Khamis, 9 Mei 2013

Solat Jumaat Sarat Pahala


Oleh DR AMINUDIN MANSOR

DI antara hari-hari yang tujuh itu, hari Jumaat adalah paling mulia, banyak fadilat dan kebaikannya. Pada hari Jumaat pula terdapat solat Jumaat. Oleh itu, sebagai umat Islam iaitu lelaki yang sudah baligh wajib menunaikan solat Jumaat ini. Bagi mereka yang meninggalkannya sangat rugi dan berdosa di sisi ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru azan untuk solat pada hari Jumaat, segeralah kamu pergi mengingati ALLAH (bersolat) dan meninggalkan urusan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. (al-Jumu’ah: 9)

Mengenai pahala mengerjakan solat Jumaat ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang pergi menghadiri solat Jumaat pada saat pertama (pukul 7 pagi) ia seumpama berkorban seekor unta. Barang siapa yang pergi menghadiri solat Jumaat pada saat kedua (pukul 8 pagi) ia seperti berkorban seekor lembu. Barang siapa yang pergi menghadiri solat Jumaat pada saat ketiga (pukul 9 pagi) ia seperti berkorban seekor kambing (kibas). Barang siapa yang pergi menghadiri solat Jumaat pada saat keempat (pukul 10 pagi) ia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan barang siapa yang pergi menghadiri solat Jumaat pada saat ketiga (pukul 11 pagi) ia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur. Adalah diingatkan bahawa apabila imam telah naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut serta mendengarkan khutbah. Maka barang siapa yang datang ke masjid selepas itu seolah-olah ia hanya datang untuk solat semata-semata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.”

Daripada Ibnu Umar RA mendengar Nabi SAW bersabda: “Siapa datang untuk bersolat Jumaat, maka hendaklah dia mandi.” Hadis daripada Aus bin Aus RA menyatakan siapa yang mandi pada hari Jumaat, mencuci kotoran pada badan, bersegera ke masjid dan mendengar khutbah, baginya dengan setiap langkah yang dilangkahnya pergi ke Jumaat itu pahala setahun.

Kita disarankan membanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada siang dan malam Jumaat itu. Menghidupkan malam Jumaat dengan berbagai-bagai zikir.

Oleh itu, kita disarankan supaya datang awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bagi mengelakkan perkara ini. Banyak kelebihannya jika datang awal iaitu mendapat saf yang paling depan, tidak tergesa-gesa untuk mencari tempat serta tenang dan lapang menghadapi ALLAH SWT.

Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia mendatangi solat Jumaat dengan mendengarkan khutbah dan diam, maka dia akan mendapat ampunan hingga hari Jumaat yang berikutnya ditambah tiga hari lagi. (riwayat Muslim).

Nabi SAW bersabda: “Ada empat orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat iaitu wanita, budak, orang yang sakit dan musafir (pengembara).” (riwayat Abu Hanifah).

Mereka ini adalah tidak diwajibkan daripada menunaikan solat Jumaat. Oleh itu, larangan ini mengandungi tujuan tersirat yang dapat mengelakkan daripada fitnah bagi wanita, kebisingan bagi kanak-kanak kecil yang tidak boleh dikawal dan kesusahan bagi mereka yang sakit serta musafir.


http://epondok.wordpress.com/2013/05/10/solat-jumaat-sarat-pahala/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...