Oleh HASHIM AHMAD
RASULULLAH SAW ialah manusia utama yang dimuliakan Allah SWT. Budi pekerti baginda amat luhur dan terpuji. Ini amat sesuai dengan namanya Muhammad yang bererti insan terpuji.
Anas bin Malik pada suatu hari telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Alangkah rindunya aku untuk berjumpa dengan saudara-saudaraku.”
Seorang sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudara mu, ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab: “Benar, kalian adalah sahabat dan saudaraku. Tetapi apa yang aku maksudkan dengan saudara-saudaraku adalah kaum yang datang sesudahku dan beriman kepadaku, padahal mereka tidak pernah berjumpa denganku.”
Maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW begitu rindu pada kita (umatnya) yang hidup jauh dari masanya. Rindunya merupakan satu penghargaan untuk kita kerana sampai saat ini kita masih beriman padanya walaupun kita tidak pernah sekalipun berjumpa secara langsung dengan baginda Rasulullah SAW.
Baginda juga sangat peduli pada umatnya. Pada detik-detik terakhir roh kekasih Allah SWT ini akan lepas daripada raga, lisannya berucap: “Ummati, ummati, ummati” (Umatku, umatku).
Baginda masih sempat berfikir akan keadaan umatnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Peristiwa itu adalah sebuah pemandangan di luar kebiasaan manusia umum, Malah amat mengharukan dalam sejarah hidup kita.
Ketika dalam keadaan sakaratul maut, di saat badan mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak, bibirnya sentiasa basah menyebut asma-Nya. Di saat itu, terucap sebuah permohonan yang amat memilukan hati: “Ya…Allah, dahsyatnya maut ini. Timpakan saja semua maut ini kepadaku, jangan pada umat-ku.” Sungguh terpuji sekali akhlak Rasulullah SAW.
Hubungan kita
Cuba kita bermuhasabah dan bertanyakan diri, bagaimana hubungan kita dengan Rasulullah di saat ini? Sepatutnya, kita pun merasa rindu dan berterima kasih kepada baginda dengan memperbanyakkan berselawat dan selalu berusaha menjalankan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
Bayangkan keadaan kita saat ini tanpa Rasulullah hadir di dunia ini. Pasti kita akan hidup dalam kegelapan, tidak jelas arah tujuan hidup dan akhlak kita pun akan jauh daripada nilai-nilai yang mulia.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling mengabaikan aku, adalah orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, dia tidak berselawat kepadaku. Selawat kepadaku dan kepada keluargaku menghilangkan kemunafikan.”
Sesungguhnya, banyak berselawat kepada Nabi SAW akan mendatangkan syafaat di akhir. Syafaat adalah pertolongan.
Syafaat Rasulullah SAW dapat membantu di kala amal baik kita kurang kerana kita tidak memenuhi syarat untuk masuk ke syurga. Kita akan beruntung kerana syafaat boleh menghindar kita daripada bakaran api neraka yang amat panas itu.
"Ilmu itu cahaya, Islam galakan umatnya mencari"
http://epondok.wordpress.com/2014/01/30/selawat-ke-atas-nabi-s-a-w-hilangkan-sifat-munafik/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan