Memaparkan catatan dengan label Pesanan Rasulullah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pesanan Rasulullah. Papar semua catatan

Ahad, 16 Oktober 2011

KEUNGGULAN CINTA RASULULLAH


Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa
SYUKUR kepada Allah kerana dengan limpahan anugerah dan kasih sayang-Nya, kita dapat menikmati nikmat Islam, mengecapi manisnya iman dan menghayati indahnya ihsan. Syukur kepada Allah kerana mengutuskan kepada kita seorang Rasul pembawa risalah kerahmatan sehingga kita dapat mengecapi nikmat-nikmat ini hingga ke hari ini.
Tetapi kemanisan dan keistimewaan nikmat dan limpahan ini tidak akan dapat benar-benar kita rasai tanpa menghayati Islam melalui pintu dan manhaj ‘Hubb‘ atau cinta dan kasih-sayang.
Jika dalam kesempatan yang lepas kita mengimbau keagungan cinta Allah yang menjadi asal segala cinta, marilah pula kita membicarakan tentang cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini.
Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya,
“Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).
Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.
Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.
Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda:
Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka.
Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as:
Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)
Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)
Rasulullah Utamakan Umatnya
Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda:
Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke atas akulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.
Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.
Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata:
Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”
Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda:
Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)
Rasulullah adalah duta Allah SWT bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala perbuatan dan perkataan Baginda.
Rasulullah SAW menghulurkan kasih sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta benda-benda tidak bernyawa mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.
Diriwayatkan daripada Aisyah ra bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: “Kecelakaan ke atas kamu.” Rasululah SAW bersabda: “Dan ke atasmu juga.” Lalu Aisyah mencelah: “Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga, laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian.” Rasulullah bersabda: “Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah kamu berkasar.”Aisyah berkata: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?” Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan.” Jelas dalam situasi sebegitupun cinta yang mendalam dalam diri Rasulullah menghalangnya daripada berlebihan dalam membalas kejahatan.
Maka tepatlah Allah telah menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra’uf (Orang yang bersifat belas) dan Rahim (Orang Yang Penyayang).
Di dunia, Nabi SAW sentiasa berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda: “Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat.” Manakala di akhirat, Rasulullah SAW bersabda: “Umatku! Umatku! Ketika itu, manusia sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.
Justeru, wajiblah bagi kita menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia.
Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.
Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.
Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya, “Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku. Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, “Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”
Begitulah sekelumit paparan keunggulan cinta Rasulullah kepada umatnya yang sebenarnya telah melemahkan segala kalam dan lisan. Insya-Allah, minggu hadapan ruangan ini akan mengimbau bagaimana selayaknya kita membalas cinta Baginda.

Selasa, 11 Oktober 2011

PESANAN TERAKHIR RASULULLAH S.A.W.

Pesanan Terakhir Rasulullah s.a.w.

Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.


“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.


“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Ahad, 9 Oktober 2011

ANJING-ANJING NERAKA


Gambar Hiasan
Sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu’adz, “Wahai Mu’adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan :
·    Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap Saudaramu/muslimin.
·    Bacalah Al-Qur’an
·    Tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.
·    Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.
·    Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.
·    Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.
·    Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.
·    Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.
·    Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.
·    Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.
Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, “Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain.”
Sabda Rasulullah S.A.W., “Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya.”
Kata Mu’adz, ” Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?”
Sabda Rasulullah S.A.W., “Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah S.W.T.”

Ahad, 5 Jun 2011

TUJUH WASIAT RASULULLAH SAW

Rasulullah berwasiat, cintailah fakir-miskin, berbanyak silaturrahim,  jangan suka meminta-minta dan jangan takut celaan dalam berdakwah
Dari Abu Dzar ia berkata; “Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku dengan tujuh hal: (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka, (2) baginda memerintahku agar aku melihat orang-orang yang di bawahku dan tidak melihat orang yang berada di atasku, (3) baginda memerintahkan agar aku menyambung silaturahim dengan karib kerabat meski mereka berlaku kasar kepadaku, (4) aku diperintahkan agar memperbanyak ucapan La haula walaa quwwata illa billah, (5) aku diperintahkan untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit, (6) baginda berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah, (7) baginda melarang aku agar aku tidak meminta-minta sesuatu kepada manusia” (Riwayat Ahmad).
Walaupun  wasiat ini disampaikan kepada Abu Dzar RA, namun hakikatnya ia ditujukan untuk kaum Muslimin secara umum. Sebagaimana kaedah: (Al-Khitobu li’umuumil-lafdzi, walaisa min khususil asbab).
WASIAT PERTAMA: Mencintai Orang Miskin.

Islam menganjurkan umatnya agar berlaku tawadhu’ (berendah hati) terhadap orang-orang miskin, menolong dan membantu kesulitan mereka. Demikianlah yang dicontohkan para sahabat di antaranya Umar bin Khattab (R.A) yang terkenal sangat mengambil berat tentang rakyat, Khalifah Abu Bakar (R.A) yang terkenal dengan sifat amat pemurahnya, Usman bin Affan (R.A) dengan kedermawanannya.
Cintailah dan kasihanilah orang-orang miskin, sebab hidup mereka serba kekurangan, diabaikan masyarakat dan tidak diperhatikan. Orang yang mencintai fuqara’ dan masakin dari kaum Muslimin, terutama mereka yang mendirikan solat, dan taat kepada Allah, maka mereka akan dibela Allah Subhanahu wa Ta’ala (SWT) di dunia dan pada hari kiamat.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang Muslim, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesulitan orang yang dibebani hutang, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Juga sabda baginda, “Orang yang membantu kehidupan para janda dan orang-orang miskin bagaikan orang yang jihad fi sabilillah…..” (Riwayat Bukhari). Dalam riwayat lain seperti mendapatkan pahala solat dan puasa secara terus menerus….
WASIAT KEDUA:
Melihat Orang Yang Lebih Rendah Kedudukannya Dalam Hal Keduniaan

Rasulullah SAW memerintahkan agar kita melihat orang-orang yang berada di bawah kita dalam masalah dunia dan mata pencarian. Tujuannya, tiada lain agar kita selalu bersyukur dengan nikmat Allah yang ada. Selalu qona’ah (merasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita), tidak serakah (tamak), tidak pula iri hati atau dengki dengan kenikmatan orang lain.
Memang sudah menjadi lumrah, manusia selalu melihat ke atas dalam hal harta, kedudukan, dan pangkat. Selama manusia hidup ia selalu merasa kurang dan kurang. Baru merasa cukup manakala mulutnya tersumpal tanah kuburan.
“Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan janganlah melihat orang yang ada di atasmu, karena hal demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu.” (Riwayat Muttafaqun ‘alaihi).
Sebaliknya dalam masalah agama, ibadah dan ketakwaan, seharusnya kita melihat orang-orang yang di atas kita, yaitu para Nabi, sahabat, orang-orang yang jujur, para syuhada’, para ulama’ dan salafus-shalih.
WASIAT KETIGA: Menyambung Silaturahim Kepada Kaum Kerabat

Silaturahim adalah ungkapan mengenai berbuat baik kepada karib kerabat kerana hubungan nasab (keturunan) atau kerana perkahwinan. Iaitu silaturahim kepada kedua ibu bapa, kakak, adik, dan saudara mara. Berbuat baik dan berlemah lembut kepada mereka, menyayangi, memperhatikan dan membantu mereka.
Dengan silaturahim, Allah memberikan banyak manfaat. Di antaranya, menjalankan perintah Allah dan rasul-Nya, dengannya akan menyuburkan sikap saling membantu dan perihatin akan saudara seagama. Silaturahim pula akan memberikan kelapangan rezeki dan umur yang panjang. Sebaliknya bagi yang mengabaikan silaturahim Allah sempitkan hartanya dan tidak memberikan berkah pada umurnya, bahkan Allah tidak memasukkannya ke dalam Surga.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia menyambungkan silaturahim(Riwayat Bukhari).
WASIAT KEEMPAT: Memperbanyak Ucapan ‘La haula walaa quwwata illa bilLah’                                           
Rasulullah SAW memerintahkan agar memperbanyak ucapan La haula walaa quwwata illa bilLah’ agar kita berlepas diri dari merasa tidak mampu. Kita serahkan semuanya kepada Allah. Makna kalimat ini juga sebagai sikap tawakkal, hanya kepada Allah kita menyembah dan hanya kepada-Nya pula kita memohon pertolongan.
Pada hakikatnya seorang hamba tidak memiliki daya upaya apapun kecuali dengan pertolongan Allah. Seorang penuntut ilmu tidak mampu duduk di majlis ilmu melainkan dengan pertolongan dan kehendak  Allah. Demikian juga seorang guru tidak mungkin dapat menyampaikan ilmu yang manfaat kepada muridnya melainkan dengan pertolongan Allah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
Ya Abdullah bin Qois, mahukah aku tunjukkan kepadamu atas perbendaharaan dari perbendaharaan surga? (iaitu) ‘La haula walaa quwwata illa billah’ (Riwayat Muttafaqun ‘Alaih).

WASIAT KELIMA: Berani Mengatakan Kebenaran Meskipun Pahit
Kebanyakan orang sanggup menidakkan kebenaran asalkan hidup senang. Kebenaran dikorbankan demi material dan kedudukan duniawi. Apabila sesuatu itu sudah jelas sebagai sesuatu yang haram, bid’ah, mungkar, batil, dan syirik, maka jangan sampai kita takut menerangkannya.
Sesungguhnya jihad yang paling utama ialah mengatakan mengenai  kebenaran (haq) kepada pemerintah yang zalim. Bukan dengan cara menyebarkan keaiban mereka di perhimpunan, bukan juga dengan mengadakan demonstrasi, dan provokasi.
“Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah, janganlah ia menyatakannya dengan terang-terangan.  Hendaklah ia menyatakan secara berhemah dengan membuat perbincangan.  Sekiranya pemerintah  itu mahu mendengar nasihat itu, maka itu yang terbaik.  Dan apabila pemerintah itu enggan, maka ia sungguh telah melaksanakan kewajiban amanah yang dibebankan kepadanya(Riwayat Ahmad)
WASIAT KEENAM: Tidak Takut Celaan Dalam Berdakwah.
Betapa berat risiko dakwah yang Rasulullah SAW dan para sahabat alami. Mereka harus menderita kerana mendapat celaan, ejekan, fitnah, boikot. Juga pengejaran, lemparan kotoran, dimusuhi, dikasari, dan dibunuh.
Manusia yang sakit hatinya kadang-kadang tidak mahu menerima dengan penjelasan dakwah, maka para pendakwah harus sabar menyampaikan dengan ilmu dan hikmah. Jika daie mendapat penolakan dan cercaan janganlah sesekali berundur atau berputus asa. Maka para penyeru tauhid, penyeru kebenaran jangan berhenti hanya kerana dicerca.
“(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan tidak merasa takut dengan siapapun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan” (Al-Ahzab [33]: 39).
WASIAT KETUJUH: Tidak Suka Meminta-minta Sesuatu Kepada Orang Lain.
Orang yang dicintai Allah, Rasul dan manusia, adalah mereka yang tidak meminta-minta. Seorang Muslim harus berusaha makan dari hasil jerih payah tangannya sendiri. Seorang Muslim harus berusaha memenuhi hajat hidupnya sendiri dan tidak boleh selalu mengharapkan belas kasihan orang.
“Sungguh, seseorang dari kalian mengambil tali, lalu membawa seikat kayu bakar di punggungnya, kemudian ia menjualnya, sehingga dengannya Allah menjaga kehormatannya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada manusia. Mereka bisa memberi atau tidak memberi” (Riwayat Bukhari).
Demikianlah 7 wasiat Rasulullah SAW. Semoga kita berupaya menunaikannya.
[Abu Hasan-Husain/diambil dari Majalah Suara Hidayatullah edisi Mei 2008/www.hidayatullah.com]

Khamis, 19 Mei 2011

PESANAN RASULULLAH SAW TERHADAP WANITA DAN LELAKI


Pesanan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

1. Dunia ini ialah perhiasan dan SEBAIK-BAIK perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan ZINA,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3. Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu BERUNTUNG.

4. Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka MASUKLAH mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias BUKAN untuk suami nya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6. Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, TIDAK diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7. Wanita yang TAAT pada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air,malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

8. Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diHARAMkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9. Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam URUSAN agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan
mengadapnya.

10. Ya, FATIMAH, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11.Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan HAPUSKAN amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12.Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para MALAIKAT untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13.Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya PAHALA orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14.Apabila wanita melahirkan anak KELUARlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.



PESANAN UNTUK LELAKI:

"JANGAN engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah,dan yang hananah,dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah".

1. Wanita Ananah: Banyak mengeluh dan mengadu, dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

2. Wanita Mananah: Suka membangkit-bangkit tentang sesuatu terhadap suami. Wanita ini sering mengatakan 'aku buat tu keranamu'.

3. Wanita Hananah: Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4. Wanita Hadaqah: Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5. Wanita Baraqah: Ada dua makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah: Banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Oleh Imam Al-Ghazalli
Wallahu'alam.

KISAH KAROMAH SYEIKH NAWAWI

Kisah Syeikh Nawawi Diarak Keliling Ka`Bah Kemasyhuran dan nama besar Syeikh Nawawi al-Bantani kiranya sudah tidak perlu diragukan lagi. Mel...