MUHASABAH (MENGHISAB DIRI)
MUHASABAH (MENGHISAB DIRI)…. Baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Orang yang paling bijak adalah orang yang selalu mengendalikan hawa nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…”[HR Imam Tarmizi; Hadis Hasan]
Dikatakan bahawa maksud “orang yang mengendalikan hawa nafsunya” (man dana nafsahu) dalam hadis di atas adalah orang yang selalu menghisab dirinya di dunia sebelum dirinya dihisab oleh ALLAH pada Hari Kiamat. Berkenaan dengan hadis ini, Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah berkata, “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab oleh ALLAH SWT kelak. Bersiaplah menghadapi Hari Perhitungan yang amat dahsyat. Sesungguhnya hisab pada Hari Kiamat akan terasa ringan bagi orang yang selalu menghisab dirinya ketika di dunia.”
(Lihat Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jami’ at-Tirmidzi).
Muhasabah (Menghisab diri) sebagai satu pesan ini dari hadis Rasulullah SAW di atas, sangatlah penting dilakukan oleh setiap muslim. Dengan sering melakukan muhasabah, ia akan mengetahui berbagai kelemahan, kekurangan, dosa dan kesalahan yang dilakukan. Dengan itu, ia akan terdorong untuk selalu melakukan perbaikan diri. Dengan itu pula, dari tahun ke tahun, dari bulan ke bulan, dari hari ke hari, bahkan dari waktu ke waktu ia menjadi semakin baik. Imannya semakin kuat; ketaqwaan nya semakin kukuh; solatnya semakin khusyuk; amal solehnya semakin bertambah dan dosa-dosanya semakin berkurang kerana semakin jarang ia bermaksiat; semangat dakwahnya semakin bergelora; pengorbanannya untuk ALLAH SWT dan Rasulnya semakin besar; akhlaknya semakin terpuji- ia semakin ikhlas, semakin tawaduk, semakin wara’, semakin menjaga amanah dan semakin Taqarrub (dekat diri) kepada ALLAH SWT.
Sayangnya, kerana pelbagai kesibukan dunia, entah kerana sibuk dengan kawan-kawan, study, assignment, tesis, bekerja mencari nafkah untuk keluarga, seseorang muslim tidak sempat ber-muhasabah; masanya banyak terbuang dengan pelbagai aktiviti harian yang dilakukan. Ada juga yang jarang ber-muhasabah bukan kerana sibuk, tetapi kerana memang ia lalai. Ia sendiri memang lalai melakukan muhasabah.
Sudah tentu, jarangnya seseorang muslim melakukan muhasabah merupakan musibah (perkara yang buruk berlaku ke atas diri manusia). Betapa tidaknya, jarangnya melakukan muhasabah (menghisab diri), seseorang Muslim sering marasakan tidak ada kurang pada dirinya; ia merasakan dirinya baik-baik saja. Padahal boleh jadi, imannya semakin rapuh, ketaqwaannya semakin terkikis, solatnya tidak lagi khusyuk, amal solehnya sudah jauh berkurangan, dosa-dosanya semakin bertambah, semangatnya untuk menyebarkan Islam ke tengah-tengah umat hampir-hampir padam, pengorbanannya untuk ALLAH SWT dan Rasulnya semakin menipis, akhlaknya semakin jauh dengan akhlak islam- mulai sering muncul ketidak-ikhlasan, ketidak-warak-an, ketidak-amanah-an dan semakin jauh dari ALLAH SWT.
Namun, musibah ini sering tidak disedari kerana kepekaan spiritual memang telah hilang dari dirinya akibat jarangnya ia melakukan muhasabah (menghisab diri). Akibat lebih jauh lagi, ia sering merasa tidak berdosa atau bersalah saat solatnya lalai dan tidak khusyuk, saat amal solehnya berkurangan, saat belajar agamanya jarang-jarang, saat melalaikan amanah ALLAH dalam menyebarkan islam; dan sering merasa tidak bersalah di saat melakukan banyak dosa; seperti sering melihat hal-hal yang haram, mendengar hal-hal yang sia-sia, melakukan hal-hal yang syubhat dan lain-lain. Ia pun tidak lagi merasa menyesal saat meninggalkan solat berjemaah; saat jarang melakukan solat malam; saat solat subuhnya suka terlambat, saat tidak mampu lagi berpuasa sunat, saat jarang membaca Al-Quran, saat tidak lagi boleh menangis ketka berdoa dan lain-lain. Tentu, semua ini sekali lagi dikatakan kerana jarangnya ia melakukan muhasabah.
Kita nampaknya perlu merenung kembali teladan Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat-sahabat Baginda yang mulia (Radhiallahu anhu). Baginda Nabi Muhammad SAW, misalnya pernah semalaman tidak dapat tidur kerana khuatir memikirkan sebutir kurma- (hanya sebutir kurma!)- yang terlanjur Baginda SAW makan di suatu tempat. Pasalnya, kemudian Baginda SAW berfikir bahawa kurma itu mungkin sebahagian daripada kurma sedekah yang disediakan untuk fakir miskin. Itulah yang menjadi beban fikiran Baginda Rasullah SAW semalaman.
Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA pernah memuntahkan kembali makanan, yang baru kemudian beliau ketahui bahawa makanan itu ternyata merupakan permberian dari tukang tilik. Saat itu Abu Bakar RA ditanya, mengapa melakukan demikian?, beliau menjawab, “Seandainya untuk memuntahkan makanan itu aku terpaksa menebusnya dengan nyawaku, aku pasti akan melakukannya. Sebab aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “BADAN YANG TUMBUH DENGAN MAKANAN YANG HARAM, MAKA API NERAKA LEBIH BAIK BAGINYA”, Aku sangat khuatir dengan itu”. (Kanz al-‘Umal).
Hal yang sama dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA. Beliau pernah memuntahkan kembali susu yang beliau minum, kerana baru kemudian baliau mengerahui bahawa ternyata air susu itu berasal dari unta sedekah. Seketika beliau memasukkan jari ke mulutnya dan memuntahkan kembali air susu itu (Rujuk Imam Malik, dalam kitabnya Al-Muwaththa’).
Diriwayatkan pula, pada zaman Khalifah Uthman bin Affan RA, seorang Ansar sedang solat ditengah-tengah kebunnya.Lalu pandangannya tertuju pada buah-buahan masak ranum yang bergantungan di dahan-dahan pepohonan. Selesai solat, ia merasakan sangat menyesal. Ia lalu segera mewakafkan kebun miliknya itu demi “menebus” kesalahannya (Rujuk Imam Malik, dalam kitabnya Al-Muwaththa’).
Secebis kisah diatas - yang benar-benar nyata- mungkin bagi kita semacam kisah para Rasul, kisah “manusia langit”, kisah “manusia yang dijamin syurga” yang sepertinya mustahil untuk kita teladani. Pernyataan semacam itu hanyalah menunjukkan bahawa, kita benar-benar sangat jauh dengan keteladanan Baginda Nabi SAW dan Para Sabahat RA yang dimuliakan. Mengapa kita sangat jauh dengan keteladanan Nabi SAW dan Para Sahabat RA?
Kerana mungkin- salah satunya- kita jarang melakukan muhasabah. Kalau pun kita melakukannya, mungkin itu kita lakukannya setahun sekali, saat bertukar tahun atau saat “berulang tahun”, atau saat terkena musibah barulah nak dekatkan diri dengan ALLAH, barulah nak bermuhasabah. Padahal dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan setiap hari, bahkan mungkin setiap waktu. Sudah tentu, semua dosa dan kemaksiatan itu sangat mudah kita lupakan, kerana muhasabah (menghisab diri) setahun sekali tidak mungkin boleh “detect” seluruh dosa setiap hari, apatah lagi dosa yang kita lakukan setiap waktu. Dosa setiap hari atau setiap waktu hanya akan mudah di”detect” jika kita melakukan muhasabah setiap hari atau setiap waktu. Mudah-mudahan kita semua boleh melakukannya. Semasa kita masih bernafas lagi inilah kita masih ada peluang untuk bermuhasabah untuk berbuat banyak perkara kebaikan, dan apabila nafas kita berhenti untuk selama-lamanya, peluang untuk bermuhasabah (menghisab diri) sudah tidak ada lagi. Saat itu kita pula akan dihisab oleh ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman maksudnya:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu (sendiri)…[TMQ Surah Al-Isra (17): ayat 7]
http://theunutterablebeautyofphrases.wordpress.com/category/artikel-pilihan-ku/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan