Sabtu, 16 Jun 2012

Sabar...

Sabar adalah perkara utama dalam menjalani gelombang kehidupan. Sabarlah menitinya. Bersabarlah dengan segala kemungkinan, kesukaran, kesakitan dan kepayahan dalam mentaati perintah Allah [ mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya].
Bermohon sentiasa kepada Allah agar kita tergolong dalam golongan ahli sabar.

LIMA PERKARA ANIH

Gambar hiasan
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.”

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.”

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya.

Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, “Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”

Maka berkata Allah S.W.T., “Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Khamis, 14 Jun 2012

DOA SIMPATI DAN KASIH NABI KEPADA UMATNYA

Doa simpati dan kasih nabi kepada umatnya - Tafsir All-Maidah : 118

Ditulis oleh Presiden PAS
Firman Allah SWT yang maksudnya : "Aku tidak berupaya untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki, tetapi terpulang kepada Mu, wahai Tuhanku" (Al Maidah : 118).

Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa pada satu malam,. Rasulullah s.a.w bersembahyang dengan hanya membaca satu ayat ini sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud "...Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu, dan jika sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana."
(Al-Maidah : 118).

Sepanjang malam itu Rasulullah s.a.w hanya membaca ayat ini sahaja pada setiap rakaat sembahyangnya.

Diriwayatkan Nabi saw membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini.
Ayat ini bermaksud " Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118)

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As r.a bahawa Rasulullah s.a.w membaca ayat ini dan setelah selesai sembahyang baginda mengankat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis, "Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku..."
Menyebut sepanjang doanya dengan kalimah itu mengadu kepada Allah sehingga Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.

Allahlah Yang Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi-Nya, bersimpati dengan umatnya sekaligus kasih kepada umatnya, lebih daripada ibu bapa sayang kepada anaknya.
Ibu bapa sayang kepada anaknya hanya sekadar memberi makan dan minum serta pakaian di atas dunia ini sahaja.

Apabila mati, tidak diingat lagi. Adapun Nabi s.a.w sentiasa mengingati kepada umatnya sampai  baginda wafat dan sampai hari kiamat. Tetapi Allah lebih lagi daripada itu.
Berdoa sepanjang malam, setelah membaca ayat itu sepanjang malam, dan berdoa sambil mengadu tentang apa kesudahan umatnya, lalu Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.

Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad, tanyakanlah dia apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Muhammad.
Bagaimanapun Allah Maha Mengetahui tentang apa yang ada dalam diri Nabi s.a.w tetapi Allah tetap mengutuskan malaikat Jibrail untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.

Rasulullah s.a.w memberitahu kepadanya bahawa baginda s.a.w mengadu kepada Allah berkenaan dengan umatnya supaya Allah menyelamatkan umatnya pada hari kiamat.
Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami redha kepadamu dan ummatmu  dan Kami tidak akan melakukan apa-apa perkara memudaratkan umatmu."

Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Diberitahu kepadaku bahawa seramai 70 000 di kalangan umatku masuk syurga  dengan tiada hisab dan setiap orang daripada 70 000 ini diikuti oleh 70 000 orang yang lain, masuk syurga dengan tiada hisab."
Yakni diberi syafaat oleh 70 000 orang ini disamping syafaat Nabi saw yang diberikan kepada ummatnnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibu Kathir di dalam tafsirnya sebagai tambahan daripada hadis ini bahawa Allah memberi keistimewaan di mana Dia tidak akan memperlakukan keburukan kepada umat Muhammad.

Dengan syarat umat Muhammad itu mestilah menjaga dua kalimah syahadah, jangan membatalkan dua kalimah  syahadah, jangan melakukan perkara yang membatalkan Islam, mestilah mengikut ajaran Nabi saw sebagaiman yang disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud, "peganglah dengan gigi geraham kamu."

Yakni ajaran Rasulullah saw itu bukan sahaja dipegang dengan tangan bahkan dipegang dengan gigi geraham (dengan kuat) tidak berganjak.
Tidak undur walaupun sedikit dari ajaran Nabi saw. Jika seseoarang itu mempunyai dosa, ada harapan mendapat syafaat Rasulullah saw serta mendapat rahmat yang diberi oleh Allah kepada umat Muhammad saw.

http://presiden.pas.org.my
Jika ada terasa rindu pada Rasalullah saw maka berbanyakkanlah solawat keatas nya...
Dan solawat yang makbul ketika menyahut azan semasa ucapan Asyhadu anna MuhammadarRasulillah ...maka mengadah tangan sambil menyahut sambungan kalimah tadi  dengan ayat;
 Marhaban Ya Habibi Ya Qurratul'ain Ya Rasulallah ..kemudian tiup dan  hembuskan ditelapak tangan kemudian disapukan kedua mata,,Insya Allah jika Allah izinkan niscaya kita dapat berjumpa Rasulillah saw di dalam Mimpi kita..dan membaca solawat setelah azan.
sebab Syaithon tidak boleh menyerupai rupa Rasulillah saw.
Alangkah bahagianya orang yang dapat temu kekasih hatinya Rasulillah saw..Doa nya selalu bertawassul dengan baginda yang mulia..
Tetapi dengan syarat hati kita mesti selalu dibersihkan dengan berbanyak baik sangka ,mulut dan lidah sellau dibasahi dengan Zikrullah serta ayat2 Allah swt selalu menjadi peringatan dan ajaran yang membimbingnya kejalan yang benar..ilmu bermenfaat untuk dirinya dan bermenfaat kepada orang lain jua..dihiasi Akhlaq yang sama diajari oleh Baginda Rasulillah saw..Masya Allah..
Wabittaufiq wal hidayah
Wassalam.

RINDU RASULULLAH TERHADAP UMATNYA

Gambar hiasan
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.
Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

http://www.iluvislam.com

Rabu, 13 Jun 2012

JANGAN MENANGIS...

Gambar hiasan
Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”

Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, “Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu.”

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.”

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahwa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,

“Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.” (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, “Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, “Umatku, umatku.”

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata,

“Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W”

Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. “Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.” Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S.

“Wahai Jibril, Apakah air itu?

” Maka Jibril berkata, “Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu.” Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W,

” Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”

JEJAK TERPINGGIR


Maha Pencipta
kuhadap diri kepada-Mu
Kuserahkan jiwa ragaku
Kubongkokkan tubuhku
Kuluruskan kiblatku
Kurapatkan sujudku
Kubersimpuh dudukku
Kanan dan kiri kuhulurkan salam
Munajat aku hambaMu yang naif
Pohon restu redha rahmat-Mu
Resahku panjangkan ke arah-Mu
Rintihku sendu rayu hak-Mu
Pimpinkan tanganku atas landasan nan satu
Pautkan jemariku dengan ehsan-Mu
Genggamkan tubuhku selaut kasih-Mu
Debungakan jiwa nuraniku segunung ilham-Mu
Cahayakan matahatiku seindah sayang-Mu
Kudambakan sentuhan tasbih-Mu
Kuimpikan lembayung cinta-Mu
Kurindukan jejak damai-Mu
Kerna kucari damai abadi

[catatan sahabat-pelangi]

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada Sultan d...