Khamis, 9 Januari 2014

Kontekstualisasi… Ancaman Baru Gejala Murtad

Kontekstualisasi… Ancaman Baru Gejala Murtad

Gerakan Kristianisasi merujuk kepada suatu usaha untuk mengkristiankan penganut Islam. Dalam konteks negara kita yang mana Perlembagaan meskipun memberi kebebasan dalam beragama kepada rakyatnya namun terdapat larangan untuk agama lain mengembangkan agama mereka kepada penganut Islam, gerakan Kristianisasi dipercayai dilakukan secara senyap, licik dan tersembunyi.

Difahamkan, gerakan ini menggunakan pelbagai medium yang secara umumnya boleh diklasifikasikan perkara biasa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Antara yang dipercayai salah satu strategi gerakan ini ialah menuntut kalimah ALLAH dibenarkan untuk digunakan oleh orang Kristian dalam risalah terbitan gereja.

Bagi memahami strategi gerakan Kritianisasi yang dikhuatiri menjadi satu lagi ancaman kepada akidah umat Islam mutakhir ini, wartawan NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan ZULFADHLI ZAKI menemubual Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), A KARIM OMAR. Dalam temu bual itu A Karim turut mendedahkan strategi terkini Kristianisasi yang disebut ‘kontekstualisasi’. Ikuti penerangannya.

Apa yang dimaksudkan dengan strategi kontekstualisasi?

Menurut J Dudley Woodberry, Profesor Emeritus di Fuller Theological Seminary School of World Missions, Amerika Syarikat, orang Islam yang cuba didakyahkan oleh evangelis Kristian merasakan bentuk penyembahan Kristian, termasuk istilah-istilah yang digunakan, aneh dan ofensif.

Oleh yang demikian, kebanyakan evangelis Kristian bersedia untuk menggugurkan apa saja penyembahan yang aneh dan ofensif kepada orang Islam serta membenarkan mereka yang murtad itu (bertukar kepada agama Kristian) untuk mengekalkan beberapa bentuk dan istilah yang biasa digunakan oleh orang Islam.

Maka kontekstualisasi adalah suatu strategi pendakyahan Kristian dengan cara mengambil guna istilah dan cara beribadat yang biasa digunakan oleh masyarakat Islam setempat.

Dalam satu jurnal Kristian, pada tahun 2004, Harley Talman menulis bahawa pendakyahan kepada orang Islam yang suatu masa dahulu dianggap sebagai usaha yang sia-sia, kini dengan strategi kontekstualisasi ianya telah memberi ruang baru untuk usaha-usaha pendakyahan.

Malah, dalam artikel tersebut, beliau turut menyenaraikan cadangan untuk dilakukan kontekstualisasi yang lebih meluas (comprehensive contextualization) dari pelbagai aspek.

Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan gerakan Kristianisasi?

Gerakan Kristianisasi adalah merujuk kepada suatu gerakan untuk mengkristiankan umat manusia. Pada peringkat tertinggi mereka, Pope Alexander VI telah membahagikan dunia ini kepada kerajaan Sepanyol dan kerajaan Portugis dalam Perjanjian Tordesillas pada 7 Jun 1494.

Inilah gerakan terancang Kristian sedunia untuk mengkristiankan umat manusia. Maka bermulalah sejarah kekejaman oleh dua penakluk besar kerajaan Kristian pada ketika itu. Segala bentuk keganasan jelas tercatat di dalam kisah-kisah eksplorasi mereka di atas nama menyebarkan agama Kristian di samping mencari kegemilangan sambil merompak kekayaan dunia baru yang mereka takluki.

Ini disebut sebagai ‘gold, glory and gospel’. Kini gerakan evangelis Kristian masih berterusan dengan agenda yang sama, melalui pelbagai ragam dan rupa serta strategi yang baru.

Laporan Raja Manuel (Portugis) kepada Pope Leo X pada 6 Jun 1513 menyebut bahawa ‘Palang Salib’ telah menang ke atas ‘Bulan Sabit’ di Kota Melaka.

Ini adalah kerana mereka dahulu beranggapan bahawa penaklukan ke atas Tanah Melayu sebagai Perang Salib yang terakhir dan ini merupakan suatu usaha serangan terhadap kubu Islam dari sisi dan belakang.

Bagaimanakah agenda mereka dapat dilaksanakan dalam konteks negara kita?

Gerakan ini dilaksanakan menggunakan beberapa kaedah dan strategi, antaranya melalui pendidikan, ekonomi, kebajikan dan aktiviti sosial.

Melalui pendidikan misalnya, gerakan ini menggunakan tadika, tabika, sekolah mubaligh dan pusat tuisyen serta kelab-kelab belajar untuk mempengaruhi para pelajar.

Mereka juga menggerakkan pelbagai program ekonomi dan kebajikan dalam usaha menarik masyarakat Islam untuk menerima Kristian. Antara kaedah yang mereka gunakan boleh dianggap seumpama rasuah atas nama Jesus.

Mereka juga melakukan aktiviti lawatan hospital, menyediakan rumah kebajikan, bantuan mangsa Aids/HIV dan penagih, bantuan bencana serta khidmat kaunseling.

Melalui hiburan pula, ada yang menggunakan lagu, contohnya sebuah lagu penyanyi popular dari Indonesia, Agnes Monica yang berjudul, ‘ALLAH Peduli’. Kalimah ALLAH dalam lagu tersebut bukanlah merujuk kepada Tuhan Yang Esa tetapi merujuk kepada Jesus seperti lirik terakhirnya,‘Sebab ALLAH Yesusku mengerti’.

Lagu itu sudah diharamkan di negara kita. Itu merupakan salah satu daripada cara bagaimana mereka menggunakan medium hiburan untuk menggerakan misi mereka.

Boleh saudara terangkan kaedah menggunakan helah sukan dalam usaha memurtadkan golongan remaja?

Evangelis Kristian sememangnya mengguna pelbagai helah dan kaedah pemurtadan untuk mengaburi mata umat Islam. Negara kita pernah pada satu ketika dahulu digemparkan oleh satu peristiwa di mana sebuah pusat tuisyen telah melakukan aktiviti untuk memurtadkan anak-anak Islam yang belajar di situ. Selain daripada itu, salah satu kaedah pendakyahan lain yang dikesan ialah melalui sukan termasuk menganjurkan latihan bola sepak.

Terdapat sebuah pusat latihan bola sepak di Lembah Klang yang telah dikesan melakukan aktiviti terancang ini. Malah mereka membawa paderi dari Amerika Latin yang menyamar sebagai jurulatih bola sepak dalam usaha untuk berdakyah.

Mereka memilih sebahagian daripada anak-anak remaja ini untuk menjalani latihan lanjutan di negara mereka dan sebagai salah satu atur cara lawatan di sana, anak-anak ini telah dibawa berkunjung ke gereja-gereja. Walaupun pusat latihan bola sepak tersebut didaftarkan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad, namun ianya bernaung di bawah sebuah gereja.

Dalam satu dokumen berhubung perjanjian di antara pusat bola sepak tersebut dengan gereja dari Amerika Latin, mereka mencatatkan bahawa bola sepak adalah satu alat penting untuk menyampaikan dakyah Kristianisasi kepada orang Melayu.

Bagaimana cara masyarakat Islam yang sudah murtad menjalani kehidupan seharian mereka?

Sebenarnya kita tidak dapat mengenal pasti mereka yang murtad berdasarkan perilaku luaran seperti mempunyai salib.

Ini kerana mereka melakukkannya secara tersembunyi, malah untuk menutup rahsia mereka, ramai di kalangan mereka yang sudah murtad masih melakukan perkara asas dalam Islam apabila berada di kalangan keluarga atau masyarakat.

Sebagai buktinya, kajian tentang identiti sosio keagamaan dan kehidupan orang-orang Melayu Kristian telah dilakukan dalam kajian peringkat PhD di sebuah universiti Kristian di Amerika Syarikat pada tahun lalu. Kajian tersebut mendedahkan orang-orang Melayu Kristian ini tidak menzahirkan anutan agama mereka seperti:

1 – Tidak ada tanda salib di rumah mereka.
2 – Tidak melakukan sebarang acara keagamaan Kristian di depan orang lain walaupun sudah menganut agama Kristian.
3 – Masih sesekali menzahirkan ibadat Islam seperti solat di masjid dan berpuasa di bulan Ramadan, jika perlu.
4 – Mereka juga tidak meletakkan apa-apa buku atau bahan bacaan Kristian di rak buku atau meja di ruang tamu rumah.

Mereka melakukan semua ini bagi mengelak dari diketahui oleh saudara mara atau sahabat handai yang datang ke rumah mereka.

Boleh saudara jelaskan berkaitan tuntutan menggunakan kalimah ALLAH yang sebelum ini saudara katakan kepada saya ‘supaya orang Islam baca tidak terus menolak Bible’?

Tuntutan untuk menggunakan kalimah ALLAH oleh evangelis Kristian adalah satu contoh terbaik bagi menjelaskan strategi Kristian dalam memperdayakan umat Islam. Ianya adalah salah satu strategi kontekstualisasi yang telah kita bicarakan awal tadi.

Dengan menggunakan perkataan-perkataan yang biasa diguna pakai oleh orang Islam setempat dalam bahan bacaan Kristian, maka usaha pendakyahan dengan menyebarkan Bible atau apa-apa bahan bacaan kepada orang Islam lebih berhasil dan lebih mudah. Orang Islam tidak akan merasakan apa yang dibaca mereka itu asing malah tidak jauh bezanya dengan apa yang meraka amalkan. Oleh itu, mereka tidak akan terus menolak bahanbahan bacaan tersebut.

Sebagai contoh, di Indonesia, terdapat pelbagai rumah agama Kristian yang meletakkan kalimah ALLAH pada bangunan mereka. Adakah kita mahu keadaan seperti ini berlaku di negara kita? Ia kelak akan mewujudkan kekeliruan kepada kita semua. Oleh itu perkara sebegini perlu dielakkan. Begitu juga penggunaan nama ALLAH di dalam lagu Agnes Monica, berjudul, ‘ALLAH peduli’ yang saya jelaskan di atas.

Sejauh mana bahayanya gerakan kristianisasi di negara kita?

Mengkristiankan orang Melayu yang beragama Islam bermakna memurtadkan mereka. Orang Melayu telah didefinisikan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai orang yang beragama Islam. Oleh itu gerakan permurtadan ini terang-terangan
mengancam kedaulatan Perlembagaan.

Apabila seseorang Melayu itu tidak lagi beragama Islam maka ia tidak lagi berstatus Melayu. Malah gerakan mengkristiankan umat Islam di negara ini adalah bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Bahayanya gerakan ini adalah kerana ianya dilakukan dengan penuh tipu helah serta berselindung dengan pelbagai wajah. Hasilnya ramai umat Islam tidak sedar dan tertipu malah menjadikan kita bersengketa sesama sendiri.

Apakah usaha yang boleh kita lakukan bagi mengekang gerakan kristianisasi terus berlaku hingga sampai tahap tidak terkawal?

Pertama, umat Islam mesti ingat tentang pesanan ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120 bahawa orang Yahudi dan Kristian tidak akan reda untuk selama-lamanya terhadap umat Islam yang kekal beriman. Mereka akan melakukan pelbagai tipu helah yang terancang sehingga kita sendiri tidak sedar perancangan halus mereka.

Kedua, umat Islam mesti diberi pendedahan dan penerangan tentang segala tipu helah dan perancangan jahat gerakan evangelis yang ingin memurtadkan kita semua.

Pihak berwajib termasuk media harus memainkan peranan mereka dalam memberi kesedaran dan kefahaman ini kepada masyarakat umum.

Malah masyarakat di pelbagai peringkat juga harus mengambil peranan aktif dalam menjalankan tanggugjawab ini. Ketiga, penguatkuasaan yang lebih bersungguh-sungguh dan tegas mesti diambil oleh pihak kerajaan berdasarkan peruntukan yang sedia ada di bawah Pelembagaan Persekutuan dan enakmen negeri masing-masing.

Keempat dan yang paling penting ialah umat Islam sendiri harus bersatu menentang taktik-taktik halus gerakan evangelis Kristian dan bukannya bersengketa sesama sendiri dan menjadi alat mereka.

Ini bersesuaian dengan firman ALLAH SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 110 yang meletakkan kita sebagai umat terbaik, di mana ianya datang bersama satu tanggungjawab untuk melakukan dakwah serta menyekat agenda pemurtadan umat.

Inilah kaedah fekah yang disepakati iaitu menyekat gejala riddah (pemurtadan) dari segala puncanya. Inilah disebut sebagai sadduz zara‘i.

Sinar Harian
Isnin 21hb Oktober 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...