Jumaat, 25 Februari 2011

PESANAN IMAM HASAN AL-BANNA


Pesanan Al-Banna........
"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar
perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah
membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah."
Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.

Program tarbiyyah kedua yang terjelma melalui wasiat Hasan al-Banna
ialah perihal mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan al-
Quran, membaca buku-buku, mendengar ceramah agama, mengamalkan
zikrullah.

Pendek kata, Imam Hasan al-Banna tidak mahu anggota ikhwan atau
umat Islam itu akan terbuang waktunya walau sedikit pun dengan
perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di dalam surah al-Asr, disebutkan mengenai kerugian yang dikaitkan
dengan masa. Pada asalnya, semua manusia itu hidup sentiasa dalam
kerugian.

[1] Demi Masa!; [2] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; [3]
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula
berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Tetapi, antara mereka itu, ada beberapa golongan yang semakin
berkurangan kerugiannya dengan sebab amalan dan kepercayaan mereka
itu.

Pertamanya, mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah,
kitab-kitabNya, nabi dan malaikat serta kewujudan akhirat. Sesiapa
yang termasuk dalam golongan ini, maka mereka telah terlepas daripada
belenggu kerugian yang pertama.

Kedua, mereka yang beramal soleh, membuat kebajikan, membantu
meringankan beban, membuang kesusahan orang-orang yang memerlukan
bantuan dan sebagainya..

Ketiga, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah atas nama
kebenaran.

Keempat, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah dengan penuh
kesabaran..

Tetapi, awal kepada segala puncak kesedaran ini bermula apabila
seseorang Muslim itu mula memahami makna yang tersembunyi dan
terselit di dalam al-Quran.

Sesudah al-Quran menjadi kunci kepada pintu kesedaran seseorang
Muslim itu, Hasan al-Banna berpesan kepada kita supaya kerap membaca
buku-buku. Sudah tentu, buku ilmiah ini akan menuntut pergerakan
pemikiran kita ke arah laluan kebenaran.

Dengan pengetahuan, seseorang Muslim tidak akan tertipu. Buku-buku
ilmiah boleh juga kita dapati daripada ulasan-ulasan buku di majalah,
akhbar. Ringkasnya, hubungan orang Islam dengan buku itu wajib ada.

Sekiranya, tiada buku dijumpai, maka al-Banna menyeru kita pergi
mencari guru, ustaz yang menyampaikan ilmu, ceramah agama tempat
terbitnya segala buah fikiran baru.

Selanjutnya sumber-sumber ilmu lain selepas itu ialah usrah atau
perkumpulan kecil yang selalu membanyakkan ucapan-ucapan yang baik
didengar. Diskusi perkumpulan kecil ini juga perlulah dihadiri oleh
seseorang Muslim yang beriltizam dengan agamanya.

Dan, seterusnya Imam Hasan al-Banna berpesan kepada kita agar
mengamalkan zikir dan beriltizam menghabiskan ratib-ratib yang kita
mahu amalkan. Paling mudah seseorang itu boleh mengamalkan wirid al-
Mathurat, Wazifah as-Sughra jika tiada kesempatan.

Dengan amalan wirid wazifah al-Kubra dan as-Sughra inilah seseorang
itu akhirnya akan menggunakan masanya untuk membuat hal-hal kebaikan
secara tak langsung.

Lalu, dengan cara membaca al-Quran, memperuntukkan masa untuk
membaca buku atau berzikir, maka sepenuh kehidupannya terisi dengan
waktu-waktu yang indah serta masa yang berfaedah. Lalu, terelaklah
beliau menggunakan waktunya ke arah keburukan.

Kesimpulan

Maka, hendaklah setiap umat Islam itu membaca al-Quran. Tidak cuma
membaca. Yang paling penting ialah mereka mesti cuba memerhati
pesanan Tuhan di dalamnya.

Jangan dibiarkan hati mereka selalu kering dan akhirnya mati.
Basahkan dengan sejumlah wirid, ratib-ratib dan zikrullah yang biasa
diamalkannya. Hati yang sentiasa ada pertalian dengan Tuhan akan
sentiasa bersimbah ilmu, ilham dan pengetahuan yang baru.

Carilah ilmu walaupun sedikit. Masa yang terluang dengan tujuan
yang tidak munasabah hendaklah kita sifarkan sama sekali. Hidup
seorang Muslim itu sentiasa penuh dan padat dengan hal-hal yang
berguna kepada diri dan masyarakat sekitarnya.

Al-Quran itu adalah induk samudera ilmu. Akar pengetahuan dan
ranting hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia menjadi
pendinding kepada segala permasalahan dan ia akan berbicara kepada
kita.

Sampai kepada suatu saat, al-Quran akan menjadi suara yang akan
berbicara kepada jiwa kita dengan syarat kita memahaminya betul-betul
mengikut nahu bahasa Arab.

Lazimkanlah diri membaca, menghafal dan yang paling utama,
menghayati, merenungi setiap inci perkataannya dan lihat arahan
Tuhan. Lazimi lidah kita dengan berzikir atau hati kita mesti ikut
berzikir. Ketenteraman dan kedamaian akan menyelimuti kita


sama2 beramal dan memperingati Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...