SAHABAT JATUH SAKIT JIKA LAMA TAK JUMPA RASULULLAH
http://www.islamituindah.my/sahabat-jatuh-sakit-jika-lama-tak-jumpa-rasulullah
Maqam Rasululullah |
SATU perkara tidak dapat disangkal bagi ahli takwa dan iman, fenomena cinta mereka terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan jihad pada jalan Allah. Fenomena kecintaan ini tidak mungkin dapat disamakan dengan kecintaan lain kerana ia adalah tuntutan iman dan Islam.
Begitu juga seorang Mukmin yang merasai kemanisan iman sudah pasti memiliki akidah bahawa zat Tuhan mencapai tahap kesempurnaan, keindahan dan kebesaran paling agung. Dengan keimanan mantap juga, beliau yakin kaedah berkaitan dengan Tuhan wajib diikuti lantaran kesempurnaan pemiliknya.
Apabila seorang Mukmin itu merasai kemanisan iman dalam hatinya, beliau pasti mencintai Nabi Muhammad SAW kerana Baginda sebaik-baik contoh dan akhlak.
Secara semula jadi, segala kelebihan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW akan menarik perhatian manusia dan menjadi contoh mereka dalam aspek keagamaan, keduniaan dan kemasyarakatan.
Bahkan ada sahabat jatuh sakit jika tidak bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh lama.
Diriwayatkan oleh Iman Al-Bughawi, daripada Thauban mawla Rasulullah SAW. Beliau amat mencintai Rasulullah SAW dan kurang sabar dalam hal ini. Pada suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah SAW dalam keadaan yang berlainan.
Maka Nabi Muhammad SAW bertanya kepada beliau: “Apa yang mengubah keadaanmu sebegini wahai Thauban?” Jawab beliau: “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai sebarang penyakit. Hanya hati amat merindui apabila tidak dapat melihat dirimu. Kemudian aku terkenangkan hari akhirat. Maka aku khuatir tidak lagi dapat melihat dirimu kerana engkau akan diangkat bersama para nabi. Jika aku dapat memasuki syurga sudah tentu kedudukanku lebih rendah. Sekiranya aku tidak dapat memasuki syurga, sudah tentu aku tidak akan melihatmu lagi.”
Maka turun ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi dan orang siddiq dan yang syahid serta soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).” (Surah an-Nisaa’, ayat 69).
Satu persoalan yang perlu diperhatikan, adakah wujud penghalang yang boleh memutuskan fenomena cinta sederhana ini? Sebagai Muslim, selama mana beliau masih lagi istiqamah dengan keimanannya dan patuh setiap perintah syarak, hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan dan tidak harus memutuskan persaudaraan.
Berdasarkan kenyataan ini, apabila berlaku perkelahian, permusuhan dan kebencian antara dua orang Muslim, tidak harus bagi mereka memutuskan persaudaraan lebih daripada tiga hari.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim bahawa dia memutuskan persaudaraan lebih daripada tiga hari.” (Hadis riwayat sahih Bukhari dan Muslim).
Tempoh ini mencukupi bagi dua orang yang bertelagah berdamai. Jika permusuhan itu melebihi tiga hari, maka kedua-duanya berdosa jika permusuhan itu membabitkan kes individu dan sebab peribadi saja. Jika permusuhan itu berkait dengan perkara keagamaan, maka menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk memberi nasihat kepada saudara seagamanya yang sedang melakukan dosa.
Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya, bagi siapa (nasihat itu)? Sabda Nabi Muhammad SAW: Bagi Allah, kitabNya, Rasul-Nya dan bagi pimpinan Muslimin dan keseluruhan umat Islam.” (Hadis riwayat Muslim).
Jika nasihat yang diberikan tidak mendatangkan manfaat sedangkan saudara seagama dalam kemaksiatan dan kefasikan, maka wajib ke atas Muslim itu meninggalkannya kerana Allah walaupun beliau salah seorang dari kaum keluarga atau taulan. Diriwayatkan dalam hadis sahih bahawa Nabi Muhammad SAW meninggalkan sebahagian isteri Baginda selama sebulan untuk mencegah dan mendidik mereka.
Berdasarkan itu, jelas bahawa memutuskan persaudaraan kerana Allah terbahagi kepada dua bahagian permusuhan sementara dalam tempoh tertentu bertujuan untuk mendidik dan permusuhan yang kekal abadi sehingga ke akhir hayat ke atas insan yang melanggar hukum Allah.
http://www.islamituindah.my/sahabat-jatuh-sakit-jika-lama-tak-jumpa-rasulullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan