Memaparkan catatan dengan label AKIDAH Akhlak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AKIDAH Akhlak. Papar semua catatan

Ahad, 1 Julai 2012

AMANAH KUNCI KEAMANAN


Kategori : AKIDAH Akhlak 

Tajuk :  Amanah Kunci Keamanan

Hadith :


Dari Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua buah hadis; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW.

Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah:” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)”  ( Muslim )

Huraian:

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita-berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera, dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa jua perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah. Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran tersebut membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.

Jumaat, 23 Mac 2012

Bersandarkan Hanya Kerana Allah

Hadith :  Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:“Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.” 
(at-Tirmidzi)
Huraian
1. Sesungguhnya semua amal tergantung pada niat dan amal yang sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi tidak ikhlas.
2. Sifat taqwa merupakan benteng yang menjadikan seseorang itu merasa dekat dengan tuhannya tanpa mengira situasi apapun ia berada sama ada di dalam kelopok orang ramai atau bersendirian. Setiap perlakuannya dipersembahkan kerana Allah. 

3. Seorang ahli hikmah berkata” Contoh orang yang beramal dengan riyaa' atau sum'ah itu adalah bagaikan orang yang keluar ke pasar dan mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan semua orang yang melihat poketnya berasa kagum dan berkata: "Alangkah banyaknya wang orang itu.", tetapi sebenarnya dia sama sekali tidak berwang kerana tidak dapat membeli apa-apa dengan batu tersebut tetapi hanya sekadar mendapat pujian orang semata. Demikian juga orang yang beramal dengan riyaa' sum'ah, tidak ada pahalanya di akirat kelak

.4. Ali bin Abi Talib r.a. berkata: "Tanda orang yang riyaa' itu ada empat iaitu malas jika bersendirian, dan tangkas jika di hadapan orang, dan menambah amalnya jika dipuji, dan menguranginya jika dicela.”

5. Tanda-tanda keikhlasan iman kepada Allah itu banyak. Di antaranya ialah seseorang itu akan menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dilakukannya dan menangis kerana takutkan siksaan Allah. Dan seseorang itu akan berani dalam berjihad menegakkan agama Allah hingga sanggup menghadapi kecedaraan malah menempuh syahid kerana Allah dan seseorang itu akan sabar dan tekun (khusyuk) dalam menjalankan ketaatan kepada Allah hingga terdapat kesan-kesan lebam di dahi dan anggota badannya. Semua ini merupakan ciri-ciri orang yang benar-benar beriman di mana ganjaran daripada perbuatan tersebut amat besar pahalanya di sisi Allah SWT dan diberi ganjaran di hari akhirat kelak. 

Rabu, 22 Februari 2012

TANDA-TANDA CINTAKAN ALLAH S.W.T.


Gambar hiasan

Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala.  Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.

Ujian pertama ialah;Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya.  Nabi Muhammad saw bersabda;"Siapa yang ingin melihat Allah,  Allah ingin melihat dia."Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat,  tetapi jika betul-betul ikhlas adia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.

Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah.  Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya.  Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki;"Jika sesiapa bertanya kepada mu samada kamu cinta kepada Allah,  hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata:  "Saya tidak cinta kepadaNya",  maka kamu kafir dan jika kamu berkata,  "Saya cinta",  maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu.

Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar,  kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat.  Sekiranya cinta itu sempurna,  ia tidak akan lupa yang dicintainya itu.  Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu,  maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua,  kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.

Ujian keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada Al-Quran,  iaitu Kalam Allah,  dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul Allah.  Jika cintanya benar-benar kuat,  ia akan cinta kepada semua orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah.  Bahkan cintanya meliputi semua makhluk,  kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga kepada tulisan atau karanganny.a

Ujian kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu.  Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna.

Allah berfirman kepada Nabi Daud,"Janganlah terlampau karib dengan manusia,  kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu:  iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu;  dan mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku.  Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan mereka begitu sahaja."

Pada hakikatnya,  jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya didalam hati seseorang itu,  maka cintanya kepada yang  lain itu tidak akan dapat mengambil tempat langsung ke dalam hati itu.  Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan sembahyang di malam hari.Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu sekali,  dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati nyanyian burung itu.  Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan berkata,"Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta kepadaKu,  Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah diturunkan,"Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah, suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar,  tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.

Yang keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali.  Seorang Wali Allah ada berkata,"Dalam tiga puluh tahun  yang pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali,  tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada saya."  Apabila cinta kepada Allah itu sempuna,  maka tidak ada kesoronokan yang setandimg dngan keseronokan ibadat.

Yang ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada Allah.  Al-Quran mnyatakan"mereka itu bersikap kasar kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri."  

Suatu masa,  Nabi bertanya kepada Allah,  "Wahai Tuhan,  siapakah kekasihmu?"  Terdengarlah jawapan,"Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi dengan ibunya,  mengmbil perlindungan dengan MengingatiKu seperti burung mencari perlindungan disarangnya,  dan yang marah melihat dosa seperti singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."


Rabu, 8 Februari 2012

MEMILIKI KEMAMPUAN BERSYUKUR


Kategori : AKIDAH Akhlak 
  
Tajuk :  Memiliki Kemampuan Bersyukur
Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” [Bukhari]

Huraian
Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7).

Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah:

i.) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan

iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

KELEBIHAN MUKMIN DAN KEKURANGAN KAFIR


Gambar hiasan

Kategori : AKIDAH Akhlak 

Tajuk :  Kelebihan Mukmin Dan Kekurangan Kafir

Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah S.W.T. untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”
(Muslim)

Huraian :

Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir. Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.






POSITIF DAN NEGATIF MALU


Gambar hiasan

Kategori : AKIDAH Akhlak   

Tajuk :  Positif Dan Negatif Malu 

Hadith :


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a:
” Suatu ketika Rasulullah SAW terserempak dengan seorang Ansar (lelaki) yang sedang menegur saudara lelakinya kerana ia sangat pemalu. Ketika itu juga rasulullah SAW bersabda:” Biarlah dia kerana malu adalah sebahagian daripada iman.”
[Al-Bukhari]

Huraian
Dari sudut syarak malu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif bukan malu tersipu-sipu yang tidak kena pada tempatnya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri ini adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah peribadi. 

Tetapi al-haya’ (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadian lantaran kuatnya iman dalam menolak segala sesuatu yang negatif. Maka sifat maka itu sendiri adalah sebahagian daripada iman dan terpuji. Sifat malu menjadikan seseorang jauh daripada perbuatan hina dan maksiat sebaliknya meletakkan dirinya dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif. Dia akan berkata bahawa: “ Sesungguhnya aku adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan aku lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”. Dengan perkataan lain seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya.

Ahad, 5 Februari 2012

AMANAH KUNCI KEAMANAN


Kategori : AKIDAH Akhlak 
  
Tajuk :  Amanah Kunci Keamanan

Hadith :

Dari Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua buah hadis; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW. 

Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah:” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)”  [ Muslim]

Huraian:

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita-berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera, dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. 

Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa jua perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah. Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran tersebut membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.


http://ii.islam.gov.my/hadith

Rabu, 1 Februari 2012

BERTIMBANG RASA DENGAN ORANG BAWAHAN


Kategori : AKIDAH Akhlak  
Tajuk :  Bertimbang Rasa Dengan Orang Bawahan

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a :

“ Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan sapaan yang buruk. Nabi Muhammad SAW bersabda kepada ku :” Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan sapaan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka.” 
(al-Bukhari)


Huraian:
Komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya. Sikap ‘egoist’ akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan. Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

Sumber : http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=1557

DARI TITIK PELUH SENDIRI


Kategori : AKIDAH Akhlak 

Tajuk :  Dari Titik Peluh Sendiri

Hadith :
Dari Zubair bin Awwam r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya;
”Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi ataupun tidak.” (Al-Bukhari)

Huraian:

Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu, sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya. Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang itu ke lembah kehinaan. 

Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki alamat hidup akan melarat. Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.

Sumber: http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=1067

SETIAP HUKUM ADA HIKMAHNYA


Kategori : AKIDAH Akhlak  

Tajuk :  Setiap Hukum Ada Hikmahnya

Hadith :

Dari Abdullah bin Buraidah r.a, dari bapanya katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda:”Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Aku pernah melarang kamu memakan daging korbanmu lebih dari tiga hari, sekarang simpanlah sekadar yang kamu perlukan. Aku pernah melarang kamu minum minuman anggur kecuali dengan gelas biasa, sekarang minumlah dengan apa jua bekas minuman. Tetapi jangan sekali-kali kamu minum minuman yang memabukkan.” 
(Muslim)



Huraian:
Selaku umat Islam, kita perlu jelas bahawa setiap hukum yang dibawa oleh Islam ada kaitannya dengan kesejahteraan hidup manusia sama ada dari aspek rohani mahupun jasmani, fizikal mahupun spiritual. Setiap hukum dan larangan tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atasnya ada hikmahnya yang tersendiri. Hukum juga boleh berubah-ubah bergantung pada beberapa perkara seperti maslahah ummah dan kehendak zaman asalkan ia tidak menyalahi hukum dan batasan yang ditetapkan oleh syarak. (al-Quran dan sunnah).

Sesungguhnya setiap suruhan dan tegahan agama itu bukanlah bermaksud untuk mengekang kebebasan individu. Ia sebenarnya untuk kebaikan bersama. Inilah tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w diutuskan iaitu untuk memberi penerangan kepada manusia tentang tatacara kehidupan yang sebenar berlandaskan kehendak Islam.

Sumber : http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=1151

PERMUDAHKAN SEGALA URUSAN


Tambah kapsyen
Kategori : AKIDAH Akhlak

Tajuk :  Permudahkan Segala Urusan Islam

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:“Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

1. Islam adalah agama yang mudah dan senang diamalkan oleh setiap golongan, oleh itu hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai sesuatu bebanan.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada kesulitan hidup.
3. Islam menuntut agar umatnya berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya ia boleh diterima dengan mudah dan rela. 

Selasa, 31 Januari 2012

SEBAIK-BAIK ORANG YANG BERHIJRAH


Kategori : AKIDAH Akhlak   

Tajuk :  Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah

Hadith :  
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT."  (al-Bukhari)


Huraian:



Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. 


Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. 

Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.


Sumber : http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1


Isnin, 30 Januari 2012

MENJAUHI PERBUATAN YANG MENDATANGKAN BAHAYA


KATEGORI: AKIDAH Akhlak   

Tajuk :  Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya 
  
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."

Ibn Mas'ud r.a



Huraian:

i- Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

ii- Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

iii- Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, surah an-Nas.

iv- Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.


Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada Sultan d...