Posted by epondok, DR. AMINUDIN
MANSOR
Gambar hiasan |
DALAM kehidupan di dunia ini
setiap manusia sentiasa ingin mencari ketenangan jiwa. Menurut pandangan Islam,
tidak akan terdapat keamanan dan ketenteraman jiwa di dunia ini melainkan
seseorang individu berada dalam keadaan aman dengan dirinya.
Oleh itu, untuk membentuk satu
asas yang kukuh bagi keamanan antarabangsa, seseorang mestilah terlebih dahulu
menanamkan ketenangan di dalam jiwanya. Seseorang individu yang mempunyai jiwa
yang tenang dapat memainkan peranan yang penting dalam pembangunan
masyarakatnya. Selain itu, individu tersebut dapat menjelmakan kepercayaan yang
hebat terbentuk dalam jiwa dan dibuktikan melalui tindakan yang baik.
Jiwa dapat diertikan nyawa, roh
(yang ada dalam tubuh manusia). Ia meliputi batin (perasaan, fikiran, cita-cita
dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia). Manusia sangat inginkan
ketenangan jiwa bagi kejayaan di dunia dan akhirat.
Maka, jiwa yang tenang, sanggup
menghadapi dan menguasai apa juga keadaan. Ini kerana perasaan tenang seseorang
akan selalu melalui jalan yang lurus dan tenang. Hati dan jiwa yang tenang dan
tenteram terjadi apabila seseorang itu selalu membuat kebaikan kepada orang
lain.
Sementara itu, jiwa yang menderita
disebabkan oleh kesombongan, ketamakan, kedengkian dan keserakahan mengejar
kekayaan di dunia dan akan rasa sentiasa gelisah serta rasa tak pernah cukup.
Selain itu, jiwa yang kosong adalah jiwa yang menderita dan terseksa dalam diri
seseorang.
Tiga Pembahagian Jiwa
Terdapat TIGA pembahagian jiwa
pembahagian jiwa atau hati manusia, iaitu jiwa yang sihat, jiwa yang sakit dan
jiwa yang mati. Jiwa atau hati yang sihat akan berjaya menemukan pemiliknya
dengan penuh kebahagiaan dan kegemilangan. Hal ini dijelaskan oleh Allah menerusi
firman-Nya yang bermaksud: Pada hari yang tidak bermanfaat semua harta benda
dan anak-anak, kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati (jiwa)
yang selamat (sihat). (asy-Syuara: 88-89)
Dalam hal ini, hati yang mati
sama sekali tidak memiliki jiwa dan roh yang tenang. Ia tidak mengetahui siapa
Tuhannya, apa lagi untuk menyembah-Nya. Orang yang dijangkiti penyakit hati
yang mati cenderung menjadikan nafsu sebagai ikutan, syahwat sebagai
pemandunya, kejahilan mengarahnya yang mengakibatkan kelalaian dan kealpaan.
Penyakit Hati
Sementara itu, hati yang sakit di
dalamnya terkandung jiwa dan roh, namun terdapat penyakit di dalam hatinya.
Padanya memiliki dua potensi yang saling berebut dan berlawan bagi mendapat
tempat bagi menguasai hati berkenaan. Pada masa hati beriman, ikhlas, tawakal
dan rasa mahabbah (cinta) pada Allah SWT. Maka sebaliknya ia menderita sakit
bahkan menjadi hati yang mati apabila syahwat, nafsu serta sifat
mazmumah(tercela) seperti hasad, sombong, ujub (bangga dan memuji diri) takbur
dan membuat kerosakan di bumi menguasai hati dan diri seseorang.
Jelaslah, syaitan dengan berbagai
cara, melalui rayuan-rayuan yang dinyatakan dengan bisikan perkataan,
pendengaran dan pancaindera berubah, menyesatkan manusia sehingga mematuhi arahan
dan perintahnya. Syaitan menanamkan perasaan syak wawasan ke dalam hati manusia
seperti mana firman Allah yang bermaksud: Yang membisikkan ke dalam hati
manusia, iaitu bangsa jin dan manusia. (an-Nas:5-6)
Hidup Matinya Hati
Hidup matinya hati (jiwa)
tertakluk kepada kebajikan yang dilakukan serta kezaliman dan kejahatan di
dunia. Oleh itu ketenangan hati (jiwa) hanya dapat diperoleh dengan memihak
kepada kebenaran. Sesiapa yang mengetahui kebenaran dan tunduk serta patuh
mengikutinya, dialah orang yang beroleh kenikmatan dari Allah SWT.
Seterusnya Allah SWT berfirman
yang bermaksud: Belum lah tiba masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk
khusyuk hati mereka mengingati Allah dan tunduk kepada kebenaran yang telah
diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang
yang terdahulu yang telah diturunkan al-Kitab kepada mereka, kemudian berlalu
masa yang panjang atas mereka(sedangkan mereka masih belum mahu insaf) lalu
hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang
yang fasik. (al-Hadid: 16)
Hati jadi keras
Berkaitan hati yang menjadi
keras. Daripada Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah memperbanyak
percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, maka sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah
SWT. Itu adalah menyebabkan
hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada
Allah SWT adalah mereka yang berhati keras.” (riwayat Tirmizi)
Sementara itu, Imam Al-Ghazali menyatakan
jasad kita ini dapat diibaratkan sebagai kuda tunggangan dan roh sebagai
penunggangnya, jasad diciptakan untuk roh dan roh untuk jasad.
Kalau seseorang tidak mengetahui
atau memahami jiwanya sendiri yang paling dekat padanya, maka apa gunanya dia
menuntut pelbagai ilmu pengetahuan.
Orang yang semacam itu dapat
diibaratkan seperti seorang peminta yang ingin memberi makanan kepada penduduk
sebuah kota, pada hal dia sendiri tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
Oleh itu, meraih ketenangan jiwa
bertujuan untuk mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Jika seseorang yang
baik meninggalkan ketaatan, jiwanya akan merasa terhimpit seakan bumi
menghimpit dirinya. Namun dia akan menyesuaikan diri sehingga lama-kelamaan
jiwanya akan tenang kerananya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan