Selasa, 12 Mac 2013

MiSteRi Di SeBaLiK AzAn


Misteri di sebalik azan
Oleh IBRAHIM ABDULLAH


PENULIS ialah Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kota Bharu, Kelantan.

SETIAP hari azan dikumandang terutama di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam sebagai tanda masuknya waktu solat.

Di sebalik kemerduan azan, ada misteri dan keistimewaannya yang tersendiri, sehingga bagi muazin (orang yang menyerukan azan), ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran pahala kepadanya.

Kalimah penyeru (muazin) yang mengandungi kehebatan lagi menakjubkan telah tertanam dalam jiwa setiap Muslim, sehinggakan seusai laungan azan, seluruh tubuh serta pancaindera kita bergerak untuk menunaikan ibadat solat.

Menurut fakta, kebanyakan bukan Muslim menerima hidayah Ilahi setelah mendengar azan. Biarpun tidak memahami maksudnya, namun mendengarkannya sahaja telah menggetarkan hati, sekali gus menyentuh jauh di sudut hati nurani. Seakan fitrah Islam dalam diri mereka dibangkitkan melalui alunan suara azan tersebut.

Kementerian Urusan Agama Turki pernah menyatakan sekurang-kurangnya 634 orang telah memeluk Islam pada 2011, termasuk 407 wanita, yang rata-rata mereka berusia antara 30 hingga 35 tahun.

Malah mereka berasal daripada pelbagai bangsa Jerman, Maldive, Belanda, Perancis, China, Brazil, Amerika Syarikat, Rumania, Estonia dan lain-lain dan merupakan pelancong yang sedang melancong ke Turki.

Di Turki sendiri, sekurang-kurangnya 14 orang memeluk agama Islam pada empat tahun terakhir, termasuk 10 wanita.

Mufti kota Kayseri, Syeikh Ali Marasyalijil berkata, umumnya mereka masuk Islam setelah tersentuh mendengar alunan azan.

Chauncey L. Hawakins dari Amerika Syarikat mengakui pengislamannya bertitik-tolak selepas mendengar azan ketika berkunjung ke Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu.

Hakikatnya, penghijrahan akidah asbab daripada alunan azan memang berlaku.

Melalui mimpi

Pada awalnya Rasulullah SAW tidak tahu satu cara untuk mengingatkan umat Islam apabila tibanya waktu solat. Ada sahabat yang menyampaikan usul untuk mengibarkan bendera, meniup trompet, membunyikan loceng dan sebagainya. Namun, semua saranan itu dianggap kurang sesuai.

Sehingga datanglah Abdullah bin Zaid yang bercerita bahawa beliau bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz sebagaimana yang dibuat kini.

Lalu dikhabarkan perihal mimpi itu kepada baginda. Umar bin Khattab sebaik mendengar hal tersebut, spontan mengakui beliau juga bermimpi yang sama.

"Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang dia lihat (di dalam mimpi)."

Lalu Rasulullah bersabda: "Segala puji bagimu." Rasulullah menyetujui untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu sebagai tanda waktu solat tiba.

Selain digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat, azan juga dikumandangkan pada peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah.

Misalnya ketika kelahiran bayi dan ketika pasukan Rasulullah menguasai Mekah dan berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan.

Pada waktu itu Bilal bin Rabbah mengalunkan azan dari atas Kaabah.

Peristiwa kejatuhan Constantinopel yang sekali gus mengakhiri kekuasaan empayar Rom Timur juga disambut dengan laungan azan sebagai tanda kemenangan Islam ketika itu.

Di muka bumi ini, laungannya azan berlaku hampir setiap minit dan saat. Disebabkan Bumi berbentuk bulat, maka berlaku perbezaan waktu solat antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Sebab it, ketika azan telah selesai berkumandang di satu daerah, tempat atau negara, ia akan diikuti oleh azan di tempat lain sehingga seterusnya tanpa henti.

Satu jam setelah azan selesai di Sulawesi, maka azan segera bergema di Jakarta, disusuli pula Sumatera. Sebelum azan berakhir di Indonesia, ia sudah dimulai di Malaysia.

Selepas itu azana kan berkumandang di Myanmar diikuti Dhaka, Bangladesh; seterusnya Kolkata ke Srinagar, terus ke Bombay dan seluruh India.

Seterusnya laungan azan singgah di Mekah dan Madinah, Yaman, Emeriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq hinggalah ke Eropah dan Amerika.

Begitulah seterusnya azan terus berkumandang di bumi dan tidak pernah berhenti hingga kiamat.

http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...