SEBAGAI 'pewaris' para nabi, ulama silam sering tabah menghadapi pelbagai seksaan, antaranya ialah Ahmad bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Hanbal. Dalam zaman Khalifah Harun al-Rasyid, timbul suatu fahaman bahawa al-Quran adalah makhluk. Basyar al-Murisy telah menyebarluaskan pendapat itu. Namun, Khalifah Harun membanterasnya secara habis-habisan. Sekali gus ia memerintahkan agar penyebar itu ditangkap dan diadili. Basyar menyembunyikan diri sebaik mengetahui perintah itu dikeluarkan. Dia menyembunyikan diri hingga Khalifah Harun meninggal. Khalifah al-Amin, anak Khalifah Harun, menghidupkan perintah itu sebaik sahaja mewarisi kerajaan ayahnya.
Setelah Khalifah al-Amin meninggal, Khalifah al-Makmun pula mewarisi pemerintahan. Namun, beliau berfaham muktazilah (golongan yang mengutamakan pemikiran logik). Al-Makmun menyokong fahaman Basyar. Para ulama, secara bersembunyi, berfatwa ajaran Basyar itu sesat, lagi menyesatkan. Namun kerana takut dizalimi, ramai ulama berhijrah ke negara lain. Ramai pula yang terpaksa bersembunyi. Imam Hanbal berpendapat al-Quran adalah kalamullah (pena Allah) yang bersifat qadim. Akibat pendapatnya itu, dia ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah Makmun. Hanbal dirantai dan dibawa ke bilik persidangan. Seorang pengawal kemudian tampil dengan membawa al-Quran dan diletakkan di hadapannya. "Al-Quran bukan makhluk, al-Quran adalah Kalamullah", Imam Ahmad menegaskan.
Akibatnya, Imam Ahmad dipenjara dan diseksa. Setiap hari dalam penjara seorang pegawai disuruh menemui Imam Hanbal supaya pendapatnya diubah. Namun, Imam Hanbal terus bertegas dengan pendiriannya. Suatu pertemuan kemudian diadakan. Tujuannya untuk menghukum Imam Ahmad. Berbagai-bagai peralatan seperti pedang, lembing dan cabuk disediakan. Jika beliau masih teguh dengan fahamannya, senjata itulah yang akan digunakan untuk menyeksanya. Namun, Imam Hanbal masih bertegas. Beliau dicabuk. Pada sebatan pertama, Imam Ahmad berkata 'Bismillah'. Pada sebatan kedua beliau membaca 'La haula wala kuata illa billah'. Pada sebatan ketiga beliau membaca firman Allah bermaksud: "Katakanlah, sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami."
Kini sudah 29 kali Imam Hanbal dicabuk. Akibatnya kulitnya terkupas. Darah mengalir. Ketika sedang dicabuk, Imam Hanbal merasa tali seluarnya terputus. Seluarnya sedikit demi sedikit menurun. Auratnya dirasakan hampir terbuka. Beliau segera mengangkat pandangannya ke langit. Bibirnya bergerak. Bisikan doanya dikabulkan. Tiba-tiba seluarnya yang tadi turun, naik semula ke tempat semula. Auratnya tidak sempat terbuka. Setelah dicabuk, beliau kemudian dibawa ke penjara. Al-Muktasim telah menggantikan Khalifah Makmun yang meninggal dunia. Namun, fahaman muktazilah masih berkembang. Akibatnya Imam Hanbal terus diseksa. Debat terbuka antara Imam Hanbal dengan Kadi Besar Ahmad bin Ali Daud dianjurkan Khalifah al-Muktasim. Namun, Imam Hanbal pintar menjawab secara jitu segala soal dan bidasan.
Walaupun terpengaruh, hadirin majlis masih takutkan seksaan khalifah. Oleh malu kerana melihat kadi besarnya itu ditewaskan Imam Ahmad dalam debat itu, khalifah memaksa Imam Hanbal mengakui kesilapannya. Namun, Imam Hanbal masih tabah. Seksaan dan penjara untuknya diteruskan. Khalifah al-Muktasim meninggal dunia dan digantikan oleh Khalifah al-Watsik yang masih terpengaruh oleh ajaran sesat itu. Seksaannya ditambah kepada Imam Hanbal.
Hanya setelah al-Watsik meninggal dan digantikan oleh al Mutawakkil Billah, barulah berakhir seksaan ke atas Imam Hanbal dan beliau dibebaskan. Khalifah itu menyedari kesilapan 3 orang khalifah terdahulu dan memerintahkan pengikut muktazilah ditangkap dan dihukum. Imam Hanbal bersyukur kepada Allah kerana terselamat. Namun, pada usia tua dan sakit, beliau masih terus berdakwah menentang ajaran sesat sehingga akhir hayatnya. Al-Imam Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah berkata: “Al-Qur’an adalah kalamullah-BUKAN MAKHLUK..!
Siapa yang mengatakan Al-Qur’an adalah makhluk, maka dia telah kufur kepada Allah Yang Maha Agung, tidak diterima persaksiannya, tidak dijenguk jika sakit, tidak dishalati jika mati, dan tidak boleh dikuburkan di pekuburan kaum muslimin. Ia diminta taubat, kalau tidak mahu maka dipenggal lehernya.
http://helmdahl.blogspot.com/2011/01/kisah-imam-ahmad-bin-hanbal-pembela.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan