Jumaat, 14 Mac 2014

MENJAGA KEHORMATAN AL QURAN

Menjaga kehormatan al-Quran -Oleh DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD



JIKA merenung proses turun al-Quran daripada Lauh al-Mahfuz kepada Rasulullah SAW terasa betapa cermat dan telitinya. Malaikat Jibril a.s menjalankan tugasnya dengan amanah membawa wahyu dan disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW.

Jibril a.s terkenal dengan gelaran al-Amin. Aturan yang Allah lakukan adalah amat sesuai dengan kedudukan al-Quran yang diturun dari sisinya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekelian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (al-syu’ara’: 192-193)

Al-Quran menjadi hidayah panduan kepada orang bertakwa. Memandu manusia untuk mengenal Allah SWT dan berakidah dengan cara yang betul. Ia juga disifatkan sebagai penawar kepada seluruh penyakit, sama ada yang zahir mahupun yang batin.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman kepadanya dan sebaliknya al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka)melainkan kerugian jua. (al-Isra: 82)

Panduan dan ajaran al-Quran yang amat jelas membawa manusia ke jalan yang lurus disebutkan sebagai nur atau cahaya. Ilmu yang memimpin dan menambah pengetahuan manusia adalah cahaya kerana panduaannya. Betapa al-Quran yang memimpin manusia di dunia dengan cara yang betul, seterusnya sampai ke akhirat dengan kejayaan sudah pasti cahayanya.

Firman Allah SWT: Wahai sekelian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhan kamu dan kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak. (al-Nisa’: 173)

Nabi Muhammad SAW dalam banyak hadis mengalakkan umatnya membaca al-Quran. Baginda SAW juga mahukan umatnya merasa kenikmatan membaca al-Quran sehingga dibandingkan mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah Utrujjah yang bersifat harum baunya dan enak rasanya.

Sementara itu, mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti tamar, manis rasanya tetapi tidak ada keharumannya.

Justeru, pilih lah untuk menjadi mukmin membaca al-Quran setiap hari. Muslim yang membacanya adalah mulia dan diberi ganjaran, sama ada faham kandungan yang dibaca atau tidak, juga diberi ganjaran kepada yang susah menyebut kalimahnya dan berat lidah membacanya.

Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa membaca satu huruf daripada al-Quran akan mendapat kebaikan. Setiap kebaikan diganda sepuluh. Aku tidak kata alif lam mim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (riwayat al-Bukhari).

http://epondok.wordpress.com/2014/03/11/menjaga-kehormatan-al-quran/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...