Isnin, 23 Disember 2013

Hadapi Tekanan Dengan Sabar

Hadapi tekanan dengan sabar - epondok - Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
Gambar hiasan
Dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba ini, setiap umat Islam mestilah tabah, sabar dan reda menerima dugaan dan bencana tertentu. Allah SWT menguji umat Islam supaya mempunyai kesabaran dan tabah menghadapi setiap dugaan. Mendidik hati dengan kesabaran ini mestilah diuji melalui ujian dan dugaan.

Pelbagai dugaan seperti kemiskinan, kesusahan dalam menghadapi hidup, kekurangan makanan dan penyakit. Semuanya adalah dugaan dan tekanan yang menguji keimanan. Selain itu, ujian dan dugaan juga datang dalam pelbagai bentuk iaitu daripada manusia iaitu saudara-mara, sahabat dan juga jiran tetangga. Hanya dengan kesabaran dan ketabahan semua ujian dan dugaan ini dapat dihadapi dengan mudah.

Ketabahan dan kesabaran bagi orang yang sanggup menanggung penderitaan dan mengelakkan kemarahan akan mendapat pahala dan kebaikan di sisi-Nya. Firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan. (Ali Imran:134)

Memang sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita tetapi perbuatan tersebut sangat dituntut dalam Islam yang dapat mengeratkan kembali hubungan silaturahim, kasih sayang, sekali gus menguatkan perpaduan ummah. Menahan kemarahan kepada orang lain sangat dituntut dan seseorang yang dapat menahan kemarahannya adalah orang yang tabah dan kuat imannya.

Seterusnya Allah berfirman lagi yang bermaksud: Dalam pada itu ingatlah, orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara yang dituntut agar dilakukan. (asy-Syura: 43)

Hakikat dalam kehidupan, dugaan dan cabaran datang silih berganti. Bagi mereka yang sabar dan tabah menghadapinya akan mendapat ganjaran di sisi-Nya. Abu Hurairah melaporkan, Seorang lelaki pernah berkata, Wahai Rasulullah. Saya mempunyai sanak saudara. Saya hubungi mereka tetapi mereka memutuskan hubungan dengan saya. Saya berbuat baik dengan mereka tetapi mereka melayan saya dengan buruk. Saya bersabar dengan mereka tetapi mereka membodohkan saya.”

Rasulullah SAW menjawab, Kalau benarlah keadaan saudara seperti yang saudara katakan itu, saudara seolah-olah menaburkan abu yang panas ke dalam mulut mereka. Saudara juga sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah selagi saudara berada dalam keadaan begitu. (riwayat Muslim)

Begitulah keadaan yang berlaku pada zaman nabi, malah senario serupa juga berlaku dalam kehidupan seharian kita hari ini. Sebagai manusia kita sering melakukan kesilapan kepada orang lain. Kisah ini sepatutnya menjadi pengajaran dan teladan kepada kita, agar kita tidak melakukannya serta mengulanginya. Tekanan hidup daripada perbuatan orang lain juga sebagai ujian kepada kita supaya sabar menghadapinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.(riwayat al-Hakim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...