Sabtu, 3 Mei 2014

Tazkiyatun Nafs: Pengertian, Konsep dan Cara Mencapainya

Padepokan Nurmala

Tazkiyah, secara bahasa (harfiah) bererti Tathahhur, maksudnya bersuci. Seperti yang terkandung dalam kata zakat, yang memiliki makna mengeluarkan sedekah berupa harta yang bererti tazkiyah (penyucian). Kerana dengan mengeluarkan zakat, seseorang bererti telah menyucikan hartanya dari hak Allah yang wajib ia tunaikan.

Salah satu tujuan utama diutusnya Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wa salam adalah untuk membimbing umat manusia dalam rangka membentuk jiwa yang suci. 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul dari golongan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya dalam kesesatan yang nyata”. (Al-Jumu’ah: 2).

Dengan demikian, seseorang yang mengharapkan keredhaan Allah dan kebahagiaan abadi di hari akhir hendaknya benar-benar memberi perhatian khusus pada tazkiyatun nafs (penyucian jiwa). Ia harus berupaya agar jiwanya sentiasa berada dalam keadaan suci. 

Kedatangan Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam ke dunia ini tak lain adalah untuk menyucikan jiwa manusia. Ini sangat terlihat jelas pada jiwa para (beberapa orang )sahabat sebelum memeluk Islam dan sesudahnya. Sebelum mengenal Al-Islam jiwa mereka dalam keadaan kotor oleh debu-debu syirik, ashabiyah (fanatisme suku), dendam, iri, dengki dan sebagainya. Namun begitu telah disibghah (diwarnai) oleh syariat Islam yang dibawa Rasulullah SAW, jiwa mereka menjadi bersih, bertauhid, ikhlas, sabar, ridha, zuhud dan sebagainya.

Kecemerlangan dan kejayaan seseorang, sangat ditentukan oleh seberapa jauh ia men-tazkiyah dirinya. Barangsiapa tekun membersihkan jiwanya maka sukseslah hidupnya. Sebaliknya yang mengotori jiwanya akan sentiasa merugi, gagal dalam hidup. Hal itu diperkuat melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sumpahNya sebanyak sebelas kali berturut-turut, padahal dalam Al-Qur’an tidak dijumpai keterangan yang memuat sumpah Allah sebanyak itu secara berurutan. 

Marilah kita perhatikan firman Allah sebagai berikut:
“Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, dan demi bulan apabila mengiringinya, dan malam bila menutupinya, dan langit serta pembinaannya, dan bumi serta penghamparannya, dan jiwa serta penciptaannya (yang sempurna), maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sungguh beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya, dan sungguh merugilah orang yang mengotori jiwanya”.(Asy-Syams: 1-10).

Dalam ayat yang lain juga disebutkan bahawa nantinya harta dan anak-anak tidak bermanfaat di akhirat. Tetapi yang boleh memberi manfaat adalah orang yang menghadap Allah dengan Qalbun Salim , iaitu hati yang bersih dan suci.

Firman Allah:
“Iaitu di hari harta dan anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih”. (Asy-Syu’araa’:88-89).

Hakikat Tazkiyatun Nafs
Secara umum tujuan tazkiyatun nafs mengarah pada dua kecenderungan, iaitu:

  1. Membersihkan jiwa dari sifat-sifat tercela, membuang seluruh penyakit hati.
  2. Menghiasi jiwa dengan sifat-sifat terpuji.

Kedua-dua hal itu harus berjalan seiring, tidak boleh hanya dikerjakan satu bahagian kemudian meninggalkan bahagian yang lain. Jiwa yang cuma dibersihkan dari sifat tercela saja, tanpa diiringi dengan menghiasi dengan sifat-sifat kebaikan menjadi kurang lengkap dan tidak sempurna.

Sebaliknya, sekedar menghiasi jiwa dengan sifat terpuji tanpa meninggalkan penyakit-penyakit hati, juga akan sangat ironis. Tidak wajar. Ibaratnya seperti sepasang pengantin, sebelum berhias dengan beragam hiasan, mereka harus mandi terlebih dahulu agar badannya bersih. Sangat buruk andaikata belum mandi (membersihkan kotoran-kotoran di badan) tetapi terus dirias. Hasilnya tentu sebuah pemandangan yang mungkin saja indah tetapi bila orang mendekat akan tercium bau tak sedap.

Wasilah Tazkiyatun Nafs
Wasilah (sarana) untuk men-tazkiyah jiwa tidak boleh keluar dari sandaran-sandaran syar’i yang telah ditetapkan Allah dan rasulNya. Seluruh wasilah tazkiyatun nafs adalah beragam ibadah dan amal-amal shalih yang telah disyariatkan di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Kita dilarang membuat wasilah-wasilah baru dalam menyucikan jiwa ini yang menyimpang dari arahan kedua sumber hukum Islam tersebut. 

Misalnya seperti yang dilakukan oleh beberapa penganut kejawen, di mana dalam membersihkan jiwa (tazkiyatun nafs) mereka melakukan puasa pati geni (puasa terus menerus sehari semalam/wishal) sambil membaca sejumlah mantra. Ada lagi yang mensyariatkan mandi di tengah malam atau berendam di sungai selama beberapa waktu yang ditentukan. Cara-cara bid’ah semacam ini jelas tidak dibenarkan dalam Islam.

Sesungguhnya rangkaian ibadah yang diajarkan Allah dan RasulNya telah memuat asas-asas tazkiyatun nafs dengan sendirinya. Bahkan boleh dikatakan bahawa inti dari ibadah-ibadah seperti solat, puasa (shaum), zakat, haji dan lain-lain itu tidak lain adalah aspek-aspek tazkiyah.

Solat misalnya, bila dikerjakan secara khusyu’, ikhlas dan sesuai dengan syariat, niscaya akan menjadi pembersih jiwa, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam berikut:

Abu Hurairah radhiyallaahu anhu berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:“Bagaimanakah pendapat kamu kalau di muka pintu (rumah) salah satu dari kamu ada sebuah sungai, dan ia mandi daripadanya tiap hari lima kali, apakah masih ada tertinggal kotorannya? Jawab sahabat: Tidak. Sabda Nabi: “Maka demikianlah perumpamaan solat lima waktu, Allah menghapus dengannya dosa-dosa”. (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Dari hadits di atas nampak sekali bahawa misi utama penegakan solat adalah berkait dengan tazkiyatun nafs. Ertinya, dengan solat secara betul (sesuai sunnah), ikhlas dan khusyu’, jiwa akan menjadi bersih, yang digambarkan Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam seperti mandi di sungai lima kali. Sebuah perumpamaan atas terhapusnya kotoran-kotoran dosa dari jiwa. Secara demikian, boleh kita bayangkan kalau ibadah solat ini ditambah dengan solat-solat sunnah. Tentu nilai kebersihan jiwa yang diraih lebih banyak lagi.

Demikian pula masalah shaum (puasa). Hakikat puasa yang paling dalam berada pada aspek tazkiyah. Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
“Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta maka Allah tidak perlu terhadap puasanya dari makan dan minum”. (HR Al-Bukhari, Ahmad dan lainnya).

Dalam hadits yang lain disebutkan:
“Adakalanya orang berpuasa, bahagian dari puasanya (hanya) lapar dan dahaga”. (HR Ahmad).
Ini menunjukkan betapa soal-soal tazkiyatun nafs benar-benar mewarnai dalam ibadah puasa, sehingga tanpa membuat-buat syariat baru sesungguhnya apa yang datang dari syariat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bila diresapi secara mendalam benar-benar telah mencukupi.

Hal yang sama dijumpai pada ibadah qurban. Intipati utama ibadah qurban adalah ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bererti soal pembersihan jiwa dan bukan terbatas pada daging dan darah qurban.

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Daging-daging dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai derajat (keredhaan) Allah, tetapi keaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya”.(Al-Hajj: 37).

Kalau diteliti lagi masih banyak sekali ibadah dalam syariat Islam yang muara akhirnya adalah pembersihan jiwa. Dengan mengikuti apa yang diajarkan syariat, nescaya seorang muslim telah mendapatkan tazkiyatun nafs. Contohnya adalah para sahabat Rasulullah SAW. Mereka adalah generasi yang paling dekat dengan zaman kenabian dan masih bersih pemahaman agamanya. Ini kerana mereka memiliki jiwa-jiwa yang suci lantaran ber-ittiba’ pada sunnah Rasul dan tanpa menciptakan cara-cara bid’ah dalam tazkiyatun nafs. Mereka mendapatkan kesucian jiwa tanpa harus menjadi seorang sufi yang hidup dengan syariat yang aneh-aneh dan njlimet (rumit).

Bagi seorang muslim, ia harus berupaya menggapai masalah tazkiyatun nafs dari serangkaian ibadah yang dikerjakannya. Ertinya, ibadah yang dilakukan jangan hanya menjadi gerak-gerak fizialk yang kosong dari roh keimanan dan taqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebaliknya, ibadah apapun yang kita kerjakan hendaknya juga bermatlamat pembersihan jiwa. Dengan cara seperti inilah, insya Allah kita dapat mencapai kejayaan di sisiNya.

Wallahu’ a’lam bis shawab.
 (Abu Abdul Haq).https://www.facebook.com/PadepokanNurmala/posts/558659237513549

Tazkiyatun Nafs (Penyucian Jiwa)


"Nabi SAW telah bersabda: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa itu adalah hati."[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saya yakin dan percaya kita sering mendengar hadis mengenai hati ini. Kita memang sudah sedia maklum bahawa hatilah yang menggerakkan setiap anggota tubuh kita. Setiap apa yang terlintas di hati, itulah yang akan tubuh kita refleksikan. 

Jika hati kita hidup, maka amat senang bagi kita untuk menerima kebaikan. Namun sebaliknya akan berlaku jika hati kita tidak hidup, maka amat sulit untuk kita menerima kebaikan.  

Terkadang kita melalui fasa-fasa futur dalam diri bukan? Itulah tandanya hati kita tidak sihat. Di kala ini amat mudahlah untuk syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik ke dalam diri kita. Dan amat senanglah bagi kita untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan itu pada saat itu. 

Untuk itu, kita memerlukan tazkiyatun nafs ini. Kita perlu sentiasa menyucikan jiwa kita ini agar hati kita sentiasa hidup dan sihat. Supaya kita sentiasa dapat melakukan kebaikan.

Tazkiyatun nafs ini merupakan misi para rasul. Marilah sama-sama kita perhatikan doa yang Nabi Ibrahim titipkan ini. 

"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-MU dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh, ENGKAUlah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana." 
[Al-Baqarah, 2:129]

Dari sini kita boleh lihat bahawa Nabi Ibrahim berdoa kepada ALLAH memohon untuk diutuskan para rasul kepada setiap umat untuk melaksanakan 3 perkara:
1. Tazkir (Membacakan dan mengingatkan ayat-ayat ALLAH)
2. Ta'alim (Mengajarkan)
3. Tazkiyah (Menyucikan)

Bagaimana untuk kita menyucikan hati kita? 
1. Solat 
- Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH di akhirat kelak. Untuk itu kita   perlu menjaga solat kita agar ia diterima oleh ALLAH.
- Solat itu bukanlah dilaksanakan tetapi didirikan. 
- Kita perlu menghayati setiap perbuatan kita sewaktu mendirikan solat demi untuk mendapatkan       kekhusyukan hati.
- "Al awwal 'ilm yarfu' minal ardh al khusyuk." (Ilmu yang pertama yang diambil dari dunia itu ialah   khusyuk.)
- Bersamalah kita berusaha memperbaiki mutu solat kita supaya kita mendapat khusyuk di dalam       solat. 

2. Saum (Puasa) 
- Kita boleh membelenggu hawa nafsu kita dengan berpuasa.
- Hati kita akan terjaga, kemaluan kita akan terpelihara dan mulut kita juga akan kita hindarkan dari mengucapkan perkara yang sia-sia saat berpuasa.
- Semoga dengan mengamalkan puasa sunat Isnin-Khamis, puasa sunat pada hari putih (13,14,15) pada setiap bulan, kita dapat menyucikan jiwa dan mendidik hati kita ke arah kebaikan. 

3. Zakat dan Infak
- Kita perlu ingat dan perlu tahu bahawa setiap harta milik kita ini bukanlah milik kita sebenarnya melainkan milik ALLAH yang hanya dipinjamkan buat kita.
- Untuk itu, tempat untuk kita menyimpan harta kita ini ialah kepada ALLAH. Bagaimana? Dengan mengeluarkan zakat dan berinfak serta bersedekah.
- Hati-hati kita akan dapat disucikan apabila kita berzakat dan berinfak.
- Amalan zakat dan infak ini juga akan menjauhkan kita daripada sifat kikir dan kedekut.

4. Haji dan Umrah
- Saya yakin dan percaya, setiap dari kita mempunyai impian dan keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. 
- Persiapkanlah diri kita sebaiknya untuk menunaikan haji dan umrah ini.
- Saat di sana nanti, jagalah solat awal waktu kita dan amalkanlah setiap doa yang telah dihafal. 

5. Bermuhasabah
- Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisabkan. Timbanglah amalanmu sebelum amalan kamu ditimbangkan."
- Muhasabah ini penting untuk kita menilai balik baik buruk setiap apa yang akan dan telah kita lakukan.
- Muhasabah itu perlu dibuat sebelum dan sesudah kita melakukan sesuatu perkara.
- Jangan pula dilupa untuk sentiasa memperbaharui niat kita agar setiap kebaikan yang kita lakukan itu tidak terpesong tujuannya. Niatlah di awal, di pertengahan dan di akhir perbuatan kita. Semoga kebaikan yang kita buat itu diterima ALLAH. Insyaa-ALLAH.
- Muhasabah ini luar biasa sekali kesannya kepada kita. Cuba dan amalkanlah, anda pasti akan merasainya. Insyaa-ALLAH.

6. Zikir dan Fikir
- "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah ENGKAU menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci ENGKAU, lindungilah kami dari azab neraka."[Ali Imran, 3:190-191]
- Berfikir dan bertafakur ini mampu menyucikan hati-hati kita.
- Kita boleh telusuri kisah Nabi Ibrahim yang merenungkan keindahan dan kejadian alam ini untuk mencari siapakah penciptanya. Betapa sikap kritis Nabi Ibrahim yang memikirkan kejadian alam ini perlu kita contohi.
- Berfikir tentang sakaratul maut dan kehidupan selepas mati juga boleh menyucikan hati kita. 

7. Membaca Al-Quran
- Kita boleh membersihkan dan menyucikan hati dengan membaca ayat-ayat cinta ALLAH ini. 
- "Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-NYA kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal,"[Al-Anfal, 8:2]
- Bacalah al-Quran dengan hati. 
- Bacalah maksudnya sekali untuk lebih memahami dan menghayati setiap maknanya.

8. Zikrul Maut (Mengingati Mati)
- Ingatlah bahawa apabila kita meninggal, apa yang kita akan bawa hanyalah amalan kebaikan sahaja. Segala yang lain akan kita tinggalkan.
- Biasakan diri untuk mengingati mati saat sebelum tidur dan saat bangun dari tidur. 
- Hayatilah setiap bait doa sebelum tidur dan doa selepas tidur itu. 

Cara untuk mengekalkan diri dalam penyucian jiwa
1. Muraqabatullah - Sentiasa merasakan bahawa setiap saat, setiap perbuatan kita, ALLAH sentiasa memerhatikan kita.
2. Muahadah - Memberikan sepenuh komitmen dan berazam dengan setiap kebaikan yang kita lakukan. 
3. Muhasabah - Evaluasi diri kita dengan setiap amalan yang kita lakukan.
4. Mu'aqabah - Menghukum diri kita saat kita meninggalkan amalan kebaikan. Contohnya, mendenda diri kita solat Dhuha 12 rakaat jika tertinggal tahajud. 
5. Mujahadah - Bersungguh-sungguh dengan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.

Perkongsian ini untuk diri saya sendiri juga sebenarnya. Bersama-samalah kita menerapkan tazkiyatun nafs dalam diri. Bersama kita menyucikan diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. Insyaa-ALLAH.

Semoga bermanfaat. Semoga ALLAH redha dengan setiap perbuatan kita. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Posted by Nadzipah 
http://aim4daendlessliving.blogspot.com/2012/12/tazkiyatun-nafs-penyucian-jiwa.html

Jumaat, 2 Mei 2014

Kata Kata Mutiara Islami Tentang Kehidupan


Seandainya para raja dan para pembesar (pemerintah) mengetahui kegembiraan dan kenikmatan yang kita rasakan (ketika menuntut ilmu dan beribadah kepada Allah), niscaya mereka akan merampas apa yang kita rasakan tersebut dengan tebasan pedang. 
( Ibrahim bin Adham )

Berteman dengan orang bodoh yang tidak mengikuti ajakan hawa nafsunya adalah lebih baik bagi kalian, daripada berteman dengan orang alim tapi selalu suka terhadap hawa nafsunya. 
(Ibnu Attaillah as Sakandari)

Orang yang suka berkata jujur akan mendapatkan 3 hal, iaitu : Kepercayaan, Cinta, dan Rasa Hormat.
 (Ali bin Abi Thalib)

Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu akan menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) sedangkan harta terhukum. Kalau harta itu akan berkurang apabila dibelanjakan, tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.
 (Ali bin Abi Thalib)

Orang yang paling aku sukai adalah dia yang menunjukkan kesalahanku. 
(Umar bin Khattab)

Takutlah kamu akan perbuatan dosa di saat sendirian, di saat inilah saksimu adalah juga hakimmu. (Ali bin Abi Thalib)

Niat adalah ukuran dalam menilai benarnya suatu perbuatan, oleh kerananya, ketika niatnya benar, maka perbuatan itu benar, dan jika niatnya buruk, maka perbuatan itu buruk. 
(Imam An Nawawi)

Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Saya memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar. 
( Umar bin Khattab )

Khamis, 1 Mei 2014

PeSaNaN ULaMak


"Cintailah orang soleh, kerana mereka memiliki kesolehannya, cintailah Nabi Muhammad s.a.w., kerana baginda kekasih Allah SWT dan cintailah Allah SWT, kerana dia kecintaan Nabi dan orang soleh."
(Imam Syafie)

Biarkan hari-hari itu melakukan apa saja,
Bertenanglah bila qada menjatuhkan hukuman,
Jangan tersentak dengan peristiwa duka malam hari,
Peristiwa di dunia ini sebenarnya tidak lama.
(Syair Imam Syafie)

Aku akan menjelajah ke segenap pelusuk negeri
Aku tidak menghiraukan sama ada cita-citaku
tercapai atau aku mati keseorangan
Jika ku binasa atau mati maka segala-galanya
terserah kepada Allah
Dan jika ku terselamat tidak lama aku akan kembali.
(Syair Imam Syafie)

Isnin, 28 April 2014

GoLoNgAn KuFuR MeNeNTAnG KeBeNaRaN

Golongan kufur menentang kebenaran -Oleh Ahmad Shukri Posted by epondok  
Gambar hiasan

Kafir terbahagi dua, beriman selepas dapat petunjuk, ingkar peringatan demi kuasa

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang yang berjaya. Sesungguhnya orang kafir (yang tidak akan beriman), sama saja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.” (Surah al-Baqarah, ayat 5-7)

Pada ayat kelima surah al-Baqarah ini, Allah SWT menjelaskan, orang yang mempunyai sifat takwa seperti beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat, menafkahkan harta ke jalan-Nya, beriman dengan apa yang diturunkan ke atas rasul, percaya hari akhirat, mereka sentiasa mendapat petunjuk atau cahaya daripada Allah SWT dan termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.
Dalam tafsir Jalallain, maksud orang yang berjaya itu ialah orang yang berjaya mendapatkan syurga dan terlepas daripada seksaan api neraka. Ungkapan ‘mereka itulah’ disebut dua kali dalam ayat bermaksud sama iaitu merangkumi orang Mukmin daripada golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab.

Gambaran orang kafir
Pengulangan itu menunjukkan orang beriman yang berasal daripada kedua-dua golongan itu sama-sama memperoleh petunjuk di sisi Allah SWT. Setelah Allah SWT menceritakan sifat orang Mukmin dan pembalasan bakal diperoleh di akhirat, ayat berikutnya memberi gambaran sebaliknya bagi orang kafir.

Ungkapan orang kafir dalam ayat itu bermaksud orang yang mempunyai sifat kafir yang sebati dalam dirinya sehingga tidak mahu menerima keimanan. Justeru, mereka mengingkari segala ajaran dibawa oleh Nabi SAW meskipun mereka telah diberi penjelasan berdasarkan dalil yang rasional.
Malah, mereka menghadapi semua perdebatan itu dengan keingkaran dan penghinaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (Surah al-Baqarah, ayat 28)

Begitulah persoalan yang dilontarkan Allah SWT dan mereka tidak mampu memberi jawapan kerana Dialah Allah yang mencipta dan menjadikan manusia. Tiada manusia yang boleh mendakwa dia boleh mencipta dirinya dan mencipta orang lain.

Dua golongan kafir

Mereka yang dikatakan kafir ini terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang kufur kepada Allah, tetapi apabila datang petunjuk, dia menggunakan pemikirannya dan mengetahui itu adalah kebenaran, lalu dia beriman.

Golongan kedua pula ialah yang mendapat faedah keduniaan daripada kekufurannya. Justeru, apa saja peringatan, dalil dan bukti yang jelas nyata, dia tetap berdegil untuk terus mengingkarinya kerana ingin menjaga kuasa, kedudukan serta pengaruh yang dibina atas kezaliman dan keangkuhan.

Mereka kufur bukan kerana dakwah tidak sampai atau rasul dan nabi tidak memimpin mereka ke jalan yang lurus, tetapi mereka menjadikan kekufuran sebagai manhaj kehidupan. Mereka inilah yang mendapat faedah daripada kekufuran yang menjadikan mereka pemimpin.

Bagi orang kufur, jika mereka menerima dakwah Rasul, sudah tentu mereka akan menjadi manusia biasa kerana Islam tidak membezakan manusia melainkan dengan takwa dan amal soleh. Lantaran itu, sama ada Rasulullah SAW mengingatkan ancaman seksa atau tidak, ia sama saja.

Sudah menjadi Sunnatullah, mereka yang terjebak dalam kekafiran, pasti hati, penglihatan dan pendengaran akan tertutup mati, sehingga tidak lagi mahu menerima keimanan. Justeru, Allah SWT telah menetapkan seksaan yang pedih bagi mereka pada hari pembalasan.

Sementara itu, di dunia ini pula mereka menerima penghinaan dan kelemahan seperti disebut dalam firman-Nya yang bermaksud: “Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Surah al-Baqarah, ayat 114)

Apabila hati seseorang sudah menjadi buta untuk melihat keperluan beriman kepada Allah dan Rasul, maka tidak ada lagi mata yang boleh melihat ayat-ayat keimanan, tidak ada lagi telinga yang mampu mendengar ayat-ayat Allah SWT.

Antara faktor menyebabkan mereka kufur ialah menentang kebenaran walaupun mereka mengetahui.

Golongan dikategorikan dalam golongan ini ialah orang musyrik dan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Alwalid Ibnu Al-Mughirah dan pendeta Yahudi.

Bersikap sombong, abai kebenaran

Mereka bersikap sombong serta mengabaikan kebenaran, golongan ini sebenarnya terdapat di setiap tempat dan zaman. Antara keagungan Allah SWT ialah Dia Maha Mengetahui siapa yang beriman dan siapa sebaliknya tanpa Allah SWT masuk campur dalam pilihan mereka.

Ketika Allah SWT mengutus Nabi Nuh selama 950 tahun, sebelum datangnya taufan dan banjir besar, Allah SWT mengetahui tidak ramai akan beriman. Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh untuk membina bahtera bagi menyelamatkan orang Mukmin daripada banjir besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita mengenai apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (mengenai cara membuatnya).” (Surah Hud, ayat 36-37)

Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang akan mati dalam keadaan kekufuran, tetapi mengapa Allah SWT meminta daripada Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan Islam kepada mereka?

Jawapannya ialah supaya manusia yang enggan beriman itu tidak boleh berhujah di akhirat bahawa sewaktu mereka di dunia dulu, mereka tidak didatangi oleh Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka.

http://epondok.wordpress.com/2014/04/28/golongan-kufur-menentang-kebenaran/


Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

Gambar hiasan sahaja
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani berkata :

“Tetaplah engkau untuk sentiasa redha dengan Allah, dalam keadaan petaka atau sengsara, dalam keadaan miskin atau kaya, dalam keadaan susah atau senang, dalam keadaan sihat atau sakit, dalam keadaan buruk atau baik, ketika memperoleh yang engkau kehendaki atau tidak. 

Aku tidak tahu ubat apa yang sesuai untukmu, selain daripada menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah yang Al-Haq. Jika Dia menetapkan sesuatu yang merugikan kamu, janganlah kamu benci kepada-NYA serta jangan pula kamu menjauhkan diri daripada-Nya.Kerana semua itu adalah ujian dan cubaan terhadapmu.

Opick - Dealova 2012 (+playlist)

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...