۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞
"Allah سبحانه وتعالى lebih dekat dengan dirimu daripada dirimu sendiri. Allah سبحانه وتعالى lebih dekat dengan kita daripada bayang kita sendiri. Jika kamu berada di dalam satu Khalwah (Berseorangan) yang tidak ada sesiapa dengan kamu melainkan dalam gelap, kemudian nafsumu memanggil kamu untuk melakukan maksiat kepada Allah سبحانه وتعالى di dalam Khalwah itu, maka malulah daripada Penglihatan Allah سبحانه وتعالى kepada kamu.
Dan berkatalah kepada nafsumu, sesungguhnya yang menciptakan kegelapan ini sedang melihat aku. Ada sebuah cerita di zaman Khalifatul Muslimin, Saidina Umar Al-Khattab رضي اللَّه عنه وأرضاه. Setiap tengah malam beliau akan keluar daripada rumahnya untuk meronda sekitar kota Madinah atas kerelaannya dan tanggungjawabnya sebagai Khalifah negara untuk memastikan semua rakyatnya dalam keadaan baik dan serba cukup.
Mungkin ada dikalangan rakyatnya ada masalah, sakit, berhajat dan sebagainya. Bila di tengah malam disunnahkan setiap rumah ataupun sebelum tidur mesti tutup lampu. Jika Amirul Mukminin dapati ada rumah yang masih bercahaya, maknanya penghuni di dalamnya masih belum tidur dan inilah petanda bagi Amirul Mukminin tahu bahawa ahli rumah itu mesti ada masalah, mesti ada hajat, mesti ada yang sakit dan sebagainya.
Tiba-tiba ada satu malam, semasa beliau meronda satu kawasan, beliau dapati ada sebuah rumah yang masih bercahaya. Amirul Mukminin pun pergi dekat dengan rumah itu. Kemudian beliau terdengar satu perbualan antara seorang perempuan dengan seorang perempuan yang lain. Kata perempuan yang pertama, "Campurlah air itu dengan susu, supaya susu itu jadi banyak dan penuh, dan kita pun boleh untung banyak semasa penjualan esok."
Kemudian perempuan yang kedua itu kata, "Sesungguhnya Amirul Mukminin melarang perbuatan ini, Amirul Mukminin melarang kita mencampurkan air dengan susu." Balas perempuan yang pertama itu, "Sesungguhnya Amirul Mukminin sekarang sedang tidur, tidak nampak apa yang kita buat." Berkata perempuan yang kedua, "Jika Amirul Mukminin tidak nampak kita maka sesungguhnya Tuhan Amirul Mukminin sedang Melihat perbuatan kita."
Terus perempuan yang pertama itu tak berani nak kata apa-apa. Sebelum Saidina Umar Al-Khattab رضي اللَّه عنه وأرضاه pulang ke rumahnya, beliau meletakkan tanda pada permukaan pintu rumah tersebut. Kemudian esoknya Saidina Umar minta seorang daripada pembantunya pergi ke rumah yang bertanda itu untuk siasat adakah perempuan di dalam rumah itu sudah kahwin atau belum.
Setelah selesai menyiasat, pembantunya terus kembali kepada Saidina Umar dan menyampaikan satu berita kepadanya, "Wahai Amirul Mukminin, di dalam rumah itu ada seorang ibu tunggal yang tinggal bersama dengan seorang anak perempuannya." Kemudian Saidina Umar terus masuk meminang dengan perempuan itu untuk anak lelakinya, Abdul Aziz.
Daripada perempuan yang solehah itu maka lahirlah zuriat yang soleh atau seorang yang luar biasa yakni Saidina Umar bin Abdul Aziz رضي اللَّه عنهم وأرضاهم. Di zaman Saidina Umar bin Abdil Aziz, bukan sahaja manusia bahkan haiwan yang liar menjadi kawan baik dengan haiwan yang jinak. Seperti Serigala dan kambing menjadi kawan di zaman Saidina Umar bin Abdil Aziz sahaja. Tidak ada binatang atau haiwan yang besar lawan atau makan daripada binatang yang kecil di zaman itu.
Satu hari pengembala kambing yang sedang menjaga kambingnya itu berada di bawah pohon kurma, antara kambing kambingnya itu ada serigala bersama kambingnya. Maknanya dia menjaga dua jenis binatang dalam satu masa dalam keadaan aman. Tiba-tiba pada waktu petang selepas asar, serigala itu bertukar menjadi liar kemudian menerkam kambing-kambingnya dan makannya.
Terus tuan kambing itu melafazkan Innalillahi wa inna ilaihi rojiun, sesungguhnya Khalifah Allah yang sebenarnya, yang menjaga Hak dan Amanah Allah سبحانه وتعالى, yang menyebabkan jahat jadi baik iaitu Saidina Umar Abdil Aziz sudah meninggal dunia. Macam mana dia tahu? Kalau beliau masih hidup, serigala itu tidak akan berani makan kambingnya.
'Ala kulli hal, Inilah Muroqobah yang sebenarnya. Di mana sahaja kamu berada, disitulah Allah سبحانه وتعالى, dengan Qudrah-Nya, dengan Rahmat-Nya, dengan Maghfirah-Nya, di mana sahaja kamu berada berharaplah kepada Allah سبحانه وتعالى. Tidak ada yang ketiga melainkan Allah yang keempat.
Kadang-kadang kita lambat masuk kerja, minta tolong sahabat kita punchkan untuk kita supaya tidak ada record lambat, tapi ini salah. Haram. Khianat. Gaji kamu jadi haram. Haram itu maknanya Neraka. Kalau ada anak dan isteri, kamu bagi anak dan isteri kamu makan Kemurkaan Allah سبحانه وتعالى.
Saidina Imam Al-Ghazali رضي اللَّه عنه وأرضاه berkata, RM1 yang Haram, ia boleh merosakkan sejuta ringgit yang halal. Kalau lewat masuk kerja, lewatlah. Biarkan boss potong gaji kamu daripada Allah سبحانه وتعالى potong Rahmat-Nya untuk kamu. Rezeki itu datang daripada Allah سبحانه وتعالى, bukan daripada boss manusia macam kamu.
Semoga Allah سبحانه وتعالى bersama kita dengan Rahmat-Nya. Semoga kita bersama Allah سبحانه وتعالى dengan Keyakinan dan Ketaatan kepada-Nya.
آمين اللَّهم آمين برحمتك يا أرحم الراحمين."
[Sheikh Abdullah bin Muhammad bin Salim Al-Jahaf حفظه اللَّه تعالى]
Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'
instagram | telegram : @kalam_ulama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan