Khamis, 28 September 2023

KITA DENGAN ALLAH

‎۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

"Allah سبحانه وتعالى lebih dekat dengan dirimu daripada dirimu sendiri. Allah سبحانه وتعالى lebih dekat dengan kita daripada bayang kita sendiri. Jika kamu berada di dalam satu Khalwah (Berseorangan) yang tidak ada sesiapa dengan kamu melainkan dalam gelap, kemudian nafsumu memanggil kamu untuk melakukan maksiat kepada Allah سبحانه وتعالى di dalam Khalwah itu, maka malulah daripada Penglihatan Allah سبحانه وتعالى kepada kamu.

Dan berkatalah kepada nafsumu, sesungguhnya yang menciptakan kegelapan ini sedang melihat aku. Ada sebuah cerita di zaman Khalifatul Muslimin, Saidina Umar Al-Khattab رضي اللَّه عنه وأرضاه. Setiap tengah malam beliau akan keluar daripada rumahnya untuk meronda sekitar kota Madinah atas kerelaannya dan tanggungjawabnya sebagai Khalifah negara untuk memastikan semua rakyatnya dalam keadaan baik dan serba cukup.

Mungkin ada dikalangan rakyatnya ada masalah, sakit, berhajat dan sebagainya. Bila di tengah malam disunnahkan setiap rumah ataupun sebelum tidur mesti tutup lampu. Jika Amirul Mukminin dapati ada rumah yang masih bercahaya, maknanya penghuni di dalamnya masih belum tidur dan inilah petanda bagi Amirul Mukminin tahu bahawa ahli rumah itu mesti ada masalah, mesti ada hajat, mesti ada yang sakit dan sebagainya.

Tiba-tiba ada satu malam, semasa beliau meronda satu kawasan, beliau dapati ada sebuah rumah yang masih bercahaya. Amirul Mukminin pun pergi dekat dengan rumah itu. Kemudian beliau terdengar satu perbualan antara seorang perempuan dengan seorang perempuan yang lain. Kata perempuan yang pertama, "Campurlah air itu dengan susu, supaya susu itu jadi banyak dan penuh, dan kita pun boleh untung banyak semasa penjualan esok."

Kemudian perempuan yang kedua itu kata, "Sesungguhnya Amirul Mukminin melarang perbuatan ini, Amirul Mukminin melarang kita mencampurkan air dengan susu." Balas perempuan yang pertama itu, "Sesungguhnya Amirul Mukminin sekarang sedang tidur, tidak nampak apa yang kita buat." Berkata perempuan yang kedua, "Jika Amirul Mukminin tidak nampak kita maka sesungguhnya Tuhan Amirul Mukminin sedang Melihat perbuatan kita."

Terus perempuan yang pertama itu tak berani nak kata apa-apa. Sebelum Saidina Umar Al-Khattab رضي اللَّه عنه وأرضاه pulang ke rumahnya, beliau meletakkan tanda pada permukaan pintu rumah tersebut. Kemudian esoknya Saidina Umar minta seorang daripada pembantunya pergi ke rumah yang bertanda itu untuk siasat adakah perempuan di dalam rumah itu sudah kahwin atau belum.

Setelah selesai menyiasat, pembantunya terus kembali kepada Saidina Umar dan menyampaikan satu berita kepadanya, "Wahai Amirul Mukminin, di dalam rumah itu ada seorang ibu tunggal yang tinggal bersama dengan seorang anak perempuannya." Kemudian Saidina Umar terus masuk meminang dengan perempuan itu untuk anak lelakinya, Abdul Aziz.

Daripada perempuan yang solehah itu maka lahirlah zuriat yang soleh atau seorang yang luar biasa yakni Saidina Umar bin Abdul Aziz رضي اللَّه عنهم وأرضاهم. Di zaman Saidina Umar bin Abdil Aziz, bukan sahaja manusia bahkan haiwan yang liar menjadi kawan baik dengan haiwan yang jinak. Seperti Serigala dan kambing menjadi kawan di zaman Saidina Umar bin Abdil Aziz sahaja. Tidak ada binatang atau haiwan yang besar lawan atau makan daripada binatang yang kecil di zaman itu.

Satu hari pengembala kambing yang sedang menjaga kambingnya itu berada di bawah pohon kurma, antara kambing kambingnya itu ada serigala bersama kambingnya. Maknanya dia menjaga dua jenis binatang dalam satu masa dalam keadaan aman. Tiba-tiba pada waktu petang selepas asar, serigala itu bertukar menjadi liar kemudian menerkam kambing-kambingnya dan makannya.

Terus tuan kambing itu melafazkan Innalillahi wa inna ilaihi rojiun, sesungguhnya Khalifah Allah yang sebenarnya, yang menjaga Hak dan Amanah Allah سبحانه وتعالى, yang menyebabkan jahat jadi baik iaitu Saidina Umar Abdil Aziz sudah meninggal dunia. Macam mana dia tahu? Kalau beliau masih hidup, serigala itu tidak akan berani makan kambingnya.

'Ala kulli hal, Inilah Muroqobah yang sebenarnya. Di mana sahaja kamu berada, disitulah Allah سبحانه وتعالى, dengan Qudrah-Nya, dengan Rahmat-Nya, dengan Maghfirah-Nya, di mana sahaja kamu berada berharaplah kepada Allah سبحانه وتعالى. Tidak ada yang ketiga melainkan Allah yang keempat.

Kadang-kadang kita lambat masuk kerja, minta tolong sahabat kita punchkan untuk kita supaya tidak ada record lambat, tapi ini salah. Haram. Khianat. Gaji kamu jadi haram. Haram itu maknanya Neraka. Kalau ada anak dan isteri, kamu bagi anak dan isteri kamu makan Kemurkaan Allah سبحانه وتعالى.

Saidina Imam Al-Ghazali رضي اللَّه عنه وأرضاه berkata, RM1 yang Haram, ia boleh merosakkan sejuta ringgit yang halal. Kalau lewat masuk kerja, lewatlah. Biarkan boss potong gaji kamu daripada Allah سبحانه وتعالى potong Rahmat-Nya untuk kamu. Rezeki itu datang daripada Allah سبحانه وتعالى, bukan daripada boss manusia macam kamu.

Semoga Allah سبحانه وتعالى bersama kita dengan Rahmat-Nya. Semoga kita bersama Allah سبحانه وتعالى dengan Keyakinan dan Ketaatan kepada-Nya.

آمين اللَّهم آمين برحمتك يا أرحم الراحمين."

[Sheikh Abdullah bin Muhammad bin Salim Al-Jahaf حفظه اللَّه تعالى]

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

SABAR DENGAN PASANGAN

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

"Kata Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sha’rawi, "Seseorang boleh diangkat darjatnya oleh Allah سبحانه و تعالى dengan bersabar dengan perkara yang tak disukainya pada pasangannya."

Sebab Allah menjanjikan - "Jika kamu tak suka pada pasangan kamu tapi kamu bersabar, Allah سبحانه و تعالى berjanji akan berikan kebaikan yang banyak."

Sabar dan Allah akan beri kebaikan yang banyak, atau jika kamu tak sabar, maka akan berlaku perceraian.

Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sha’rawi menceritakan : Ada seorang itu jika datang ke majlis, wajahnya berseri-seri dan disanjung orang. Setelah beberapa lama, tiada lagi apa yang pernah dilihat padanya.

Lalu ditanya padanya, "Dulu kami nampak kamu lain macam, tapi sekarang sudah tidak ada apa yang kami nampak dulu."

Jawabnya, "Ya, dulu saya diganggu isteri saya dan saya bersabar sehingga saya diberi kebaikan yang banyak. Tapi sekarang isteri saya sudah meninggal dunia dan kebaikan itu tiada lagi diberikan kepada saya."

Intinya - Peganglah apa yang dijanjikan Allah سبحانه و تعالى untuk mendahulukan ehsan berbanding adil!

Beri hak pasangan tanpa terlalu menuntut hak diri sendiri, bahkan kalau boleh beri lebih daripada yang sepatutnya.

Kalau kita mulakan berlaku ehsan kepada pasangan, pasangan juga akan berlaku ehsan pada kita, maka kehidupan rumah tangga kita macam di syurga. Kalau tak percaya, buat."

- disunting daripada Majlis Ta'lim Darul Murtadza bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, 15.01.2016

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama 

MEMAHAMI KONSEP REZEKI YANG BERKAT

 ‎۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

Pada satu masa dulu, ada sorang lelaki tua di zaman Nabi Musa AS. Beliau sentiasa sibuk berzikir kepada Allah ‎سبحانه و تعالى tetapi agak terganggu sedikit kerana setiap hari beliau asyik fikir risau pasal rezeki beliau. Setiap hari rezeki yang beliau perolehi adalah sebuku roti sahaja.

Pada suatu hari, Nabi Musa AS lalu di tempat orang tua tersebut. Orang tua itu pun terfikir peluang yang terbaik untuk minta Nabi Musa AS tanyakan kepada Allah ‎سبحانه و تعالى tentang rezekinya. 

Beliau pun beri salam Nabi Musa AS dan dengan teragak-agak beliau bertanya.

"Nanti tuan tolong tanyakan Allah, bolehkah tuan memohon Allah meningkatkan rezeki saya? Dari dulu sampai sekarang, saya dapat sebuku roti setiap hari. Saya berhajat untuk dapat lebih. Bolehkah saya dapat lebih daripada itu?

Jika tuan bertanya kepada-Nya, sesungguhnya pasti Allah akan menjawab permintaan tuan dan memberikan saya lebih."

Nabi Musa pun setuju, kemudian selepas bertanya, Nabi Musa mendapat jawapan bahawa rezeki yang telah ditetapkan dan ditakdirkan kepada orang tua ini memang sebuku roti setiap hari sepanjang hayatnya. 

Nabi Musa pun sampaikan kepada orang tua itu apa yang dia diberitahu. 

Orang tua itu berasa sungguh gembira, terpancar kegembiraan.

Nabi Musa terkejut dengan tindak balas orang tua itu lalu Nabi Musa AS bertanya tentang kegemaran lantas lelaki tua itu menjawab, "Jika dah ditakdirkan, maka saya tidak mempunyai apa-apa yang perlu dibimbangkan. Sekurang-kurangnya saya akan sentiasa menerima satu buku roti untuk sepanjang hidup saya!" Dan beliau kembali untuk solat dan ibadahnya.

Setelah beberapa bulan berlalu, ketenangan lelaki tua itu meningkat dengan pengetahuan bahawa beliau tidak perlu risau bimbang tentang rezekinya.

Ini membolehkan beliau memberi tumpuan lebih kepada ibadah beliau kepada Allah, yang menyebabkan beliau mempunyai masa yang kurang tumpuan kepada makanan dan juga kurang masa untuk makan.

Jadi, dari beliau memakan satu buku roti sehari, beliau hampir tidak berjaya makan separuh roti.

Baki roti tu kemudian diletakkan di satu sudut. Tidak lama kemudian, longgokan di sudut tu mula menimbun sehingga ia menjadi satu timbunan besar.

Pada satu pagi, ada pengembala lalu di kampung tersebut dan berhenti untuk bercakap dengan lelaki tua itu. Dia sedang mencari rumput kering untuk ternakan beliau tetapi tidak berjaya menjumpai apa-apa makanan. 

Orang tua itu berkata kepadanya, "Apa kata kalau kamu bawa roti-roti yang terletak dalam timbunan itu, lembutkan semuanya dengan air dan berilah makan kepada haiwan anda!" Pengembala itu pun lakukan seperti apa yang dicadangkan orang tua itu dan haiwan ternakan dia pun makan semua roti itu sampai habis.

Sebagai tanda berterima kasih kepada orang tua itu, pengembala itu memberikan seekor kambing ternakan dan meneruskan perjalanan.

Masa berlalu bertahun-tahun dan apabila Nabi Musa AS lalu lagi kawasan orang tua itu.

Dengan kagum beliau mendapati tempat orang tua itu tinggal, telah bertukar menjadi sebuah taman.

Ada pokok-pokok buah-buahan tumbuh berhampiran, dan haiwan-haiwan ternakan meragut tidak jauh dari situ. 

Terdapat sebuah ladang gandum dan suasana kesejahteraan. Nabi Musa AS mendapat tahu bahawa semua ini adalah milik orang tua yang sama.

Nabi Musa pun menjadi hairan, kerana dia tahu apa yang ditulis dalam takdir orang tua itu - sebuku roti sehari - Nabi Musa AS pergi untuk mengetahui apa yang terjadi. 

"Bagaimana ini boleh berlaku? Sebuku roti sehari adalah apa yang tertulis. Namun dia memiliki begitu banyak lagi."

Rupanya satu buku roti adalah rezeki yang telah ditulis untuk orang tua itu. 

Pokok-pokok buah-buahan, binatang ternakan dan ladang tanaman adalah BARAKAH sebab penerimaan terhadap  apa yang telah tertulis untuk kehidupan beliau dengan penuh redha dan syukur serta keberkatan sedekah yang dilakukannya.

Semua itu adalah ganjaran atas kepercayaan sempurna pada Allah ‎سبحانه و تعالى.

Dan juga hasil daripada peralihan dalam tumpuan dari apa yang beliau mahu, kepada mensyukuri dan menikmati apa yang beliau ada sehinggakan walaupun selepas makan seberapa banyak yang beliau mahu, beliau tetap mempunyai baki. Keperluannya telah menjadi sangat kecil.

Melimpahnya barakah ini diberikan dalam kehidupan orang tua itu disebabkan sifat pemurahnya dan kesediaan untuk berkongsi apa yang beliau ada.

Jadi rezeki memang ditakdirkan.

Tetapi...

BARAKAH datang apabila kita bertaqwa kepada Allah ‎سبحانه و تعالى, apabila kita bermurah hati dengan apa yang kita ada, apabila kita bersyukur dan apabila kita meletakkan ibadah dan zikir Allah ‎سبحانه و تعالى di atas segala-galanya.

Semoga Allah ‎سبحانه و تعالى menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang taat, redha, pemurah dan bersyukur. InsyaAllah. Amin Allahuma amin.

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

Bersihkan Hatimu ...

 ۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

"Bersihkan hatimu selalu, agar terbuka pintu kebaikan dan pandangan rahmah. Bila hati mulai bersih, tidak ada kebencian, tidak ada iri hati kepada sesama. Yang ada hanya kasih sayang dan penuh cinta kepada sesama saudara.

Nabi Muhammad ‎ﷺ bersabda: "Sesungguhnya dalam jasad ada segumpal daging. Sekiranya ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, sebaliknya sekiranya ia buruk, buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah daging itu adalah hati."-[HR Bukhari & Muslim]

Segala pekerjaan yang kita lakukan dinilai daripada amalan hati kita. Hal itu berkaitan dengan amalan hati kita. Apabila niat kita ikhlas hanya karena Allah semata-mata, amalan kita adalah tinggi nilainya. Apabila niat kita tertuju, bukan karena ingin mendapat keridhoan Allah, tetapi untuk mendapat pujian atau ingin disanjung orang lain, amalan kita tidak bernilai dan tidak akan berarti lagi."

[Habib Anis bin Alwi Al-Habsyi]

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

SEBAHAGIAN TANDA TAUBAT

 ۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA TAUBAT (SESEORANG) ITU DITERIMA DAPAT DILIHAT DI DALAM 8 PERKARA :-

1) RASA TAKUT TERHADAP LIDAHNYA-- Lidah akan di jaga dan dihalang dari berbuat dusta, mengumpat, banyak bercakap dan akan digunakan untuk sentiasa berzikrullah dan membaca Al-Quran.

2) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN PERUTNYA -- Maka ia tidak akan memasukkan sesuatu ke dalam perutnya kecuali yang halal sekalipun sedikit.

3) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN MATANYA- Maka ia tidak akan memandang yang haram dan tidak pula memandang kepada dunia dengan pandangan kasih terhadapnya, tetapi pandangannya terhadap dunia itu adalah sebagai pengajaran.

4) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN TANGANNYA- Maka ia tidak akan mengambil yang haram, tetapi ia akan mengambil sesuatu yang membawa kepada ketaatan (kepada Allah).

5) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN KEDUA KAKINYA- Maka ia tidak akan berjalan dengan kedua-dua kakinya itu untuk perkara maksiat, tetapi ia akan berjalan untuk perkara ketaatan kepada Allah.

6) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN HATINYA- Ia akan membuangkan dari hatinya itu sifat permusuhan, marah dan hasad dengki terhadap saudara-saudara dan ia akan memasukkan ke dalam hati itu nasihat yang baik dan sifat lembut dan belas kasihan di antara orang-orang Islam.

7) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN PENDENGARANNYA- Tidak mendengar kecuali perkara yang benar.

8) RASA TAKUT TERHADAP URUSAN PERKARA-PERKARA KETAATAN (KEPADA ALLAH).

- Ia akan menjadikan perkara-perkara ketaatan itu semata-mata ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah, menjauhkan rasa riak dan berpura-pura.

Dipetik daripada buku : Membentuk Jiwa Sufi : Ajaran Tariqah Naqsyabandiyah Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi ra. - Muka surat : 111-112.

Penterjemah : Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek Al-Khalidi.

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

Wahai Guru ...

 ۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

Ditanya oleh seorang murid kepada gurunya;

"Wahai guru, apakah adab?"

Jawab guru;"Adab ialah apabila kamu meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan perbuatanmu itu tidak menyakitkan manusia yang lain, serta memberi faedah dan manfaat kepada orang lain."

Si murid bertanya lagi;"Wahai guruku, bagaimanakah aku hendak mengambil contoh dari segala adab dan akhlak tersebut?"

Jawab si guru tersebut;"Tidakkah satu adab dan akhlak yang baik itu datang daripada semulia-mulia ciptaan yang Allah telah jadikan? Maka ambillah contoh adab dan akhlak daripada penghulu bagi sekalian makhluk iaitu Sayyidina Muhammad ‎ﷺ."

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'


TIGA golongan ...

Ia tentang TIGA golongan yang PALING DEKAT kedudukannya dengan RASULULLAH  صلى الله عليه وسلم kelak di hari akhirat. Mereka adalah seperti berikut;

1. Paling banyak berselawat.

"Orang yang paling dekat denganku di hari kiamat nanti adalah orang yang paling banyak bersalawat ke atasku."- At-Tirmidzi رحمه الله]

2. Paling baik akhlaknya.

"Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya denganku di hari kiamat kelak adalah orang yang paling baik akhlaknya. -[HR Imam At-Tirmidzi رحمه الله]

3. Menjaga dan mengasihi anak yatim.

"Aku dan orang yang memelihara anak yatim (kedudukannya) di syurga kelak adalah seperti ini." Lalu Baginda صلى الله عليه وسلم mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dengan merenggangkan sedikit antara keduanya.-[HR Imam Al-Bukhari رحمه الله]


Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...