gambar hiasan |
Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu'anh. Kisah ini dipetik dan diolah kembali daripada kitab "Kanzul Minan 'Ala Hikami Abi Madyan", yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu'anh yang telah disusun/ diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera. Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera tersebut telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Sayyidi Ibrahim bin Adham langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.
Setelah kejadian tersebut berlaku dan Sayyidi Ibrahim bin Adham pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu, "Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau.”
Tentera itu agak kehairanan dengan doa Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana perbuatan biadabnya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemaafan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu lantas bertanya kepada Ibrahim bin Adham, "Kenapa memaafkanku wahai tuan?”
Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham, "Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau dan aku bersabar dengannya, maka aku akan dimasukkan ke dalam syurga. Maka seharusnyalah aku berterima kasih kepada engkau. Justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau.”
Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.
Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta'ala. Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh para 'ulama dan awliya' yang semuanya pada hakikatnya adalah merupakan limpahan daripada cahaya Rasulullah sallallahu 'alayhi wassalam.
Wallahu’alam
-Artikel.iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan