Isnin, 10 Mac 2014

Bolehkah Menangisi Jenazah ?

Bolehkah Menangisi Jenazah ? -Oleh : Mufti Brunei
Gambar hiasan
Apabila berlaku kematian, ada orang yang boleh menghadapinya dengan sabar dan tabah, namun ada juga orang yang tidak dapat menghadapinya sehingga menangis, meratap atau meraung. Perkara sebegini tidak dinafikan berlaku kerana perasaan sayang kepada si mati membuatkan perasaan sedih itu timbul, kerana hidup bersama dalam masa yang panjang semasa si mati masih hidup, kini dia kembali ke hadirat ilahi buat selama-lamanya. Tentu perkara ini memberikan kesan terhadap semua yang mengenali si mati kadang-kadang tidak dapat menerima hakikat kematiannya. Tambahan lagi orang yang telah pergi selama-lamanya itu keluarga yang dekat seperti ibu atau bapa atau anak sendiri. Mengenai hukum menangisi jenazah ini akan dihuraikan selanjutnya selepas ini.


Hukum menangisi jenazah


Hukum menangisi jenazah adalah harus sama ada sebelum berlakunya kematian iaitu ketika dalam keadaan nazak ataupun selepas berlakunya kematian. Walau bagaimanapun menangisi jenazah sebelum berlakunya kematian adalah lebih utama berbanding menangisinya selepas kematian. Menangisi jenazah selepas berlakunya kematian adalah khilaf al-awla iaitu menyalahi yang utama kerana ia merupakan penyesalan dari perkara yang telah lalu.

Menangisi jenazah kerana sayang dan sedih di atas pemergiannya adalah merupakan perasaan semula jadi manusia. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah menangis ketika menghadapi kematian anak Baginda Ibrahim ‘alaihissalam. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Kami masuk bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendatangi Abu Saif Al-Qaiyn (iaitu suami perempuan) yang mengasuh dan menyusui Ibrahim ‘alaihissalam (putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil Ibrahim lalu memeluk dan menciumnya. Kemudian kami menjumpainya lagi selepas (peristiwa) itu dan Ibrahim hampir menghembuskan nafasnya sehingga menyebabkan kedua mata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berlinang air mata.

Lalu ‘Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘anhu (dengan perasaan takjub) bertanya kepada Baginda:

“Engkau juga (menangis) wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat,” kemudian berterusanlah keluar airmata Baginda. Setelah itu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya kedua mata boleh mencurahkan air mata, hati boleh merasa sedih, akan tetapi kami tidaklah boleh mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami dan dengan perpisahanmu ini wahai Ibrahim kami amat bersedih”.
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Jawapan Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Ibnu ‘Auf Radhiallahu ‘anhu dalam hadits di atas

“Sesungguhnya ini adalah rahmat” bermaksud keadaan Baginda (tangisan) yang disaksikan oleh Ibnu ‘Auf Radhiallahu ‘anhu itu adalah perasaan kasih sayang terhadap anak dan bukanlah ia sebagai kegelisahan atau ketidak sabaran sepertimana yang disangkakan oleh sahabat baginda itu.

Begitu juga diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu ketika baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadapi kematian cucu baginda. Nafas Baginda menggeletar dan airmata Baginda berlinangan di saat cucu Baginda diserahkan kepadanya. Lalu Sa‘ad bin Ubadah Radhiallahu ‘anhu bertanya kepada Baginda:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, (air mata) apa ini?” Nabi menjawab: “(Airmata) ini adalah rahmat (perasaan sayang) yang Allah jadikan dalam hati-hati hambaNya dan sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang penuh rasa kasih sayang.” (Hadits riwayat al-Bukhari).


Bentuk tangisan yang diharuskan

Bentuk tangisan yang diharuskan itu sebagaimana disebutkan dalam kitab Hasyiatan Qalyubi Wa ‘Umairah ialah tangisan dengan suara yang perlahan (sekadar terisak-isak) walaupun mengeluarkan airmata dan perasaan hati yang sedih.

Menurut Imam as-Subki Rahimahullahu Ta‘ala jika tangisan ke atas jenazah itu, kerana perasaan kasih sayang dan kerana perasaan takut di atas apa yang akan menimpa kepadanya daripada balasan Allah Ta‘ala dan perkara-perkara yang menakutkan pada hari kiamat adalah tidak makruh dan tidak menyalahi yang lebih utama.

Menurut ulama lagi, jika tangisan itu kerana perasaan kasih sayang seperti menangisi kanak-kanak adalah tidak mengapa, akan tetapi adalah lebih baik bersabar. Adapun jika menangisi jenazah kerana hilangnya ilmu, kebajikan, keberkatan dan keberanian si mati maka ia digalakkan.


Bentuk tangisan yang dilarang

Bentuk tangisan yang dilarang ke atas jenazah itu ialah seperti berikut:

1. Haram jika tangisan itu disebabkan ketidaksabaran dan tidak menerima sebagai qadha daripada Allah Ta‘ala.

2. Haram menangisi jenazah dengan menyebut-nyebut kebaikan si mati seperti katanya: “Aduhai gunungku” (simati diibaratkan sebagai gunung kerana simati adalah tempat bersandar dan berharap

Larangan mengenai meratapi jenazah sebgini ada disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh abu Musa al Asy’ari RadiyaLlahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya: “Tidak ada jenazah yang (mati atau hampir mati) dan diratapi oleh keluarganya dan berkata-kata: “Aduhai gunungku” ( ), “Aduhai tuan aku” ( )” atau yang seumpamanya, melainkan diwakilkan untuknya dua malaikat menepuk-nepuk dada si mayat (dengan kedua tangannya dan) berkata: “Beginikah kamu?”(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Persoalan “beginikah kamu” dalam hadis tersebut itu adalah ancaman bagi orang yang meratap dengan menyebut-nyebut kebaikan simati.

3. Haram menangisi jenazahْ dengan suara yang tinggi seperti meraung (ْحُ وُالن). Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu menceritakan, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ada empat (perangai) pada umatku yang dibawa dari zaman Jahiliyyah, mereka tidak dapat meninggalkannya sama sekali iaitu: “Bangga terhadap kemuliaan, menghina hubungan sesama kekeluargaan, mempercayai turunnya hujan melalui perbintangan (ilmu tenung) dan ratapan,” Baginda bersabda: “Orang yang meratap itu apabila dia belum bertaubat sebelum kematiannya maka akan dibangkitkan pada hari kiamat (dalam keadaan kulitnya berkurap atau berkudis seolah-olah) pada (anggota)nya baju (yang dilumuri dengan) minyak (iaitu minyak yang dilumuri pada unta yang berpenyakit kurap dan minyak itu dibakar untuk menghilangkan penyakit kurap pada unta itu seolah-olah) baju dari kurap atau kudis.”(Hadits riwayat Muslim)

4. Begitu juga haram menunjukkan perasaan tidak sabar (ْعَ زَ جَ ال) sehingga memukul-mukul dada dan pipi atau menarik rambut dan mengoyak baju. Ini juga berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Bukanlah dari golongan kami orang yang menampar-nampar pipi dan mengoyak-ngoyak baju dan menyebut-nyebut (penyesalan terhadap si mati) sebagaimana sebutan orang jahiliyyah.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

Menangisi jenazah sehingga berlebihan seperti meratap, memukul dada dan pipi, mengoyak baju, dan berteriak adalah dilarang kerana tangisan seperti ini melewati batas-batas yang diharuskan dalam syara‘. Tangisan seperti ini menunjukkan ketidaksabaran seseorang itu dalam menghadapi takdir Allah Ta‘ala.

http://pondokhabib.wordpress.com/2014/03/02/bolehkah-menangisi-jenazah/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...