Pada suatu hari ketika’Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar, tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban ala mini.
Sesudah memetik buah-buahan dia pun pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya sudah tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri. Sebaik dia sampai di daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali.
Di tapak atau bekas runtuhan itu terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu fikirannya mulai memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
“Bagaimanakah orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat”. Begitulah pertanyaan yang dating bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalaman, tetapi dia telah tertidur terus menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah banyak lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu segala-galanya sudah berubah, manakala ‘Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tiada bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.
Kemudian jasad ‘Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu di ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga ‘Uzair hidup kembali seperti dahulu. “Uzair lalu duduk dan terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur, lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya yang diletakkannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak lama kemudian, turun beberapa malaikat seraya bertanya” “Tahukah engkau ya ‘Uzair berapa lama engkau tertidur? Tanpa berfikir panjang ‘Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari”. Lalu malaikat pun berkata kepadanya: “Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Di sinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan hawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanak-makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, ia sendiri pun telah hancur, dagingnya sudah busuk”.
Berkata malaikat lagi: “Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati nanti di hari akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatan mereka. Hal ini diperlihatkan oleh Allah kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain itu tidak syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang hari akhirat itu”.
Setelah ‘Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka ‘Uzair pun berkata:”Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap suatu”. Tiba-tiba keldai yang sudah hancur dan bercerai berai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti mula, iaitu hidup kembali , bergerak dannberdiri sebagaimana sebelumnya. “Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya”. Lalu dia pun terus mengambil keldainya, menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali.
Dilihatnya segala-galanya telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun berjaya sampai ke rumahnya.
Sebaik saja dia sampai, dilihat rumahnya telah pun buruk. Dinding-dinding rumahnya habis runtuh. Ketika itu dia ternampak seorang perempuan tua, lalu dia pun bertanya “Inikah rumah ‘Uzair?”. “Ya!, jawab perempuan itu.
“Inilah rumah ‘Uzair dahulu, tetapi “Uzair telah lama pergi dan tiada didengari beritanya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja”,kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. “Sayalah ‘Uzair. Jawab ‘Uzair dengan pantas. “Saya sudah dimatikan Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang dihidupkan oleh Allah kembali.”
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata “’Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan Allah, dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat”. Sambungnya lagi, “Saya ini adalah hambanya sendiri, saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan ‘Uzair. Kalaulah tuan ini ‘Uzair, maka cubalah tuan doakan pada Tuhan supaya mata saya ini terang kembali dan dapat melihat wajah tuan”.
‘Uzair pun menadah kedua-duaa belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata perempuan tua itu pun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi.
Tubuhnya yang lemah dan tua itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah ‘Uzair dia terus berkata : “Benar, tuanlah ‘Uzair, saya masih ingat”.
Hambanya itu terus mencium tangan ‘Uzair lalu kedua-duanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. ‘Uzair memperkenalkan dirinya sebagai ‘Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walaupun ketika itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran ‘Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya berkata: “Saya masih ingat bahawa bapa saya (‘Uzair ) mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia ‘Uzair. Setelah diperiksa, tanda yang dikatakan itu memang ada pada ‘Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagiannya lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka kata mereka kepada ‘Uzair, bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan Negara Israel dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun di antara Bani Israel yang hafal isi Taurat kecuali ‘Uzair. Kalau benarlah tuan ‘Uzair cubalah tuan sebutkan isi Tauratbitu dengan betul “.
‘Uzairpun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancer serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu maka barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah ‘Uzair. Ketika itu semua bangsa Israel pun percaya bahawa dialah ‘Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka bersalam dan mencium tangan ‘Uzair serta meminta dan panduan daripadanya.
Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap ‘Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak sama ada ‘Uzair mahupun Isa, kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka.
Janganlah kita ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, jika ada sesiapa yang masih ragu-ragu tentang kekuasaan Allah maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakannya.
Kalau masih ada orang-orang yang masih ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami Al-Quran, rasa ragu-ragu atau was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.
Allah s.w.t. telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita itu untuk berfikir.
Wallahua’alam.
Sumber: Kisah-Kisah Benar 7. NurulHas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan