Jumaat, 4 September 2020

Bersyukur Dengan Apa Yang Ada

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

 إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (Sahih Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.  Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.  Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan fizikal akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. 

4.  Memandang kepada seseorang yang lebih rendah atau kurang daripada kita, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT. 

5.  Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki.


Wasiat Sepertiga Harta

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ مَرِضْتُ عَامَ الْفَتْحِ مَرَضًا أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى الْمَوْتِ فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا كَثِيرًا وَلَيْسَ يَرِثُنِي إِلَّا ابْنَتِي أَفَأُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَثُلُثَيْ مَالِي قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ فَالثُّلُثُ قَالَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ إِنْ تَدَعْ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَإِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً إِلَّا أُجِرْتَ فِيهَا حَتَّى اللُّقْمَةَ تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ 

Daripada 'Amir bin Sa'd bin Abu Waqqash dari bapaknya dia berkata; Pada tahun Fathu Makkah (pembukaan Kota Mekah), aku ditimpa sakit dan aku merasa akan mengalami kematian. Kemudian Rasulullah SAW telah datang menziarahiku, lalu aku pun bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak, sedangkan tidak ada orang yang akan mewarisiku kecuali anak perempuanku seorang diri. Bolehkah aku membuat wasiat terhadap semua hartaku?" Baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi: "Jika duapertiga daripada hartaku?" Baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi:, "Atau separuh darinya?" baginda menjawab: "Tidak." Aku bertanya lagi:, "Kalau begitu, sepertiga darinya?" Akhirnya baginda bersabda: "Sepertiga. Namun, sepertiga adalah jumlah yang banyak. Sesungguhnya, bila kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan fakir dan meminta-minta kepada manusia. Dan sesungguhnya setiap yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya engkau  akan diberi ganjaran pahala, walaupun sesuap makanan yang engkau berikan kepada isterimu."  (HR Tirmidzi No: 2042) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang berharta adalah lebih baik daripada mukmin yang  miskin dan meminta-minta.

2.  Setiap mukmin hendaklah membelanjakan harta kepada jalan yang membawa kepada kebajikan, bersederhana dan tidak pula sampai mengabaikan hak dan kewajipan.

3.  Harus berwasiat sepertiga harta yang ditinggalkan untuk tujuan kebajikan seperti wakaf, sedekah dan sebagainya.

4.  Meninggalkan ahli waris dalam keadaan berharta dengan harta pusaka yang ditinggalkan adalah lebih baik daripada membiarkan mereka miskin serta meminta-meminta kepada orang lain.

5.  Seorang mukmin yang kuat dan kukuh ekonominya, mempunyai kekayaan dengan jalan yang terhormat seperti hasil pewarisan harta faraid dari ibu bapa bukan dengan jalan tipu daya adalah suatu kebaikan.

6.  Membelanjakan harta dengan ikhlas kepada anak isteri serta menyimpan harta untuk keperluan ahli waris adalah mendapat pahala kerana menjaga silaturahim. Berbuat kebajikan kepada kaum kerabat adalah lebih utama daripada pemberian kepada orang lain.


Mendamaikan Perselisihan Lebih Utama

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2.  Mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah.

3.  Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan menzalimi, saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad akan memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257)

Marilah kita bersikap RAHMAH dengan berusaha mendamaikan perselisihan yang ada kerana ia adalah amal soleh yang utama. Jangan biarkan perbuatan yang menjadi pencukur amal pahala kita.


Jangan Memusuhi Sesama Muslim

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئً إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… (HR. Imam Malik dalam Al-Muwatha’ 5/1334, Sahih Muslim No:2565). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pintu syurga sentiasa terbuka untuk orang yang mendapat keampunan Allah. Terdapat pintu syurga yang dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Dalam hadis yang lain menyebutkan kelebihan hari Isnin dan Khamis:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Pelbagai amalan diangkat (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku diangkat  sedangkan aku sedang berpuasa.” (HR. Tirmidzi No: 747) Status: Hadis Hasan

2.  Allah sentiasa mengampuni dosa selagi seseorang itu tidak melakukan perbuatan syirik.

3.  Allah juga akan menangguhkan penerimaan amal dan keampunan daripada dua orang yang bermusuhan sehingga mereka berdamai.

4.  Rasulullah SAW mengulang 3 kali peringatan tidak diterima amal, mereka yang kekal  bermusuh sesama Muslim dan tidak segera berdamai.

5.  Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa orang yang memboikot saudaranya tanpa alasan yang benar selama setahun, dosanya seperti menumpahkan darahnya. Dari Abu Khirasy As-Sulami RA, Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ

“Siapa yang memboikot saudaranya setahun, dia seperti menumpahkan darahnya.” (HR Abu Daud 4915, dan dishahihkan oleh Syuaib Al-Arnauth).

Jadikanlah diri kita orang yang segera menamatkan permusuhan sesama Muslim jika ada, agar amal kita diterima dan mendapat pengampunan serta rahmat Allah.

Keji dan Kasar Ke Neraka

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ وَالْإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَذَاءُ مِنْ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Malu itu dari iman dan iman ada di syurga, sedangkan perkataan keji itu dari perangai yang kasar dan perangai yang kasar ada di neraka." (HR Ahmad No: 10108) Status: Perawi Tsiqah

Pengajaran:

1.  Malu adalah hasil dari iman.

2.  Kata Ibnu Umar: Sesungguhnya sifat malu dan iman itu bersamaan, apabila salah satu tercabut, yang satu lagi turut tercabut.

3.  Iman itu tempatnya di syurga.

4.  Perkataan keji kerana ketiadaan iman dan hilangnya sifat malu berpunca dari perangai kasar dan huduh antaranya mengumpat, memfitnah, dan mencaci maki antaranya melalui media sosial  seperti FB, WhatsApp, Telegram, Instagram.

5.  Perangai kasar dan buruk tempatnya di neraka.

Ayuh kita miliki sifat malu dan menjauhi sifat buruk ahli neraka.


Isnin, 24 Ogos 2020

BERAKHLAK DALAM PERTUTURAN

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ 

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu mati dan laknat! Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun menyukai kesantunan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(Sahih Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.  Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kesantunan dalam semua perkara.

3.  Rasulullah SAW menegur perbuatan Aisyah RA yang membalas ucapan Yahudi yang memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan Assam ‘alaikum yang membawa maksud buruk iaitu “Mati ke atas kamu”. Aisyah membalas dengan Alaikum sam wa laknatu membawa maksud  “Ke atas kamu mati dan laknat!”

4.  Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا 

 “Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.” (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

5.  Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. 

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

SeGeRa MoHoN MaaF

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ  قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ  إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ  وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda

Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. (HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain. 

2.  Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain,  sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3.  Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4.  Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5.  Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.(Surah al-Zumar : 31)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya. (HR: Tirmizi No: 3236)

Imam al-Suyuti ketika mengulas ayat ini berkata: “Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang dhaif menuntut haknya daripada orang yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulangi lagi.


Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada Sultan d...