Rabu, 1 Ogos 2012

MuTiArA KaTa


  • Setiap jiwa merindui kebenaran Ilahi, kerana di sebalik kerinduan itu tersimpan kenikmatan yang paling indah, yang sangat sukar untuk diucapkan dengan kata-kata. Hanya jiwa yang beriman dalam meneguk makrifatullah yang dapat merasakan betapa agungnya jiwa yang mahmudah.
    Imam Ali bin Abi Talib berpesan: “Tenangkanlah hati dalam waktu-waktu tertentu, kerana jika hati itu merasa letih ia akan menjadi buta”. Kemudian Ibnu Munkadir berkata: “Bagiku nikmat dunia ini hanya ada pada tiga perkara, qiamullail, silaturrahim dan solat berjemaah”. Wahai insan yang beriman, renungkanlah dirimu agar kamu mengetahui hakikat dirimu sendiri, dengan demikian kamu akan mengenali Pencipta Yang Maha Agung. Berilah penawar dalam jiwa agar ia tetap suci dan tunduk pada Ilahi

Selasa, 31 Julai 2012

Orang Zuhud Dikasihi Allah

Gambar hiasan
Rasulullah bersabda lebih kurang maksudnya,
“Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”.
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.

Zuhud itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.

Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri, “Apakah yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. 

Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.

Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) . 
Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu. Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.” 

Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunianya.

Apabila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.

Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.

Moga-moga tulisan ini dapat membantu kita untuk memahami tentang zuhud. Sekian.

Orang Mukmin Yang Tenang


Gambar hiasan

Riwayat: Bukhari Hadith:
Daripada Ibnu Umar R.huma katanya, bersabda Rasulullah SAW, "Orang mukmin sentiasa berada di dalam ketenangan agamanya (dengan mengharapkan rahmat Allah) selagi dia tidak menumpahkan darah secara haram (tidak pernah membunuh melainkan dengan kebenaran yang hak)".

Huraian Hadith: Orang mukmin yang tenteram ialah orang mukmin yang sentiasa menjaga haknya dan menjaga hak orang lain serta tidak menganiaya. Manusia itu sentiasa di dalam keadaan keluh kesah apabila menghadapi suatu ujian melainkan orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan menjaga hak-hak yang disuruh oleh Islam. Hendaklah dijauhi daripada perbuatan aniaya sesama mukmin kerana perbuatan tersebut akan merugikan agama Islam. Membunuh tanpa hak adalah dosa besar yang menutup harapan rahmat Allah dan menyebabkan pelakunya termasuk golongan orang yang putus asa daripada rahmat sekiranya dia tidak bertaubat. 

Isnin, 30 Julai 2012

Jangan Mendedahkan Aib Orang lain


Daripada Ibnu Umar r.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,
“Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”.

Huraian Hadith:
Setiap orang Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain. Setiap orang Islam berkewajipan menolong saudara seagamanya yang ditimpa kesusahan. Seorang Islam tidak boleh mendedahkan keburukan saudaranya kepada orang lain bahkan dia wajib merahsiakannya. Islam ialah agama yang mengutamakan persaudaraan, tolong-menolong dan lindung-melindungi daripada kemungkaran. Islam memelihara hak masyarakat dan menyeru umatnya merealisasikan jaminan sosial dalam semua bentuk kehidupan bermasyarakat sama ada kebendaan atau rohani.

Haram Mengkhianati Sesama Islam


Gambar hiasan


Riwayat: at-Tirmizi, katanya hadis hasan Hadith: 
Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah SAW, ”Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya. Taqwa adalah di sini (sambil mengisyaratkan kedadanya). Sudah cukup seseorang itu untuk dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam.”

Huraian Hadith: 
Haram bagi orang Islam mengkhianati dan mendustakan orang Islam yang lain. Menjadi kewajipan orang Islam untuk memelihara dan menjaga maruah dan harta benda orang Islam yang lain. Haram menumpahkan darah Islam sesama. Menghina seorang muslim adalah dosa besar kerana muslim ada penghormatannya di sisi Allah SWT. Taqwa bukan perbuatan yang boleh dilihat atau perkataan yang boleh didengar, taqwa adalah sifat yang tersemat dihati sanubari, jika suatu perbuatan atau perkataan didorong oleh sifat itu maka perbuatan dan perkataan itu adalah dalil taqwa yang tersemat dalam hati, tetapi kadang-kadang perbuatan atau perkataan itu didorong oleh faktor luaran seperti riya’ dan ‘ujub.

     

Hasad Dengki Adalah Haram


Gambar hiasan

Riwayat: Muslim Hadith: 
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: 

“Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, haratanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”


Huraian Hadith: 
Orang Islam tidak boleh bersifat dengki-mendengki, benci-membenci dan pulau memulau antara satu dengan lain. Orang islam tidak boleh membuat spekulasi harga yang bertujuan menipu orang ramai dalam urusan perniagaan. Orang Islam berkewajipan menjaga kepentingan orang Islam yang lain. Hasad dengki adalah haram kerana seolah-oleh menentang ketentuan Allah SWT. Memulaukan saudara seagama dengan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari adalah haram kecuali kerana sebab-sebab yang diharuskan. Islam ialah agama yang sempurna merangkumi aqidah, syariah (muamalah dan ibadah) dan akhlak, tidak sempurna salah satunya tanpa yang lain, kesemuanya terkumpul dalam satu kalimat iaitu “takwa” yang tempatnya ialah jantung hati.



Ahad, 29 Julai 2012

JAGA ADAB BERPUASA


Gambar hiasan

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: “Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan.”

Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.

Ulama Salaf berkata: “Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa.”

Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.
Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (Riwayat Muslim).

Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.

Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.

Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...