Sabtu, 18 Mei 2013

Kenali Nabi Muhammad s.a.w dan Cintai Nabi

Kenali Nabi Muhammad s.a.w dan Cintai Nabi
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN



TAK kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang selalu kita dengar yang menggambarkan bahawa cinta itu biasanya bermula dengan pengenalan. Keimanan yang sejati bukan sahaja dapat dilihat kepada keyakinan dan kepercayaan yang lahir daripada hati. Namun, dapat menghasilkan cinta yang hakiki sehingga sanggup berkorban untuknya.

Demikian juga keimanan kepada Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja akan melahirkan keyakinan terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda tetapi akan melahirkan kecintaan terhadap peribadi dan sahsiah, lantas akan membentuk ummah yang sentiasa mengikuti sunnah.

Apatah lagi kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan antara bukti kesempurnaan iman.

Daripada Anas ra katanya: “Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Golongan yang sering melemparkan tuduhan serta cacian kepada Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak mengenali atau tidak berhasrat untuk mengenali baginda.

Sebaliknya, bagi mereka yang mengkaji lebih mendalam, akan terpikat dan kagum dengan keperibadian baginda sehingga tidak tergamak untuk mencaci Baginda walaupun dengan sepatah perkataan sekalipun. (rujuk al-Taubah: 128)

Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia biasa yang diutuskan dalam kalangan kita. Baginda bukannya malaikat yang melangkaui batasan kemampuan manusia biasa sehingga tidak mampu dicontohi dan diteladani.

Walaupun baginda adalah manusia biasa, tetapi dikurniakan dengan keistimewaan tertentu yang membezakan baginda daripada manusia biasa seperti kita.

Antara keistimewaan Rasulullah SAW yang perlu kita hayati agar dapat meningkatkan lagi rasa cinta kepadanya ialah baginda ialah pilihan dan lantikan Allah SWT.

Sebagai peringatan kita bersama, Nabi Muhammad SAW bukan dipilih oleh manusia, sama ada melalui proses syura atau pilihan raya. Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman: Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (Thaha: 13)

Oleh itu, wajib kita yakin dan percaya bahawa baginda adalah manusia yang terbaik kerana menjadi pembawa dan penyampai kalam Allah SWT yang dipilih sendiri olehNya.

Mempertikaikan kerasulan baginda seolah-olah mempertikaikan pilihan yang telah dibuat oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW juga dibangkitkan sebagai penghulu bagi nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Telah menjadi syarat kepada keimanan kepada rasul iaitu dengan beriman dengan semua rasul yang diutuskan termasuklah Nabi Muhammad SAW.

Terdapat di kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabi-nabi terdahulu, namun enggan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW.

Maka, keimanan tersebut tidak diiktiraf oleh Allah SWT kerana tidak lengkap. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai penutup kepada nabi dan rasul.

Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka kagum terhadapnya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi. (riwayat Muslim)

Mukjizat adalah sesuatu yang berlaku kepada para Nabi di luar adat dan kebiasaan manusia biasa.

Ia dikurniakan oleh Allah SWT untuk membuktikan kebenaran risalah yang dibawa dan untuk memeliharanya dari halangan musuh-musuh.

Semua nabi dan rasul dikurniakan dengan mukjizat. Antara mukjizat yang terkenal ialah tongkat Nabi Musa as yang bertukar menjadi ular, Nabi Isa as yang boleh menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit buta, mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh berkomunikasi dengan jin dan binatang.

Namun, semua mukjizat tersebut hanya tinggal sejarah dan tidak dapat dilihat lagi pada masa ini.

Hanya satu sahaja mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia dipelihara oleh Allah SWT.

Tidak terkira bilangan orang yang telah memeluk agama Islam hanya dengan membaca terjemahan Al-Quran.

Apatah lagi sekiranya mengkaji rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya yang mendahului zaman, sains dan teknologi.

Sampai hari kiamat, al-Quran terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja. (rujuk al-Isra’: 88)

Baginda juga terlalu kasih kepada umat dan kita perlu sedar bahawa kehidupan Nabi SAW semuanya diinfakkan untuk kebaikan umat baginda.

Tidak pernah sedetik pun yang dilalui oleh baginda kecuali akan difikirkan tentang nasib umatnya. Bahkan, sebelum dijemput pulang oleh Allah SWT,

Baginda masih lagi menyebut “Umatku, umatku”. Bahkan, Nabi SAW akan menggunakan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya untuk membantu umatnya di Akhirat kelak.

Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap Nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

Berapa banyak peristiwa kekejaman yang berlaku terhadap baginda. Namun, Baginda SAW tidak pernah berdendam. Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Baginda SAW telah membebaskan seluruh kafir Quraisy Mekah walaupun mereka pernah menganiaya Baginda dan para sahabat ra.

Demikianlah beberapa bukti kehebatan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, kekaguman kepada kehebatan ini tidak cukup, melainkan ia perlu disusuli dengan rasa kasih dan cinta kepada Baginda SAW.

Sumber : http://epondok.wordpress.com/2013/02/09/kenali-nabi-muhammad-s-a-w-dan-cintai-nabi/

Jumaat, 17 Mei 2013

CaTaTaN

Gambar hiasan
Perkongsian dari kuliah Maghrib tadi :
Bab Tumbuh-tumbuhan.
1. Buah-buahan mengandungi berkat kerana telah 'diratibkan' oleh malaikat.

2. Setiap tumbuhan di ladang/kebun ALLAH SWT turunkan 1000 malaikat memberkati tumbuhan itu.

3. Buah-buahan masak diratib 3000 malaikat.

4. Buah-buahan masak bercabang-cabang untuk dituai diratib 6000 malaikat.
5. Tumbuh-tumbuhan mendatangkan berkat, orang-orang mukmin sahaja mendapat berkat lebih-lebih lagi dengan lafaz Bismillah.

Khamis, 16 Mei 2013

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani - Petikan Menjadi Kekasih ALLAH

Gambar hiasan
"Batin tak ubahnya bagaikan raja, manakala hati adalah sebagai perdana menteri, sedangkan nafsu, lisan dan anggota tubuh lainnya adalah pelayan. Batin mencari air dari lautan ALLAH, hati mendapat sumber dari batin, nafsu yang baik mencari sumber dari hati, lisan mendapat sumber dari nafsu tersebut dan semua anggota tubuh lainnya mendapat sumber dari lisan.

APABILA lisan baik, maka baiklah hati, APABILA lisan itu rosak, maka haati akan menjadi buruk."
(Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani- mkA pg411 )


Rabu, 15 Mei 2013

Bilakah Hari Kiamat?

Bilakah hari Kiamat?
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Gambar hiasan

Kejadian gempa bumi yang berlaku adalah sebahagian daripada bukti kekuasaan ALLAH, sekali gus mengatasi kecanggihan teknologi moden masa kini.

SURAH ini diturunkan selepas surah al-Qari’ah. Keseluruhan ayatnya berjumlah 40 ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makkiah.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya, bahawa di dalam surah sebelumnya ada menyebutkan tentang firman ALLAH SWT yang bermaksud: Sebenarnya (bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil) bahkan mereka (tidak percaya) dan tidak takut akan hari akhirat.
(al-Mudassir: 53)

Mereka tidak berasa takut dengan kedatangan hari akhirat itu disebabkan keingkaran tentang kebangkitan semula.

Manakala dalam surah ini pula terdapat dalil tentang hari kebangkitan yang disebutkan dengan cara yang sempurna sehingga digambarkan hari Kiamat itu dengan segala kengeriannya.

Kemudian digambarkan pula apa yang berlaku sebelum terjadinya hari Kiamat, iaitu keluarnya roh dari badan. Dan disebutkan juga apa yang berlaku sebelum itu iaitu penciptaan yang pertama.

Firman ALLAH SWT: Aku bersumpah demi hari Kiamat. Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri). (al-Qiyamah: 1-2)

Al-Farra’ berkata: “Tidak ada nafsu yang baik dan buruk kecuali ia mencela dirinya. Jika ia mengerjakan kebaikan, ia mengatakan ‘mengapa aku tidak memperbanyakannya’. Sebaliknya jika ia mengerjakan keburukan, ia mengatakan ‘seandainya aku tidak melakukannya’. Gambaran ini menunjukkan pujian terhadap jiwa dan boleh bersumpah dengan jiwa.”

Sumpah ALLAH SWT dengan hari Kiamat itu untuk membesarkan dan menghormati keadaannya. ALLAH SWT sahaja boleh bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya daripada makhluk-Nya.

Said Ibnu Jubair berkata: “Aku bertanya kepada Ibnu Abbas tentang firman ALLAH SWT: Aku bersumpah dengan hari Kiamat. Dia menjawab: Tuhanmu bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya daripada makhluk-Nya.”

Qatadah berkata: ” Aku bersumpah dengan keduanya secara keseluruhan.”

Ibnu Jarir berkata: “Yang lebih dekat dengan lahiriah ayat bahawa jiwa mencela pemiliknya atas kebaikan dan keburukan serta menyesali segala perkara yang telah berlalu.”

Firman ALLAH SWT: Apakah manusia mengira, bahawa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? Bukan demikian, sebenarnya kami kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (al-Qiyamah: 3-4)

Al-Maraghi berkata: “ALLAH SWT dapat mengumpulkan semua tulang-temulang, menyusun dengan sempurna dan mengembalikan seperti dalam keadaan asal selepas tulang-temulang itu bercerai-berai dan bertebaran di dasar lautan atau di padang pasir yang luas, mahupun di mana-mana tempat. ALLAH SWT juga dapat meratakan hujung kedua-dua tangan dan kakinya. ALLAH SWT jadikan kedua-duanya itu menjadi satu, seperti kuku unta, keldai dan sebagainya.”

Ibnu Kathir berkata: “Apakah pada hari Kiamat kelak manusia akan mengira bahawa Kami (ALLAH) tidak akan mampu mengembalikan sekali gus dan mengumpulkan tulang-belulangnya dari tempat yang terpisah-pisah?”

Said bin Jubair dan al-’Aufi berkata daripada Ibnu Abbas: “Kami (ALLAH) mampu membuatnya beralas kaki ataupun tidak beralas kaki.”

Sayid Qutub berkata: “Yang menjadi masalah kesedaran kaum musyrikin ialah kesulitan mereka untuk memikirkan kemungkinan tulang-tulang yang telah hancur reput di dalam tanah itu dapat dikumpulkan kembali untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati. Mungkin masalah ini masih menjadi masalah kepada setengah-setengah manusia sehingga hari ini.”

Ayat ini juga menerangkan tentang proses penyusunan semula jari-jari yang merupakan proses pembentukkan semula seseorang manusia dengan sehalus-halus dan serapi-rapinya. Dan penyusunan semula itu dilakukan dengan sempurna.

Firman ALLAH SWT: Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus.
(al-Qiyamah: 5)

Al-Maraghi berkata: “ALLAH SWT beralih daripada perbincangan tentang orang yang berprasangka itu, kepada pemberitahuan tentang keadaan orang yang berprasangka tadi, seolah-olah dikatakan: “Tinggalkan mencacinya kerana dia telah sampai kepada tahap, dia ingin meneruskan kemaksiatannya pada masa akan datang dan tidak ingin meninggalkannya.”

Said mengatakan daripada Ibnu Abbas: Iaitu berjalan terus.

Al-Aufi mengatakan daripada Ibnu Abbas juga iaitu angan-angan.

Manusia berkata: “Aku akan melakukan ini dan kemudian akan bertaubat sebelum hari kiamat.”

Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibnu Abbas iaitu orang kafir yang mendustakan hari perhitungan.

Firman Allah SWT: Ia berkata: Bilakah hari kiamat itu? (al-Qiyamah: 6)

Menurut Al-Maraghi, mereka mengingkari hari kebangkitan lantaran dua perkara berikut:

1. Kekaburan yang wujud dalam pemikiran, seperti ucapan mereka yang mengatakan bahawa anggota tubuh ini, apabila telah bercerai-berai dan bercampur-aduk dengan tanah serta berserakan di bahagian timur dan barat bumi, maka bagaimana mungkin untuk dibeza-bezakan dan dikembalikan semula keadaannya yang asal itu.

2. Sentiasa ingin berada dalam kenikmatan dan suka menurut nafsu syahwat sehingga orang tidak mahu mengakui kedatangan hari perhimpunan dan kebangkitan, supaya kenikmatannya itu tidak terganggu.

Ibnu Kathir berkata: ” Dia bertanya, bilakah hari Kiamat itu tiba? Pertanyaan ini menuju ke arah menganggap mustahil berlaku kejadian hari Kiamat dan mendustakan keberadaannya.”

Sayid Qutub berkata: “Pertanyaan dengan menggunakan kata-kata ayyana (bilakah) yang bernada panjang itu menyarankan betapa jauhnya bagi mereka kemungkinan berlakunya hari Kiamat itu. Ini sesuai dengan keinginan mereka untuk terus melakukan kejahatan dan maksiat tanpa diganggu dan dihalang oleh bayang-bayang kebangkitan semula atau bayang-bayang akhirat. Sebenarnya akhirat itu merupakan pengawal nafsu kejahatan dan penghalang hati yang ingin melakukan maksiat, sedangkan manusia mahu menghapuskan pengawal dan penghalang ini supaya mereka bebas melakukan kejahatan dan maksiat tanpa memperhitungkan hari hisab.”

Dalam surah yang kita bincangkan di atas jelas menunjukkan betapa berkuasanya Tuhan di dalam mengatur kejadian dan ciptaan-Nya yang Maha Agung. ALLAH SWT boleh melakukan apa sahaja, sedangkan manusia dengan sifatnya yang lemah kadang-kadang terbabas dalam melayari bahtera kehidupan sehingga melanggar perintah dan arahan ALLAH.  Semoga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa taat dan patuh terhadap perintah-Nya.

http://pondokhabib.wordpress.com/2012/05/31/bilakah-hari-kiamat/

Isnin, 13 Mei 2013

Dr.Gary Miller ?



Dr. Gary Miller merupakan seorang pendakwah yang sangat aktif dan sangat berpengetahuan tentang kitab Bibble. Dia mempunyai pengetahuan akan ilmu matematik yang bagus, itulah sebabnya dia suka berfikiran logik. Pada suatu hari, beliau memutuskan untuk membaca al-Quran untuk cuba mencari apa-apa kesilapan yang boleh dicari untuk dijadikan asbab untuk mengajak umat Islam untuk menukar keimanan kepada agama Kristian. Beliau menjangka Al-Quran untuk menjadi sebuah buku lama bertulis 14 abad yang lalu, sebuah buku yang bercakap tentang padang pasir dan sebagainya. Beliau kagum daripada apa yang dia dijumpai.

Dr. Gary Miller menemukan bahawa Al-Quran ini mempunyai sesuatu apa yang kitab-kitab lain tidak punyai di dunia ini. Beliau menjangkakan untuk mencari cerita-cerita tentang masa yang sukar Nabi Muhammad (saw) telah hadapi, seperti kematian Khadijah isteri baginda atau kematian anak-anak baginda. Walau bagaimanapun, beliau tidak menjumpai apa-apa seperti itu dan apa yang membuat Dr. Gary lebih keliru adalah bahawa dia menemukan surah di dalam Al-Quran yang dinamakan "Mary" ( Surah Al-Maryam ) yang mengandungi banyak berkenaan dengan Maryam yang tidak ada walaupun di dalam Kitab yang ditulis oleh orang Kristian atau di dalam Bible. Dia tidak menjumpai surah dinamakan sempena "Fatimah" (anak nabi) atau "Aishah" (isteri Rasulullah saw), Beliau juga mendapati bahawa nama Isa (a.s) juga telah disebut di dalam Al-Quran 25 kali manakala nama "Muhammad" (saw) hanya disebut sebanyak 5 kali sahaja, dan ini membuat Dr.Gary menjadi lebih keliru. Dia mula membaca Al-Quran dengan lebih teliti dengan harapan untuk mencari kesilapan tetapi dia terkejut apabila dia membaca ayat yang Agung ayat ke 82 dalam Surah Al-Nisa'a (Wanita) yang bermaksud:

“…Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak didalamnya…”( An Nisa : 82 )

Dr Miller berkata tentang ayat ini:

"…Salah satu prinsip saintifik yang terbaik adalah prinsip mencari kesilapan atau mencari kesilapan didalam teori sehingga ia terbukti benar (Ujian Pemalsuan). Apa yang menakjubkan ialah Al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan dalam buku ini dan ia memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan menjumpai kesilapannya di mana-mana ... “

Beliau juga berkata tentang ayat ini:

"…Tidak ada penulis di dunia mempunyai keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa ia adalah sifar dari kesilapan, tetapi al-Quran, sebaliknya, memberitahu kita semua bahawa Ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta kita untuk mencuba untuk mencari dan pasti kita tidak akan menjumpainya…”

Satu lagi ayat yang ditunjukkan untuk masa yang panjang adalah ayat 30 dalam Surah "Al-Anbiya '(Nabi-nabi):

“..Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?..”( Al-Anbiya : 30 )

Dia berkata: "Ayat ini merupakan teras utama penyelidikan saintifik yang memenangi Hadiah Noble pada tahun 1973 mengenai teori" Great Explosion ". Menurut teori ini, alam semesta adalah hasil daripada suatu letupan yang besar yang membawa kepada pembentukan alam semesta yang mempunyai langit dan planet-planet

Dr Miller berkata: "Sekarang kita sampai kepada apa yang menakjubkan tentang Nabi Muhammad (SAW) dan ura-ura mengenai sang syaitan membantunya dalam menghasilkan Al-Quran, Allah swt berfirman..

“ Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan. Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya. Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat “( Asy-Syu’araa': 210-212 )

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.( An-Nahl :98)

Tidakkah anda melihat? Adakah ini caranya syaitan menulis sesebuah kitab? Bagaimana Baginda boleh menulis Al Quran kemudian memberitahu ummatnya untuk meminta kepada Tuhan untuk perlindungan dari syaitan sebelum membaca Al Quran? Ini adalah ayat-ayat ajaib dalam kitab yang ajaib! dan Ia mempunyai jawapan yang logik untuk orang-orang yang berfikir secara sambilewa bahawa Ia adalah dari
syaitan .."

Dan di antara cerita-cerita yang membuatkan kekaguman Dr Miller adalah kisah Nabi (SAW) dengan Abu Lahab. Dr Miller berkata:

" …Dia (Abu Lahab) yang sangat membenci Islam akan pergi kepada Nabi di mana sahaja Baginda pergi untuk memalukan baginda. Jika dia melihat Nabi bercakap dengan orang yang tidak dikenali, dia akan menunggu sehingga baginda selesai dan kemudian bertanya kepada mereka: Apa yang Muhammad memberitahu anda? Jika baginda berkata ia putih maka ia adalah hitam dan jika beliau berkata ia adalah malam maka ia adalah siang. Dia bertujuan untuk memalsukan semua apa yang Nabi kata dan untuk membuat orang yang curiga kepada baginda. Dan 10 tahun sebelum kematian Abu Lahab, sebuah surah telah diilhamkan kepada Nabi, yang dinamakan "Al-Masad". Surah ini menceritakan bahawa Abu Lahab akan masuk neraka, dalam erti kata lain, Ia mengatakan bahawa Abu Lahab tidak akan memeluk agama Islam.

Selama 10 tahun, Abu Lahab boleh berkata: "Muhammad mengatakan bahawa saya tidak akan menjadi seorang Muslim dan saya akan pergi ke neraka, tetapi saya memberitahu anda sekarang bahawa saya mahu menukar kepada Islam dan menjadi seorang Muslim. Apa yang anda fikir mengenai Muhammad ini? Adakah dia( baginda s.a.w )mengatakan kebenaran atau tidak? Adakah surah ini datang dari Allah? ". Tetapi Abu Lahab tidak berbuat demikian ( memeluk Islam ) walaupun dia mengingkari Nabi di dalam semua perkara, tetapi tidak dalam perkara ini ( kekafiran Abu Lahab di dalam surah Al Masad ). Dalam erti kata lain, baginda telah memberi Abu Lahab peluang untuk membuktikan baginda salah! Tetapi Abu Lahab tidak melakukan apa-apa sepanjang 10 tahun!

Dia tidak memeluk agama Islam dan tidak juga berpura-pura menjadi seorang Muslim! Sepanjang 10 tahun, dia mempunyai peluang untuk menghancurkan Islam dalam satu minit! Tetapi ini tidak berlaku kerana ini(Al Quran) bukanlah kata-kata Muhammad (SAW), tetapi kata-kata Tuhan yang Mengetahui apa yang tersembunyi dan Mengetahui bahawa Abu Lahab tidak akan menjadi seorang Muslim.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal “( Al Masad: 1-5 )

Dr Miller berkata tentang ayat yang membuatkan dia kagum kepada Al Quran
“.. Salah satu keajaiban dalam Al-Quran adalah sesuatu yang mencabar masa depan dengan perkara-perkara yang manusia tidak boleh ramalkan dan "Ujian Pemalsuan" digunakan , ujian ini terdiri daripada mencari kesilapan sehingga perkara yang sedang diuji terbukti betul. Sebagai contoh, mari kita lihat apa kata al-Quran mengenai hubungan antara orang Islam dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi umat Islam dan ini adalah benar. Sehingga kini ,musuh utama umat Islam adalah orang-orang Yahudi.

Dr Miller meneruskan:
“.. Ini dianggap satu cabaran yang besar kerana orang-orang Yahudi mempunyai peluang untuk merosakkan Islam hanya dengan bergaul dengan orang Islam dengan cara yang mesra untuk beberapa tahun dan kemudian berkata: di sini kita bergaul dengan anda sebagai kawan dan Al-Quran mengatakan bahawa kita adalah musuh,Al-Quran ini salah! Tetapi ini tidak berlaku pada 1400 tahun! dan ia tidak akan berlaku kerana ini adalah firman dari Tuhan Yang Esa yang Maha Mengetahui bukannya kata-kata manusia.

Dr Miller meneruskan:
“..Bolehkah anda melihat bagaimana ayat yang menceritakan akan permusuhan antara orang Islam dan orang-orang Yahudi merupakan satu cabaran kepada minda manusia?..”

“..Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani”. Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong...."

"...Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w). Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh..."

Ayat ini menyentuh hati Dr Miller kerana dia merupakan seorang Kristian tetapi apabila dia mengetahui kebenaran, dia beriman dan memeluk agama Islam lalu menjadi tumpuan . Semoga Allah merahmati beliau.

Dr Miller berkata tentang gaya unik al-Quran yang dia dapati adalah sangat indah. Tidak syak lagi ada sesuatu yang unik lagi mengagumkan di dalam al-Quran yang tidak wujud di mana-mana sahaja, kerana al-Quran memberikan anda maklumat khusus dan memberitahu anda bahawa anda sesuatu yang tidak anda ketahui. Sebagai contoh

Demikianlah dari berita¬-berita ghaib yang kami wahyukan kepada engkau (wahai Muhammad ), dan tidaklah engkau beserta mereka seketika mereka membuang undi tentang siapa diantara mereka yang akan mengasuh Maryam, dan tidak ada engkau di dekat mereka seketika mereka berbantah .
( Ali-Imran : 44 )

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahikan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.( Surah Hud: 49 )

(Kisah Nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita- berita yang ghaib yang Kami wahikan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi), dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).(Surah Yusuf: 102 )

Dr Miller meneruskan: "Tidak ada kitab suci lain yang menggunakan kaedah ini, semua kitab-kitab yang lain terdiri daripada maklumat yang memberitahu anda di mana maklumat ini datang. Sebagai contoh, apabila Bible menceritakan kisah-kisah daripada negara-negara purba, Ia memberitahu anda bahawa raja ini tinggal di tempat ini dan seorang pemimpin yang berjuang dalam peperangan itu, dan bahawa orang tertentu mempunyai beberapa kanak-kanak dan nama-nama mereka. Tetapi buku ini (Bible) sentiasa memberitahu anda bahawa jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh membaca buku tertentu kerana maklumat itu datang dari buku tertentu ".

Dr Garry Miller meneruskan: "Ini adalah bertentangan dengan Al-Quran yang memberi anda maklumat dan memberitahu anda bahawa ia adalah baru! Dan apa yang menakjubkan adalah orang-orang Mekah pada masa itu tidak pernah mendengar ayat-ayat ini dan ia menjadi cabaran bahawa isi di dalam ayat-ayat ini baru dan tidak diketahui oleh Muhammad (SAW) atau oleh orang-orang cerdik pandai ketika masa itu, dan walaupun demikian, mereka tidak pernah berkata:

“.. Kita tahu ini dan ia bukanlah sesuatu yang baru, dan mereka tidak mengatakan: Kita tahu dari mana Muhammad datang dengan ayat-ayat ini..”

Ini tidak pernah berlaku, tetapi apa yang berlaku adalah tiada siapa yang berani untuk mengatakan bahawa baginda telah berbohong kepada mereka kerana mereka meyakini ini ialah sesuatu yang baru, tidak datang dari minda manusia tetapi dari Allah yang Mengetahui yang Ghaib pada masa lalu, masa kini dan masa depan.

Download Dr Gary Miller (Now Dr Abdul Ahad) work "The Amazing Quran" dari link ini http://www.thetruecall.com/downloads/AmazingQuran.pdf

Boleh baca dengan lebih lanjut ataupun dengarkan kuliahnya di..
http://www.discoveringislam.org/dr_gary_miller.htm

Sabtu, 11 Mei 2013

TINGGINYA SIFAT KASIHSAYANG RASULULLAH

TINGGINYA SIFAT KASIHSAYANG RASULULLAH
Emak meow yang garang ..hi hi (Gambar Hiasan aje)
Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.

1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.

2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW.  Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.

3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke mana perginya si polan si polan itu…”

5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya.”

6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.

7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasulullah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.”

8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW.  Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.

9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW.  Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW,  setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.

10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dari tanganku?”

Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”

Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.

Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”

Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”

Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).

11. Rasulullah SAW sangat penyayang dengan anak-anaknya dan bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan isteri-isterinya, baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu kerja-kerja rumah dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.

12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.

13. Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk berhari raya.”


Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu, begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.


14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya Rasulullah SAW.  “Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar,” jawab budak itu.

Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita. Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam, barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”

Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, ” Tidak, ya Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

16. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.

17. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”

18. Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor kucing tidur atas serban Rasulullah SAW  Maka baginda menggunting bahagian tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika Rasulullah SAW melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di mukanya.

19. Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada beliau, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan mereka.” Rasulullah berkata, “Ya ALLAH  berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar).”

20. Satu ketika Abu Zar keluar bersama hamba sahayanya yang berpakaian seperti apa yang beliau pakai, lalu ada orang bertanya, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Abu Zar menjawab, beliau mendengar Rasulullah berkata: “Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di bawah kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan dengan apa yang dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan janganlah hamba itu disuruh melakukan pekerjaan di luar batas kemampuannya. Apabila mereka diperintahkan bekerja maka bantulah mereka.”

INILAH sebahagian daripada cerita-cerita sebagai bukti betapa pengasih dan pemaafnya Rasulullah SAW , model agung kecintaan yang paling unggul dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang zaman. Cerita-cerita itu menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW sama ada kepada manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam.

http://kisahteladan.info/rasulullah/sifat-kasih-sayang

Cinta ALLAH SWT Terhadap Hamba-Nya



Dalam Hadith Qudsi Nabi Muhammad saw bersabda bahwa ALLAH SWT berkata: “Kalau ALLAH SWT mencintai seorang hamba, maka beliau memanggil Jibril. “O Jibril! Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia. Lalu Jibril memanggil penghuni langit. “Wahai penghuni langit! Sesungguhnya ALLAH mencintai si fulan maka cintailah dia. Lalu penghuni bumipun mencintainya”

Siapakah Diantara Manusia Yang Dicintai Oleh ALLAH itu?

1. Attawabin Orang-orang yang bertaubat (2:222)
2. Almutatohirin Orang-orang yang suka bersuci (2:222)
3. Al-Muqsitin Orang-orang yang adil (5:42)
4. Al-Mutaqin Orang-orang yang taqwa (3:76)
5. Al-Muhsinin Orang-orang yang suka berbuat kebaikan (3:134)
6. Al-Mutawakilin Orang-orang yang bertawakal kepada ALLAH (3:159)
7. As-Sobirin Orang-orang yang sabar (3:146)

KISAH KAROMAH SYEIKH NAWAWI

Kisah Syeikh Nawawi Diarak Keliling Ka`Bah Kemasyhuran dan nama besar Syeikh Nawawi al-Bantani kiranya sudah tidak perlu diragukan lagi. Mel...