Padam rasa marah dengan kemaafan -epondok -Ahmad Shukri Yusoff
Gambar hiasan aje |
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)
Sifat terpuji yang dimiliki orang bertakwa antaranya ialah kemampuan menguasai diri ketika marah. Marah adalah emosi semula jadi manusia dan ia tidak boleh dikawal oleh seseorang melainkan dengan rasa kesedaran yang halus hasil pancaran takwa dan kekuatan spiritual.
As-Syahid Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Al-Quran menyatakan, mengawal dan menahan kemarahan hanya satu tangga pertama dan kebolehan mengawalnya saja tidak cukup kerana kadang-kadang seseorang itu menahan kemarahannya untuk menaruh dendam.
Ini bererti kemarahan berkobar-kobar itu berubah kepada dendam yang terpendam. Oleh sebab itu al-Quran menjelaskan bahawa titik pembebasan kemarahan yang terpendam dalam hati orang yang bertakwa ialah memberi kemaafan, bersikap toleransi dan berlapang dada.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Berilah kepada saya satu pesanan. Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu marah. Lelaki itu mengulangi pertanyaan beberapa kali, Rasulullah SAW tetap menjawab: Janganlah kamu marah.” (Riwayat Bukhari)
Kurangkan Suhu Kemarahan
Justeru, kita perlu menjauhi sebab atau faktor yang boleh menimbulkan kemarahan serta mengurangkan suhu kemarahan dengan mengundang pekerti mulia seperti sifat mahmudah, malu, sabar dan kesediaan memberi kemaafan.
Selain itu, ia juga memberi maksud supaya jangan diikuti rasa marah yang membahang tetapi cuba mengawalnya sedaya upaya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan keji dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.: (Surah asy-Syura, ayat 37)
Antara pendekatan yang boleh digunakan dalam memadamkan api kemarahan ini ialah melatih jiwa supaya bersikap tolak ansur dan mengisi hati dengan kasih sayang. Mengetahui kelebihan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang dapat mengurus kemarahannya dengan baik.
Berlapang dada dan bersikap lembut ketika menghadapi suasana sukar, banyakkan berdiam diri serta berdoa kepada Allah SWT supaya menyelamatkan kita daripada sifat marah. Hendaklah ingat kesan sifat marah mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam oleh orang yang dimarahi.
Membayangkan betapa buruknya rupa sendiri ketika kita sedang marah. Apabila datang marah, banyakkan membawa ta’awwuz kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
Kemarahan adalah satu bebanan yang berat kepada hati apabila dipendamkan. Ia adalah pucuk-pucuk api yang menjilat hati dan nurani. Tetapi apabila kemarahan dikawal dan hati memberi kemaafan, maka itulah titik kebebasan daripada bebanan kemarahan dan pasti tiupan dingin ketenangan akan berada dalam jiwa.
Zahir Kemahiran Jika Sentuh Isu Agama
Namun, perasaan marah boleh dilahirkan jika ia menyentuh isu kehormatan agama, kezaliman dan penindasan terhadap umat sejagat. Rasulullah SAW sendiri menzahirkan kemarahan jika ia menyentuh hak Allah SWT dan hak sesama manusia.
Rasulullah SAW tidak dapat menyembunyikan kemarahannya apabila kebersihan masjid tidak dipelihara dan dijaga sehingga ada kesan kahak serta hingus dalam masjid sedangkan menjaga kebersihan masjid adalah bentuk kemuliaan masjid.
Satu lagi contoh kemarahan Rasulullah SAW apabila diminta oleh Usamah bin Zaid supaya melepaskan hukuman hudud terhadap seorang wanita yang mencuri. Berubah wajah Rasulullah SAW apabila mendengar permintaan Usamah sambil Baginda bersabda: “Apakah engkau hendak memberi syafaat dalam satu kesalahan hudud dari hudud-hudud Allah?” Maka Usamah berkata: “Mohonlah ampun untuk saya wahai Rasulullah SAW”.
Manakala waktu petang Rasulullah SAW bangun lalu memuji apa yang patut bagi Allah Azza Wa Jalla dan kemudian Baginda bersabda: “Adapun kemudian dari itu, sesungguhnya manusia sebelum kamu binasa tidak lain kecuali hanyalah kerana mereka apabila orang mulia di kalangan mereka mencuri mereka membiarkannya, dan apabila orang yang lemah dikalangan mereka mencuri mereka menegakkan hukuman had ke atasnya.” Kemudian Baginda bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam tangan-Nya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya.” (Riwayat An-Nasai, Muslim dan Al-Bukhari)
Apabila membicarakan mengenai marah, janganlah kita menjadi sebab kepada kemarahan dan kemurkaan Allah SWT. Ini penting supaya kita tidak terjebak dengan perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah an-Nisa’, ayat 93)
Ancaman Jika Membunuh Mukmin
Ancaman keras kepada mereka yang bertindak membunuh sesama Mukmin yang pasti mengundang kemurkaan dan laknat Allah SWT kepada mereka. Kemurkaan Allah juga berlaku kepada sesiapa yang buruk sangka kepada-Nya, tidak yakin peraturan dan hukuman telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan supaya Dia menyeksa orang munafik lelaki dan perempuan dan orang musyrik lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Dia akan mengecewakan Rasul-Nya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka Neraka Jahannam; sedang Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah Al-Fath, ayat 6)
Perbincangan berkenaan sifat marah bukan tertumpu pada emosi marah manusia biasa, tetapi harus dipanjangkan kepada perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW supaya kita dapat membina kehidupan di atas keredaan-Nya.
http://epondok.wordpress.com/2013/11/21/padam-rasa-marah-dengan-kemaafan/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan