Roh Orang Mati Bertemu Antara Satu Sama Lain
Adakah Roh Nabi saw akan Bersama Kita?
Gambar hiasan |
Roh orang mati yang berada di dalam kubur akan merasai keadaan yang berbeza. Roh yang baik akan merasai kenikmatan dan bebas untuk bertemu antara satu sama lain, tanpa ada halangan dan bantahan. Mereka akan ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Mereka juga akan mengingati setiap perbuatan dan amalan yang dilakukan di dunia. Roh ini juga bertanya sesama mereka tentang keadaan penghuni dunia. Roh ini berada di sisi temannya dan berada pada tingkatan yang sama. Berbeza dengan roh yang diseksa. Roh ini sibuk dengan kesiksaan yang dirasainya, dan tidak teringat untuk bertemu atau menziarahi antara satu sama lain.
Adakah Roh Nabi saw akan Bersama Kita?
Daripada Masruq katanya, para sahabat bersedih apabila mengenangkan jika Rasulullah saw meninggalkan mereka di dunia ini. Mereka tidak mahu berpisah dengan Baginda. di akhirat kelak mereka juga tidak dapat bersama dengan nabi saw kerana sudah pasti Baginda berada pada tingkatan yang paling tinggi dan para sahabat berada pada tingkatan bawah. Pada waktu itu sahabat tidak lagi boleh bertemu dan mereka sangat sedih.
Apabila Rasulullah saw mendengar rintihan para sahabat, maka turunlah ayat ini. Firman Allah SWT ertinya:
"Sesiapa yang mentaati Allah dan rasul, maka mereka itu akan berada bersama-sama dengan orang-orang yang dikurniakan ke atas mereka dari golongan para nabi, para ahli kebenaran, orang-orang yang syahid dan orang-orang yang soleh, dan adalah mereka itu sebagai teman-teman yang baik-baik". (Surah an-Nisa':69)
Keadaan ini juga berlaku kepada seorang Ansor dari kalangan sahabat nabi bertemu dengan baginda dalam keadaan menangis. Dia menangis mengenangkan dirinya. Beliau berkata:" Wahai nabi Allah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan segala harta bendaku. Aku sentiasa mengingatimu walaupun aku bersama dengan keluargaku. Aku teringat bagaimana keadaaan selepas kewafatanmu, aku yakin kita tidak akan bertemu lagi setelah kita berpisah di dunia ini. di akhirat nanti engkau akan berada pada tingkatan para nabi, sedangkan aku berada di tempat yang lebih rendah. Mendengar kata-kata sahabat daripada Ansor itu, maka Rasulullah saw terdiam seketika. Maka turunlah ayat surah al-fajr ayat 27-30 yang bermaksud:
"Wahai jiwa yang tenang tenteram. Kembalilah kepada TuahnMu dengan keadaan redha meredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku, masuklah ke dalam Syurgaku".
Berdasarkan kepada firman Allah SWT ini, nyatalah kepada kita bahawa di akhirat nanti sekiranya roh kita adalah roh yang baik, maka roh kita akan bersama -sama dengan roh para nabi, para solihin, pembela kebenaran, para Syuhada'. Inilah janji Allah yang pasti pada hari akhirat kelak. Betapa seronok dan gembiranya kita apabila kita dapat bertemu semula dengan ibu kesayangan kita, ayah yang kita sangat kasihi, adik beradik kita yang dicintai di akhirat setelah kita berpisah di dunia. Titik pertemuan kita ini akan kekal selama-lamanya dan tidak akan berpisah lagi buat selama-lamanya. Khabarkanlah berita gembira ini buat anak-anak kita yang sering bermanja dengan kita sehingga tidak sanggup berpisah di dunia. Namun sebenarnya kita diberi peluang untuk bertemu semula di akhirat kelak, dengan syarat taatlah segala perintah dan ajaran Allah dan rasulNya. Apa yang lebih menggembirakan kita lagi, bukan sahaja kita dapat bertemu dengan mereka ini, tetapi dapat bersama-sama dengan roh para nabi, golongan yang benar, para syuhada' dan orang-orang yang solih.
* Kuliah Agama di Taman Sri Siantan Klang Selangor pada 28 Februari 2012
Dicatat oleh Mohd Afendi Mat Rani
http://drafendi.blogspot.com/2012/02/roh-orang-mati-bertemu-antar-satu-sama.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan