Rahsia Solat Sunat Malam -by epondok
Abdullah bin Amru berkata, “Rasulullah bersabda: Sembahyang sunat waktu malam dan puasa yang disukai Allah adalah sembahyang dan puasa dilakukan oleh Nabi Daud. Baginda tidur separuh malam. Kemudian satu pertiga malam baginda bersembahyang sunat. Manakala satu perenam lagi baginda tidur. Baginda juga puasa dengan berselang seli.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelebihan menghidupkan malam dengan beribadah banyak dan umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keheningan malam yang mendamaikan jiwa boleh mencetuskan semangat untuk beribadat dengan tenang.
Ketika orang lain enak diulit mimpi, mereka yang terjaga sepatutnya mengambil kesempatan itu bangun menunaikan solat bukan menarik selimut kerana ketika itu malaikat turun untuk mencari hamba Allah SWT yang berdoa kepada Tuhannya.
Jabir berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sebenarnya pada setiap malam ada satu waktu yang istimewa. Apabila ada seorang muslim memohon kebaikan untuk dunia atau akhirat pada waktu itu, pasti Allah akan memperkenankan doa orang itu. Waktu istimewa itu ada pada setiap malam.” (Riwayat Muslim)
Dijadikan amalan harian
Justeru, tidak kira apa sebabnya kita bersolat malam sama ada untuk memohon hajat, meminta dimudahkan urusan atau bertaubat kepada Allah SWT, yakinlah usaha itu mendapat perhatian istimewa dan Allah SWT akan memperkenankan permintaan itu.
Namun, jika tidak juga termakbul perkara dihajati, ada sebab yang hanya Allah SWT Maha Mengetahui. Namun, itu bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya amalan solat malam wajar dijadikan amalan harian.
Mereka yang sudah terbiasa bangun untuk menunaikan solat malam boleh menceritakan kenikmatan dirasai serta perubahan dilalui berbanding sebelum mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat solat sunat pada tengah malam.
Alangkah indahnya jika suami yang terbangun untuk menunaikan solat sunat turut mengajak isteri kerana Abu Hurairah dan Abu Said berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang suami bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya kemudian mereka berdua melakukan sembahyang sunat dua rakaat, Allah menyenaraikan mereka berdua dalam senarai orang yang mengingati Allah.” (Riwayat Abu Daud).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan