Rabu, 22 Mei 2013

HakiKaT MeMpELajAri ILMU


Hakikat mempelajari ilmu -epondok -Dr. Aminudin Mansor

MENDIDIK anak-anak adalah tugas penting dan utama kepada setiap ibu bapa. Justeru, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sangat penting sejak anak-anak itu masih kecil dan dilakukan berterusan sehingga meningkat remaja dan dewasa.

Tanggungjawab ibu bapa adalah mendidik ilmu agama yang meliputi akidah, ibadah dan akhlak. Selain itu, ibu bapa juga berperanan mendidik ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan kehidupan di dunia. Keseimbangan pendidikan ini akan menjadikan seseorang itu seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pendidikan akidah sejak di rumah lagi adalah teras penting untuk menanamkan keyakinan anak-anak terhadap keesaan ALLAH dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu bapa perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran yang berkesan di rumah supaya anak-anak lebih menghayati tujuan mempelajarinya. Saranan dan usaha ini penting disebabkan pendidikan akidah adalah teras penting yang perlu diajar di rumah dan di sekolah sebelum seseorang itu mempelajari subjek lain.

Manakala pendidikan ibadah melibatkan fardu ain dan fardu kifayah. Pendidikan ini bertujuan untuk menjelmakan dan mempraktikkan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menggerakkan segala anggota dan pancaindera manusia ke arah mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.

Pendidikan juga berperanan untuk mendidik anak-anak tentang bagaimana menyembah, mentaati, memohon pertolongan dan keampunan daripada ALLAH SWT. Pendidikan ibadah juga merupakan suatu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranannya sebagai khalifah ALLAH , yang diberikan tanggungjawab dalam menyempurnakan segala tuntutan agama.

Ibadah perlu difahami dalam konsep yang lebih luas, meliputi ibadah khusus (fardu ain) seperti solat, zakat, puasa dan haji di samping tuntutan ibadah umum (fardu kifayah) seperti kebajikan, pekerjaan, amalan sunat dan sebagainya. (rujuk al-Baqarah: 2:21)

Bagi pendidikan akhlak, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak supaya dididik dengan akhlak yang mulia. Menanam akhlak yang baik dan mulia memerlukan masa yang panjang dan berterusan melalui amalan yang dilakukan, nasihat dan tunjuk ajar. Pendidikan akhlak Islam bertujuan supaya akhlak yang baik dan sempurna dapat ditanamkan dalam pemikiran, hati, jiwa anak-anak sejak kecil lagi bagi menjauhkan mereka daripada akhlak yang terkeji.

Melalui pendidikan di rumah dengan akhlak yang terpuji lagi sempurna merupakan kunci kebaikan bagi setiap manusia khususnya umat Islam dan makhluk ALLAH secara keseluruhannya. Manakala akhlak yang terkeji merupakan jalan ke arah kejahatan dan kerosakan.

Lantaran itu, anak-anak juga seharusnya dididik supaya menjaga kebersihan, tidak meninggalkan solat, selalu membaca al-Quran, bersedekah, sabar dalam menjalani kehidupan bagi membentuk jiwa yang sempurna.

Daripada Abu Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asy’ari RA katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersuci itu sebahagian daripada iman, alhamdulillah memenuhi timbangan, subhanallah dan alhamdulillah memenuhi ruang antara langit dan bumi, solat itu cahaya, sedekah itu bukti, sabar itu sinarnya, al-Quran itu hujah untuk engkau atau terhadap engkau, semua orang mempertaruhkan dirinya (antara dua pertaruhan) sama ada untuk memerdekakan atau membinasakannya. (riwayat Muslim)

Setiap Muslim digalakkan berakhlak mulia terhadap ALLAH iaitu dengan melaksanakan amalan fardu dengan sempurna, memperbanyakkan amalan sunat dan berkorban demi untuk Islam.

Menurut tokoh pendidik Islam, Khurshid Ahmad, jatuh bangunnya suatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan, kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Maka, melalui pendidikan akidah, ibadah dapat membangun umat. Begitu juga, berakhlak mulia terhadap manusia dapat membantu orang lain dalam kesusahan, selalu mengucapkan salam, sentiasa senyum apabila bertemu. Amalan-amalan ini seharusnya dilakukan dalam kehidupan bermasyarakat.

Wallahua'lam.

http://epondok.wordpress.com/2013/04/21/hakikat-mempelajari-ilmu/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...