Sara kaji Islam sebelum syahadah
Susunan ZUARIDA MOHYIN
MEMBACA al-Quran merupakan satu sumber yang membuka pintu hati Sara kepada Islam. - Gambar hiasan
IBU bapa saya mengatakan bahawa orang Islam itu berperangai buruk, pengganas dan suka menyeksa orang lain. Jadi pandangan saya tentang Islam adalah negatif.
Rupa-rupanya saya silap! Pertama kali saya mendengar tentang Islam ialah kira-kira tiga tahun yang lalu. Pada waktu itu saya berada di sebuah sekolah menengah dan ramai di kalangan teman-teman sekolah saya adalah orang Islam.
"Mereka sangat baik, peramah dan mengambil berat. Ada sekali itu, saya terdengar mereka bercerita tentang Tuhan mereka. Secara curi-curi dengan, saya dapati mereka sangat menyayangi agama mereka.
"Bermula dari situ, saya mula berminat untuk mengenali siapa tuhan bagi orang Islam. Lantas, saya mula mencarinya menerusi bahan-bahan bacaan dan menerusi Internet. Saya terkesima apabila mendapati bahawa apa yang disentuh di dalam Islam itu diterima akal belaka."
Itu cerita Sara membuka bicara detik awal yang membawa kepada Islam.
Mungkin ramai yang berasa pelik pada usia 11 tahun Sara sudah mula mencari maklumat tentang agama. Sedangkan lumrah remaja seusianya hal berkaitan agama langsung tidak pernah diendahkan.
Namun, akui Sara, oleh kerana dia dibesarkan dalam pegangan agama Kristian yang kuat, tidak hairlanlah pada usia muda dia telah mula mengkaji pelbagai agama, sebelum mengambil keputusan untuk memilih pegangan agama yang dirasakan betul dan benar.
Malah dia pernah diajukan persoalan tentang pandangan ramai yang beranggapan wanita Islam sentiasa ditindas dan perlu dibebaskan.
Semua itu adalah salah belaka kerana katanya, wanita Islam jauh lebih bebas dan ada hak-hak mereka yang jelas.
Malah dalam al-Quran sendiri ada beberapa surah khas buat kaum Hawa.
"Yang sebenarnya, ramai yang tidak perasan atau mungkin tidak tahu bahawa wanita Barat adalah golongan yang lebih ditindas secara rela. Kenapa saya kata begitu? Kerana mereka terang-terangan telah dipotretkan sebagai simbol seks.
"Lantas, mereka terpaksa menggunakan aset tersebut untuk mencapai pelbagai matlamat dalam hidup. Yang mana hakikatnya, ini merupakan sesuatu yang jelas satu penghinaan kepada kaum wanita. Apabila datangnya Islam, wanita itu telah dipelihara hak-hak mereka," jelas Sara yang masih merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan kedua-dua orang tuanya.
Kata Sara lagi, dia mungkin berbuat demikian kerana masih dibelenggu dengan perasaan takut dengan pelbagai kemungkinan yang bakal dihadapi sekiranya rahsia yang disimpan itu bocor.
"Saya akan memberitahu mereka bila tiba masa yang sesuai. Buat masa ini saya rasa lebih selesa dan selamat jika mereka tidak mengetahuinya. Tetapi apabila mereka tahu, saya pasti akan bertudung selepas itu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan