Musibah uji kesabaran, ketakwaan ummah -Oleh Dr Mohd Shukri Hanapi
Gambar hiasan |
Ganjaran pahala, kehidupan lebih baik jika berjaya tempuhi dugaan
Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik.Musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.
Dimaksudkan dengan perkataan musibah ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang.
Musibah ujian Tuhan
Meskipun begitu, Allah SWT menjadikan musibah ini sebagai ujian ke atas hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155).
Kemudian Allah SWT jelaskan lagi tentang orang yang sabar itu di dalam firman-Nya yang bermaksud, “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jualah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah ayat 156)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah SWT itu berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan.
Bukti penyabar
Ini adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa jua keadaan yang ditempuhinya.
Jadi jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut azab-Nya.
Ibn Kathir di dalam tafsirnya ketika mentafsirkan ayat tersebut (ayat 156 daripada Surah al-Baqarah) beliau menjelaskan, “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”
Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal ra yang bermaksud, Abu Sinan berkata: “Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakan?”
Jawab Abu Sinan: “Baiklah”. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib telah menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman (yang bermaksud): “Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau telah mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya.”
Jawab Malaikat Maut: “Ya! Lalu Allah SWT berfirman, apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)?” Jawabnya: “Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan.” Maka Allah SWT berfirman: “Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.” (Ibn Kathir)
Hadis ini menjelaskan sikap Abu Sinan yang tetap memuji Allah SWT walaupun anak kesayangannya meninggal dunia. Sebagai balasan dibina sebuah rumah untuknya di dalam syurga.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah SWT menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah SWT itu bukanlah sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.
Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan di dalam hadis di atas.
Mereka yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah SWT. Jiwa yang sering melalui proses ujian ini semakin lama semakin teguh, kerana sentiasa disaring oleh zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan