Selasa, 8 April 2014

PerbeZaan Matlamat HidUp AnTaRa MusLim, bUkan Islam

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Gambar hiasan 

Manusia dipilih Allah SWT sebagai makhluk paling mulia di muka bumi ini menggalas amanah dan tanggungjawab getir iaitu beribadah kepada Allah SWT serta memakmurkan dunia ini. Justeru, tidak hairanlah setiap manusia memiliki matlamat dalam meneruskan kelangsungan hidup di dunia.

Al-Quran sebagai kitab panduan dan pedoman untuk umat manusia dari awal telah merakamkan pelbagai kisah rutin hidup yang mengiringi setiap langkah manusia. Namun, ada manusia menjadikan keseronokan dunia sebagai matlamat hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) orang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum seperti mana binatang ternakan makan minum sedangkan nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Surah Muhammad, ayat 12)

Firman Allah SWT: Dirikanlah solat, berilah zakat dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang sedemikian sifatnya) Dialah sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 77-78)

Di samping itu, al-Quran turut menyingkap kisah segolongan manusia yang mengejar kekayaan dan meraih sebanyak mungkin harta dunia yang mengasyikkan. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dihiaskan kepada manusia nafsu yang inginkan perempuan, anak pinak, harta benda emas dan perak, kuda, binatang ternakan serta kebun tanaman, semuanya itu kesenangan hidup dunia. Dan (ingatlah) di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Suka lakukan kerosakan

Selain itu, terdapat juga manusia suka melakukan kerosakan di muka bumi dengan menaburkan pelbagai fitnah dan kejahatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada ummah sejagat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan) Allah menjadi saksi atas apa yang ada di dalam hatinya pada hal dia orang yang keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapatkan hajatnya) berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia) sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 204-205)

Demikianlah gambaran al-Quran secara umum mengenai persepsi sebahagian besar manusia yang menghuni alam ini terhadap makna dan hakikat kehidupan. Ini berbeza dengan pandangan orang Islam terhadap erti kehidupan kerana Islam sebagai al-Din yang lengkap dalam semua lapangan.

Jambatan menuju akhirat

Orang Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT menjadikan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju alam akhirat yang kekal abadi. Setiap Muslim sepatutnya menyedari dia memikul tanggungjawab besar sebagai khalifah Allah SWT untuk menegakkan kalimah Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Rukuk dan sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhanmu (dengan mentauhidkan-Nya) serta kerjakanlah amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu orang Islam sejak dulu dan dalam (al-Quran) ini supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai kebenaran dan kesalahan). Oleh itu, dirikanlah solat, berilah zakat dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang sedemikian sifatnya) Dialah sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 77-78)

Demikianlah matlamat hidup manusia yang telah digariskan Allah SWT kepada manusia mengenai tujuan kehidupan di dunia bukanlah sia-sia atau permainan semata-mata. Sebaliknya, penciptaan manusia mempunyai hikmah sebagai khalifah menyampaikan Islam kepada ummah sejagat.

http://epondok.wordpress.com/2014/04/01/perbezaan-matlamat-hidup-antara-muslim-bukan-islam/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...