Ahad, 4 Mac 2012


BERKATA-KATA DENGAN AL-QURAN 1
Kisah ini mungkin pernah didengari oleh sebahagian orang..Mungkin juga tidak pernah didengari langsung.
Namun, eloklah penulis sisipkan kembali di sini agar kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar daripadanya tentang pentingnya untuk menjaga diri daripada melakukan dosa terhadap Allah s.w.t.
Ianya telah dikutip oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki daripada kitab “al-Mukhtar min Nawaadir al-‘arab wa Tharaaifihim m/s 126 serta telah dimuatkan di dalam kitab beliau iaitu “Ma’a Auliya’ Allah al-Sholehiin” .
Kisah ini berlaku ketika mana Abdullah bin al-Mubarak, seorang ulama’ yang terkenal,  sedang berjalan pada satu ketika untuk melakukan haji, tiba-tiba beliau ternampak seorang perempuan yang agak berumur sedang berjalan-jalan berhampiran dengannya. Maka beliau menuju ke arah perempuan tersebut lalu berkata kepadanya:
“Assalamualaikum Warahmatullah”.
Maka perempuan itu menjawab;
“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani”.-Surah Yasiin ayat 85.
Maka, berlakulah beberapa dialog di antara mereka.
Abdullah: Apa yang makcik sedang buat di padang pasir ini?
Perempuan :
“Sesiapa Yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun Yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) Dalam kesesatan mereka”.-Surah al-A’raf ayat 186.
Abdullah: Apakah kenderaan yang makcik tunggangi?
Perempuan:
"Maha suci Allah s.w.t.Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin)…."-Surah al-Israa’ ayat 1.
Abdullah: Berapa lamakah makcik berada di sini?
Perempuan: “… selama tiga malam, sedang engkau di dalam keadaan sihat..”-Surah al-Maryaam ayat 10.
Abdullah: Di manakah makanan makcik?
Perempuan:
"Dan Tuhan Yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum”-Surah al-Syuaraa’ ayat 79.
Abdullah: Di manakah pula makcik mengambil air sembahyang?
Perempuan:
“Kemudian jika kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, yang suci”- Surah al-Nisaa’ ayat 43.
Maka Abdullah al-Mubarak membawa sedikit makanan kepada perempuan tersebut dan beliau berkata: “Makanlah wahai makcik, ini adalah makanan yang halal”.
Perempuan: “…Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)…”-Surah al-Baqarah ayat 187.
Abdullah : Sekarang ini bukan bulan ramadhan.
Perempuan:
“…Dan sesiapa Yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka Sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha mengetahui...”-Surah al-Baqarah ayat 158.
Abdullah: Bukankah diharuskan berbuka bagi sesiapa yang bermusafir?
Perempuan:
“…Dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui...”-Surah al-baqarah ayat 184.
Abdullah: Wahai makcik, bercakaplah sebagaimana bahasa pertuturan saya ini.
Perempuan:
"Tidak ada sebarang perkataan Yang dilafazkannya (atau perbuatan Yang dilakukannya) melainkan ada di sisi-Nya (Allah s.w.t.) malaikat Pengawas Yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".-Surah al-Qaaf ayat 18.
Abdullah: Makcik berasal daripada suku kaum mana?
Perempuan:
"Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang telah dilakukannya".-Surah al-Israa’ ayat 36.
Abdullah: Maafkan saya di atas kesilapan yang saya lakukan.
Perempuan:
… "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu Yang telah terlanjur itu), semoga Allah s.w.t mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada Segala Yang lain Yang Mengasihani".-Surah Yusuuf ayat 92.
Abdullah: Bolehkah makcik menaiki unta saya ini?
Perempuan: “…Dan apa jua kebaikan Yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah…” –Surah al-Baqarah ayat 197.
Abdullah: Silalah naik wahai makcik.
Sambil itu, Abdullah memperhatikan perempuan yang sedang menaiki untanya itu.
Perempuan:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram),…”-Surah al-Nuur ayat 30.
Abdullah segera menundukkan pandangan, menarik untanya, dan mengatakan kepada perempuan tersebut: “Marilah kita bertolak sekarang”.
Perempuan:
"Maha suci Tuhan Yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang Kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya"- Surah al-Zukhruf ayat 13.

BERKATA-KATA DENGAN AL-QURAN 2
Insyaallah, pada kali ini kita akan sambung kembali kisah yang telah dibicarakan pada keluaran yang lepas.
Setelah itu, maka Abdullah pun menarik unta beliau lalu mengarahkannya untuk bergerak. Kedengaran suaranya agak kuat memberi arahan terhadap unta beliau itu.
Maka perempuan itu berkata lagi:
"…Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata)…"-Surah al-Luqman ayat 19.
Abdullah menurutinya.Ketika beliau berjalan bersama-sama perempuan yang berada di atas untanya, beliau menyanyikan siulan yang memberikan semangat untuk unta tersebut bergerak lebih pantas (ianya merupakan adat kebiasaan masyarakat arab berlagu dan berqasidah tatkala sedang menunggangi unta dan sebagainya).
Perempuan:
“…Oleh itu bacalah mana-mana Yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran…”-Surah al-Muzzammil ayat 20.
Abdullah : Sesungguhnya kamu ini sangat baik wahai makcik.
Perempuan:
“…Dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya”.-Surah al-Baqarah ayat 269.
Abdullah: Wahai makcik adakah kamu telah mempunyai seorang suami?
Perempuan:
"Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi) perkara-perkara Yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu…"-Surah al-Maiidah ayat 101.
Setelah itu, tatkala berjalan untuk mencari kafilah (suku kaum) makcik tersebut ( asalnya perempuan tersebut telah kehilangan Qabilahnya dan beliau tertinggal di belakang),  Abdullah al-Mubarak bertanya lagi kepada perempuan tersebut:
Adakah makcik mempunyai anak atau tetangga yang dekat?
Perempuan:
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia…"-Surah al-Kahfi ayat 46.
Abdullah: Apakah pekerjaan anak-anak makcik di dalam kafilah tersebut?
Perempuan:
"Dan (ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan Dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah Yang hendak dituju".-Surah al-Nahl ayat 16.
Beliau ingin memberitahu bahawa anak-anaknya bekerja sebagai ahli kaji bintang.
Ketika ditanya pula oleh Abdullah siapakah nama anak beliau, maka perempuan tersebut berkata:
"Dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya".-Surah al-nisaa' ayat 125.
"Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa Dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)".-Surah al-nisaa' ayat 164.
"Wahai Yahya, Terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) Dengan bersungguh-sungguh!..."-Surah Maryaam ayat 12.
Di sini, beliau ingin memberitahu bahawa nama anak-anak beliau adalah Ibrahim, Isa dan Musa.
Tatkala anak-anaknya mendengar nama mereka dipanggil, maka mereka dengan cepat meluru ke arah perempuan tersebut.lalu beliau berkata kepada mereka:
“…sekarang Utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah Dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan Yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya…”-Surah al-Kahfi ayat 19.
Setelah anaknya membawa makanan kepada beliau, maka beliau berkata kepada Abdullah al-Mubarak:
"…Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat Yang lazat dan baik kesudahannya, Dengan sebab (amal-amal soleh) Yang telah kamu kerjakan pada masa Yang lalu (di dunia)!…"-Surah al-Haqqah ayat 24.
Maka, ketika mana Ibnu Mubarak ingin mendapatkan cerita sebenar mengenai peristiwa yang telah berlaku tersebut iaitu mengapa ibu mereka ini senantiasa berkata-kata dengan al-Quran, maka mereka menjawabnya sebagai berikut:
Sesungguhnya ibu mereka ini tidak pernah bertutur kecuali dengan al-Quran sahaja sejak 40 tahun yang lalu kerana takut melakukan kesilapan, beliau berpegang teguh dengan ayat-ayat Allah s.w.t., dan beliau sangat cintakan Allah s.w.t.’
Begitulah jiwa seorang yang sangat takut untuk melakukan dosa kepada Allah s.w.t., hingga tiadalah tutur katanya melainkan dengan al-Quran semata-mata. Kita tidak mungkin mampu melakukan seperti beliau, tetapi apa yang boleh kita lakukan, sentiasalah mengeluarkan tutur kata yang baik kepada orang lain, dan janganlah membalas keburukan orang dengan cercaan dan herdikan sebaliknya tunjukkanlah peribadi semulia mungkin, moga-moga dengan akhlak Islamiah yang kita tonjolkan, mampu untuk memikat orang lain kepada Islam.Amiin Ya Rabbal A’lamiin.
Wallahua’lam…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...