Rabu, 27 September 2023

KISAH WALI ALLAH YANG DITUDUH MENCURI

 ۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

Kisah ini diceritakan oleh Zun-Nun Al-Misri (r.a) di mana pada suatu hari beliau bercadang untuk pergi ke seberang laut untuk mencari barangan yang dihajatinya. Setelah persiapan diatur, beliau telah membeli tiket untuk menaiki kapal menuju ke tempat yang dihajatinya tersebut.

Kapal yang dinaiki oleh Zun-Nun penuh sesak dengan orang ramai. Di antara penumpang-penumpang yang menaiki kapal tersebut, ada seorang pemuda yang sangat kacak paras rupanya, wajahnya bersinar cahaya.

Pemuda itu duduk di tempat duduk dengan tenang sekali, tidak seperti penumpang lain yang kebanyakkannya mundar-mandir di atas kapal itu.

Keadaan di dalam kapal tersebut agak panas kerana suasana di dalam kapal tersebut penuh sesak dengan penumpang. Pada peringkat permulaan pelayaran, keadaannya berjalan dengan lancar sekali, keadaan laut tidak bergelombang dan angain bertiup tidak terlalu kencang.

Dalam suasana yang tenang itu tiba-tiba mereka dikejutkan dengan pengumuman yang dibuat oleh kapten kapal, bahawa dia telah kehilangan satu barang yang sangat berharga.

Satu pemeriksaan akan dijalankan sedikit masa lagi. Semua penumpang diingatkan supaya duduk di tempat masing-masing.

Keadaan di dalam kapal tersebut telah menjadi hingar-bingar kerana penumpang sibuk bercakap dan berpandangan di antara satu sama lain.

Masing-masing membuat andaian tersendiri mengenai kehilangan barang tersebut.

Tidak berapa lama kemudian, pemeriksaan dilakukan seorang demi seorang, semua beg, barang-barang digeledah tetapi tidak menjumpai barang yang dicari. Akhirnya sampai kepada pemuda yang disebutkan oleh Zun-Nun.

Oleh kerana pemuda itu orang terakhir yang diperiksa, pada anggapan orang ramai dan pegawai pemeriksa sudah tentu pemuda ini yang mencuri barang tersebut.

Maka pemuda itu diperlakukan dengan kasar sekali di dalam pemeriksaan tersebut, pemuda itu memprotes di atas tindakan kasar yang dilakukan oleh pegawai pemeriksa sambil berkata, bahawa dia bukannya seorang pencuri. 

Dengan protes tersebut, ia menambahkan lagi syak wasangka pegawai dan kapten tersebut.

Oleh kerana tidak tahan dengan kekasaran yang dilakukan oleh pegawai pemeriksa tersebut, maka pemuda itu terjun ke laut. Penumpang-penumpang lain kehairanan memerhatikan tingkah laku pemuda itu. Walaupun ia terjun ke laut namun pemuda itu tidak tenggelam, malah ia terapung-apung di atas permukaan air.

Pemuda itu berdoa kepada Allah dengan suara yang keras dan kuat sekali,

"Ya Allah! Mereka sekalian menuduhku pencuri, demi Zat-Mu, wahai Tuhan yang membela orang teraniaya, perintahkan ikan-ikan di laut supaya timbul dan membawa permata-mata berharga di mulutnya."

Tidak lama kemudian, dengan kuasa Allah beribu-ribu ikan timbul di permukaan laut dan kelihatan di mulutnya batu-batu permata yang berkilauan cahayanya.

Semua orang yang berada di atas kapal bersorak dan menepuk tangan kepada pemuda itu. Kapten kapal dan pegawai-pegawainya sungguh terperanjat dan bingung seolah-oleh tidak percaya apa yang telah mereka lihat.

Pemuda itu berkata, "Apakah kamu sekalian masih menuduhku sebagai pencuri pada hal perbendaharaan Allah ada di tanganku dan jika mahu aku boleh mengambilnya."

Kemudian pemuda itu menyuruh ikan-ikan tersebut kembali ke tempat asal mereka dan pemuda itu berdiri dan berlari di atas air dengan cepat sekali sambil menyebut ayat ke-4 surah Al-Fatihah yang bermaksud, "Hanya kepada-Mu-lah aku menyembah dan hanya kepada-Mu pula aku meminta bantuan."

Kisah ini menunjukkan bahawa seseorang itu jangan terburu-buru dalam melemparkan tuduhan kepada orang lain, sentiasa bersangka baik sesama manusia kerana Allah menyembunyikan para wali-Nya d ikalangan hamba-Nya.

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...