daripada Tihamah dengan segenap keraguan

·       Dan juga daripada Khaibar, kemudian mengumpulkan pedang-pedang

·       Kami memberinya pilihan, andai dia berbicara pasti mengatakan

·       Dia memilih memerangi suku Daus dan Thaqif

·       Selepas mendengar bait syair yang berbaur ancaman tersebut, kabilah Daus berasa gentar, lantas segera memeluk Islam tanpa ada yang terkecuali. Begitu dahsyatnya syair Ka’ab, sehingga mampu menggetarkan jiwa kabilah Daus dan mendorong mereka untuk beriman kepada Allah SWT.

·       Kisah Taubat Ka’ab Bin Malik Kerana Tidak Menyertai Perang Tabuk

·       Kisah taubat Ka’ab bin Malik kerana tidak menyertai Perang Tabuk diceritakan dalam sebuah Hadith Bukhari. Kisah tersebut bermula apabila turun perintah Allah SWT kepada kaum muslimin untuk memerangi pasukan Rom yang merancang untuk melenyapkan Islam. Perang tersebut berlaku pada bulan Rejab tahun 9 Hijrah dan digelar sebagai Ghazwatul ‘Usrah, yang bermaksud perang dalam masa yang sukar. Hal ini kerana, Rasulullah SAW bertolak dari Kota Madinah dalam keadaan cuaca yang panas terik dan kering. Tambahan pula, banyak persiapan perang yang perlu dilakukan disebabkan oleh perjalanan perang yang panjang dan bilangan musuh yang ramai.

·       Maka, Rasulullah SAW bersama para sahabat dan kaum muslimin pergi memenuhi seruan jihad dalam Perang Tabuk tanpa disertai oleh Ka’ab bin Malik. Hal ini disebabkan oleh sikap Ka’ab yang lalai dan sering bertangguh dalam membuat persiapan perang sehingga ditinggalkan oleh pasukan perang Rasulullah SAW. Malah, Ka’ab pada ketika itu tidak mempunyai sebarang keuzuran, tidak tua dan tidak sakit. Beliau juga bukanlah dari kalangan munafik yang tidak menyertai perang kerana ingkar kepada Rasulullah SAW.

·       Setelah pasukan Rasulullah SAW pulang dari peperangan, Ka’ab mula memikirkan pebagai alasan bagi menyelamatkan dirinya di hadapan Rasulullah SAW. Ketika orang-orang yang tidak menyertai peperangan muncul dengan pebagai alasan dan sumpah di hadapan Rasulullah SAW, Ka’ab pula memutuskan untuk berkata jujur dan mengakui tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk, kerana bimbang akan kemurkaan Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Tindakan berlaku jujur itu turut dilakukan oleh dua sahabat yang juga tidak menyertai Perang Tabuk, iaitu Murarah bin al-Rabi’ al-‘Umri dan Hilal bin Umayyah al-Waqifi. 

·       Rentetan peristiwa itu, Rasulullah SAW memerintahkan agar Ka’ab bersama dua sahabat tersebut menunggu keampunan Allah SWT. Rasulullah SAW juga melarang para sahabat dan kaum muslimin untuk bercakap dengan mereka selama 50 hari. Maka dalam tempoh tersebut, Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah memilih untuk diam menangis di rumah mereka. Ka’ab pula tetap keluar dari rumah untuk menghadiri solat bersama kaum muslimin dan pergi ke pasar, namun tiada sesiapapun yang menegur atau bercakap dengannya. Malah, pada hari ke-40, Ka’ab diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menjauhi isterinya. Ka’ab redha dan taat akan perintah baginda. 

·       Setelah mengerjakan solat Subuh pada hari ke-50, Rasulullah SAW menyampaikan berita gembira bahawa Allah SWT telah menerima taubat Ka’ab bersama Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah. Rasulullah SAW dengan wajah yang senang bersabda,

·       Bergembiralah dengan sebaik-baik hari yang engkau lalui sejak ibumu melahirkanmu”.

·       Para sahabat yang lain turut berkumpul dan mengucapkan kesenangan mereka di atas penerimaan taubat Ka’ab. Sejak kejadian tersebut, Ka’ab menghabiskan hidupnya dengan berkata jujur, beribadah dan berjihad di jalan Allah SWT.

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Ka’ab Bin Malik

·       Berikutan peristiwa penerimaan taubat Ka’ab bin Malik bersama Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah, Allah SWT berfirman:

·       لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ مِنۢ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُۥ بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ (117). وَعَلَى ٱلثَّلَٰثَةِ ٱلَّذِينَ خُلِّفُوا۟ حَتَّىٰٓ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوٓا۟ أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ ٱللَّهِ إِلَّآ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ (118).

·       MaksudnyaSesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada merekaDan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka (kerana mereka dipulaukan), padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun terasa sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka kekal dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Taubah: 117-118)

·       Demikianlah ganjaran yang diperoleh oleh orang yang berkata jujur, sabar dan tawakal dalam memohon keampunan Allah SWT. Tiada nikmat yang lebih besar daripada taubat yang membuahkan keampunan Allah SWT di dunia dan rahmatNya di akhirat.

·       Ka'ab Bin Malik: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

Sabtu, 17 November 2012

ABU AYUB AL ANSARI

ABU AYUB AL ANSARI
Jihad
Abu Ayub Al Ansari adalah seorang Sahabat dari kaum Ansar. Sewaktu Rasulullah berhijrah ke Madinah dahulu, di rumah Abu Ayublah Nabi tinggal. Abu Ayub turut serta dalam operasi tentera Islam untuk membebaskan Konstantinople. Ketika itu umur beliau sudah mencecah 81 tahun. Meskipun tua, tapi Abu Ayub tetap berkeras untuk berangkat kerana dia berharap untuk merebut janji Rasulullah SAW sebagaimana tersebut dalam Hadis baginda: “Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Tiba di Konstantinople tentera Islam bergabung, pasukan dari Mesir diketuai oleh Uqbah bin Amir dan dari Syam pula diketuai oleh Fudalah bin Ubaid r.a. Barisan tentera Rom amat besar sekali dengan kelengkapan perang yang jauh lebih hebat. Tentera Islam pun berbaris untuk menghadapi mereka. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan tentera Islam telah merempuh masuk ke dalam barisan tentera Rom. Melihat tindakannya itu, tentera-tentera Islam pun berteriak kepadanya: “Maha Suci Allah! Dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan.”

Mendengar kata-kata mereka itu, Abu Ayub Al Ansari segera tampil lalu berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang seumpama itu. Kami lebih mengetahui mengenai ayat Sesungguhnya ia telah diturunkan kepada kami golongan Ansar. Tatkala Allah menguatkan agama-Nya dan bertambah ramailah pengikutnya, kami telah berkata sesama kami secara rahsia dari pengetahuan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya harta-harta kita telah terbiar, adalah elok kita tinggal di sana dan memperbaiki apa yang telah kehilangan dan kerugian terhadap harta-harta tersebut.”

Oleh yang demikian, Allah SWT mewahyukan ayat Al Quran untuk membidas kerungsingan kami itu.

Allah SWT berfirman: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al Baqarah: 195)

Ada pun kebinasaan itu adalah tinggal bersama kaum keluarga di mana kami telah berkeinginan untuk melakukannya, demi untuk memperbaiki harta benda kami. Maka kami telah diperintahkan untuk keluar berghuzwah (berperang). Demikianlah pendirian Abu Ayub, sebab itulah dia gigih berjuang walaupun umurnya sudah lanjut.

Dalam peperangan membebaskan Konstantinopel itu, berjatuhanlah para syuhada bagai kembang-kembang seri yang gugur di Taman Syurgawi. Pada hari itu bermati-matian Abu Ayub bertempur dari terbit matahari sampai tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh sakit. Terbaring lesu tanpa boleh bergerak-gerak lagi. Tentera-tentera Islam datang melawatnya.

Setiap yang datang, akan mendoakan: “Ya Allah, afiatkan ia dan sembuhkanlah ia.”

Mendengar doa itu, Abu Ayub menoleh kepada mereka dan berkata, “Jangan doakan begitu. Tapi ucapkanlah, ya Allah, kalau ajalnya sudah dekat, ampunilah dan berilah ia rahmat. Akan tetapi sekiranya ajalnya masih belum tiba, afiatkan ia dan sembuhkanlah segera dan berilah ia ganjaran.”

Ketika sakitnya semakin memberat, Abu Ayub pun berwasiat agar jasadnya disemadikan di benteng Kota Konstantinopel. Semasa kematiannya peperangan masih bergelora. Jenazah Sahabat yang mulia itu dibawa ke benteng Konstantinopel untuk disemadikan. Ternyata beliau bukanlah orang yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Konstantinople itu.

Namun begitu, pahala untuk beliau tetap diganjari Tuhan kerana cuba untuk membuktikan Hadis Nabi SAW. Itulah yang menjadi pemangkin untuk Abu Ayub berjihad berhabis-habisan di kota itu. Setelah 600 tahun berlalu, Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan kota itu pada tahun 1463. Beliaulah yang menepati Hadis Nabi SAW tersebut. Abu Ayub Al Ansari adalah salah seorang yang cuba membuktikan kebenaran Hadis Nabi itu. Ini diikuti pula dengan Muhammad Al Fateh yang mana beliaulah pemimpin yang dijanjikan Tuhan. Apakah kita juga menjadikan Hadis Nabi SAW sebagai pendorong untuk membuktikan kebenaran Hadis untuk umat akhir zaman. Rasulullah SAW ada bersabda bahawa di akhir zaman Islam akan bangkit dari sebelah Timur? Sejauhmanakah kesungguhan kita untuk menjadi orang-orang yang menyemarakkan Islam di sebelah Timur ini?


 http://kisahteladan.info/sahabat/abu-ayub-al-ansari.html


KISAH KAROMAH SYEIKH NAWAWI

Kisah Syeikh Nawawi Diarak Keliling Ka`Bah Kemasyhuran dan nama besar Syeikh Nawawi al-Bantani kiranya sudah tidak perlu diragukan lagi. Mel...